Home Novel Seram/Misteri PUJA -sekali mengambil selamanya bertuan...
PUJA -sekali mengambil selamanya bertuan...
Maria Kajiwa
3/9/2013 11:35:10
65,661
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 2

Kampung Silak Tua.

MAHU tidak mahu, Bahiyah terpaksa pergi juga. Walaupun terasa berat hati namun Bahiyah terpaksa akur. Sambil menghela rasa yang terbeban dalam hati, dia lantas menyarung selipar dan menuju ke belakang rumah.

Pada waktu itu muram senja sudah tiba. Lantai tanah mulai gelap dan sejuk. Dingin malam berlajar singgah. Pokok-pokok mula berbalam. Hutan di pinggiran tidak sanggup dipandang.

Krek! Pagar kayu yang hampir reput berkeriut semasa ditarik Bahiyah.

Bahiyah acuhkan sahaja. Sebaik sahaja masuk, dia terus melangkah laju menuju ke sudut sebelah kiri kebun kecil yang berpagar itu. Di situ ada tiga batang pokok terung yang sedang berbuah. Lantas, dia menarik dua biji terung lalu berpatah semula.

Rasa dingin senja yang menerpa, membuatkan dia berasa seram sejuk. Apatah lagi apabila angin menghantar bau busuk seperti bau bangkai mereput ke hidungnya dengan tiba-tiba. Kembang tengkuknya menahan rasa loya. Kembang kempis hidungnya menahan bau pekung.

Krek! Pintu pagar berbunyi lagi apabila ditolak kali kedua.

Bahiyah terus tinggalkan tempat itu. Makin lama langkahnya makin laju. Malah kini dia mula berlari-lari anak. Perasaannya semakin tidak enak. Tengkuknya meremang. Bulu romanya tercacak tegak. Sayangnya ketika dia tiba berdekatan sebatang pokok keranda yang tidak berbuah, langkahnya terus terhenti.

Nafasnya tertahan. Matanya tidak berkelip. Mulutnya terlopong melihat seorang lelaki tua berwajah aneh sedang berdiri tegak di tengah laluan. Apabila semakin lama dipandang, semakin dia nampak jelas. Ulat putih sebesar beras berebut-rebut keluar dari rongga mata yang sudah tidak bermata. Juga dari rongga hidung, mulut dan pipi yang melopong. Kesemuanya jatuh berguguran ke tanah. Bergaul dengan nanah, darah dan cebisan daging yang turut meluruh. Bau busuk semakin kuat.

Bahiyah jadi kaku. Dia tidak mampu bergerak. Makin lama makin fikirannya terawang-awang. Apa yang dipandang kini berpusing-pusing. Dia hanya sempat menjerit sebelum tergolek mencium tanah. Terung yang dipegang tercampak ke bawah rumpun keladi hutan.

*****

“YA, ALLAH! Bahiyah!” Mak Jiha yang terdengar jeritan anak bongsunya itu terus berlari ke situ. Menggeletar tubuhnya apabila melihat Bahiyah terbaring di tengah denai yang menghala ke kebun.

“Bahiyah!”

Dia memanggil lagi sambil menggoncang tubuh anaknya. Dia segera tahu, ada sesuatu di situ yang telah menganggu Bahiyah. Dia sendiri mula rasa tidak sedap hati apabila melihat langit luar biasa gelapnya. Lalu, dengan segala kudrat yang ada, dia memapah tubuh Bahiyah yang sudah berusia 16 tahun itu balik ke rumah. Setibanya di rumah, dia baringkan Bahiyah di atas katil.

“Kenapa dengan Bahiyah, mak?” Seorang pemuda yang baru sampai ke rumah masuk bertanya. Tergesa-gesa dia menanggalkan helmet yang dipakai.

“Bahiyah pengsan. Johan ambilkan mak air sejuk,” balas Mak Jiha.

Dadanya masih berdebar-debar. Malah dia rasa bersalah atas kejadian itu. Dia tidak sepatutnya menyuruh Bahiyah keluar rumah pada waktu senja dalam keadaan sedang didatangi haid. Tubuh dan jiwa Bahiyah sedang amat rapuh dan mudah diganggu. Sayangnya sudah terlambat.

Johan terus berlari ke dapur. Dia mencapai sebiji mangkuk plastik lalu memenuhkannya dengan air paip. Dibawa segera ke bilik tidur ibunya.

