Home Novel Cinta TUAH
Bab 19

BAB 19 TAK NAK PERCAYA, SUDAH.

Malam sinonim dengan kegelapan. Manakala malam yang dilimpahi kilauan sebagai jamuan mata adalah pembuka selera yang paling istimewa sebelum menikmati hidangan utama.

Malam itu bukan aku seorang yang tercangak-cangak. Orang Melaka ada juga berperi sama macam aku. Kami bagaikan jakun masuk bandar. Terpegun dengan segala sinar terang benderang yang mencecah mata. Aku perasan cahaya yang paling terang bukan datangnya dari nyalaan dian di pemegang yang indah tetapi dari objek bulat besar yang bersusun tergantung dengan rantai dari siling.

Itukah batu fosfor? Batu geliga? Hurm... besarnya. Cantik pula rekaan lingkaran pemegang batu. Dah macam chandelier.

Memang mewah sungguh tatarias istana Majapahit. Kuning sana silau sini. Emas sana, kemilau sini. Kalau aku berseorangan di dalam istana ini mau agaknya aku gigit kerawang keemasan yang menghiasi tiang seri gedempong dan dinding istana.

Periksa emas tulen ke saduran nipis. Hehehe

Bunyi dengung gong mematikan kagum aku terhadap perhiasan duniawi. Perhatian aku berkalih kepada susuk-susuk tubuh yang berjalan di tengah-tengah laluan yang sengaja dikosongkan. Serta merta ruang jamuan semerbak mewangi. Bauan yang paling kuat datangnya dari bunga Melati.

Dalam deretan manusia itu mata aku singgah lama pada satu tampang nan ayu. Gadis itu amat jelita. Bersanggul tinggi dengan ekor rambut yang terjulur berhias rantaian bunga putih kecil. Laksana bulan mengambang penuh, pesona gadis itu mencuri seluruh perhatian hadirin termasuklah aku. Biarpun langkahnya gemalai, gayanya anggun. Pembawakan diri itu selayaknya seorang Puteri.

Setelah itu pandangan aku terhenti pada Rangga yang berdiri mengawal di belakang gadis tersebut.

"Siapa yang pakai mahkota tu?"

Aku ajukan soalan pada Lekir. Gadis tersebut duduk di sisi kiri selari dengan lelaki yang memakai mahkota emas.

"Betara Majapahit," bisik Lekir.

"Sebelah kiri dia?"

"Di kiri baginda gerangannya bakal mempelai, Raden Galuh Chandra Kirana."

Jadi, Rangga adalah pengawal pengiring kepada bakal isteri Sultan Mansur Syah.

"Kiri lagi?" Mata aku tertancap pada wanita separuh abad tetapi bertubuh dara. Zahirnya sama jelita dan anggun dengan Puteri Majapahit.

"Itulah Ratu Daha."

Aku mengangguk sambil larikan pandangan ke arah Rangga semula. Dia berdiri sebaris dengan para pengawal keraton di belakang tuan istana. Aku tarik nafas dalam-dalam. Menggeleng sambil mengeluh. Simbahan cahaya menampakkan silau di lekuk-lekuk tubuh para pengawal.

"Huh... seksi dan seksa."

"Kenapa dengan tuan hamba?"

Aku tak sedarpun bila Lekir memerhati aku. Malupun ada. Terus aku sengih dan menggeleng kepala lebih laju.

"Tak ada apa-apa Lekir. Tak ada apa-apa."

Lengan aku disinggung. Aku toleh ke kanan. Iskandar tersenyum lebar. Perlahan dia berbisik sambil menepuk dada.

"Usah gundah-gulana Hanna. Andai adinda berhajatkan apa-apa kelak, katakan sahaja pada kekandamu ini."

Ahh... sudah!

Lepas jeling Iskandar yang menyibuk memasang telinga, aku tengok ke arah Rangga kembali. Malangnya yang menyambut tatapanku bukan Rangga tetapi Raden Galuh Chandra Kirana. Pancaran sinaran mata bercelak tebal itu terasa tajam menembusi jantung aku.

