Bab 2

       Teko putih dengan corak bunga matahari kecil yang bertaburan di sisi kanan dan kiri diletakkan di atas meja. Seketika, mataku menangkap susuk tubuh abang yang menuruni anak-anak tangga. Aku melemparkan senyuman sebaik sahaja dia tiba di ruang makan. Nampak bergaya sekali bila abang mengenakan kemeja putih dengan seluar slack coklat muda. Ditambah dengan tali leher plain kuning cair.


       "Morning!" Ucap abang seperti kebiasaan.


       "Morning!" Aku membalas. Abang menarik kerusi yang disorotkan di bawah meja dan melabuhkan punggung.


       "Hmm... Bihun goreng," tutur abang, berbasa-basi.


       "Yes, exactly! But, I'm not quite sure whether it's good enough to be tasted," nyataku sambil menjongket bahu. Aku menarik kerusi dan duduk berhadapan dengan abang. Aku menggengam telinga teko untuk menuangkan teh panas ke dalam cawan. Kemudian, aku menghulurkan cawan tersebut setelah diletakkan di atas piring kepada abang. Abang menyambut dan meletakkan di sebelah kanan pinggan.


       "It's okay. Kalau tak sedap pun abang telan jugak." Abang mengenyitkan mata dan aku membalas dengan sengihan.


       "Well, kalau Ery tak trauma dengan api rasanya Ery dah jadi chef yang profesional sekarang ni. Sebaris dengan chef-chef sepuluh bintang kat hotel abang tu."


       Tiba-tiba peristiwa lampau menjamah kembali kotak memoriku. Papa dan mama aku meninggal dunia dalam kebakaran enam tahun yang lepas. Kebakaran yang sehingga hari ini aku tidak pasti berpunca daripada apa.


       Masih segar dalam ingatanku saat aku meraung meminta para bomba menyelamatkan mama dan papa di hadapan banglo mewah kami yang marak dijulang api. Namun, segalanya telah terlambat. Mama dan papa telah pergi buat selamanya. Yang paling menyayat hati adalah apabila melihat mayat kedua-dua mereka yang rentung berpelukan. Andai aku tiba lebih awal pasti aku dapat menyelamatkan mereka.


       Sejak insiden hitam itu, aku jadi trauma dengan api, mancis, rokok, bunga api dan semua yang berkait dengan api termasuklah dapur gas.


       "Dengar tak?"


       "Huh, apa?" Soalku, terpinga-pinga.


       Abang berhenti menyuap bihun goreng ke dalam mulut. Sudu dan garfu diletakkan ke bawah dan menghalakan sepenuh pandangannya kepada aku.


       "Abang cakap, Ery tak perlu buat semua ni untuk abang. Kalau Ery takut, Ery tak perlu paksa diri. Bukan abang tak suka. Tapi, abang tak nak Ery paksa diri."


       "Hmm... If I don't push myself, when can I overcome this feeling? Lagipun, Ery memang nak sangat pandai masak. Sebab mama pernah cakap yang dia rasa gembira kalau Ery pandai masak. Dia nak rasa masakan Ery..."


       "Stop it! I don't want you to hurt because of the past!" Tutur abang, mencantas kata-kataku dalam nada yang agak tinggi tiba-tiba.


       Aku terdiam. Abang selalu begini bila aku berbicara tentang mama dan papa. Tentang banglo kami yang hangus dijilat api. Tentang peristiwa enam tahun yang lepas. Aku pun tidak tahu mengapa abang kelihatan begitu marah sekali bila aku mengutarakan soal ini.


      Aku menarik nafas panjang. Emosiku yang sejak tadi agak baik kini melayang pergi. Aku juga turut terpalit rasa marah yang kini menjengah abang.


      "Kenapa setiap kali Ery cuba cakap pasal mama dan papa, abang nak melenting? Kalau betul abang marah, kenapa abang tak pernah berusaha untuk siasat punca kebakaran tu? Kenapa abang tak tegakkan keadilan atas kematian mama dan papa? Ery tak rasa kebakaran tu kemalangan semata-mata. Kenapa?" Soalku bertubi-tubi, dalam nada yang separuh menjerit.


      Abang tidak membalas kata-kataku. Sebaliknya, aku lihat dia meraup wajahnya dan cuba untuk bertenang. "Dahlah. Abang tak nak gaduh dengan Ery," ujarnya dalam nada yang mula mengendur.


      "Tak! Ery tak nak sabar lagi. Dah lama Ery tanya tapi abang tak pernah beritahu sebabnya. Ery kecewa sangat-sangat bila abang sengaja tak nak tegakkan keadilan untuk mama dan papa. Kita sama-sama tahu yang kejadian tu memang dirancang. Banyak bukti yang menunjukkan kejadian tu dirancang. Tapi, abang sanggup butakan mata walaupun bukti tu jelas. Abang ingat Ery tak tahu yang abang cuba untuk hapuskan bukti-bukti tu?" Aku menghamburkan kemarahan yang sudah lama terpendam melalui kata-kata.


      "Ery, please! Abang tak nak gaduh dengan Ery." Abang memandangku tajam seperti memberi amaran. Namun, aku tidak rasa tergugat sedikitpun dengan pandangan itu. Sebaliknya, aku rasa tercabar.


      "Tolong beritahu Ery kenapa abang cuba hapuskan bukti-bukti tu?" Aku mengutarakan soalan yang paling aku ingin tahu.


      Soalanku hanya dibiarkan sepi dan abang kelihatan seperti tidak ada rasa mahu menjawab pertanyaan itu. Dengan bersahaja dia menyambung kembali menyuap bihun goreng yang terhidang. Hingga suapan ketiga pun, abang masih lagi tidak berkutik dengan pertanyaanku.


      Aku menggigit bibir bawah. Aku geram yang amat. Walaupun sudah 24 tahun mengenali abang, tetapi aku rasa hari ini aku belum cukup mengenali insan di hadapanku kini.


      "Jangan beritahu Ery yang abang sebenarnya tak sayangkan mama dan papa," nyataku. Aku tahu itu bukan alasannya tetapi kata-kata itu begitu lancang sekali meluncur keluar dari bibirku.


      Abang melemparkan garfu yang dipegang tangan kirinya ke arah cermin hiasan melintang berukuran (3 x 6) inchi yang tergantung pada dinding ruang makan. Mujur cermin itu tidak pecah berkecai. Hanya retak sedikit pada kawasan yang disasar amarah membuak.


      Kot coklat muda yang disidai pada kerusi di kiri abang dan briefcase dicapai. Abang bangun daripada duduk dan menghayunkan kedua-dua belah kakinya, meninggalkan aku bersama soalan-soalanku.


       Aku mendengus kasar setelah sepuluh saat pemergian abang. Aku seperti tidak percaya abang bertindak meninggalkan aku.


       Bihun goreng yang aku hidang untuk diri sendiri sejak tadi aku amati. Agaknya bihun itu telahpun sejuk. Aku mencapai sudu, menceduk bihun tersebut dan menyuap ke mulutku. Hanya satu kunyahan dan aku pantas mengeluarkan kembali bihun tersebut. Ngeh! Tak sedap langsung! Pahit dan masin semacam! Terbatuk-batuk aku dengan rasa itu.Macam mana abang boleh bersahaja menelan bihun ini tadi?



Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh