Bab 14

Humaira menelan air liur. Anak matanya mengekori Firhan. Dia bimbang kerana tangannya mula berpeluh sejuk. Dia memeluk tubuh dan cuba untuk bertenang kerana dia tidak mahu Firhan perasan akan apa yang dia rasa.


" Lunch jom. Penat je I masak untuk you. Bukan senang I nak masak untuk orang lebih - lebih dengan perempuan. You should appreciate my food. Meh." Ajak Firhan seraya dia menghidang Bubur Hainan pada Humaira. Dibibirnya terlakar satu senyuman.


" Ah... Ya!" Jawab Humaira. Mahu menolak segan. Takut berkecil hati pula hati teruna itu. Mahu tidak mahu, dia paksakan saja hatinya.

Lambat - lambat Humaira bangun dari kerusi dan menuju ke kaunter dapur. Anak rambut yang jatuh menutupi sebahagian mukanya disisip ke belakang telinga.


Wajahnya naik memandang wajah tampan Firhan kemudian dialihkan bola matanya pada semangkuk bubur Hainan yang sudah tersedia lengkap dengan hidangan tambahan. Bau lobak jeruk, ikan bilis goreng, daun bawang, dan telur masin membuka selera Humaira. Tapi...


" Pasal kunci bilik tu, biar I suruh Adrian ambilkan kat pejabat you." Kata Firhan sambil dia ambil periuk bekas bubur ke singki.


Dengan badan Firhan yang membelakangkan Humaira, Humaira segera memeriksa bubur yang dihidang Firhan dengan menghidunya beberapa kali dan merasa bubur itu dengan hujung lidahnya. Hmm, tak rasa pelik. Tak mungkin dia nak racun aku kan?


Sebaik saja badan Firhan dikalihkan ke arahnya, Humaira segera menyuap bubur yang bersisa di sudu ke dalam mulutnya. Eh sedap pulak! Habiskan je la Maira, dah alang - alang makan.


" I nak you rehat, Maira. That's all." Ujar Firhan sebelum segelas air milo diletakkan bersebelahan mangkuk bubur. Bibirnya tak lekang dek senyum.

Humaira turut mengoyak senyum, bukan sebab dia tak perlu turun ke pejabat tapi sebab bubur Firhan memang sedap.


" Eh tak apa. Saya boleh turun sendiri. Saya tak suka menyusahkan orang."


Dia amat pasti, kunci dia masih di dalam kot lab. Dia tidak ada keluarkan kunci itu dari poket dan dia tidak mengingati apa - apa peristiwa yang berkaitan dia meletakkan kunci itu dimana - mana selain di dalam poket kot lab. Kali terakhir memang betul kunci itu di dalam poket kot lab. Macam mana boleh ghaib macam tu je?


Firhan memeluk tubuhnya seraya berkata, " I tak suka ulang banyak kali. You tak sihat, rehat aje lah! Apa yang susah sangat dengan permintaan I tu?" Suaranya meninggi. Humaira tergamam. Tidak pernah Firhan meninggi suara padanya.


Melihat perubahan air muka Humaira, Firhan sedar dia buat silap. Dia secara tidak sengaja, mempertayangkan dirinya yang sebenar. Antara diam yang sekejap dia mengeluh kecil cuba memadamkan api amarah yang sedang mula marak di dalam dadanya.


Diam - diam dia mengepal tangannya sehinggakan hujung kukunya membenam ke kulit telapak tangannya.


" Sorry. Buat masa ni, you guna dulu bilik I. Nanti bila I dah dapat kunci, I'll let you know." Kata Firhan sebelum dia hilang ke bilik bacaan yang terletak bersebelahan dapur terbuka itu.


Pintu bilik bacaan terhempas kuat. Humaira yang berada di kerusi, tergamam sekali lagi.


" Kau nak marah aku, kau siapa? Boyfriend aku? Suami aku? Bapak aku? Eh, bapak aku pun tak jerit macam tu— Geram pulak!" Bebel Humaira sendirian. Bola matanya dipandang ke pintu bilik bacaan yang tertutup rapat dengan dahi berkerut seribu.


" Kunci... Mana aku letak kunci tu eh?" Dia berkira - kira sendirian. Kepalanya ditoleh kiri dan kanan seperti menunggu perkara ajaib akan berlaku. Kunci yang dicari tiba - tiba datang memunculkan diri.


