2-Bab 4

Act 2: Part 3 (2)

<<---sambung

.

MATAHARI masih tegak di dada langit semasa mereka sampai di rumah hantu dua tingkat itu. Tak jauh. Di luar kampung je.

"Siapa yang buat rumah sebesar ni kat tanah kosong macam ni?" soal Bo pelik.

"Orang yang suka hidup berseorangan tapi masih nak tunjuk kekayaan dunia pada mata-mata yang sempat melihat..." Emir mendekati Saga hitam yang diparkir di depan pintu rumah. Abang-abang itu ada kat sini... sejak pagi tadi?

Bo masih merenung rumah di depan. Seram sejuk mula menimbul di hati. "Okay, jom balik."

"Uih, alang-alang dah sampai takkan terus balik?" Emir menoleh terperanjat.

"Habis kau nak masuk?"

"Obviously dorang ada kat sini. Kau nak takut apa?"

"Aku tak takut.... Aku cuma... tinggi imaginasi..."

Emir menjungkit sebelah kening. "Aku nak masuk. Rumah ni dah beberapa kali dimasuki orang. Pintu rosak, tingkap pecah... kau tengok, kerusi siap patah riuk kat luar ni. Siapa yang taknak masuk kalau boleh experience epic baru, hehheh."

Bo mendengus. "Kau ni berani tak tentu pasal." Dia mengekori.

Kedengaran bunyi hentakan berkali-kali dari tingkat atas. Debu-debu jatuh dari siling. Emir mula cuak sedikit. Bo merapatkan diri kat Emir.

"Aku rasa cukuplah setakat ni?"

Emir senyap. "Kau tak pelik ke abang-abang tu takda sedangkan kereta dorang ada?" getusnya pula, merujuk pada Saga hitam berkilat yang terletak elok di laman.

"Maybe sebab dorang pergi ke tempat lain selain masuk ke dalam rumah ni?"

Pendapat Bo diendahkan. Emir memasuki dapur. Lenovo hitam tersadai tak bersentuh di atas pantri. Dimana empunya? Di skrin Lenovo, tiga skrin sedang memaparkan ruang rumah yang kosong. Merasakan sesuatu yang buruk sedang berlaku, dia melangkah ke tangga.

Bo yang masih melilau di ruang tamu, mengejar lelaki itu lekas. "Emir! Aku punya instinct benar-benar suruh kita keluar dari rumah ni sekarang..."

Remaja bermata hazel itu menjeling. "Come." Tangan dihulur, meminta disambut. Bo menggeleng. "Aku nak cari dorang je. Kau je support yang aku ada sekarang ni. Aku akan lindungi kau kalau ada apa-apa, tapi aku nak kau teman aku."

Ayat terakhir itu membuat Bo mengerutkan dahi, sedikit pelik dengan ayat yang kedengaran bercanggah sesama sendiri. "Kau tengah takut ke tengah berlagak berani sekarang ni?"

Kedua-duanya sekali. "Jom!" Kepala mengisyaratkan supaya naik.

Mereka memeriksa setiap bilik yang terbuka. Tidak dikacau pintu yang berkunci, hingga Emir jumpa bilik merah jambu itu. Berbanding bilik-bilik lain, kesan tapak kasut cukup banyak di bilik ini, dan debu hampir hilang berbanding bilik lain.

Emir melihat gambar-gambar di dinding. Diperhati satu persatu.

"Banyak giler buku-buku..." Bo membaca setiap tajuk buku dengan mata cerah. Sebagai pencinta buku, rak ini umpama permata di matanya.

Emir membuka almari. Kosong dari pakaian. Ternampak darah di hujung almari, lalu dia mencangkung. Ingin tahu. Darah dikesat. Masih basah. Segar. Masih baru. Juga bermaksud, mampus, lari cepat!

Darah berderau turun dari muka. Nalurinya menjerit-jerit menyuruh lari, namun Emir masih ingin menyelesaikan rasa ingin tahunya. Belakang almari cuba ditolak, membuatkan papan itu terbuka ke dalam. Sebuah lorong kecil bersambung di situ.

Itu dia! Rumah ini ada laluan rahsia! Dia tersengih puas.

Okay, dah boleh lari dan call polis bagi mencari abang-abang itu.

Pada masa yang sama, Bo terus membelek buku. Perasan debu yang hilang dari sebuah buku bercover coklat tebal, ditariknya.

Klank.