Hishh! Minah ni buat aku rasa seram sejuk.

Solekan wajah perempuan keraton mengingatkan aku akan patung wayang kulit dan patung-patung kayu di kedai cenderamata eksotik. Selain diselubungi misteri, serba-serbi berlebihan dan sarat. Barang kemas menghiasi setiap anggota badan. Dari cucuk sanggul, anting-anting, kalung, dokoh, gelang tangan, cincin, pontoh, pending sehingga gelang kaki. Aku yang tengokpun rasa rimas dan sesak.

Spontan aku selak tangan baju. Pandora berhias empat biji charm melurut ke bawah apabila aku rendahkan tangan kanan. Gelang inipun aku dah rasa cukup sarat. Walaupun ada sahaja suara jahat yang menyindir pilihan perhiasan diri aku sebagai rugi dan sia- sia kerana surut nilai yang keterlaluan atau hampir tiada nilai setelah menjadi aset, perdulipun aku tidak!

Heh heh! Ada aku pakai duit kau beli Pandora? Tangan aku, suka hati akulah. Bahagia aku bukan bergantung kepada mata kau!

Maka mulut-mulut jahat itu automatik tertutup setelah mendengar jawapan aku ala mulut setan gitu.

"Apa ditunggu lagi Hanna... makan," bisik Iskandar apabila melihat aku masih tidak mencekuh makanan sedangkan mereka sudah separuh kenyang. Aku, Iskandar dan Lekir makan dalam satu hidangan. Baru nak menyuap makanan, aku terpandang Mak Inang yang duduk di baris hadapan sebelah sana laluan. Biji mata diapun sama tajam dengan Puteri Majapahit. Jelingannya lama memancung aku.

Mak Inang tak puas hati dengan aku ke?

Rasanya bukan dia seorang yang tak puas hati dengan kedudukan aku di dalam majlis ini, akupun sama. Tapi aku nak kata apa apabila Tuah langsung tak beri aku peluang untuk membantah semasa dia beri arahan, "Berjalan dengan para hulubalang." Tak sempat sepatah kata keluar dari mulut, Tuah dah menonong berjalan di sisi Tun Bija Sura dan Hang Jebat. Ketiga lelaki itu sedang duduk makan di baris hadapan aku.

Musykil juga aku kenapa aku tak berada sekelompok sama jantina walaupun aku tak kisah mana.

Sebab aku tahu ada yang kisah!

Sebelum Raden Galuh Candra Kirana tenung aku, bakal suami dia awal-awal lagi dah campak pandangan yang merimaskan aku.

"Ini semua Tuah punya pasal Tuanku! Tuanku tanyala dia. Patik menurut sahaja."

Itu jawapan yang ada dalam kepala aku kalau tiba-tiba aku dipersoalkan nanti.

Cepat-cepat aku tunduk menghadap hidangan, mencapai makanan bagi mematikan jelingan tajam Mak Inang. Sambil makan budak-budak suruhan istana menuangkan air ke dalam gelas-gelas kami.
Tak memilih, aku sambar sahaja gelas yang ada dan teguk air macam biasa.

Uhuk! Uhuk!

Hambik kau! Habis menyembur air keluar dari mulut aku. DNA aku mencemari pakaian Iskandar.

Uhuk uhuk uhuk uhuk uhuk uhuk....

Habis tersedak, tak berhenti pula batuk aku sampai rasa perit hidung dan tekak. Aku letak gelas ke lantai dan jenguk isinya. Air apa yang berkelodak keruh ini?
Lidah, tekak dan hidung bergelumang rasa pelik. Masam, manis, bergas bercampur baur. Manakala bau semacamnya dah mula menjolok hidung dan tekak aku. Aku kepit kedua bibir tahan rasa nak termuntah.

Pantas Iskandar mencapai gelas lain lalu diberikan kepada aku. Sambil itu tangannya menepuk-nepuk belakang aku.