Dia bangun mengambil kot lab yang disangkutkan pada kepala kerusi. Tangannya tangkas membelek - belek poket yang ada. Kosong. Tidak berpuas hati, dia mengocak kot itu takut - takut terdengar bunyi dentingan kunci. Tapi masih juga kosong. Humaira mengeluh kemudian dia duduk semula di kerusi bar.


" Kunci aku tak ada dalam lab kot? Biar betul! Semalam memang aku letak dalam poket kot..." Dia garu kepala bingung lalu dia bangun dari kerusi dan memulakan misi untuk mencari kuncinya yang hilang.


Bawah kaunter, bawa meja makan, belakang pasu bunga, bahagian loker, laci, tapi kosong. Tiada kunci yang dia jumpa. Humaira mula cuak. Macam mana kalau Adrian tak jumpa pun kunci tu? Mesti dia orang akan tahu aku menipu.Dan kalau betul perkara itu berlaku... Habislah aku. Tak boleh jadi ni. Kena buat sesuatu.


Tidak berapa lama berdiri, dia memikirkan sesuatu.


" Firhan, I naik atas dulu ya? Penatlah... I nak tidur." Ujar Humaira pada Firhan yang sedang berbaring membaca sebuah buku di kerusi~malas.


" Okay, tidur tau. Nanti petang I kejutkan you." Senyum Firhan memberi izin pada Humaira untuk menggunakan biliknya.


Kaki Humaira berlari menuju ke bilik Firhan. Sebaik saja kakinya membolosi pintu bilik, dia menekup telinganya pada daun pintu, ingin memastikan tiada siapa yang mengekorinya dari belakang. Yakin hanya dia yang berada di tingkat atas, dia terus saja mengunci pintu bilik dari dalam.


Dia perhatikan bilik yang dipenuhi poster superhero itu. Berfikir - fikir bahagian mana yang dia harus mula. Akhirnya, dia mengorak langkah ke arah meja belajar Firhan yang dipenuhi figura - figura superhero. Tak ada perkara menarik dan juga tak terlihat gugusan kunci yang dicarinya kecuali sebatang pen bola mata warna hitam diatas meja. Aneh, Humaira mengeleng saja.


Dia beralih ke sebuah rak buku yang setinggi siling bersebelahan dengan meja belajar. Semuanya dipenuhi buku. Humaira senyum nipis. Ulat buku juga rupanya dia ni. Tangannya menarik sebuah buku keluar dari rak.

Unhinged : The trouble with psychiatry


Ah buku ni. Dah lama aku cari. Bisik hati kecilnya sambil tersenyum riang. Lupa sudah pasal kunci yang sepatutnya dia cakna. Dia duduk di kerusi kononnya mahu membaca beberapa helai muka surat dari buku itu tapi senyuman yang tertampal pada bibirnya mati setelah dia lihat banyak contengan di dalam buku itu.


Garisan garisan hitam yang bertarabur dibawah ayat itu membuatkan Humaira gerun. Dia belek lagi. Hampir semua kertas terconteng dengan garisan yang sama. Dia terdiam.


Bola mata naik meneroka buku - buku yang ada lalu tangkas dia bangun dari kerusi, dan mengambil satu persatu buku yang berada di atas rak. Tiada satu pun buku yang tersusun itu tidak punya contengan yang sama.


Tak mungkin orang normal buat perkara macam ni. Humaira think! Think! Think! Apa makna semua ni?! Bentak hatinya meminta penjelasan secara logik. Tangannya semakin menggigil. Dia kenal akan corak aktiviti begini.


Tak mungkin Firhan tu gila?


Humaira menoleh mencari tempat lain untuk diselongkar. Matanya bertaut pada sebuah kotak berwarna coklat dibawah timbunan bakul yang berisi baju. Tanpa berfikir panjang, Humaira angkat bakul itu dan menarik kotak berwarna coklat. Beratnya bukan main. Dibuka kotak itu dan matanya dihidangkan dengan fail - fail lama yang bersusun abjadnya. Humaira tarik satu dokumen secara rawak.


Tertulis perkataan sulit pada permukaan fail dan pada bahagian atas kertas, tertulis logo Hospital Mental Pulau Aman. Rasa gerun mula menyelinap. Takut - takut Humaira membuka helaian fail yang nipis itu. Namun, tidak sempat dia membuka, ketuka pintu bilik mengejutkan fikiran sedar Humaira. Dadanya turun naik, dia jadi kelam kabut. Peluh sejuk mula merindik pada dahinya.


" Maira? You dah bangun?"


Bunyi seperti tombol pintu dipulas membuatkan jantungnya mahu saja melompat dari sarangnya. Mujur berkunci.


