Home Novel Cinta TUAH
Bab 10
Bab 10 MAHA KARYA


"Gerombolan baginda Raja Melaka sedang menuju ke paseban. Seandainya tuan hamba berhajat menyertai mereka, hamba berbesar hati mengiringi tuan hamba ke sana."

Dari kata-kata lelaki itu, aku simpulkan dia kenal aku. Aku yang tak kenal dia siapa.

Aku hanya berdiam diri. Mengangguk tidak, menggelengpun tidak. Sebaliknya aku lepaskan kelegaan.

Apabila rencana manusia bertemu rencana Tuhan, ternyata apa yang Tuhan rencanakan jauh lebih baik. Ada hikmahnya kasut tumit tinggi ini melekap di kaki aku hari ini. Ia mengembalikan aku kepada pendirian asal. Berkecuali.

Menyedari diri telah lepas bebas dari menjadi Mak Turut, aku putuskan untuk buat apa sahaja yang aku suka.

Tak lain dan tak bukan, berpunduk.
Tak buat apa-apa! Hahaha

Perlahan-lahan aku berpusing, melangkah lambat-lambat ke pinggir jalan. Aku perasan di bahu jalan yang berturap batu kasar ini ada banyak kerusi kayu.

Lega sungguh dapat duduk dan meregang kaki. Dah terbiasa bersenang-lenang di persekitaran moden dengan kemudahan kenderaan. Selain beriadah, jangan harap aku sengaja nak menyusahkan diri berjalan jauh sebegini.

Aku ketuk-ketuk lutut yang kelenguhan. Jalan kampung dengan kasut tinggi bukan padanan yang baik. Malangnya, pilihan bukan milik aku. Celik sahaja mata, baju ini dah siap tersarung di badan. Kasutpun sama.

Sebentar sahaja kosong, ruang di sebelah aku telah diduduki.

Lelaki itu lagi. Tak bolehkah dia biarkan hari aku aman? Apa yang dia nak dari aku?

Hurm, lantak kaulah.

Aku buat hal aku dan biarkan lelaki itu buat hal dia sendiri. Luaran nampak seperti aku berteman tetapi hakikatnya kami berasingan.

Walaupun baru sahaja tiba, aku dapat merasakan ada keserasian di antara aku dan daerah ini. Penempatan di tengah belantara menyalurkan udara yang begitu nyaman. Sesuatu yang pelik apabila memikirkan hanya dengan menghela nafas boleh buat aku gembira. Apabila merasa hembusan angin semakin galak, aku pejamkan mata menikmati elusan bayu rimba. Memang mendamaikan kerana udara membawakan aroma hutan berbaur haruman bunga melati bersamanya. Payah nak halang senyuman dari meniti di bibir.

Alam adalah bahan terapi jiwa yang paling mudah dan murah. Hurm... di sinilah kot.

Di kota metropolitan mana nak jumpa kedamaian sebegini. Baru melepasi garis sempatan kota, terus terpaksa menghadap kenderaan yang bertali arus yang entah pukul berapa nak reda. Pagi-pagi lagi kepala dah tension. Itu belum lagi terperangkap dalam sumpahan kesesakan lalu lintas petang Jumaat. Bertambah malang jikalau hari hujan.

Tak lama aku melayan perasaan sebelum pandangan aku kembali mencecah gapura. Keindahan pintu gerbang itu benar-benar memabukkan.

"Tuan hamba mahu melihat seisi pura dari atas sana?"

Sekian lama meminggir sepi, lelaki itu bersuara. Hujung telunjuknya tinggi mengarah ke menara gapura.

Kebal hati Mas Jawa ini. Layanan dingin aku langsung tidak memberi kesan kepada dia. Manis wajahnya juga masih kekal, sikit tak luak. Pandai dia baca bahasa muka aku. Takpun aku yang tak pandai melindungi keterujaan. Dah berkali-kali impian tak siuman sebegitu singgah di kepala. Berkali-kali juga aku tolak.

Nak panjat gapura setinggi menara tele-komunikasi itu satu hal.
Nak panjat dengan kebaya pendek satu hal lagi.

Cuma aku terfikir andai idea itu diutarakan oleh orang lain, berkemungkinan halangan di mata aku sebenarnya bukan masalah.

Uhuk... uhuk...
Batuk yang disengajakan terkuat sedikit sehingga terasa pedih di tekak. Aku harap rasa bersalah dan malu keluar sekali dengan batuk itu.

Nak buat macamana.
Orang berbudi, kita berbahasa.
Orang mempelawa, kita merasa, bukan?

"Boleh ke?"
Suara aku berbaur was-was. Bukan dengan cadangan dia tetapi terhadap keyakinan diri sendiri.

"Bisa." Ayat bertokok lagi bersama kenyitan mata. "Asalkan ada hamba."

