Home Novel Cinta Salju Cinta Anna
Salju Cinta Anna
Aida Adriani
12/6/2015 21:33:44
18,005
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
BAB 1

“HUD! Hud!”

Hud pantas menoleh sebaik saja mendengar panggilan itu. Kedengarannya seperti ada kecemasan saja. Di belakang, Wahida sedang berlari-lari anak mendapatkannya. Tentu ada sesuatu yang penting hendak disampaikan gadis berkulit hitam manis itu, jika tidak Wahida tidak akan terburu-buru begitu.

“Kau dapat tak mesej aku? Kenapa tak balas?” Wahida terus mengasak.

Sejak malam tadi dia menunggu Hud membalas mesej yang dihantar melalui aplikasi WhatsApp, namun tiada balasan. Malah tidak dibacakan pun!

Hud berkerut kening. “Mesej apa?”

Terus saja dia menyeluk saku seluar lalu mengeluarkan telefonnya. Terdapat tiga mesej WhatsApp daripada Wahida yang belum dibaca. Sejak kebelakangan ini dia sudah malas hendak membaca mesej-mesej di aplikasi itu.

“Huh, kau ni memang! Telefon dah ada kat tangan pun bukan main susah nak baca mesej orang. Nak balas memang jangan haraplah!” marah Wahida. Geram benar dengan sikap Hud yang jarang sangat hendak memberi respon di WhatsApp.

“Lain kali kalau ada hal penting, telefonlah! Aku bukannya nak check benda alah ni 24 jam. Tak macam kau, dua saat sekali belek telefon!”

Wahida mencebik. Memang dia tahu, Hud bukannya jenis yang ‘melekat’ dengan telefon. Kalau nak beritahu apa-apa, telefon. Tapi takkanlah malam-malam buta dia nak telefon Hud, nanti apa pulak kata lelaki itu? Dia pun tahu Hud bukan seperti kebanyakan lelaki lain yang bebas bergaul dan berbuat apa saja. Walaupun Hud sangat rapat dengannya, boleh bergurau dan bergaduh, namun ada beberapa perkara yang terbatas antara mereka.

“Hah, ada apa kau nak jumpa aku pagi-pagi ni?” soal Hud setelah membaca mesej yang dihantar Wahida malam tadi.

“Ada sesuatu aku nak cerita, tapi bukan kat sini. Mungkin elok kalau kita cerita kat bilik rehat kau. Taufiq ada tak?”

“Boleh juga. Hari ni Taufiq datang lambat, mungkin petang baru dia ada. Malam tadi pukul dia balik lambat, itu yang lewat sikit hari ni.”

“Kalau begitu, kita ke sana sekarang.” Wahida pula yang mengarah, seolah-olah bilik itu dia yang punya.

Tanpa berkata sepatah pun Hud terus melangkah ke bilik yang terletak di hadapan makmal tempat dia menjalankan penyelidikannya itu. Wahida di belakang terus saja mengekori. Bilik itu disediakan untuk pelajar-pelajar pasca siswazah dan dia berkongsi bilik dengan Taufiq, pelajar dari Indonesia.

“Masuklah, Wahida,” pelawa Hud sebaik saja pintu dibuka dan lampu dinyalakan. Dia meletakkan beg sandangnya di kerusi.

“Tak apalah, aku kat sini aje pun dah okey.” Wahida sekadar berdiri di muka pintu. Segan pula hendak masuk, maklumlah hanya mereka berdua sahaja. Meskipun berada jauh di perantauan, adab-adab pergaulan masih tetap dijaga.

“Apa ceritanya?” soal Hud.

“Maaf, bilik berselerak sikit. Orang bujang,” sambungnya.

“Bukan orang bujang, tapi orang buat PhD,” sela Wahida sambil memerhati Hud yang sibuk menyusun kertas-kertas yang berselerak di atas meja. Lelaki itu seperti tidak berminat dengan apa yang ingin disampaikan.

‘Mungkin dia dah tau?’ desis hati Wahida.

“Kau dah dapat ni?” tanya Wahida sambil menghulurkan sekeping sampul berwarna keemasan kepada Hud.

Hud menoleh. Sampul itu menarik perhatiannya. Dia tahu, di dalam sampul itu pastinya kad undangan perkahwinan.

“Kau nak kahwin?” soal Hud sambil tersenyum.

Baguslah kalau Wahida sudah bertemu jodoh. Usia mereka pun sedang-sedang elok untuk berumah tangga. Mungkin majlis itu akan diadakan pada cuti musim panas nanti, fikirnya.

Pertanyaan Hud itu meyakinkan Wahida bahawa Hud tidak terima kad itu. Ketika dia menghulurkan sampul itu dadanya berdebar-debar. Dia tidak dapat bayangkan reaksi lelaki itu selepas mengetahui siapakah empunya undangan perkahwinan itu.

“Kau tengoklah sendiri.”

Hud membuka sampul warna keemasan itu lalu menarik kad di dalamnya. Lama dia menatap nama yang tercatat dengan tulisan warna keemasan pada penjuru kiri atas dan penjuru kanan kad itu. Jantungnya bagai tidak mahu teruskan denyutannya.

Dahinya berkerut, seperti tidak percaya dengan apa yang dilihat. Terkejut.

Previous: Prolog
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Aida Adriani