Home Alternatif Alternatif Karton
Karton
Astrid K.
23/9/2018 10:43:03
26,358
Kategori: Alternatif
Genre: Alternatif
Bab 5

Antisipasi di Rumah Pokok




Sudah setengah jam saya baring mengiring di atas lantai memerhatikan semut- semut hitam di sisi dinding. Dari situ mereka sedang bergerak dalam barisan menuju ke arah satu retakan dinding di atas siling yang memboboskan satu lubang yang sangat kecil. Seekor semut tiba- tiba datang entah dari mana- mana dan menghampiri tempat saya berbaring. Saya cuba mengekorinya dengan hujung jari telunjuk saya tapi semut tu terlampau pantas, cepat saja dia hilang entah ke mana. Saya harap dia tak sesat macam saya dan menemui sarang tempat tinggalnya semula. 

Kelakar. 

Saya tetap sesat walaupun realitinya, saya memang dah kembali ke rumah saya sendiri. Dua, tiga hari ini saya rasa seperti sudah hilang kewarasan. Pada waktu malam, saya kerap berkhayal tentang sesuatu tempat yang tak pernah wujud, kemudian merindukannya di siang hari bila saya bangun dari tidur. Rumah ini, bukan tempat yang saya ingin tuju untuk pulang. Rumah ini, adalah tempat untuk kotak karton itu- dan memori yang ada di dalamnya.

"Hmph.." 

Saya tergelak dalam desahan nafas. Apa yang saya fikirkan? Saya memang nak pergi dari sini lepas tinggalkan kotak karton tu, tapi saya dapat rasakan ada sesuatu yang memegang tangan saya untuk tetap tinggal, dan saya tak tahu apa itu. Demi tuhan saya tak tahu.

Mata saya kembali ke dinding. Deretan semut- semut tu menjadi semakin pendek. Oh, pasti mereka sudah selamat sampai ke sarang di celah retakan tu. Perlahan, saya bangun dari pembaringan dan mendapatkan tangga di dapur. Sebelum kembali ke tempat saya baring tadi, saya capai lagi satu benda.

Tin semburan racun serangga.

Kekuda tangga saya buka dan saya memanjat dengan berhati- hati. Sebelah tangan saya tegap memegang tin. Muncung tirus tin tu saya halakan tepat menembusi celah retakan. Ada sesuatu......

Saya mengalihkan mata ke arah pintu rumah. Lambat- lambat saya menuruni tangga lalu mendapatkan tombol pintu. Daun pintu saya buka dan saya menemukan lelaki sama yang minum kopi dengan saya dekat warung beberapa minggu lalu.

"Kau sibuk?" Tanyanya.

"Tidak." Saya ingin tersenyum tapi saya tahan. Saya nampak anak anjing buta tu keluar dari semak lalu menjilat badannya.

"Mahu ikut aku ke satu tempat?" Tanya dia lagi.

Saya toleh ke dalam rumah, ke tempat saya melihat semut- semut tu, kemudian kembali ke wajah lelaki itu.

Lalu saya menganggukkan kepala.


*-------*


"Ini tempat aku bekerja," Kata lelaki tu, atau dia lebih maksudkan studio. Saya baru perasan dia nampak sedikit berbeza berbanding tiga minggu kelmarin, sebab wajahnya kali ini ditumbuhi bulu. Banyak sekali.

Tempat tu, adalah sebuah rumah pokok, dan penuh dengan lukisan- lukisan yang saya tak faham maksudnya apa. Saya mendekat ke satu tingkap gergasi, maksud saya satu- satunya tingkap yang ada dekat rumah pokok tu. Tingkap tu menghadap pesisiran pantai Tanjung Rambai. Satu jaluran kecil warna kelabu suram dan merah di atasnya menarik fokus mata saya. Itu- rupanya saya boleh nampak rumah saya dari sini.

Lelaki itu menghulurkan sesuatu kepada saya. 

"Sebenarnya aku tertumpahkan kopi ke atas kertas- kertas sajak kau tu. Tapi, nasib baik tak terlampau teruk. Anggap saja ni macam cara aku untuk tebus kecuaian aku."

Helaian- helaian sajak saya sudah diskrapkan menjadi satu dengan benang kapas seperti warna jerami. Betul saya tak tahu apa yang saya rasa tentang ini. Lalu, saya mendekat ke satu lukisan yang terletak paling dekat dengan saya.

"Jadi kamu dah habis membacanya?"

Lukisan tu beralun macam ombak tapi nampak seperti ombak yang lemah dan malas. Warna biru firus, hijau lumut, putih berlian.

"Sudah," Balasnya.

Saya menunggu kalau-kalau dia nak menyambung kata- katanya lagi, untuk bercakap pasal apa yang dia fikir tentang sajak- sajak tu.

"Jadi, menurut kamu macam mana?" Sambil- sambil berantisipasi, mata saya menangkap satu inisial di hujung sudut bawah kanvas lukisan itu. Huruf J. "Tak penting, apa yang saya fikir pasal tulisan kau-"

Saya bergerak perlahan-lahan ke arah kanvas seterusnya. Matahari jingga yang sedang tenggelam. Langitnya kelabu gading. Huruf J lagi.

"Maksudnya?" Tanya saya. sesantai mungkin. Lukisan ketiga- abstrak, seperti corak kaleidoskop yang membingungkan mata. Saya menoleh ke arah dia. Melihat tenggorokannya yang seperti mahu bergerak lagi.

"Maksudnya-" Dia bergerak lalu duduk di bangku yang berhadapan sebuah kanvas yang masih putih kosong.

"Kalau betul menulis sajak tu dah jadi sebahagian dari nyawa kau, jadi menulislah seperti seorang psikotik. Jangan peduli apa yang orang nak katakan," Tangannya mencelup beberapa berus ke dalam sebaldi air yang nampak keruh. Baldi besi tu berkarat.

"Sekiranya ada yang menganggap tulisan kau, ataupun mungkin lukisan- lukisan aku ni layaknya terlampau gila atau macam sampah-" Berus- berusnya dikeluarkan dari dalam baldi. Air keruh menitik- nitik atas lantai. 

"Mereka semua tu cuma tak pernah sedar putaran dunia ni sendiri tak masuk akal. Jadi kenapa sesuatu yang gila dan macam sampah tu wajar untuk direjeksi?" Dia berkata itu sambil berusnya dah mulai bergerak di atas kanvas putih dengan warna hitam legam. Saya di situ, memegang kepilan sajak saya dengan lebih erat. Mendadak, saya seperti mendapat sepasang sayap baru. Saya merasa dikasi harapan, dikasi kelegaan. Sedangkan dia bukan pun memuji tulisan saya, atau sekurangnya terlihat terkesan membacanya. 

Saya melirik kembali ke hujung sudut kanvas di sisi saya. Kemudian kembali ke arah dia.

"J itu untuk apa ya?"

Lelaki itu meletak berusnya kembali ke dalam baldi berkarat di bawah punggungnya lalu merenung saya. 

"Jamal."


Previous: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Astrid K.