Home Novel Seram/Misteri Hantu Jepun
Hantu Jepun
fiona izy
9/6/2018 07:48:15
11,562
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
Bab 1

Hujan yang turun ketika dia masih lagi berjalan menuju ke rumahnya seperti sengaja membiarkan dirinya basah lenjun. Kahariah berlari-lari anak. Bermula dari pagar sekolahnya dia berlari mencari pokok-pokok besar untuknya berteduh seketika. Tidak lama. Sebelum keputusannya untuk meredah hujan tadi, dia sudah merancang untuk singgah ke Hospital Batu Gajah, tempat emaknya bekerja.

Nasibnya baik ketika berlari tadi dia baru teringat pagar belakang Hospital Batu Gajah itu sedang dalam pembinaan dua hari lepas. Ketika melewati kawasan belakang hospital ini dua hari lepas dia ternampak laluan berbukit yang sudah tidak berpagar.

Kahariah cuba mendekati jalan ke kawasan tersebut. Apa pun dia terpaksa melalui kawasan taman permainan kanak-kanak yang terletak berhampiran kawasan belakang Hospital Batu Gajah.

Cerita-cerita misteri berkenaan pokok-pokok berusia 100 tahun itu tidak diendahkan. Kahariah, walaupun dia keliru dengan misteri yang menyelubungi hidupnya, dia tidak gentar.

“Eloklah nama Kahariah. Orang yang nama dia ada perkataan Kahar ini orangnya berkuasa dan kuat,” kata Ustaz Badli ketika lelaki itu mengajarnya di tingkatan tiga.

Kahar di dalam bahasa Arab membawa maksud berkuasa. Kahariah memang tahu maksud itu sejak kecil. Lantaran itu, sejak dia memasuki sekolah tadika sehinggalah dia darjah lima, dia tidak pernah mengambil hati jika ada rakan-rakan sekolahnya mengejek nama hadapannnya yang menyerupai lelaki.

Cuma, Kahariah mula membenci akan kawan -kawan sekolahnya terutamanya lelaki kerana namanya selalu digunakan untuk bergurau. Bukan sahaja kawan sekolah, kadangkala guru-guru juga ada yang bergurau dengan namanya. Sebab itu, dia selalu berperang mulut dengan kawan-kawan lelaki di sekolahnya. Dia tidak suka akan mereka yang suka mengejeknya. Kerana namanya adalah pemberian nenek kesayangannya.

Kenangan diejek itu ditinggal sepi kini. Kahariah perlu berfikir bagaimana dia mahu menuju ke perkarangan Hospital Batu Gajah melalui kawasan belakang yang sunyi sepi itu.

Kakinya melangkah laju apabila matanya tertumpu ke arah satu laluan berbukit rendah di hospital itu, kira-kira 50 langkah dari tempatnya berdiri sekarang. Hujan yang turun turun membuatkan pakaian seragamnya basah lencun. Tiada bahagian di uniform yang disarungnya kering.

Perlahan-lahan dia mendaki bukit yang sedikit bertanah merah itu. Risau licin. Dalam hati dia berdoa jangan pula dia terjatuh kerana tanah merah yang datang dari longgokan tanah untuk pembinaan pagar hospital ini akan membuatkan baju sekolahnya kotor.

“Alhamdulillah,” kata Kahariah ketika dia berjaya melepasi laluan berbukit itu. Di kawasan lapang dan sunyi itu, Kahariah berlari ke arah satu pokok besar yang berdekatan dengannya. Dia mahu berteduh seketika dari pokok ke pokok hingga ke pokok besar yang berdekatan dengan wad yang menempati wad zon kritikal hospital itu.

Kahariah beralih berlari ke pokok ke dua. Matanya melihat atas pokok itu. Tiada apa-apa yang pelik. Ketika dia melewati pokok ketiga, dia meneliti batang pokok itu. Dia pun tidak tahu nama pokok besar ini. Batang pokok ini sahaja dalam anggaran Kahariah sudah sebesar empat pemeluk.

Kahariah melihat batang pokok yang sudah menggerutu. Pokok ini juga menampakkan usianya yang sudah tua seperti manusia. Kulit pokok ini berkedut-kedut. Pokok-pokok yang ada di belakang hospital ini sama besarnya menggambarkan pokok ini tumbuh pada waktu yang sama. Cuma pokok, semakin tua semakin tinggi dan besar. Berbeza pula dengan manusia. Semakin tua semakin kurus dan membongkok.

Ah!

Kahariah baru tersedar, langit masih lagi menurunkan hujan. Cuma dia tidak merasa hujan turun kerana daun pokok yang besar ini memayungi dirinya yang sedang berteduh. Dia mula bertindak untuk berpindah ke pokok yang semakin hampir dengan belakang wad zon kritikal itu.

Alhamdulillah,

Kahariah menyebut di dalam hati. Akhirnya dia sampai di bangunan belakang wad hospital ini. Kahariah memandang semula ke arah pokok-pokok besar yang ada di belakangnya. Dia mahu mengamati pokok-pokok ini.

Ah!

Tiada apa pula yang misteri. Orang Melayu memang suka buat cerita tidak berfaedah. Apa sikit cerita hantu. Apa sikit cerita hantu. Dunia dah maju pun ada hantu lagi. Kahariah menyumpah seranah bangsanya sendiri. Iya lah, sejak kecil lagi, dia juga mempunyai kawan-kawan yang suka bercerita tentang hantu. Kena cekik hantu, jumpa hantu di dalam bilik, jumpa hantu melintas jalan, jumpa hantu dekat belakang rumah. Di belakang hospital ini pun orang kata ada hantu. Mana hantu?

Tiada.

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh fiona izy