Tanpa berlengah, mangkuk bertukar tangan. Sambil membaca beberapa surah lazim dan Ayatul Kursi, Mak Jiha merenjis muka Bahiyah dengan air paip. Dalam hati, dia berdoa semoga Bahiyah kembali sedar. Mujurlah usahanya berjaya.

“Mak!” Bahiyah yang baru tersedar terus memeluk ibunya dan menyembunyikan wajah di ribaan. Dia tergigil-gigil. Air matanya berjuraian.

Mak Jiha segera faham. Dia membalas pelukan Bahiyah dan mengusap rambut anaknya yang lurus mencecah bahu.

“Bawa mengucap. Benda tu dah tak ada,” pujuknya namun Bahiyah tetap mengetatkan pelukan. Dia biarkan sahaja. Mungkin Bahiyah memerlukan masa untuk menghilangkan rasa terkejut. Dia juga yakin Bahiyah telah terlihat sesuatu.

“Kenapa Bahiyah, mak?” Johan masih terpinga-pinga. Wajahnya muram.

“Nantilah mak cerita. Johan pergilah mandi dan bersolat dulu. Selepas tu tolong jaga adik, mak pula nak bersolat.” Mak Jiha sentuh lengan Johan. Dia tahu Johan susah hati.

Johan yang berdiri tegak di sisi katil sejak tadi, tidak membantah. Perlahan-lahan dia mula beredar dari situ.

Sepeninggalan Johan, Mak Jiha terus memeluk Bahiyah yang sudah semakin tenang. Namun dia sendiri tetap berdebar-debar.

*****

MALAM itu, mereka bertiga hanya makan nasi dengan dua biji telur yang digoreng kicap. Hanya itu yang ada sebagai lauk namun ketiga-tiganya tidak bersungut. Juga tidak berselera. Masing-masing tahu masalah mereka belum selesai.

“Nak beritahu pak ngah?” Johan membuka mulut sambil menjeling ibunya. Walaupun ibu dan adiknya tidak bercerita secara terperinci mengenai kejadian tadi, dia tahu gangguan itu berulang lagi. Dia semakin tidak tahan.

Mak Jiha tidak terus menjawab. Dia tahu dalam usia yang belum sampai 18 tahun, apalah yang boleh diharapkan dari anak lelakinya itu. Tentu Johan juga berasa takut seperti dia dan juga anak bongsunya, Bahiyah. Namun sesuatu harus dilakukan.

“Elok jugak.” Dia menyuap nasi ke mulut. Sejak rumah mereka bertiga asyik diganggu dengan pelbagai gangguan yang menyeramkan, seleranya terus hilang. Dia tidak faham apa yang sedang menimpa keluarga mereka.

“Selepas Isyak, saya ajak pak ngah ke sini. Waktu ni biasanya pak ngah ada di masjid.” Johan pandang muka ibunya kemudian muka Bahiyah.

“Abang janganlah pergi…” Bahiyah merengek dengan muka yang mahu menangis.

“Telefon ajelah pak ngah tu, Johan.” Mak Jiha sendiri kurang senang kalau Johan meninggalkan rumah pada waktu itu. Dia risau kalau Bahiyah pengsan lagi ataupun benda itu datang lagi mengganggu seperti selalu.

“Kalau telefon, lambatlah pak ngah datang. Selalunya kalau dia ke masjid, telefonnya ditinggalkan di rumah,” bantah Johan pula.

Mak Jiha dan Bahiyah sama-sama terdiam.

“Abang pergi sekejap aje. Habis solat Isyak, abang ajak pak ngah ke sini.” Johan bercakap dengan Bahiyah.

Bahiyah menarik muka masam.

Selepas membasuh pinggan dan cawan, Johan terus menunggang motorsikal ke masjid. Mak Jiha dan Bahiyah hanya menunggu di dalam bilik tidur. Surah Yaasin tidak lekang dari tangan mereka berdua.

*****

KIRA-KIRA sejam selepas itu, dua buah motorsikal masuk ke halaman rumah Mak Jiha. Sebaik sahaja terdengar deruman enjin motorsikal tersebut, Mak Jiha dan Bahiyah berkejar membuka pintu.

“Kak long,” tegur Pak Salleh sebaik sahaja tapak kakinya memijak tangga.

“Naiklah, ngah.”

