Sekitar
pukul 10 pagi di Kampung Dangi, Ishak mengambil keputusan untuk melari ke rumah
Tok Zamri. Lalu, dengan pantas dia berlari mendapatkan Tok Zamri. Tok Zamri
sedang menjemur pakaian basahnya di depan rumah, ketika Ishak termengah-mengah
berhenti di perkarangan rumahnya.
Dengan
lelah yang masih berbaki, Ishak menyalam Tok Zamri. Tok Zamri masih kehairan
melihat Ishak yang dalam kabut, memintanya untuk menenangkan diri. Ishak
menarik nafas dalam-dalam.
“Tok,
assalamualaikum”.
“Ya,
waalaikumusalam, Ishak. Kenapa ini? Kelam kabut pagi-pagi? Perlahan-lahan,
cerita perlahan-lahan”.
Tok
Zamri menenangkan Ishak, sebelum Ishak membuka cerita tentang hajatnya ke rumah
Tok Zamri ini.
“Tok,
begini... semalam, masa saya tengah baring nak tidur, saya dengar satu jeritan
dekat dapur. Saya pun cepat-cepat pergi dapur. Saya nampak Rahayu. Rahayu
terbaring dekat lantai. Makanan atas meja semua berterabur jatuh dekat lantai.
Semua pintu, gerobok dapur semua terbuka.”
Tok
Zamri mengangguk-angguk, sabar menanti Ishak menceritakan kejadian yang
menyebabkannya datang ke sini. Ishak menarik nafas panjang sebelum menyambung
ceritanya.
“Tapi,
semua tingkap dapur dah dikunci dari dalam, Tok. Masa saya sampai dekat dapur,
saya tengok semua tingkap terbuka luas. Tapi bila saya jengan keluar tingkap,
gelap. Tak ada apa-apa. Hujan lebat sekali.”
Ishak
menggaru-garu kepalanya. Masih buntu ingin menceritakan kepada Tok Zamri
tentang peristiwa yang baru sahaja terjadi ini.
“Sekarang
ini, Tok... Rahayu demam panas, meracau-racau sepanjang malam. Kami semua tak
tahu kenapa jadi macam ini, Tok. Tolong kami, Tok.”
Tok
Zamri yang dari tadi khusyuk mendengar keterangan Ishak, menggeleng-gelengkan
kepalanya beberapa kali.
“Astaghfirullahhalazim.
Baiklah. Kamu balik cepat ke rumah bapa mertua kamu, bantu apa yang patut. Saya
nak ambil barang-barang saya. Nanti saya panggil Nadim, dan kami akan pergi ke
rumah Tok Penghulu, secepat mungkin. Boleh, Ishak?”
Tok
Zamri berbicara dengan lembut, menenangkan Ishak. Ishak mengangguk-anggukkan
kepalanya, tanda mengerti.
“Terima
kasih, Tok Zamri. Jumpa dekat rumah Tok Penghulu, nanti. Assalamualaikum,”
balas Ishak dengan senyuman dan berlalu pergi, pulang ke rumah Penghulu Shah.
Tanpa
membuang masa, Tok Zamri terus masuk ke dalam rumahnya dan menukar pakaian.
Setelah selesai, barang-barangannya yang ada diatas meja dicapai. Tok Zamri
terus keluar daripada rumah dan menuju ke rumah Nadim yang tidak jauh daripada
rumahnya.
Nadim
dan Tok Zamri adalah kawan rapat, sejak dari muda lagi. Mereka ini antara orang
bijak pandai, yang sentiasa membantu mengubati penyakit penduduk kampung. Dari
dahulu lagi, mereka berdua seringkali bekerjasama dalam mengubati
penduduk-penduduk Kampung Dangi. Semua orang kenal Tok Zamri dan Nadim, malah
semua menghormati mereka.
Setelah
mendapatkan Nadim dirumahnya, Tok Zamri menggesa Nadim untuk segera ke rumah
Penghulu Shah. Selepas Nadim mengambil barangannya juga, mereka berdua pantas
berjalan menuju ke rumah Penghulu Shah. Tok Zamri tidak menjawab pertanyaan
Nadim tentang situasi ini, tapi hanya meminta Nadim untuk lebih menumpukan
perhatian.
Tak
lama kemudian, Tok Zamri dan Nadim tiba di rumah Penghulu Shah. Kedatangan
mereka disambut Penghulu Shah.
“Assalamualaikum,
Tok Penghulu.”
“Waalaikumusalam,
naiklah, Tok Zamri, Nadim.”
