Home Novel Seram/Misteri Pocong Malisa
Pocong Malisa
Farz Ozie
11/4/2018 19:08:30
8,945
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
Bab 3

Pocong Malisa bab 3


   Azrul membuka mata perlahan-lahan, keadaan sekeliling terasa begitu asing dengannya. Azrul cuba mengimbas kembali apa yang sedang berlaku namun kepalanya terasa sakit. Dari sudut kirinya kelihatan sebuah sungai kecil dan Azrul melihat ada satu susuk tubuh sedang duduk berpaling darinya. 

   Perlahan Azrul bangun dan menghampiri wanita itu. Bau haruman bunga mawar sungguh memikat deria hidu Azrul. Sempat dia menikmati keharuman itu dengan keadaan mata terpejam. 

  “Dah lama saya tunggu awak.” Bicara wanita itu lembut. 

  Azrul tersentak. Dia seakan kenal dengan suara itu. Seseorang yang sangat dia rindui. Azrul berjalan dan berdiri menghadap wanita itu. Kepalanya masih menunduk disembunyikan. 

  “Jangan!” Tingkah wanita itu sebaik tangan Azrul memegang dagunya untuk diangkat naik ke atas. 

  Azrul berhenti. “Awak ke tu Malisa.” Soal Azrul meminta kepastian. Wanita itu mengangguk lemah. 

  “Tolong saya Rul. Saya tersiksa...” Rayu Malisa separa sebak. 

  “Kenapa pula? Zamri cakap mayat awak hilang dari kubur. Apa semua ni Lisa? Ini semua mimpikan? Mana mungkin saya boleh bercakap dengan awak sebab awak dah mati.” Azrul separa sedar antara khayal dan nyata. Dia bangun dan berpeluk tubuh sambil menghadap sungai yang mengalir. 

  “Tolong saya Rul...” Masih ayat yang sama namun nadanya lebih sayu dan menyeramkan. 

  “Saya nak tolong macam mana Lisa? Saya buntu sekarang ni.” Azrul duduk bertinggung di hadapan Malisa. Tangan gadis itu diraih dan digenggam kemas. 

  “Tolong saya Rul...” Ayat yang sama masih berulang. Malisa masih setia menunduk sembunyikan wajah. 

  “Tolong apa Lisa? Tolong apa!” Azrul mula hilang sabar. 

  “Bunuh diri dan hidup dengan aku!” Malisa memekik. 

  Wajah diangkat membuatkan Azrul terduduk di atas tanah. Azrul cuba bangun untuk lari selamatkan diri. Muka Malisa sangat menggerunkan. Separuh isi mukanya hilang hingga menampakan tulang tengkorak. Gigi taringnya tinggal sebelah dan tengkuknya berlubang besar dan dipenuhi ulat yang menggelikan. Malisa bangun dan menghampiri Azrul yang sedang mengesot cuba untuk menyelamatkan dirinya. 

   “Kau janji nak sehidup semati dengan aku! Sekarang aku dah mati, jadi kau kena mati.” Malisa duduk di atas Azrul dan mencekik tengkuk lelaki itu. 

  “Malisa...jangan Lisa. Malisa!” Azrul cuba meloloskan diri dari terus dicekik.

   Mata dibuka sedikit namun bayang Malisa tidak kelihatan. Dia juga sudah tidak berada di sungai. Azrul toleh ke sisi. Ustaz Syahir tersenyum kepadanya. Zamri menghulurkan segelas air kepada Azrul. 

  Azrul menarik nafas lega. Mujur dia hanya bermimpi. Tubuhnya terasa sakit dan sengal seperti orang baru habis membanting tulang di sawah. 

  “Kamu okey ke Azrul?” Soal Ustaz Syahir. 

  “Okey Ustaz. Terima kasih sebab tolong saya tadi.” Balas Azrul sambil membetulkan duduknya. 

   Ustaz Syahir pandang Azrul lama sebelum mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu. Jari ligat memutar tasbih. Angin kencang tiba-tiba bertiup hebat dan menderu masuk ke dalam bilik mereka. Zamri yang tadi leka bermain telefon mula menjadi panik dan melompat naik atas katil. 

  Bau hanyir dan busuk memenuhi ruang bilik itu. Lampu pula terpadam. Dalam kesamaran cahaya bulan di luar jelas kelihatan Ustaz Syahir bersilat seperti sedang melawan seseorang. 

  Arghhh! Ustaz Syahir mengerang kesakitan. Lampu kembali menyala. Azrul dan Zamri saling berpandangan bila melihat Ustaz Syahir terbaring di atas lantai sambil mengurut pinggang. 

  Zamri terjun dari katil untuk membantu Ustaz Syahir. Kemudian terdengar satu suara sedang ketawa mengilai. Nada itu sungguh menyeramkan. 

  “Wahai makhluk yang dilaknat Allah, pergi kau dari sini. Jangan kau ganggu anak cucu nabi Adam atau aku akan hapuskan kau.” Bicara Ustaz Syahir geram. Dia bangun dan meneruskan bacaan ayat ruqyah. 

   “Argghh! Tolong... Sakit. Berhenti...” Suara itu merayu sambil menangis. 