Mak Jiha buka pintu luas-luas. Sejujurnya dia tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi kepada dua pupu arwah suaminya itu namun, kerana itulah satu-satunya saudara sebelah suaminya yang paling rapat dengan keluarga mereka, dia tidak punya pilihan.

“Kak long sihat ke? Lama tak nampak di masjid.” Pak Salleh duduk di atas tikar plastik yang terbentang di ruang tamu. Diletakkan kunci motor di sisi lututnya.

“Tak berapa sihat sikit.” Mak Jiha membalas. “Ngah duduk sekejap ya, akak buat air.”

“Tak payahlah. Dah minum kat masjid tadi. Ada orang hantar pulut kuning. Kenyang kami malam ni.” Pak Salleh tersenyum ke arah Johan.

Mak Jiha tersenyum nipis. Pada mulanya dia fikir, Salleh hanya mahu mengambil hati dia. Salleh bukan tidak tahu bagaimana kehidupan mereka tiga beranak setelah suaminya meninggal hampir dua minggu yang lalu. Rupa-rupanya, sudah kenyang.

“Kalau macam tu, tak apalah,” balasnya lembut.

“Kata Johan… kak long nak jumpa saya. Ada masalah apa, kak? Pasal kenduri tahlil malam esok ke?” Pak Salleh terus merenung muka Mak Jiha.

Johan dan Bahiyah hanya terkebil-kebil.

“Sebenarnya…” Belum sempat habis Mak Jiha bercerita, dengan tiba-tiba atap rumahnya bergegar seperti digoncang. Alang rumah bergerak-gerak. Angin menderu masuk dan berpusar sehingga menerbangkan langsir. Lampu pun terkelip-kelip.

“Ya. ALLAH! Apa tu?” Pak Salleh terus melompat bangun.

Johan begitu juga. Hanya Mak Jiha yang terkumat kamit membaca pelbagai surah yang dihafal sambil memeluk kuat Bahiyah yang sudah mula menangis.

Mujurlah selepas lebih kurang seminit, keadaan kembali tenang seperti sedia kala. Suasana berubah sepi. Hanya Pak Salleh sahaja yang masih terlopong lagi.

******

“BERAPA lama dah hal ni berlaku, kak long?” Pak Salleh bertanya setelah duduk semula di atas tikar. Kali ini mereka berempat duduk rapat-rapat. Bercakap pun seolah-olah berbisik.

“Dekat dua minggu,” balas Mak Jiha. Sekarang Salleh sudah tahu apa masalah mereka sekeluarga. Sudah tengok sendiri jadi tentu Salleh lebih percaya dan faham apa masalah mereka tiga beranak.

“Maknanya… selepas Abang Manap meninggal.” Pak Salleh bersuara lagi.

Mak Jiha dan Johan serentak mengangguk.

“Ada kena-mengena dengan Abang Manap ke, ngah?” tanya Mak Jiha.

Walaupun perit, dia perlu dapatkan satu jawapan yang telus. Adakah semasa hidup, arwah suaminya ada melakukan perbuatan yang menyalahi agama? Ada membela sesuatu yang dia tidak tahu. Cuma apa yang dia tahu, arwah suaminya dengan Salleh, bukan setakat bersaudara malah kawan yang paling rapat. Jadi dia yakin, Salleh tahu sesuatu.

Pak Salleh menggeleng. Dia pandang wajah Mak Jiha. Kemudian wajah Johan dan Bahiyah.

“Abang Manap seorang yang baik. Walaupun dia seorang guru silat tapi dia tak pernah mengamalkan ilmu-ilmu yang salah. Ini, bukan berpunca daripada Abang Manap tapi saya percaya daripada orang lain.”

Jawapan Salleh membuatkan hati Mak Jiha tenang sedikit. Mungkin Salleh berkata benar. Mungkin juga Salleh hanya melindungi nama baik suaminya. Dia tidak pasti yang mana satu tetapi sekurang-kurangnya rasa sangsinya sudah berkurangan.

“Kalau macam tu… apa halnya ni, ngah? Kenapa kami aje yang diganggu?”

Dahi Pak Salleh berkerut. Kemudian dia menarik nafas dan termenung seketika. “Kak long pun tahu kan… yang kampung kita ni makin lama makin teruk. Orang kampung pun dah ramai yang pindah. Makin lama makin banyak rumah yang terbiar. Kebun-kebun getah pun dah tak ada orang yang sanggup menoreh. Upah orang seberang pun, mereka tak sanggup bekerja dengan kita.”