Pintu rahsia terbuka. Bo terjerit terperanjat, spontan berundur. Emir terkejut, refleks terbangun cari cangkungan. Dari ruang kecil dan sempit itu, Kuro dan Mior merangkak keluar dengan laju hingga masing-masing tersadai di lantai bilik. Kedua-dua lelaki itu juga terbatuk-batuk, benar-benar sendat oksigen.

Bo dan Emir ternganga luas, terpaku pada kedua-dua lelaki yang masih tidak berhenti melepaskan batuk.

Kuro memandang kedua-duanya dengan pandangan berkerut. "Korang... kenapa ada kat sini?"

Emir dan Bo berpandangan. "Curiosity." Serentak menjawab.

"Apapun, terima kasih sebab tolong kitorang keluar." Mior terus bergerak ke pintu keluar.

"Abang pulak macammana boleh ada dalam tu?" Emir mengejar lekas.

"Nanti-nanti baru kita buat sesi soal jawab, budak. Kita kena keluar sekarang." Bahu Emir ditolak dan tangan Bo ditarik, dibawa keluar dari bilik. "Korang ada jumpa Aki?"

"Tak. Laptop dia ada la, kat dapur."

Keempat-empatnya menuruni tangga dengan langkah laju. Dapur dimasuki kemudian. Ya, laptop Aki tersadai di tengah ruang. Tak bersentuh.

"Damn!" 

"Kau rasa Aki dah kena tangkap?" Mior turut mendekat.

"Habis kau ingat apa yang jadi kat dia sepanjang masa kita terperangkap kat atas?" Kuro mendengus sekali.

Bo dan Emir tertoleh-toleh pelik. "Apa sebenarnya dah jadi...?"

Kuro menoleh. Kedua-dua remaja itu direnung buat beberapa ketika sebelum terus ditolak keluar dari dapur. "Korang datang sini dengan apa?"

"Jalan kaki."

"Pergi balik sekarang," arahnya.

"Apa – kenapa pulak?" Emir membantah spontan.

"Sekarang ni ada sesuatu yang merbahaya dalam rumah ni dan aku nak korang balik ke rumah sekarang!!" jerkahnya terus, tak tahan menahan amuk.

Kedua-dua anak muda itu terperanjat lagi.

"Benda merbahaya yang macammana?" Emir masih tidak lari dari persoalan. Pintu rahsia yang ditemuinya dalam almari tadi terbayang kembali.

"Benda yang lebih merbahaya dari Izzue Codec?" Bo membalas pula, sedikit tajam.

Kuro menoleh, sedikit terkejut. Buat seketika, anak matanya melekat pada wajah yang serius itu. "Kau dah berjaya crack software abang??"

Software dia? "Erk... belum... tapi saya ingatkan hard drive tu Dickens punya?" balas Bo kembali keliru.

"Dickens?" Mior pula menoleh, terkejut Bo mengetahui nama pakciknya. Mereka bertiga saling berpandangan, keliru. "Kau maksudkan Dickens... Alastair Dickens?" ulang Mior lagi, mendekati Bo dengan muka berkerut seribu.

Bo dan Emir berpandangan sebelum sama mengangguk. "Lelaki kaya tu, yeah. Korang pun... bencikan orang kaya tu, kan?"

Pun. Sejenis kata kunci. Maksudnya mereka berada dalam bot yang sama walaupun berlainan kabin.

Kuro menoleh pada Mior, bertukar pandangan bermakna. "Okay, Dickens aside. Bo, abang nak kau berhenti crack software abang. Balik nanti, abang nak hard drive tu kat tempat tidur kitorang. Sekarang ni, korang berdua benar-benar perlu balik ke rumah..." Kuro menolak kedua-duanya keluar hingga ke ruang tamu.

Emir mengelat, mengelakkan diri. "Sini pun bukan tempat untuk mahasiswa macam abang! Apa dah jadi dengan niat nak kaji densiti air sungai?"

"Kalau kau pandai, kau tahu kami menipu!"

"Yes, dan sekarang ni saya dengan Bo dah berjaya tangkap abang-abang sampai ke sini. Takkanlah lepas jumpa bilik rahsia dengan pintu rahsia, kami akan terus keluar kat pintu sana... whoa!" Emir terpaku, terpandang tulisan berdarah yang bertulis 'Keluar' pada dinding di sebelah pintu. "Kejap. Tulisan tu memang dah ada kat situ masa kita masuk tadi?"

