Home Novel Komedi/Romantik Komedi Sesejuk Sumpahan Mimpi
Sesejuk Sumpahan Mimpi
Eidawati
25/9/2018 17:20:13
2,793
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Senarai Bab
Bab 1-1

Sudah berkali-kali Dayana teguk air di dalam botol mineral namun entah kenapa tekaknya tetap terasa begitu kering. Nafas panjang dihela lantas sekilas dikerling ke arah pintu pejabat yang terbuka. Kelihatan beberapa orang pekerja berulang-alik dan nampak sibuk dengan tugas mereka.

“Cari siapa tadi?” Tiba-tiba satu suara menegur.

Dayana segera bangun. Wanita yang mula-mula menyambut kedatangannya tadi kembali semula. Wajah wanita itu kelihatan serius dan di tangannya ada sebuah fail.

“Jefri.Jefri Said.” Jawab Dayana.

“Jefri...”Dia mengangguk-anggukkan kepala. “Dia dah berhenti kerjalah, cik. Dah dua bulan.”

Jawapan wanita itu spontan membuatkan Dayana termangu. Berhenti kerja? Kenapa Jefri tak beritahu apa-apa pada dia?

“Puan tahu mana saya boleh cari Jefri?” Tanya Dayana mula gelisah memikirkan tentang  lelaki itu.

“Macam nilah.” Wanita itu merenung Dayana. “Jefri tu orang kata dapat durian runtuh. Dia kenal sorang anak Tan Sri ni. Dengar cerita mereka berdua nak kahwin dah.”

Terpinga Dayana dibuatnya. Jefri? Tak mungkinlah!

“Jadi saya rasa lebih baik cik balik je lah. Bukannya senang pun nak jumpa dia sekarang ni.” Wanita itu terus memandang muka Dayana.

“Tapi  puan tahu mana saya boleh cari diakan?”

Wanita itu hela nafas sebelum mengangguk lantas dihulurkannya sekeping kertas pada Dayana.Tergesa-gesa Dayana mengambilnya.

“Cik pergilah ke alamat ni. Tapi jangan menyesal pulak nanti.” Sinis dia mengingatkan Dayana sebelum langkah diatur laju meninggalkan Dayana yang masih merenung alamat yang diterimanya.

Tanpa menunggu lama Dayana segera melangkah keluar dari pejabat.

Jefri mesti dicari!

Dayana pasti perempuan tadi sengaja hendak mempermainkannya. Tak ada sebarang berita.Tiba-tiba saja dia diberitahu yang Jefri bakal berkahwin. Tak masuk akal langsung!

Jefri tunangnya dan minggu lepas lelaki itu ada pulang ke kampung menemuinya.

Mungkin perempuan tadi sengaja mereka cerita walaupun dia dimaklumkan yang Jefri sudah berhenti kerja. Dua bulan pulak tu! Kalau Jefri ada masalah, kenapa dia tak bercerita apa-apa?

Sudahnya Dayana menahan teksi. Alamat di tangan, Dayana berikan pada pemandu.

“Alamat ni ke cik?” Tanyanya.

Dayana mengangguk.

“Jalan sesak sikit, cik.” Beritahu pemandu teksi itu.

“Cepat sikit ya. Saya dah lambat ni.” Dalih Dayana menyedari rasa gementar mula menguasai dirinya ketika ini.

Hampir lima belas minit teksi yang tadinya laju mulai bergerak perlahan. Dayana lihat kereta  berderet-deret di jalan. Betullah... sesak! Dayana keluarkan telefon bimbit dan cuba menghubungi Jefri.

Ini sebabnya dia ke sini. Sejak dua hari yang lalu dia tidak dapat menghubungi lelaki itu. Setiap kali nada dering berbunyi, peti simpanan suara yang menjawab.

Sudahnya Dayana nekad hendak mencari Jefri!

“Jauh lagi ke encik?” Tanya Dayana apabila dia menyedari pergerakan kenderaan semakin perlahan.

