Home Novel Cinta TUAH
Bab 25

BAB 25. KAU PERCAYA MIMPI?

Aku biarkan nikmat berlegar-legar lama. Jiwa tenang melayan aroma lavender. Dada enak menikmati  dingin penyaman udara. Tubuh bermanja di atas span tebal tilam. Dah puas melepaskan rindu dendam, baru aku buka mata.

Yahoo, mimpi dah berakhir!

Sebelum aku ke bilik air, aku campak semua buku berkaitan Hang Tuah yang berlonggok di tepi bantal ke lantai. Aku nyahkan judul yang menyakitkan hati itu dengan sepakan padu menembusi gawang kaki katil.

Aku tak mahu mimpi itu berakhir, tetapi berkubur. 


Hari aku bermula dengan amat baik. Lembayung mentari menyerakkan warna lembut di kaki langit. Tak lama masa dihabiskan untuk bersiap ke pejabat. Sekadar berpakaian kemas dengan solekan sederhana asalkan tak semak mata lain yang memandang .

Oleh kerana hari ini banyak perkara yang hendak diselesaikan di merata tempat, aku memilih berseluar longgar dan berbaju blaus sahaja. Sebelum melangkah keluar dari rumah, wangian berselumur di seluruh badan. 

Aku pejamkan mata. Layar minda menayangkan diri dipuput bayu lembut di dalam hujan sakura pada hari perayaan Hanami. 

Damainya! Sedap bau Japan Blossom ni.


30 minit sebelum waktu bekerja aku telah tiba di pejabat.

"Selamat pagi Hanna. Bersemangat nampak hari ini. Mimpi bulan jatuh ke riba ke malam tadi?" tegur rakan sekerjaku, Nurin.

Mimpi? Urkh!

Lorekan senyuman terlepas separuh. Separuh lagi aku batalkan lepas dengar perkataan mimpi.

"Pagi, Nurin. Kalau mimpi bulan jatuh ke riba tak apa. Ini mimpi keris terbang ke dada."

Mimik mencuka aku bagaikan mampu melepaskan bau masam kerana bak paparazzi yang menghidu berita panas, Nurin segera bertenggek di meja aku.

"Siapa yang kau mimpikan semalam? Hero ala cover Glam, Maskulin, Forbes, ke EH? Dia mengorat kau ke dalam mimpi tu?" 

Bersungguh-sungguh Nurin cuba mengorek rahsia aku.

"Muka aje ala EPop. Orangnya keras mengalahkan kayu kokka."

Mengorat? Ergh, lelaki itu ada perasaan ke? 

Suhu hati Tuah boleh turun serendah bumi Greenland apabila tengok aku.


Ketawa Nurin berderai macam Cik Langsuir tatkala mendengar pengakuan aku. Habis gelak, Nurin masih betapa di meja aku tersengih-sengih. Nak kena halau minah propa ni. Tak luak tugasan aku nanti.

"Hanna, kita bertolak lepas maghrib, ok? Aku ambil kau nanti."

"Nak pergi mana?"

Pandangan Nurin lurus menusuk ke anak mata aku. Benci betul aku dengan gaya pandang yang tajam macam tu. 

Familiar sungguh!

"Hanna... kita ada jemputan ke event pemaju esok? Kau dah lupa ke?"

Aku tepuk dahi! Memang aku terlupa.

Kepala agak bengong semenjak mimpi aneh mengganggu hidup. Walaupun tahap kesedaran aku tinggi, aku tidak keliru di mana aku berada, tetap tumpuan minda terganggu. Aku mudah lupa rinci almanak yang aku telah susun. 

"Terima kasih banyaklah atas ingatan tu Cik Nurin ooi. Kerja aku berlambak ni. Nanti malam kita story lagi, okey!"


Rutin di pejabat, perkara pertama yang aku buat setelah komputer riba dihidupkan adalah memeriksa email. Hari ini keinginan ingin tahu aku membelok dari laluan biasa. Aku buka enjin carian google. Aku nak tahu maksud satu perkataan sahaja tetapi dengan suara serak seksi Rangga sekali aku boleh dengar.

