Home Novel Cinta TUAH
Bab 5
BAB 5  TUAH: Siapakah gerangannya?


Dari awal pagi membawa ke tengah malam, tak ada waktu senggang yang mencelah. Kesibukan hari ini seolah memperlekehkan segala masa yang telah aku curahkan demi mencapai aspirasi baginda Sultan terhadap kegemilanga Melaka.

Barangkali tempoh setengah tahun masih tidak mencukupi untuk aku buktikan usaha kerasku!

Kesibukan yang berterusan semenjak enam bulan yang lalu telah memerah segala kudratku, menghimpit segala ruang masa yang aku ada agar menjurus kepada satu titik tumpu; menjunjung titah Sultan.

Sebermula segala kesibukan ini seawal kunjunganku ke Tanah Jawa dengan Patih Karma Wijaya membawa surat dan bingkis dari istana Melaka untuk merisik Puteri Majapahit. Hajat Tuanku Sultan diperkenankan Betara Majapahit. Hari-hari aku bertambah sibuk dengan pembinaan segera Genta Segara khusus berlengkap untuk membawa pulang Puteri Jawa ke tanah Melaka.

Mengenali peribadi Duli Yang Di Pertuan, aku tahu ada agenda yang tersembunyi di sebalik pelayaran ke Majapahit. Seumpama satu batu yang dilempar mengena dua burung, baginda pasti akan menggunakan peluang ini untuk menonjolkan kuasa kepada Majapahit dalam masa yang sama menghulur ikatan perhubungan yang kukuh. Bertoleransi tetapi tidak mengalah.

Lantas selaku ketua hulubalang khas DiRaja sudah tentu di mana adanya Duli Tuanku maka di situ adanya aku. Diiringi Demang dan Raja dari Inderagiri, Lingga, Tungkal, Jambi dan Palembang, perjalanan Genta Segara ke Majapahit penuh dengan perbualan politik di antara Sultan Mansur Syah dengan Raja-Raja Melayu di kabin mesyuarat di aras dua.

Tak satupun semua rencana tersebut di buat secara sambil lewa melainkan kesemuanya aku kaji, rancang, susun dan laksanakan dengan rapi dan teliti dengan bantuan Paduka Raja dan para pembesar negeri.

Semuanya demi menjunjung titah Sultan!
Hanya itu yang aku kisahkan.

Dalam samar cahaya tanglung, aku jamah jua makanan sejuk bagi mengisi perut yang kelaparan sebelum mencapai mangkuk minuman. Di saat aku tunduk untuk menghirup air tawar, bayang yang menjelma di dalam air menghentikan perlakuanku, membekukan segala perkara yang aku fikirkan. Aku hanya merenung bayang-bayang itu, menyoroti sekeliling mata yang kelihatan lebam kelesuan, bulu-bulu panjang di sekitar pipi, bibir dan dagu. Wajah itu amat menyedihkan! Kerana aku tahu diri itu telah lama terbiar lantaran mendahulukan kepentingan orang lain.

"Tuah."

Aku tidak menyahut suara yang memanggil namaku sebaliknya terus meneguk air di dalam mangkuk sehingga habis.

"Aa... Aku membawa pesan Mak Inang. Katanya mahu bertemu dengan kau sebentar. Hal mustahak."

Mangkuk yang air kosong, aku letak ke riba. Perlahan-lahan aku angkat mata, menjamah lama wajah Lekir. Ada sesuatu yang berlegar di fikiranku. Kaitan antara raut bertenaga Lekir, pesanan tanpa hentinya hari ini dan mungkin... orang asing itu. Bukan payah mana mahu membaca air muka Lekir. Panahkan sahaja pandangan dan lihat reaksi lelaki itu.

... bibir dengan senyuman paksa, mata yang sekejap memandang aku sekejap membuang pandang arah lain.
Aku berani bertaruh, lebih lama aku tancapkan pandangan sebegini, akan terserlah kulit putih pucat Lekir sebentar lagi.

Sial! Aku dah jumpa dalang kesibukan aku hari ini. Jika diingati semula, hampir semua kata-kata Lekir hari ini bermula dari perkataan 'pesan'.

Marah? Memang aku marah. Lelaki itu sengaja menyusahkan aku. Cuma perlakuan Lekir sebegitu agak membingungkan aku. Kenapa dan apa agaknya alasan Lekir?

Malangnya aku benar-benar perlukan masa! Untuk itu aku tak bercadang untuk melanjutkan penderaan emosi terhadap Lekir mahupun membuat sebarang soal siasat. Aku kesuntukan masa kerana kurang dari lima jam sahaja bahtera ini akan melabuhkan sauh di Pelabuhan Tuban. Aku perlukan rehat yang cukup untuk persiapan mental, fizikal dan perapian diri untuk berhadapan peringkat cabaran yang seterusnya.