“Depan tu aje.”

“Kalau macam tu, saya turun kat sini aje lah.” Dayana keluarkan duit lantas dihulurkan pada pemandu teksi.

“Encik ambil duit ni. Tak perlu pulangkan baki.” Dayana segera membuka pintu teksi.

“Eh! Banyak sangat ni cik.” Pemandu itu kelihatan terkejut.

“Tak apa.” Dayana bergegas melangkah keluar lantas menutup pintu teksi.

Serentak itu Dayana dapat mendengar bunyi hon motosikal. Tersentak Dayana dibuatnya!

Sebuah motosikal laju menuju ke arahnya. Dayana menjerit terkejut dan tak semena-mena berpinar pandangannya.

Ya Allah!

“Hoi! Buta ke?!” Jerit penunggang motosikal lelaki yang sempat membrek.

Sorry!” Belum sempat Dayana menjawab, kedengaran suara seorang lelaki meminta maaf.

“Lainkali jalan tu tengok depan lah!” Jerkah penunggang motosikal itu kedengaran bengang.

Pantas Dayana mendongak bila dia menyedari bahunya erat dirangkul oleh seorang lelaki yang entah muncul dari mana. Terkebil-kebil mata Dayana melihat wajah asing yang tidak pernah ditemuinya sebelum ini.

Dayana teragak-agak berpaling bila dilihatnya motosikal tadi sudah memecut laju. Dia kemudiannya tunduk mengambil tas tangan yang terlepas dari pegangannya tadi.

“Terima kasih...” Dayana mendongak namun lelaki yang membantunya tadi sudah tiada lagi di situ.

Terkebil-kebil mata Dayana memandang keliling. Mana dia pergi?

Dayana termangu cuba mencari kelibat lelaki yang tiba-tiba ghaib dari pandangannya! Tak semena-mena dia mula merasa tidak sedap hati!

******

“Cik Dayana Zahri!”

Tergesa-gesa Dayana bangun dari sofa. Dihampirinya kaunter dan wajah staf wanita bertudung di depannya itu dipandang.

“Minta maaf, cik. Saya dah hubungi Encik Jefri di biliknya tapi katanya dia tak kenal dengan cik.”

Dayana renung wajah staf di depannya. Mustahil Jefri pura-pura tak kenal dia!

“Mungkin dia ingat saya ni orang lain kut. Cuba hubungi dia sekali lagi. Mana tahu...”

“Cik...”Jelas senyum nipis di wajah staf wanita itu. “Rasanya elok cik balik. Saya tak boleh ganggu privasi pelanggan hotel ni.”

“Tapi saya tunang dia.” Tegas Dayana bersuara.

Senyuman staf wanita di depannya semakin ketara tidak senang melihat dia ketika ini.

Dayana hela nafas sambil kepala digeleng. Sampai hati, Jefri!

Tanpa sepatah kata, Dayana atur langkah. Dia mengetap bibir sambil cuba memerah otaknya mencari penyelesaian pada kebuntuan yang mula melanda dirinya.

Namun ketika itu dia terpandangkan lelaki yang membantunya tadi.

Tergesa-gesa Dayana atur langkah. Wajah lelaki itu direnungnya agak lama. Dia menyedari lelaki itu kelihatan termangu-mangu seperti mencari sesuatu.

“Encik?”

Lelaki itu menoleh namun setapak dia mengundur bila Dayana ukir senyuman padanya.

“Cik nampak saya ke?”

“Ya?”

“Betul cik nampak saya?” Soalnya lagi seolah-olah tidak percaya melihat Dayana memandangnya.

“Encik tolong saya tadi.” Dayana cuba mengingatkan lelaki itu.

Teragak-agaklelaki itu mengangguk.

Dayana masih merenung wajah asing itu namun ketika ini dia menyedari lelaki itu tidak sepatutnya ditegur apatah lagi muncul di depannya!

Next: Bab 1-2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Eidawati