Bergegas dia menyelitkan fail berwarna coklat itu ke dalam bahagian belakang seluar sebelum dia menolak kotak itu ke tempatnya semula beserta bakul baju. Lalu tangannya mengigil menyusun kembali kedudukan buku yang diambil.


" Maira?!" Bunyi ketukan pintu semakin kuat.


Selesai, dia mengusutkan rambutnya seperti orang baharu saja bangun dari tidur. Katil diselerakkan setelah dia melihat katil itu seperti tidak bersentuh. Dia menarik satu nafas yang panjang untuk mengurangkan debaran di dadanya. Dia berjalan menuju ke pintu dan menayang muka orang bangun tidur.


" Firhan... You kacau tidur I lah!" Rengek Humaira bohong.


Firhan mengoyak senyuman, seronok pula melihat perempuan itu bangun tidur dari biliknya.


" Seronoknya kalau dapat tengok you hari - hari bangun dari katil I." Gurau Firhan. Humaira menjeling. Hah, sudah!


" Kenapa you kejut I ni. Kunci I Adrian dah ambil ke?" Peluh sejuk sekali lagi timbul di dahi. Mati kalau kunci tu tak ada pun sebenarnya.


" Dah. Nah, dia cakap you letak atas meja, bukan dalam laci." Gugusan kunci bertukar tangan. Humaira berasa aneh, tak terfikir pula dia semalam, dia ada keluarkan kunci dari dalam poket. Senyuman lega dan ucapan terima kasih dilontar pada Firhan sebelum dia angkat kaki menuju ke biliknya.


" Next time, you nak tidur dengan I... I tak menolak." Satu kenyitan mata diberikan Firhan pada Humaira. Naik bulu roma di belakang tengkuk Humaira dibuatnya. Mukanya merah padam. Bukan sebab malu, tapi sebab geram.


" Please Firhan.. Jangan cakap benda - benda tak senonoh boleh tak?"


" You tak suka ke? Walaupun siket, Maira?" Soalan Firhan dirasakan Humaira seperti umpan. Tiada jawapan ya atau tidak sebab dua - dua pun binasa.


" Maaf Fir. I betul - betul penat hari ni. I masuk bilik dulu ya?" Segara Humaira masuk mengunci bilik. Dia menyandar di belakang pintu. Tangannya kembali terketar - ketar.


Macam mana kunci aku boleh ada atas meja? Lepas tu Firhan... Dia tu ada masalah mental ke? Apa tempat ni Ya Allah. Aku takut.


Humaira memejam mata mencari secebis kekuatan. Bibirnya terkumat kamit memuju kebesaran-Nya. Bayangan kedua - dua ibu bapanya mula mengetuk relung filem minda. Senyuman Kamal dan Wahida tertayang jelas di layar memori. Alangkah bagus kalau dia berada di samping mereka tika ini. Air mata yang mengalir di pipi, diseka kering.


Ya! Dia harus mencari jawapan. Dia harus mencari jalan keluar!


Tubuhnya dibawa ke meja belajar. Langsir bilik yang mempamerkan pandangan laut dan rimbunan hijau ditarik menutup bilik. Langkah berjaga - jaga, kalau dia diperhatikan seseorang. Humiara petik suis lampu meja.


Dengan sinaran lampu meja yang tertumpu pada fail yang dibawa keluar dari bilik Firhan, dia menghela nafas panjang.


****


Humaira yang cantik dengan seluar jeans jenis skinny hitam yang dipadankan dengan blaus krim jenis shiffon lembut dan berkasut but hitam mengorak langkah ke arah pesakit kegemarannya.


Derapan tumit kasutnya yang kuat mengundang mata - mata banduan lain. Humaira sudah nekad, dia tidak mungkin merasa takut lagi pada mereka. Matanya mencerlung pada

banduan - banduan yang mengintai dari lubang kecil ketika dia melalui susur itu menuju ke bilik Emir.


" Wah, rawrrrr— Makin ganas doktor cantik kita ni. Emmmph!" Satu ciuman terbang diberi pada Humaira. Tapi langsung tidak dipedulikan Humaira.


" Doktor, nak pegi mana laju - laju tu. Sinilah dulu..."


Humaira hanya tegak berjalan seperti tiada apa - apa pun yang berlaku. Dipekakkan telinga, dibutakan mata. Matlamatnya, sampai ke bilik Emir.