"Persis Apsara."

Baru taip huruf A, suara Nurin dah mengambil alih segala perhatian aku.

"Semua pesanan masa kau bercuti aku dah catat dalam buku nota kau." 

Pantas jemari meninggalkan papan kekunci komputer lalu dilarikan ke setiap baris aksara. Mata melilau mencari satu nama di celah-celah pesanan. 

Hurm... tiada. Lamanya kau menyepi. 

Dia yang namanya aku cari itulah penemanku di kala lara. Dia penyembuh luka aku. Mungkin dia terlalu sibuk atau dah jumpa orang lain yang lebih memerlukan dia daripada aku. 

Jangan sedih, Hanna. Mustahil dia lupakan kau, hati memujuk.


Menjelang pukul 11.00 pagi aku telah berada di dalam kereta mengejar pertemuan dengan pelanggan. Mata sempat menyapu lot parkir di hadapan deretan kedai di kiri jalan raya. Tidak kelihatan kenderaan yang aku cari di situ. 

Mungkin dia bercuti hari ini . 

Hati berkocakkan kecewa. Lama tidak bertemu menerbitkan kerinduan. Aku tahan tangan yang dah gatal nak menekan pad kekunci handset. Cebisan ego masih mempertahankan diri.

Tunggu dia call dulu. Nanti nampak macam kau yang kemaruk rindu.

Sempat lagi hati menokok alasan membenarkan ego.

Aku akui aku terdahulu cuai dalam bersahabat. Kau ajak keluar makan-makan dan melepak, aku pilih jumpa pelanggan. Kau call, aku abaikan. Ye la, personal versus kerja, memang berderet la miss call kau walaupun aku tahu karier aku lagi santai daripada kerja kau. Lepas tu langsung aku terlupa nak balas miss call. 


Ralit melayan sebal, aku dikejutkan dengan aksi bodoh pemandu Wolkswagen hitam yang tiba-tiba sahaja meluncur laju memintas dan menyelit depan aku malah serta merta memperlahankan pemanduan.

Minda yang jauh terawang-awangan merayau tidak bersedia dengan tindakan drastik sebegitu. Of course la aku gelabah. Adab di jalan raya tiada, signal tak bagi. 

Mujur dalam panik aku tak tertekan pedal minyak. Kalau tak, tak pasal-pasal ada bontot yang kena sondol hari ini. Terkejut dan marah dengan perlakuan pemandunya memaksa aku menyaingi kereta itu rapat di lorong sebelah. 

"Kurang ajar!"

Elok kena sekolahkan dek Nurhayati Tahir pemandu macam ni. Masuk kelas tutorial bab 'Siggenel'.

Aku toleh ke kiri dan turunkan cermin tingkap. Wah, berani juga pemandu tak guna itu tunjukkan wajah. Dia juga menurunkan tingkap dan membuka cermin mata hitamnya. Seorang pemuda galak menayang sengih macam kerang busuk.

"Ihsan ?" 

Hilang terus ngauman singa dalam diri aku.

Kuat pula aku ketawa bilamana mengenangkan lelaki yang bermulut manis itu. Patutlah tak nampak kereta yang aku cari, dia telah menukar kereta. Tangan Ihsan melambai-lambai di luar tingkap keretanya sebelum kami memacu ke haluan masing-masing. 


Urusan aku agak padat hari ini sehingga ke petang. Aku lepaskan kepenatan di dalam kereta Nurin. Tirai malam dibuka dengan renyai hujan sehinggalah kenderaan kami memasuki lalauan ke Selatan di lebuhraya Utara Selatan.

"Rin, kau percaya pada mimpi?" soal aku kepada Nurin sambil memejam mata.

"Dah namapun mimpi, bukannya nyata. Dunia lain yang kau alami semasa tidur. Buat apa percaya."

"Kalau mimpi itu bersambung-sambung?"

Nurin ambil masa yang panjang sebelum jawab soalan aku.

"Mungkin persoalannya bukan pada mimpi. Diri kau sendiri."

Previous: Bab 24
Next: Bab 26

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.