Tok
Zamri dan Nadim melabuhkan punggung di lantai rumah. Penghulu Shah mengarah
anak perempuannya menghidangkan air untuk tetamu. Tok Zamri menolak dengan
sopan, kenyang katanya. Malah ingin segera memberikan bantuan, daripada ingin
menjamu selera. Penghulu Shah berkeras untuk menghidang sekurang-kurangnya air
buat tetamu, dan Tok Zamri akur.
“Bagaimana,
Rahayu?” Tok Zamri membuka bicara.
Penghulu
Shah menundukkan muka, sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Rahayu
dalam bilik, tidur sekarang. Badan dia panas lagi. Kadang-kadang, dia macam
mimpi buruk, Tok. Meracau-racau. Bila kami cuba kejutkan dia, dia tak mahu
bangun...”
“Mungkin
dia nampak perompak, semalam?”
Nadim
inginkan kepastian.
“Mungkin
juga, Nadim. Tapi saya hairan, kenapa dia tiba-tiba demam panas.
Mengigau-ngigau tengah malam tadi. Meracau-racau. Sekejap-sekejap, dia menangis
teresak-esak pula.”
Tok
Zamri mengangguk-anggukkan kepala. Nadim meneliti sekeliling rumah, melihat
jika ada apa-apa.
“Lepas
hujan tadi, saya sudah keliling satu rumah. Cari kalau ada tanda apa-apa. Tapi
tak ada, Tok. Bekas tapak kaki atau kesan pecah masuk pun tak ada.”
Tok
Zamri dan Nadim memandang satu sama lain. Tok Zamri mengangguk-anggukkan
kepalanya, kayak memberi arahan.
“Mari,
jangan buang masa. Kita tengok Rahayu.”
Tok
Zamri mengajak Penghulu Shah menunjukkan Rahayu yang dikatakan asyik
meracau-racau itu.
Dalam
masa yang sama, tiba-tiba, Zam, Ahmad dan 5 orang penduduk kampung lelaki
muncul di halaman rumah Penghulu Shah. Mereka memanggil-manggil nama Penghulu
Shah.
Penghulu
Shah keluar ke halaman rumah, berjumpa dengan Zam, Ahmad dan 5 orang penduduk
kampung lelaki itu.
“Tok,
kami sudah ke rumah Dollah.”
“Macam
mana? Ada dia di sana?”, Penghulu Shah kabut inginkan jawapan.
“Dia
tak ada, Tok. Pekerja dekat ladang pun kata tak nampak dia pagi tadi.”
“Tak
ada?!” Penghulu Shah mula runsing. Dia tunduk sebentar, cuba ingin memikirkan
sesuatu.
“Tok,
ada dengan saya ini 5 orang. Kami boleh carikan Dollah”, Ahmad mencelah.
Penghulu
Shah mengangguk-anggukkan kepala.
“Terima
kasih banyak-banyak Ahmad, dan orang kampung semua. Tak apa, masuklah dulu.
Dekat dalam ada Tok Zamri, nanti lepas dia rawat Rahayu, kita semua pergi cari
Dollah.”
“Boleh,
Tok.” sambut mereka serentak.
Penghulu
Shah menjemput Zam, Ahmad dan 5 orang kampung naik ke rumah. Mereka mengambil
tempat di ruang tamu. Penghulu Shah, Tok Zamri dan Nadim bergerak ke bilik
Rahayu.
Di
dalam bilik, Rahayu terbaring lemah dengan mukanya yang pucat lesi dan dahinya
berpeluh-peluh. Tok Zamri memegang dahi Rahayu untuk merasai kepanasan
demamnya. Tok Zamri kemudiannya meminta semangkuk air daripada Marini.
Sementara menunggu Marini mengambil semangkuk air itu, Tok Zamri mula membaca
surah Al-Fatihah dan ayat Kursi, diikuti oleh Nadim.
Tak
lama kemudian, Marini datang dengan semangkuk air, dan memberikannya kepada Tok
Zamri. Tok Zamri mula membacakan surah Yasin ke dalam mangkuk air yang dibawa
itu.
Dengan
perlahan-lahan, Tok Zamri meletakkan sedikit air ke tapak tangannya, dan
menyapukannya ke muka Rahayu sebanyak tiga kali. Dengan serta merta Rahayu
terjaga. Matanya terkebil-kebil memandang sekeliling, seperti baru bangun dari
mimpi yang buruk. Penghulu Shah dan isterinya yang berada di situ kelihatan
gembira melihat Rahayu telah sedar, walaupun kelihatan begitu lemah.
“Ibu...”
Rahayu
bisik perlahan, meminta kehadiran ibunya.
Puan
Fatimah terus duduk di sebelah Rahayu, dan membelai-belai lembut rambutnya.
“Ibu
ada sini, sayang. Amin, syukur alhamdulilah awak sudah sedar.”
