Home Novel Komedi/Romantik Komedi AKU TANPAMU
Bab 22


Setahun kemudian

Adam memandang lama wajahnya pada cermin. Dia menarik nafas dalam.

“Adam, Elis datang. Cepat sikit bersiap tu,” beritahu Puan Hasna di sebalik pintu biliknya yang masih tertutup rapat.

“Okay mama,” jawabnya perlahan. Dia mencapai baju warna putih yang berlengan pendek lalu memakainya. Jaket warna biru turut dicapai. Dia berlalu keluar dari bilik.

                               ***

Delisya merenung agak lama wajah yang dirinduinya itu. Setahun berlalu benar-benar membuatnya terseksa. Adam bersandar tenang pada kerusinya. Dia turut membalas pandangan wanita itu.

“Apa khabar?” tanyanya lembut.

“Not really good. Sebab rindu awak,” balas Delisya dengan senyuman. Adam ikut tersenyum.

“I miss you too,” balasnya tenang. Delisya terkedu.

Aku mimpi ke?

“So, awak dah ada someone?” soal Adam tanpa sempat Delisya membalas.

“No! I mean, tak ada. Saya single,” jawab Delisya laju tanpa berfikir panjang. Adam tersenyum mengangguk.

“So, saya masih ada peluang lagi kan?” soalnya separuh mengusik. Pipi Delisya sudah bertukar kemerahan.

“Untuk awak ada aje. Cuma awak tu yang jual mahal dengan saya,” balas Delisya tidak mahu kalah. Adam tergelak kecil.

“Bila awak nak datang rumah saya?” soal Delisya tidak sabar. Dia tidak menyangka yang kedatangannya ke rumah lelaki itu pada hari ini bakal merealisasikan impiannya. Sebelum mengambil keputusan untuk bertemu dengan Adam, dia sebenarnya merasa takut. Takut lelaki itu akan menolaknya sama separti setahun yang lalu. Namun kali ini jangkaannya meleset. Adam bukan Adam yang dikenalinya setahun yang lalu. Dia kini baru perasan. Bukan sahaja fizikalnya yang berubah. Personalitinya juga sedikit berubah. Lebih tenang dan mesra. Malah kini pandai mengusik.

“Saya pasti akan datang,” balas Adam dengan senyuman nakal. Delisya tersipu malu.

                               *****

“Kau dah berkemas?” soal Rasya sambil memandang skrin laptopnya.

“Belum lagi. Tak ada benda nak kemas. Baju aku bukannya banyak sangat,” jawab Bella sambil memandang langit malam.

“Jangan pula tiba-tiba kau tak jadi balik. Aku pergi kat sana bawa semula kau balik ke sini,” kata Rasya separuh mengugut. Kedengaran Bella tergelak kecil.

“Kau sihat?” soalnya.

“Amboi kau, dah nak balik baru ingat tanya soalan tu?” soal Rasya separuh memerli. Rasya tergelak lagi.

“Ni dah cukup baik aku tanya tau,” usiknya. Rasya menggelengkan kepalanya.

“Kau ni sebenarnya nak tanya khabar aku atau Adam?” usiknya pula. Bella terdiam mendengar usikan gadis itu. Dia agak berdebar mendengar nama lelaki itu disebut.

“Dia apa khabar? Ada datang cafe?” soalnya ingin tahu. Giliran Rasya pula yang tergelak kecil.

“Aku dah agak dah. Kau saja nak jadikan aku sebagai alasan. Sebenarnya kau nak tahu keadaan buah hati kau tu kan?” tekanya separuh mengusik.

“Cepat lah jawab,” gesa Bella tidak menafikan tekaan gadis itu.

“Aku tengok Adam tu okay aje. Dia semakin handsome sejak kau ke London. Kalau kau tak nak balik, aku boleh ganti tempat kau,” balas Rasya semakin galak mengusik.

“Jangan mimpi minah oi,” kata Bella sebelum tergelak. Rasya ikut tergelak.

“Kalau takut sangat, cepat lah balik,” balas Rasya. Bella hanya tersenyum mendengar kata-kata gadis itu.

“Ada orang nak jumpa aku. Nanti aku call semula,” beritahu Rasya sebelum menekan punat merah. Bella menarik nafas dalam.

Adam…,

                                 *****

“Berapa hari kau kat sini?” soal Marwah sambil memandang tepat wajah Chinta yang sedang duduk di hadapannya itu. Chinta tersenyum.

“Sampai Adam nak terima aku jadi isterinya,” jawabnya tenang. Marwah menggeleng perlahan.

“Dah setahun berlalu. Kau masih ingatkan dia?” soalnya dengan kening berkerut.

“Aku tak pernah lupakan Adam,” balas Chinta kini memandang gadis itu semula.

“So, bila kau nak jumpa dia?” tanya Marwah semula.

“Mungkin esok. Tadi Elis ada call aku. Dia kata Adam dah berubah. Tak sabar aku nak jumpa dia,” jawab Chinta agak teruja.

“Maksudnya Adam dah terbuka hati nak terima kau dan dua orang kawan kau tu?” soal Marwah dengan kening terangkat. Chinta menganggukkan kepalanya.

“Chin, kau serius? Kau okay ke nak bermadu dengan mereka?” soal Marwah lagi. Dia sebenarnya risaukan gadis itu. Chinta tergelak kecil.

“Kau jangan risau. Aku memang dah lama rela nak bermadu dengan mereka. Aku tak nak kehilangan dia,” balasnya tenang dengan senyuman. Marwah mengeluh perlahan.

“Lah, kenapa pula nak mengeluh ni? Aku baru aje sampai kau dah mengeluh,” rungut Chinta.

“Aku cuma risaukan kau. Yelah, sekarang ni memang kau kata sanggup dan rela. Tapi perasaan tu tak sama bila kau dah kahwin nanti. Manis pada luar, hempedu dalamnya,” balas Marwah perlahan. Chinta menyentuh jemari gadis itu yang berada di atas meja.

“Terima kasih Wa sebab risaukan aku. Ni yang buat aku sayang sangat dengan kau. Tapi aku janji yang aku akan bahagia dengan pilihan ni. Kau tak payah risau lagi sebab aku dah ada tempat nak berkongsi. Selepas ni beban kau akan berkurang,” katanya separuh mengusik.

“Sempat pula nak perli aku,” balas Marwah sambil menepuk lembut tangan rakannya itu. Chinta tergelak kecil.

“Kau tu pun kena lah cari seseorang. Aku risau kau duduk seorang kat rumah ni,” katanya turut risau. Giliran Marwah pula yang tergelak.

“Tu lah aku ingat nak kahwin dengan Adam juga. Kau okay tak kalau kita jadi madu?” soal Marwah sengaja mengusik gadis itu.

“Nak kena?” bulat mata Chinta memandang gadis itu. Marwah tergelak besar.

“Tau takut.”

                                 *****

“Aku nak tanya kau. Kenapa dah lepas setahun baru kau terbuka hati nak balik sini?” soal Rasya sambil memandang sekilas ke arah gadis yang sedang duduk di bahagian penumpang.

“Kau tak suka aku balik?” soal Bella semula sambil memandang Rasya yang sedang memandu.

“Kalau aku tak suka, tak lah aku ambil kau kat airport. Kau tu tak tahu hampir setiap malam aku berdoa supaya kau cepat balik,” balas Rasya. Bella tergelak kecil.

“Yelah. Aku dah balik kan?” balasnya masih dengan senyuman.

“Tapi kenapa tak balik setahun yang lalu. Masa tu papa kau dah setuju nak terima Adam. Kau pula tak muncul,” soal Rasya lagi tidak berpuas hati.

“Masa tu aku masih nak beri ruang pada Adam. Kau kan tahu Adam tu masih tak boleh lupakan arwah tunangnya,” jawab Bella dalam nada perlahan.

“So, sekarang ni kau yakin yang Adam dah lupakan arwah tunangnya?” soal Rasya lagi. Bella mengeluh perlahan. Dia sebenarnya cuba mengelak soalan itu. Namun seperti yang dijangkanya, gadis itu pasti akan bertanyakan soalan tersebut.

“Aku tak tahu,” jawabnya perlahan. Rasya mengambil keputusan untuk berdiam diri sahaja apabila melihat wajah gusar gadis itu.

                                 *****

“Riak wajah Elis jelas menunjukkan Elis sedang gembira. Ada yang aunty tak tahu?” soal Datin Syahida sambil tersenyum memandang wajah ceria Delisya.

“Adam dah boleh terima saya, aunty. Dia kata nak hantar rombongan tak lama lagi,” jawabnya sambil tersipu malu.

“Alhamdullillah. Akhirnya penantian Elis berakhir. Aunty tumpang gembira,” ucap Datin Syahida dengan senyuman lebar.

Tak lama lagi dapat menantu lah aku.

“So, bila tu? Lupa nak tanya pasal…,” Datin Syahida terdiam sejenak. Rasa serba salah untuk meneruskan.

“Bakal madu saya?” teka Delisya sambil tergelak kecil.

“Gelak pula dia,” bulat mata Datin Syahida memandang gadis itu.

“Bella dan Chinta dah balik sini. Tapi rasanya mereka tak jumpa Adam lagi,” beritahu Delisya dengan tenang. Datin Syahida mengangguk perlahan.

