Home Alternatif Alternatif Karton
Karton
Astrid K.
23/9/2018 10:43:03
26,392
Kategori: Alternatif
Genre: Alternatif
Bab 2

Kopi dan Filem Berdurasi 10 Saat. 



Malam tahun baru.

  Sebelumnya saya putuskan untuk berhenti, dekat pantai Ranca Kougar. Saya sedang menunggu mesej dari seseorang di telefon bimbit saya. Kereta saya berhentikan, dan saya berjalan ke gigi air laut. Tak ada satu orang pun yang saya nampak dekat situ, cuma saya. Saya rasa, orang lain tengah sibuk berpesta dan antusias menunggu pukul 12 tengah malam tiba, dengan arak dan topi parti.

  Air laut sedang surut, jadi bunyi ombak tak berapa kedengaran. Pasal itu jugalah saya dengar jelas seperti ada orang melangkah. Belum pun saya menoleh, saya dapat rasa orang yang saya hantar mesej kepadanya sebentar tadi sudah ada di belakang saya. Serta merta saya rasa gugup. Sialan betul.

  "Suzana." Satu suara memanggil nama penuh saya, sangat riang. Sekarang baru saya menoleh, saya boleh bau parfum maskulin yang dia pakai. Menyengat hidung saya dengan lembut.

Genta.

  Kami kini berhadapan, agak dekat, hujung kasut dia dapat sentuh dengan ibu jari saya. 

  "Sebenarnya ada apa?" Tanyanya. Wajah dia saya nampak juga walau sedikit samar. Pantas, saya berterima kasih pada lampu dari warung- warung makan dan cahaya bulan. Sekurangnya saya boleh tahu apa ekspresi dia bila saya beritahu rancangan saya kejap lagi.

  "Saya nak pergi." Balas saya.

  "Pergi? Ke... ke mana?" Serta merta dia nampak sangat bimbang. Dahinya berkerut.

  "Somewhere, which, I'm not sure yet," Saya menjeda dekat situ sekejap. "..dan saya tak akan kembali ke sini lagi." Sambung saya.

  Hembusan nafas dia seterusnya kedengaran berat. Saya bahkan dapat rasa deruan karbon dioksida yang dia tuju sampai ke tulang selangka saya. 

  "Just...stay. Please." Kedua lengan dia naik merengkuh tubuh saya dan jemarinya mengusap rambut di belakang kepala saya. Saya diam. Tangan saya masih lurus di tepi paha. Debaran tu saya rasa, tapi hanya atas nama refleks. Walaupun kata-kata dia tadi macam dipetik dari filem melodrama murah.

   "Saya tak boleh." Kali ini saya leraikan pelukan dia. Sedikit kasar. Saya tahu ini nampak sinis dan kejam. Dia terkulat-kulat dengan kelakuan saya. Mungkin sebelum-sebelum ni saya tak pernah menolak untuk membalas pelukan dia. Tapi kali ini, malam ini saya semacam bena tak bena. Atau, taubat lebih tepatnya.

  "Aku akan ikut kau," Kata dia dengan mata bercahaya. Hah. Dia mula cakap hal merepek. Tak mungkin. Saya tak pernah merancang membawa sesiapa pun. 

  "Tak boleh." Jawab saya, sedikit meninggi suara. Saya tak akan ungkapkan satu pun kata-kata yang memuakkan. Perasaan bodoh ni akan saya hapuskan lepas ini. Saya menyerah, walau saya tahu saya sangat kasihkan lelaki ni.

  "Selamat tinggal." Jadi saya berbalik, dan kembali ke kereta. Saya hidupkan enjin dan tergocoh-gocoh memandu ke jalan besar. Saya rasa lega, tapi pada masa yang sama saya juga rasa nak menangis teresak- esak.