Tanda nama pada luar pintu bilik Emir dipandang seketika sebelum dia mengetuk. Malangnya, Ketukan itu tidak dilayan Emir. Dia mengeluh seketika sebelum mengetuk pintu lagi.

Diam juga. Dia semakin geram lalu dengan sekuat hati dia mengetuk pintu besi itu sampai bergegar dibuatnya.


" Masuk je la. Tak payahlah ketuk sampai nak roboh pintu tu." Pekik Emir dari dalam.


Kunci dibuka dan Humaira mula melangkah masuk namun langkahnya termengundur ke belakang bila dia lihat Emir yang hanya berseluar pendek tiga suka tidak berbaju itu sedang membuat Push Up.


Melihat urat tangan Emir yang menimbul dan tubuh tegap lelaki itu, Humaira jadi segan. Mukanya naik merah lalu segera dia menebar pandangannya ke tempat lain.

Apesal la tiap kali aku jumpa mangkuk ni, hati aku ni lain macam betullah! Bebel Humaira di dalam hati.


"  Tukar baju. Saya ada perkara penting nak cakap dengan awak ni." Pinta Humaira yang statik memandang ke arah cermin.


Emir menoleh dan mendongak ke arah punca suara lalu dia tersengih. Now, baru kau nak jumpa aku ya? Bisik hati kecil Emir. Dia segera bangun berdiri dan sekali lagi terserlahlah lekuk - lekuk otot tubuh Emir. Tambah lagi dengan rambutnya yang basah disirami peluh. Pandangan Humaira yang mengerling dari ekor mata membuat dia ketawa besar. Jelas dia dapat membaca, perempuan dihadapannya itu memang sudah tergugat dan tidak keruan.


" Doktor cengeng rupanya. Aku ingat si Daus sengal yang datang. Cantik kau hari ni."


Pujian Emir sedikit sebanyak menceriakan hari Humaira. Ah! Apesal pulak kau nak terkesan dengan pujian orang gila?


" Doktor cengeng?" Kerut dahi Humaira memandang Emir sebelum dia menoleh ke tempat lain semula. " Pakai baju cepat siket boleh tak?!" Arah Humaira geram.


Emir hanya mendodoi tawa sebelum dia sarung t-shirt warna putih pada badannya. Rambutnya yang basah digosok - gosok dengan tuala. Humaira pula hanya meneliti gerak geri manusia itu. Mamat ni memang effortlessly handsome ke macam mana?


" Okay, kau nak bincang apa dengan orang gila ni?" Soal Emir sebelum dia menolak sebuah kerusi untuk Humaira duduk. Bibirnya diukir senyum nampak gigi.


Dada Humaira berdegup kencang tiba - tiba. Betul juga, apa aku nak cakap dengan dia ni ya? Matanya mengekori batang tubuh Emir yang duduk di hujung Katil menghadap dirinya.


Sempat bola matanya asyik memerhatikan figura Emir. Jari - jari Emir yang runcing menjalin antara satu sama lain. Posisi badannya membongkok sedikit seperti dalam keadaan mendengar. Wajahnya difokuskan ke arahnya. Tiba - tiba dia terasa dihargai.


" Sehari bukan 36 jam, doktor." Sinis Emir berkata. Humaira malu sendiri. Asyik sangat merenung.


" Saya tahu awak ambil kunci saya kan?" Duga Humaira.

Emir menyungging senyum, " Kunci aku dah pulangkan, jadi apa kau nak?"


Humaira gigit bibir, ternyata tidak terkesan sedikitpun kata - katanya. " Apa yang kau jumpa?"


Emir menongkat kening. " Tak ada apa. Kosong."


Seraya itu berterbangan kertas - kertas dari fail yang dicampak Humaira. Emir hanya memandang kertas - kertas itu kosong lalu dia naik melihat wajah kosong Humaira.


" Kau cari dokumen sulit ni kan?"


" Apa kau nak?" Soal Emir bila dia rasakan Humaira seakan - akan mengetahui sesuatu.


" Bawa aku keluar dari sini." Ujar Humaira tegas.


Emir ketawa kecil lalu dia mengeleng. Seakan - akan mendengar cerita dongeng yang tak masuk akal.


" In return, dari pertolongan aku untuk kau dapatkan semua maklumat rahsia Pulau ni." Sambung Humaira dengan suara mendatar. Dia tahu lelaki itu pasti tidak mungkin menolak.

Senyuman yang menghiasi  bibir nipis Emir tadi mati.
Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh
© Copyright Portal Ilham. Hakcipta terpelihara Portal Ilham