Bo menoleh, turut terpaku. "Aku tak perasan," ujarnya, menggeleng.

Kuro menepuk muka. "Rumah ni sangat merbahaya, so abang nak korang dua selamat. Pergi balik sekarang." Tubuh itu ditolak lagi. Emir dan Bo tertolak ke depan, namun tidak bergerak jauh. Kuro pula berkalih terus pada Mior yang masih berada di dapur. Lenovo dicapai dan kamera yang dipasang pada ruang-ruang rumah, dilihat.

"Pukul berapa aku call Aki tadi, Mior?"

"Dalam pukul sepuluh."

Sambil menjilat gigi, Kuro memeriksa setiap kamera. Salah satu kamera yang dah dipasang pada dapur menunjukkan Aki membuka sebuah pintu di lantai. Berkerut terus dahi Kuro, menoleh ke hujung dapur. Skrin dipandang lagi, pada Aki yang mula melangkah turun hingga hilang terus.

"Dia tak tutup pintu... jadi kenapa pintu tu tertutup sekarang..." bisik Mior, turut menoleh pada sudut dapur di mana pintu di lantai itu berada.

Kuro mendesis rendah, menahan derauan di dada. "Ni dah macam Blok 404 ditambah pintu Doraemon." Lenovo diserahkan pada Mior dan Kuro bergerak pantas ke dapur. Pintu basement itu dicari. Setelah ditemui, ditariknya mudah. Keadaan bawah sana cukup gelap. Tidak nampak apa-apa kecuali gelap. Lampu suluh dihidupkan sebagai beacon.

"Aku rasa lebih baik aku yang pergi." Mior menegah.

"Ha?"

"Aku yang cadangkan kat Aki untuk periksa basement. Aku rasa macam bertanggungjawab dapatkan dia balik."

"Kau yang cadangkan??"

"Dickens yang bagitau aku rumah ni ada basement. Setiap kali aku ke sini dengan Farha, aku dah beberapa kali turun ke bawah sana sebab nak cari Kaki Arnab tu. So, aku rasa aku tahu kat mana Aki dikurung."

Kuro mengerutkan dahi. Hairan mendengar penglibatan nama Farha dan Dickens, tapi tidak disoal banyak. "Kau macam yakin sangat."

"Aku dah beberapa kali turun ke bawah. Aku practically dah tau kat mana rak kaca, kat mana dia simpan beras dan ration-ration... yang aku tak faham, kenapa bila aku pergi, takda apa terjadi tapi bila korang pergi, ada benda buruk yang terjadi?" Mior menoleh memandang wajah si lelaki berjambang nipis. "Sampai kawan korang boleh terbunuh."

Kuro pula menelan liur. "Mestilah sebab... tak, aku tak tau. Sejak bila hantu perlukan alasan nak tangkap orang. Dia pedajal orang bila dia nak, sebab tu namanya hantu. Kita turun bersama. Aku taknak apa yang jadi kat Aki dengan Coral berulang kat kau."

Mior menjungkit kening. Terasa kebaikan itu melempang hatinya. Perasan pergerakan di pintu dapur, dia menoleh. Bo dengan Emir sedang mengintai di situ. Kuro dipandang dan isyarat mata diberi. 

Si lelaki mengerut dahi, seraya menoleh. Geram terjana lagi bila melihat kedua-dua remaja itu. Masih tak keluar?! "Apa yang aku patut buat supaya korang ikut cakap aku dan keluar dari sini?"

Bo menggaru tengkuk. "Apa dia yang membahayakan sangat pasal rumah kosong? Menyeramkan, iya, tapi sekadar kosong, kan?"

Emir menjeling bersama cemikan. "Sembang." Tapi bukan main lagi takut sampai melekat kat orang.

Kuro pula mengeluh rendah. Kedua-dua mereka dihampiri. "Rumah ni bukan sekadar kosong. Rumah ni ada penghuni lain, yang dah lama hidup dalam kurungan sejak lahir. Perempuan. Kau nampak pintu rahsia kat rumah ni bukan? Kau tahu rumah ni dikunci dari luar bertahun-tahun bukan? Aki dah pernah bertembung dengan 'perempuan' tu, abang pun... ada tengok kaki dia tadi. Seorang kawan abang dah mati dalam rumah ni. Sekarang Aki pulak hilang. Abang dah tak tahu nak fikir apa, melainkan mintak toloooong sangat sangat." Kedua belah tangan disatukan bersama kerutan wajah serius. Nada suaranya berisi getar. Renungan matanya berisi risau dan takut. Tiada benda lain yang Kuro pinta ketika ini melainkan keselamatan semua orang di sekelilingnya. "Tolong keluar dari rumah ni cepat sebab apapun jenis makhluk perempuan tu, dia bukannya Casper the friendly ghost. Kalau apa-apa terjadi kat kau berdua, abang yang bertanggungjawab. So please, go!" Telunjuk dituding ke pintu bersama riak tegas.