                                                 *-----------*


   "Bagi saya dua cawan kopi panas. Tanpa gula." Pesan saya pada perempuan pelayan warung yang baru saja hendak membuka apronnya di pintu dapur. Sudah pagi buta, pukul 3 pagi, dan saya mungkin pelanggan terakhir di situ (selepas klimaks perayaan tahun baru habis). Saya tak tahu sama ada dia nampak kaget sebab saya datang terlampau lambat atau dia baru pertama kali melihat muka perempuan umur 30 an menangis.

   Saya langsung nyalakan batang rokok kedua untuk malam ini, dan saya kesat dua pipi saya kasar- kasar. Saya gosok tapak tangan saya tadi pada depan baju blaus saya. Basah dan melekit. Baru sekarang saya merasa jijik dan lemah untuk air mata yang saya tangiskan beberapa minit yang lalu. Sebuah tangisan untuk seorang lelaki. 

  Dua cawan kopi panas tanpa gula pun sampai di atas meja saya. Berasap, dan berbau wangi. Saya angkat satu cawan, saya tiup dan hirup. Betul saya minum kopi macam orang baru putus cinta minum bir. Sekejap saja saya dapat habiskan cawan yang kedua. Semangat kopi, atau apa pun itu, yang penting saya rasa lebih baik dari beberapa minit yang lalu.

   Minda saya kemudiannya kembali menerawang ke Genta. Apa dia juga tengah menangis dalam tab mandi tanpa baju? Mungkin dengan sebotol penuh arak mahal dan lagu sedih diputar guna piring muzik? Ya. Baru sebentar tadi saya putuskan dia tanpa kata rasmi 'kita putus' dari mulut saya, dan dia sebagai lelaki semasa yang bijak, dengan sendirinya dapat faham. 

   Kau pernah dengar atau tidak, bila sesuatu kejadian tu dah berakhir, minit- minit awal sesudahnya, setelah kau kembali sober, kenangan- kenangan tentang kalian (antara kau atau sesiapa pun yang berkenaan) akan bermain dalam kepala otak kau macam wayang gambar berdurasi sepuluh saat. Saya melihat itu dari dalam benak saya sekarang. Bermula dengan secawan kopi panas, lelaki tampan bernama Genta, ciuman bibir kami yang pertama, dan ketika kami berkongsi ranjang untuk satu malam.

   "Err.. kami dah nak tutup kedai. Tak perlu bayar, kopi tu percuma, sempena tahun baru," 

   Saya menoleh ke belakang. Dia dan beberapa orang lagi pelayan warung dah siap menutup pintu dapur dan tak berapron lagi. Kerusi- kerusi plastik sudah disusun menonggeng di atas meja. Kipas siling yang sudah tak berpusing dan bunyi nyanyian cengkerik yang makin kuat. Jadi saya bangun dan meninggalkan warung itu dengan janggal. Betul lah saya sebenarnya baru saja kena halau, tapi entah kenapa saya rasa tak terhina langsung.

   Lalu saya kembali ke kereta dan meringkuk di tempat duduk pemandu, dan diam dekat situ. Saya pandang kotak karton yang masih ada di ruang belakang dengan tak pasti. Saya telan air liur yang tiba- tiba terasa macam biji guli. Kotak karton tu macam berkata pada saya, hei bahlul, hantarkan aku ke tempat yang sepatutnya aku berada.

   Baiklah. Saya kena tekad. Tekad meninggalkan kota ni, dengan memori- memori hambar yang ada bersamanya. Saya mahu lahir baru. Bisik saya, bahkan di bibir, bukan di hati.

  Sedar, kata- kata saya tu terasa membawa tanda- tanda kesedihan, tapi kali ni, saya tak rasa nak menangis pun. Enjin kereta saya hidupkan, dan pandu ia meluncur atas jalan tar di subuh tahun baru yang sangat sunyi dan berkabus tipis.


*-------*


  Enam jam, saya memandu tanpa henti. Saya meninggalkan pantai Ranca Kougar sekitar pukul 3 pagi. Sekarang pukul hampir pukul 10 pagi. Kereta saya berhentikan dekat depan pagar rumah lama saya. 

  Serta- merta saya tak sedap hati, dan berdebar- debar. Mengambil keputusan untuk kembali berada dekat tempat, di mana berkumpulnya lingkungan memori masa lalu yang kurang enak, bukan senang seperti makan kacang. Malahan, kaki saya merasa berat sekali untuk keluar dari kereta. Sepuluh minit masa saya habis cuma meramas- ramas jari dan menggigit bibir macam budak muda yang ketakutan.

  Fuck it! Saya menyumpah dengan gerila, lepas itu saya keluar dari kereta. Masa saya melangkah ke arah balkoni, betul saya seakan- rasa macam tengah melintasi satu portal masa. Mungkin ini kedengaran terlampau melankolik, tapi buat apa juga saya berbohong. Saat itu juga saya perasan, ada seseorang sedang duduk di situ, di atas kerusi malas merenung saya dengan pandangan aneh. 

  Teragak- agak, tapi saya mendekat juga ke arah dia. Seorang lelaki tua dengan cerut yang tak bernyala pun di bibir. Dia kelihatan macam seseorang yang saya selalu nampak.

  "Cari siapa ya?" Tanyanya. Jujur, pada mulanya saya tak tahu nak jawab apa. Saya menggeleng. 

  "Saya tak mencari siapa- siapa. " 

  "Apa kau nak sewa rumah ni?" Celah lelaki tua itu. Saya menggelengkan kepala. Lagi sekali.

  "Ini rumah saya. Takkan saya nak menyewa rumah yang memang hak milik saya sendiri." Memang betul, seingat saya rumah itu dibina oleh datuk saya 20 tahun yang lalu. Lelaki tua depan saya tu membelahakkan sedikit ketawa.

"Lebih kurang 2 tahun lepas, seorang lelaki datang pada saya, katanya nak menjual rumah kecilnya yang terletak tepi cerun tanjung yang terperosok ni. Dia terdesak mahukan duit. Dia nampak macam baru kalah judi, pakaiannya kusut masai, dan berbau hapak arak." Dia berhenti dekat situ. Baru saja saya nak mencelah, dia bersuara lagi,

  "Masa tu aku fikir rumah ni bagus juga. Aku ingat akan ada orang yang nak tinggal dekat sini, kalau aku sewakan. Tapi setiap orang yang datang, mesti akan batalkan niat untuk menyewanya. Entah- entah betul rumah ni ada sumpahan."

  Shit. Saya harap tekaan saya tak betul. Susah saya nak percaya Pak cik Anthony dah jual rumah ni. Tanpa memberitahu sesiapa pun. Nak harap apa. Kami memang tak rapat, lagi- lagi lepas isterinya,Mak cik Julita meninggal dunia.

  "Kalau gitu, saya nak sewa rumah ini untuk beberapa minggu," Saya tak percaya apa yang saya dengar dari mulut saya sendiri. Saya kan datang ke sini cuma untuk mengembalikan kotak karton tu.

  "Baiklah." Balas lelaki tua tu. Mana mungkin dia nak menolak. Muka dia tu nampak terdesak.

  "Berapa?" Saya menelan air liur. 

  "200 dolar untuk deposit," Kata lelaki tua tu. Saya mengangguk. Tak mungkin saya ada pilihan lain. Muka lelaki tua tu nampak cerah betul bila saya hulurkan pada dia dua helai kertas bernot 100 dolar.

  "Kalau ada apa- apa benda pelik yang terjadi, buat tak tahu. saja. Aku tak suka kalau ada orang ketuk rumah aku malam- malam buta," Gumam lelaki tua tu sebelum dia hilang. Saya mendengarnya acuh tak acuh. Mata saya lebih tertumpu ke bunyi berisik yang tiba-tiba datang dari semak tepi beranda rumah. Seekor anak anjing berbulu serabut dan kotor merenung saya dengan cuma satu mata saja terbuka.

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Astrid K.