Rahayu
memandang tajam ke arah Tok Zamri dan Nadim, seolah-olah menyoal kenapa mereka
di sini. Puan Fatimah menggosok-gosok lembut tangan Rahayu, cuba memberikan
keselesaan dan rasa selamat padanya.
“Tok
Zamri dengan Pakcik Nadim dekat sini untuk ubatkan Ayu.” terang Puan Fatimah
lembut.
Rahayu
tidak cakap apa-apa. Dia kelihatan sangat lemah. Tok Zamri kemudiannya terus
mengarahkan Rahayu untuk minum sedikit air bacaan Yasin daripada mangkuk tadi.
Rahayu perlahan-lahan bangun daripada pembaringan, dengan dibantu oleh ibunya,
untuk minum seteguk air dari mangkuk itu.
Namun
Rahayu enggan baring kembali. Dia menoleh kearah tingkap biliknya.
Rahayu
tiba-tiba tersenyum lebar. Dia menunjuk-nunjuk kearah luar tingkap. Puan
Fatimah mula panik.
“Sayang,
kenapa?”
Puan
Fatimah menggosok-gosok lembut belakang badan Rahayu, cuba untuk
menenangkannya.
“Ibu...
Ibu, tengok! Ibu tengok! Abang Dollah ada dekat luar sana. Nampak tak? Dia
sedang lambai-lambai Ayu, ibu.”
Rahayu
ketawa sambil melambai-lambai keluar tingkap, kearah sepohon besar pokok.
Penghulu Shah segera berdiri menghampiri tingkap dan menjenguk keluar. Selepas
tidak dapat melihat apa-apa, dia menoleh kembali kearah Rahayu dengan muka
kehairanan.
“Ayu,
apa ini! Mana ada Dollah. Tak ada sesiapa dekat sana.”
“Eh,
ayah ini! Dia ada dekat sana, lah! Dia ada betul-betul dekat sebelah pokok
besar itu. Lambai-lambai tangan lagi, takkan ayah tak nampak?!”
Rahayu
menepis tangan Puan Fatimah dan meninggikan suaranya. Puan Fatimah tersentak
dan memandang Tok Zamri.
Ishak
dan Nadim juga meluru ke tingkap dan menjengah keluar. Tiada apa-apa diluar.
Nadim kebingungan memandang Ishak. Nadim kemudiannya memandang Penghulu Shah
dan menggeleng-gelengkan kepalanya.
Tiba-tiba,
Rahayu mula menangis. Menangis teresak-esak hingga merunsingkan Penghulu Shah
dan Puan Fatimah.
“Dia
dekat sana, ayah. Saya nampak dia tadi. Dia dekat sebelah pokok sana...”
Rahayu
masih menangis teresak-esak.
“Dia
macam nak minta tolong, ayah. Pergilah tolong dia ayah. Tolonglah dia.”
Penghulu
Shah yang berang melihat Rahayu mula menangis teresak-esak terus menutup
tingkap dengan kasar.
“Astaghfirullahaladzim!!! Mana ada orang di
situ Ayu, jangan main-main kan ayah. Dollah takde si situ!!”
Penghulu
Shah meninggikan suara. Tok Zamri segera berdiri, mendapatkan Tok Penghulu
untuk cuba meredakan kemarahan Penghulu Shah.
“Sabar.
Sabar. Mengucap. Biar aku dengan Nadim pergi siasat.”
Penghulu
Shah menarik nafas panjang. Puan Fatimah dan Marini sedang memujuk Rahayu yang
masih lagi menangis teresak-esak. Ishak menghampiri bapa mertuanya, cuba untuk
tidak merunsingkan hati orang tua itu.
Tok
Zamri kemudiannya memberikan isyarat pada Nadim untuk mengikutnya. Tok Zamri
keluar daripada bilik Rahayu, ke ruang tamu rumah Penghulu Shah. Nadim hanya
mengikut Tok Zamri.
Di
ruang tamu, Tok Zamri memandang Nadim.
“Nadim,
tolong saya panggilkan Ahmad dan semua orang kampung yang ada dekat dewan untuk
berkumpul dekat luar rumah sekarang. Tunggu saya sekejap saja, saya nak ambil
botol air, nak bacakan Yasin. Nanti saya jumpa semua dekat luar.”
Tok
Zamri memberikan arahan dengan tegas. Nadim mengangguk.
Oleh
kerana kehairan dengan tingkah Tok Zamri, seperti ada yang tidak kena, Nadim
memberanikan diri untuk bertanya.
“Kenapa Tok Zamri,
ada tidak kena?”
Lama
Tok Zamri diam, menundukkan muka. Nadim mula resah. Tok Zamri merapatkan dirinya ke dan berbisik perlahan
“Saya
pun ternampak Dollah berdiri dekat situ.”