Aku hulurkan mangkuk air kepada Lekir dan memberi arahan, "Isi penuh dengan air dan hantar ke kamar."

Setelah itu aku berpaling melangkah ke kamar.

"Tapi Tuah, Mak Inang mahu berjumpa dengan kau sebentar!"
Suara Lekir di belakang semakin mendesak.

Geram! Aku menoleh hanya untuk menjelingnya.

"Apa sahaja masalah yang sengaja kau timbulkan selepas ini, kau selesaikan sendiri. Jangan berani ganggu aku!"

Sudah semestinya amaran sebegitu Lekir fahami. Oleh sebab itu, aku tidak lagi diganggu melainkan...

Tatkala aku menolak daun pintu.

Celaka!

Masih berani dia berada di sini. Enak tidur di bantal dan hamparan aku!

Kemarahan mudah membuak di kala keletihan. Bukankah aku telah memberi arahan kepada Lekir agar tidak membenarkan sesiapa mendiami kamar berehatku.

Argh! Lekir! Nahas kau nanti!

"Hoi! Bangun!"

Jerkahan aku tidak berkesan. Aku kuatkan suara, memekik di tepi kepala gadis itu.

"Hoi! Bangun! Nyah dari sini."

Tekaan aku, samada gadis itu tidur mati atau berpura-pura tidur kerana kesan suara kuat aku gagal mengejutkannya.

Aduhai perempuan, andainya tekaan kedua aku betul, nahaslah dikau sekarang kerana aku tak lagi mengejutkanmu dengan mulut, tetapi dengan kaki.

Rasanya sepakan aku tidaklah beberapa kuat. Mungkin daya sepakan aku serentak dengan hentaman tinggi ombak. Kapal yang melambung dan beroleng menyebabkan tubuh si gadis bergolek laju lantas menghentam kuat dinding kamar.

Bam!

Biarpun bahagian hadapan tubuh gadis itu masih terlekap di kayu, aku biarkan sahaja. Amarah di dada yang menguasai perasaan, melunturkan belas ihsanku.

Aku ambil bantal dan hamparan tidurku semula. Dalam rungutan, aku berbaring di sebelah gadis itu seperti semalam.

Siapa gerangan gadis itu?
Bagaimana dia boleh tiba-tiba sahaja tidur di dalam kamar aku semalam? Rasanya hanya sebentar sahaja aku terlelap sebelum gadis ini mengejutkan aku dengan jeritan nyaringnya. Lagi pula, tak siapa berani menceroboh dalam kamar ini apatah lagi seorang perempuan.

Walaupun perkara ini kelihatan terpencil, hanya perihal kamar aku dicerobohi perempuan, aku tidak memandang hal ini remeh. Awal pagi lagi aku telah meminta Lekir bertanyakan Mak Inang senarai dayang yang berada di atas Genta Segara. Menurut Lekir, Mak Inang memberitahu kepadanya bahawa kesemua dua puluh dayang Tuanku ada bersamanya. Manakala selebihnya berada di Mendam Berahi bersama perawangan dan perdaraan.

Memang ada keanehannya. Mustahil di tengah lautan ada manusia yang boleh menyusup masuk. Di sini bukannya daratan. Melainkan gadis ini baru keluar dari persembunyiannya setelah berjaya menyusup masuk dari daratan.

Namun, tidakkah dia kenal siapa aku dengan perlakuan semberononya sebegini? Tidakkah dia takut dengan akibat kelaku berani bodohnya itu?

Lantai kapal senget lagi tapi ke arah yang bertentangan. Tubuh si gadis kembali terlentang di posisi asal. Melihat dinding comot dengan tompokan besar warna merah, aku alihkan pandangan ke wajah si gadis. Darah yang masih lebat mengalir dari luka di dahi, hidung dan bibirnya turut mencomotkan wajahnya.

Aku alih semula pandangan merenung garis menegak kayu siling sebelum menutup sebahagian dahi dan mata dengan tangan.

Fikiran kembali menerawang akan hakikat yang pahit. Enam bulan yang lalu bukanlah permulaan usahaku sebenarnya tetapi persediaan. Esok baru bermulanya tugas aku. Berjaya atau tidak dalam melaksanakan titah Sultan, usaha esok penentunya.

Dalam mata terpejam, aku masih teguh memegang aspirasi diri.

Dalam masih terpejam, aku sempat terfikir kalau gadis di sebelah aku tidak lagi bernyawa esok, aku suruh sahaja Lekir buangkan mayatnya ke laut.

Dan kalau masih hidup, satu perkara sahaja yang aku mahu tahu tentang dia.

Adakah dia kawan atau musuh...


Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.