Eh!Eh! Berani betul! Tetapi... ada aku kisah? Ngeh Ngeh Ngeh

Mungkin teruja aku keterlaluan sehingga perlakuan sebegitu aku pandang sebelah mata.

Bingkas lelaki itu bangun dan berkata, "Sila ikuti hamba."

Yihaa!

Aku terus campak jambangan bunga Melati sebelum membontoti lelaki itu. Si Pemuda orangnya tinggi dan kakinya panjang. Tetapi dia sengaja memperlahankan rentak kaki agar jalan kami bergandingan.

Laluan ke gapura berteduhkan deretan pohon beringin yang besar dan rendang. Kehadiran pohon-pohon beringin ini mengingatkan aku akan nama jolokan sepasang mercu yang dah memasuki lensa mata. Gapura Wringin Lawang bermaksud pintu gerbang pohon Beringin. Melihat susun atur lanskap di bahagian luar kota, kehadiran pohon-pohon Beringin ini laksana sempadan darjat di antara autokrat dan marhaen, pasar rakyat dan istana Raja dan pembesarnya.

"Bunga tadi... tidak mengapakah andai dibuang sebegitu? Ia adalah pemberian yang istimewa, bukan?"

Kalau hal bunga yang Sultan Melaka beri kepada akupun dia tahu, itu bermakna dah lama dia perhatikan aku.

"Kalau awak nak, ambillah. Saya tak kisah."

Mendengar jawapan aku, ketawa lelaki itu meletus sehingga langkahnya terhenti. Aku terus sahaja berjalan meninggalkan lelaki itu di belakang. Di saat ini tiada suara lain yang aku dengar melainkan bunyi degupan jantung aku sendiri. Kuat paluannya di telinga.

Ritma jantung aku sekencang letusan obsesi remaja yang menyaksikan konsert artis Kpop idola mereka secara live.

Ritma jantung aku sederas keterujaan paparazzi yang membuat liputan eksklusif berita paling gempak negara.

Ritma jantung aku selaju denyut kegembiraan ahli politik yang sedang berdiri di lautan manusia yang termakan helah manipulasinya.

Sedangkan warna rambut manusiapun kini sudah tidak sama hitam, apatah hati manusia, memang lain-lain. Hal yang mencanakkan graf nadi aku adalah pemandangan di dalam pemandangan itu.

Aku berhenti betul-betul di hadapan gapura Pintu gerbang yang terbelah dua tanpa bumbung itu laksana bingkai gambar yang sempurna, merakam padanan warna alam yang begitu indah. Hijau muda padang rumput diapit hijau tua deretan pohon yang dikurung oleh bingkai batu merah. Biru langit menyempurnakan sentuhan warna alam tersebut. Maha karya!

"Subhanallah."

Tasbih terkeluar dari bibir bersama hembusan nafas. Hakikat atau mimpi, kesempurnaan kejadian sememangnya milik Tuhan selaku Pencipta segala yang baru.

"Tak mahu masuk?" soal lelaki itu setelah melihat aku masih tidak memijak anak tangga gapura.

"Ah, ya. Jom, jom."

Aku kawal ledakan emosi gembira. Hanya serpihan senyuman aku berikan kepada lelaki itu.

Dua pengawal masih menunduk hormat ketika aku tiba di kaki candi bentar itu. Langkah aku amat perlahan meniti anak tangga. Dalam masa yang sama aku larikan jemari menyentuh dinding batu merah. Walaupun hawa di luar masih panas, batu merah masih menyimpan sejuk. Dingin di tapak tangan aku meresap sehingga ke jiwa. Aku mendongak ke mercu gapura yang sayup menjulang tinggi lalu melepaskan ketawa.

Giler tinggi puncak gapura. Memang mengeletarlah kepala lutut aku nanti. Habislah kau, Hanna.

Lelaki itu menanti aku di hujung. Ada tangga yang bersandar di sisi rata dinding gapura.

Laju anak mata lelaki itu berlari ke tubuh aku dari tudung sehingga ke kasut. Keningnya sedikit berkerut sebelum bertanya, "Tuan hamba sudah bersedia?"

Pandangan aku tinggi mencecah mercu gapura sebelum jatuh ke wajah lelaki itu semula. Mata itu tidak sebening sebelumnya. Ada curiga bergenang-genang di situ.

Kalau last minute kau nak batalkan rancangan, siap kau!

Ternyata sangkaan aku salah. Lebar senyuman yang dia tayang lalu mempelawa, "Silakan."

Gerak langkah aku penuh yakin sehinggalah aku memegang batang tangga kayu. Ada sesuatu yang berpusing-pusing di benak.

Aku hadap dia semula sambil tebarkan tangan dan membuat tawaran semula, "Silalah. Saya ikut belakang awak."













Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.