Home Novel Seram/Misteri Hantu Jepun
Hantu Jepun
fiona izy
9/6/2018 07:48:15
11,572
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
Bab 3

Kahariah mendengar mamanya membuka pintu kereta.

“Yaya bangun, mama bawa orang ni.”

Lalu, dengan rasa malas Kahariah membuka mata. Dia tidak tahu orang yang dimaksudkan oleh mama itu.

Kahariah melihat figura di sebelah mama.

“Atuk?”

Kahariah melihat wajah mama di sebelah yang tersenyum melihat riak wajahnya yang nyata terkejut dengan kehadiran lelaki itu kerana dia tahu Kahariah merindui atuk.

“Kahariah,” mendengar namanya disebut, Kahariah tersenyum. Di dalam keluarganya, hanya atuk dan nenek sahaja yang memanggil dirinya dengan nama sebenar. Dalam kalangan ahli keluarganya yang lain dirinya dipanggil dengan nama timangan, Yaya. Kahariah suka apabila atuk dan nenek memanggilnya dengan nama Kahariah. Dia dapat merasakan nama itu dipanggil dengan kasih sayang dan ikhlas.

“Kahariah, jom naik kereta dengan atuk.” Atuk mempelawa Kahariah.

Kahariah merindui atuk yang sudah lama tidak ditemui, lalu Kahariah terus sahaja bersetuju dengan pelawaan itu. Lagipun, lama dia tidak mendengar suara atuk yang garau. Kahariah benar-benar rindu.

“Tok, kereta atuk dekat mana?” soal Kahariah apabila dia dan atuk berjalan melalui kawasan tanah merah dan berdebu. Sesekali Kaharah menyapu debu yang terbang di hadapan wajahnya.

“Di sana,” tunjuk atuk.

Dalam debu yang bertebangan itu, Kahariah tidak mampu melihat arah yang ditunjukkan oleh atuk kerana jarak penglihatan di tempatnya berpijak dengan pemandangan di hadapannya agak terhad. Kahariah diam tidak bertanya lagi. Dia asyik menyapu mukanya yang terasa benar ada debu yang melekat.

Sehinggalah beberapa minit kemudian, Kahariah tersedar atuk tidak ada lagi di sisinya. Dia memandang ke kiri dan kanan. Kali ini, debu yang pekat sudah berkurang menyebabkan jarak penglihatan Kahariah lebih jelas.

“Atuk?” Kahariah memanggil atuk sambil matanya melilau kiri dan kanan dengan pantas.

Kahariah bergerak ke arah kanan apabila dia ternampak sekumpulan orang seperti sedang berkumpul. Pelik pada Kahariah kerana mereka yang ada di kawasan berhampiran pantai itu memakai baju putih kosong yang sama baik lelaki mahupun perempuan.

Pada sangkaan Kahariah, atuk mungkin pergi ke situ kerana dalam kawasan lapang berdebu ini hanya di situ sahaja Kahariah melihat adanya manusia. Tempat lain disekitarnya kosong. Kahariah berjalan lagi mendekati sekumpulan manusia di sana.

Langkah kaki Kahariah yang pantas mula terhenti apabila melihat sesuatu yang tidak biasa dilihat.

Kecil mata Kahariah melihat sekumpulan lelaki dan perempuan yang memakai baju putih itu sedang melakukan satu ritual. Semua yang ada di situ seperti khusyuk melakukan ritual sehingga tidak perasan akan kehadiran Kahariah di situ. Berkali-kali mereka menunduk dan berdiri tegak. Berulang-ulang gerak badan seperti itu dilakukan.

“Matahari?”

“Kenapa semua orang sembah matahari?” Kahariah bertanya sendirian.

Ketika Kahariah melihat ritual tersebut, seorang lelaki dalam kumpulan tersebut terhenti gerakannya. Lelaki itu memandang ke belakang.

“Atuk?” Kahariah menjerit. Menggeletar seluruh badan tidak mampu ditahan lagi. Tiba-tiba badan Kahariah terasa lemah dan dia memerlukan tempat untuk berpaut daripada jatuh. Akibat tidak berdaya, badannya terkulai jatuh ke tanah.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh fiona izy