“Itu kak long tahu. Semasa hidup, Abang Manap selalu merungut pasal tu. Tapi... apa kena-mengena pulak dengan perkara ni?”

“Susah saya nak cakap, kak,” balas Pak Salleh. “Biarlah saya tanya-tanyakan dulu pada orang yang pandai.”

Mak Jiha mengalah. Daripada jawapan itu, dia percaya yang Salleh tahu sesuatu tetapi tidak mahu berkongsi dengan dia. Mungkin kerana masa yang tidak sesuai ataupun kerana Johan dan Bahiyah ada di situ. Dia faham sesetengah perkara tidak dapat dibincangkan depan-depan.

“Tolonglah buat apa yang patut, ngah. Dah dekat dua minggu kami tak dapat tidur lelap. Senja tadi pulak, Bahiyah kena ganggu sampai pengsan.”

“Dekat mana?”

“Dekat kebun,” jawab Mak Jiha.

Pak Salleh terdiam dan termenung seketika. “Kalau kak long mahu, marilah tinggal di rumah saya dulu,” balasnya.

Mak Jiha terus menggeleng. Itu bukan niatnya. Dia tidak pernah terfikir mahu menyusahkan Salleh hingga sebegitu. Salleh juga ada keluarga. Lagipun selama mana mereka bertiga tahan menumpang di rumah orang? Apatah lagi, dia telah berjanji kepada almarhum suaminya dahulu untuk tidak meninggalkan rumah itu walau apa pun yang terjadi.

“Tak apalah, ngah. Biarlah kami di sini aje. Tapi tolonglah carikan jalan untuk menghentikan gangguan ni. Kami dah tak larat dah,” pintanya dengan baik.

“Sementara tu bersabarlah, kak. Ingat Tuhan selalu. Tuhan lebih berkuasa,” pinta Pak Salleh dengan tenang. “Johan dan Bahiyah pun selalulah bersolat dan mengaji. Insya-ALLAH, benda tu takkan dapat buat apa-apa. Kalau senja jangan duduk-duduk di luar rumah. Jangan termenung. Jangan leka. Mudah aje benda tu merasuk. Ibaratlah diri kita ni seperti sebuah rumah. Kalau tak dipenuhkan dengan benda yang baik, benda buruklah yang masuk. Jadi apa daya pun, pertahankanlah.”

Johan angguk faham. Bahiyah pula diam sahaja.

Setengah jam selepas itu, Pak Salleh pun beredar meninggalkan rumah Mak Jiha. Pada tengah malamnya pula sekali lagi rumah itu bergegar bagai dilanda ribut.

****

MAMAT mengerling sekilas jam di tangan kiri. Sudah hampir pukul 1.00 pagi. Di sekelilingnya gelap. Lampu jalan tidak ada. Rumah-rumah di kiri kanan jalan pun hanya tersergam kaku kerana sudah lama tidak berpenghuni. Satu-satunya cahaya yang dia lihat ialah apa yang disuluh oleh lampu kereta yang dipandu.

Dia menarik nafas berat. Tubuhnya penat. Sudah dekat dua minggu dia ke Johor untuk menyiapkan rumah saudaranya yang terbengkalai. Menjelang senja tadi baru selesai. Malas untuk menunggu lagi, dia terus pulang bersama dua orang pekerjanya. Setibanya di Bandar Dagang, sudah dihantar mereka ke rumah. Kini tinggallah dia seorang menuju ke rumahnya di Kampung Silak Tua yang sunyi sepi itu.

Semena-mena, kakinya menekan brek. Beberapa meter di hadapan kelihatan seperti sekumpulan orang sedang berjalan melintasi jalan. Dia memperlahankan keretanya walaupun dalam hati berdetik seribu pertanyaan. Siapa pula yang berduyun-duyun berjalan di tengah malam itu? Hendak ke mana?

Sambil tertanya-tanya, keretanya mendekati kumpulan orang yang kini sudah pun berada di sebelah kanan jalan. Apabila dekat, dia menjenguk. Barulah dia nampak dengan lebih jelas.

Lantas dia terjerit. Kakinya terus menekal pedal, keretanya berdesup laju meninggalkan tempat itu. Sampai ke tangga rumah, tubuhya masih menggigil. Kumpulan manusia yang tidak berkepala tadi masih ternampak-nampak di ruang mata.



Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.