“Aunty nak tanya sekali lagi. Bukan apa, aunty cuma nak kepastian.”

“Apa dia aunty?” tanya Delisya agak berdebar.

“Elis masih nak teruskan niat nak bermadu dengan dua orang tu?” soal Datin Syahida dengan kening berkerut. Delisya tersenyum mendengar pertanyaan wanita itu.

“I’m okay, aunty,” jawabnya sambil mengangguk perlahan cuba meyakinkan wanita itu. Datin Syahida menarik nafas panjang.

“Aunty harap Elis tak menyesal suatu hari nanti,” katanya dengan senyuman hambar. Delisya pantas menggeleng.

“No aunty. Elis tahu aunty risaukan Elis. Tapi aunty jangan risau. Adam lelaki baik,” balasnya dengan senyuman lebar. Datin Syahida mengangguk perlahan. Jauh di sudut hatinya dia tetap kurang senang dengan pilihan gadis itu. Namun bila melihat riak wajah teruja Delisya membuatnya tidak sampai hati untuk berterus terang.

                                   *****

“Tadi Adam ada datang jenguk papa,” beritahu Datuk Taufiq sambil memandang Delisya yang sedang leka dengan makanannya. Delisya membalas pandangan orang tua itu.

“Adam buat apa?” soalnya dengan perasaan berdebar.

“Saja datang tanya khabar. Masa Elis kat Melaka pun Adam memang selalu jenguk papa. Elis aje yang tak tahu,” balas Datuk Taufiq dengan senyuman. Delisya terkedu.

Adam selalu datang jumpa papa?

Bisik hatinya kurang percaya.

“Tapi tadi Adam ada bincang hal lain dengan papa. Pasal Elis dan dia,” sambung Datuk Taufiq lagi. Delisya berdehem perlahan. Hanya Allah yang tahu debaran di dadanya saat itu.

“Bulan depan Adam nak masuk meminang Elis,” beritahu Datuk Taufiq akhirnya. Perlahan senyuman lebar terukir pada bibir Delisya. Mahu sahaja dia menari gembira namun ditahannya kerana papanya ada ketika itu. Datuk Taufiq tersenyum melihat senyuman lebar gadis itu.

“Elis dah bersedia?” soalnya separuh mengusik. Delisya mengangguk pantas.

“Yes,” jawab Delisya sambil tergelak kecil. Datuk Taufiq ikut tergelak. Melihat riak wajah gembira anaknya itu sudah cukup menggembirakannya. Dia kini sudah boleh menarik nafas lega.

                                 *****

Ekram tergelak kecil. Adam hanya tersenyum memandang sahabatnya itu.

“Aku tumpang bahagia Dam. Akhirnya kau buat keputusan yang tepat. Aku akan sentiasa sokong kau,” kata Ekram dengan senyuman. Dia gembira apabila mendengar keputusan lelaki itu yang sudah bersedia mahu memperisterikan Delisya.

“Terima kasih Ram,” ucap Adam dengan senyuman.

“Tapi kalau aku tanya boleh tak?” soal Ekram kini agak serba salah.

“Apa?” soal Adam pula agak berdebar.

“Macam mana pula dengan Bella dan cikgu cantik tu?” soal Ekram sambil tersengih. Adam terdiam mendengar soalan lelaki itu. Dia bersandar pada kerusinya.

“Tak apa kalau kau tak nak jawab. Aku dah cukup happy bila kau dah buat pilihan ni,” kata Ekram apabila melihat riak wajah lelaki itu yang berubah.

“Aku tak boleh pilih semuanya Ram. Aku tak nak sakitkan hati sesiapa,” balas Adam sambil mengeluh perlahan.

“Lagipun aku tak mampu nak kahwin sampai tiga sekaligus,” sambungnya lagi.

“Tak mampu dari segi apa tu ek?” soal Ekram separuh mengusik.

“Aku takut tak mampu berlaku adil,” jawab Adam dengan tegas. Ekram mengangguk faham. Adam mengalihkan pandangannya ke luar tingkap. Jauh di sudut hatinya, sebenarnya dia rindukan seseorang.

“Kenapa pilih Elis?” soal Ekram lagi. Adam berpaling memandang lelaki itu semula.

“Dia wanita baik,” jawabnya dengan senyuman. Ekram mengangguk lambat. Dia sebenarnya masih tidak berpuas hati dengan jawapan lelaki itu. Namun dia batalkan niatnya untuk bertanya lebih lanjut kerana takut membuat rakannya itu tidak selesa.

Aku lega kau dah buat keputusan Dam.

 


Previous: Bab 21
Next: Bab 23

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.