  “Pergi kau!” Ustaz Syahir menjerit. Matanya tertumpu ke arah Azrul yang masih kebingungan duduk di atas katil. 

  Ustaz Syahir melihat jelas makhluk pocong yang berdiri tegak di belakang Azrul. Ustaz Syahir mengucap panjang. Zamri menyorok di belakang Ustaz Syahir kerana ketakutan. 

  “Mak! Tolong...” Zamri menjerit dn memeluk Ustaz Syahir sekuat hati. Makhluk pocong itu sudah berdiri di sebelah Zamri. 

  “Aku akan balas dendam.” Kata pocong itu kepada Zamri. 

  “Kalau kau berdegil, aku akan Bakar tubuh kau.” Ustaz Syahir mencapai gelas air di sebelahnya dan dibacakan sesuatu. Air itu direnjis ke arah pocong yang sedang memandang tepat ke arah Zamri. 

  Pocong itu menggeliat kepanasan sepeti cacing yang dibakar. Angin diluar semakin kuat bertiup. Pintu Almari terbuka dan tertutup. Baju-baju di dalam habis bertebangan keluar. Suara tangisan jeritan meminta tolong kedengaran beberapa minit sebelum hilang dan keadaan menjadi tenang semula. 

  Ustaz Syahir merenung ke arah Zamri meminta penjelasan. Sepertinya ada kaitan antara pocong itu dengan mereka berdua. Zamri menggaru kepala yang tidak gatal. Dia cepat-cepat bangun dan mengutip semua pakaian lalu dimasukkan ke dalam bakul. Zamri terus meminta izin pulang sebelum Ustaz Syahir sempat bertanyakan apa-apa. 

   Ustaz Syahir duduk di sebelah Azrul yang masih termenung. Kasihan dia melihat lelaki itu. Wajahnya jelas kelihatan letih dan tidak bermaya. Mungkin masih berduka atas kehilangan tunang tersayang dan mungkin juga kerana gangguan ini. Diberikan segelas air kepada Azrul. 

  Diluar rumah Zamri masih termenung sendiri di dalam kereta. Fikirannya kembali teringatkan bisikab pocong itu. Apakah benar apa yng dikatakan? Benarkah Malisa akan membalas dendam? Apa yang harus dilakukan sekarang? Zamri buntu. 

  Kereta Zamri bergerak keluar dari rumah Azrul. Dalam perjalanan pulang ke rumah, Zamri masih terfikirkan perkara tadi. Tiba-tiba kereta Zamri mati ditengah jalan. 

  “Aduhai, masa nilah kau nak buat masalah kan?” Bentak Zamri. Dia keluar dari kereta untuk periksa enjin. 

  “Semua nampak okey je, tapi kenapa tiba-tiba mati? Nak kata belum servis, semalam je baru hantar bengkel.” Zamri menutup bonet enjin kereta dan masuk ke dalam semula. 

  Kunci cuba dipulas mengharapkan keretanya akan hidup. Namun setelah beberapa kali mencuba tidak berjaya. Zamri menghentak stering melepaskan geram. 

  “Zamri...” Satu suara halus menyapa dari tempat duduk belakang. 

  “Jangan kacau boleh tak? Aku tengah bengang ni.” Balas Zamri berang. 

  Sesaat kemudian Zamri terdiam sendiri. Otak ligat mencerna keadaan sekarang. Seingat dia tadi dirinya bersendirian. Siapa pula yang memanggil namanya? Perlahan Zamri menarik cermin sisi pandang belakang untuk melihat. 

   Pocong Malisa sedia menanti dengan satu senyuman yang menggerunkan. Zamri menjerit sekuat hati sebelum meloncat keluar dari kereta. Zamri berlari sekuat hati untuk menyelamatkan diri. Sempat dia menoleh ke belakang untuk melihat pocong itu. 

  Zamri berhenti seketika. Dada diurut kerana mengah setelah berlari hampir sepuluh minit. Zamri toleh ke belakang, dia masih melihat kereta ada dibelakangnya. Kalau ikutkan logik pasti dia sudah jauh dari kereta itu. Zamri menarik nafas panjang sebelum berlari kembali. 

   Bayang kereta sudah hilang. Zamri berhenti dari berlari dan duduk di atas jalan raya. Peluh yang membasahi muka dilap dengan bajunya. Bau kapur barus menyengat rongga hidung Zamri. Semakin lama semakin kuat. 

 Zamri pandang sekeliling kawasan itu. Hanya pekat hitam awan malam dan bunyi cengkerik hutan sahaja yang ada. Kemudian Zamri telihat ada satu benda putih sedang menuju ke arahnya. Zamri cuba bangun namun tenaganya sudah habis. 

  “Zamri!” satu suara kasar memanggilnya. 

  “Mak, tolong! Jangan kacau aku setan...” Zamri meronta minta dilepaskan bila terasa tubuhnya disentuh.

  “Zamri!” Sekali lagi suara garau itu berdentum.

  Zamri membuka mata perlahan-lahan. Mulutnya sedikit ternganga bila terpandang wajah di hadapannya.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Farz Ozie