Aku tolak gelas Iskandar dan menggeleng. Akan tetapi Iskandar masih membawa gelas yang sama ke bibir aku. Perlakuannya agak memaksa. Kali ini aku cium dulu bau air sebelum membiarkan air sejuk menjirus tekak perlahan-lahan, membuang sisa rasa air berkelodak tadi.

Dengan gangguan bunyi ini, batuk tanpa henti aku secara rasminya telah berjaya mencuri perhatian hadirin sekalian mengalahkan muzik iringan jamuan. Rangga yang tidak langsung memandang aku dari awal majlis bermula, kini langsung tidak memandang ke arah lain. Jelas kebimbangan memenuhi rautnya tatkala tatapannya jatuh kepadaku.

Aku alih arah mata dari Rangga kepada gelas tadi.

"Air apa ni?"

Tekak dah rasa lega baru suara boleh keluar walaupun serak.

"Air yang ditapai dari pokok nipah."

"Air nira?"

"Ya. Air ini bagus sebagai sumber tenaga," ujar Iskandar lagi. Tangannya dah berhenti menepuk belakang aku. Walaupun tepukannya perlahan dan lembut, tapi belakang aku dah rasa sakit. Mau berbekas dan lebam tubuh aku dek tangan kekar Iskandar ini.

Gelas dengan air nira yang masih berbaki tadi aku ambil dan lalukan di bawah hidung. Bukan sahaja dahi aku keremut, habis satu muka aku renyuk.

This taste is alien to me!

Lebar mulut Iskandar ketawakan riak aku sambil menggeleng-geleng.

"Masakan ini kali pertama Hanna merasa air nira? Dari cakerawala mana agaknya asal tuan hamba ini?"

Jangan tanya Iskandar. Aku jawab kang boleh melopong mulut yang sedang ketawa tu!

Buat seketika aku perhatikan corong kendi yang mengalirkan air ke dalam gelas tetamu di tangan budak suruhan istana. Baru aku perasan akan jenis air yang mengalir ada tiga. Keruh, jernih dan pertengahan. Tak jernih sangat, tak keruh sangat.
Air yang dituang dalam gelas Tuah dan orang-orang Majapahit adalah jenis pertengahan.

Aku sendengkan tubuh ke arah Iskandar dan bertanya, "Tuah minum air apa? Kenapa tak sama macam kita?"
Mata Iskandar nampak galak bersinar semasa dia merungkai rasa ingin tahu aku.

"Air tuak."

What? Bukankah air itu memabukkan kalau diminum dalam kadar yang banyak. Malah aku lihat budak suruhan istana tak berganjak berdiri di sisi Tuah dan tak henti-henti memenuhkan gelas Tuah dengan air minuman dari kendi yang sama.

"Tsk... tsk... tsk... helah hingusan!"

Senyuman Iskandar senget semasa dia merumuskan perkara yang sedang dilihat. Manakala aku dah tak mampu nak memberi reaksi apa-apa menyedari perkara yang aku khuatirkan sedang dan akan berlaku.

Aku nampak Lekir meramas-ramas jemari. Comel wajahnya telah hilang dicemari kedutan di kedua kening. Aku tahu Iskandar dan Lekir nampak permainan keraton Majapahit dan kedua lelaki di kiri dan kanan aku membuat kesimpulan yang berbeza. Berada di tengah mereka menambahkan lagi dilema aku. Hati mengusul tanya.

Kau percaya siapa Hanna?

Iskandar yang yakin dengan bakal tindakan Tuah atau Lekir yang bimbangkan kesan tindakan Tuah?

Dilema aku pula di antara percayakan Tuah, tunggu dan lihat dahulu reaksi lelaki itu atau buang kebimbangan aku dengan mengelakkan perkara yang belum berlaku melalui... havoc!

Rasanya aku dah tahu reaksi Iskandar atau Lekir yang mempengaruhi aku kerana aku tak mampu menghalang akal yang sedang merancang untuk mencetuskan huru hara!

Kau layan rencana mereka, Tuah.
Kau tak percayakan aku, ye.
Oleh kerana kau pilih tak percayakan aku, akupun pilih untuk tidak percayakan kau!

Previous: Bab 18
Next: Bab 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.