Bo dan Emir sama-sama mendiam. Antara menilai tingkah laku lelaki di hadapan mereka, serta menilai tahap bahaya di dalam rumah itu sekarang.

Mengesan tiada sebarang niat nak mengikut kata-katanya, Kuro menolak mereka secara paksa, hingga ke ruang tamu.

Emir membaca tulisan darah kering itu. "Jadi hantu boleh membunuh?"

"Abang lebih prefer anggap dia sebagai manusia karnivor. Dikurung sejak lahir, dan bila keluar, nalurinya sekadar nak tengok dia berada kat mana dalam food chain."

"Dasyat."

"Dikurung sejak lahir? Mana abang tahu?" soal Bo pula sambil menoleh.

"Abang ada rujukan yang boleh dipercayai." Diari merah dibayangkan dalam kepala.

"Tapi kalau dia dikurung sejak lahir, jadi macammana dia tahu menulis?" soalnya si gadis pula, menunjuk pada tulisan berdarah. Kuro terkedu, turut berpaling pada tulisan itu. "Even saya sendiri bersusah hafal ABC atau mengeja masa kecil. Kira hantu tu macam Rapunzel dalam Tangled yang educated cuma dengan tiga buku? Homeschooled?"

Lelaki itu terdiam seketika, menangkap apa yang ditimbulkan si remaja. "Kalau ya pun, siapa yang ajar dia? Sebab emaknya terus bunuh diri selepas melahirkan..." balas Kuro rendah, baru sedar maklumat yang tertinggal. Mungkinkah ada orang lain... selain 'hantu budak' yang Aki pernah jumpa? Kalau ya, berapa ramai sebenarnya jumlah mereka??

Bo menoleh pada Emir. "Either dia homeschooled... atau maybe dia natural-born genius, hahah. Menulis bagi dia, as easy as breathing..." Sengih.

"Atau maybe hantu tu ada ramai member. Sorang member pandai menulis, sorang member kanibal, sorang member gedik macam kau." Bibir dijuihkan pada si gadis.

Mood cemas bertukar ringan dek tingkah laku keduanya. Kuro walau bagaimanapun, berubah pucat. Laju sekali dia beralih ke dapur semula. Pintu basement itu sudah tertutup, langsung tidak perasan! Cuba ditarik, namun terkunci dari dalam.

"Tak guna... kau hantu tak guna!!!" pekiknya, menendang pintu bawah tanah tersebut. Kuro meraup muka dengan kasar. "Apa aku dah buat...?" Hilang Aki... dan hilang Mior sekali?? Tangan mula menggigil, menahan tekanan yang merasuk hati.

"Kalau abang nak masuk ke alam gelap di sebalik dinding tu, ada satu lagi pintu kat atas. Kat bilik pink tu..." celah Emir, sekaligus memanggil Kuro dan Bo menoleh padanya serentak. "Tadi saya tak sengaja buka..."

"Yang aku buka tadi maksud kau?" Bo menoleh pelik.

"Bukan. Ada satu pintu di dalam almari, lepas tu lorong gelap dalam dinding." Kuro dipandang dengan anggukan. "Almari yang melekat dengan dinding tu. Ada kesan darah kat hujung kanan, so saya tolak. Terbuka terus..."

Kuro mengangguk, berterima kasih. "Korang dua balik lekas! Tolonglah dengar cakap abang..." arahnya, lekas naik ke tangga.

"Abang pulak macammana?!" Emir bertanya lekas.

"Abang nak selamatkan kawan-kawan abang! Kalau abang tak balik rumah korang sampai malam tadi... do me a favour. Tolong bakar rumah ni?"

Emir dan Bo menahan gerun. Riak Kuro masih serius.

"I mean it. Rumah ni dah makan banyak nyawa. Kau bakor je." Dan langkah diteruskan.

Emir dan Bo berpandangan. Jejaka itu menepuk bahu si gadis sebelum sama-sama melangkah keluar.


Previous: 2-Bab 3
Next: 2-Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh