Home Novel Komedi/Romantik Komedi KURANG ASAM PUNYA BOS! EDISI KHAS RAMADAN DAN RAYA
KURANG ASAM PUNYA BOS! EDISI KHAS RAMADAN DAN RAYA
nuroll shazlinda hairul
1/7/2014 21:35:23
121,818
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
Senarai Bab
8

8

Firuz Eidil ternganga luas. Jemarinya digenggam kejap. Dadanya berombak. Dia meletakkan briefcasenya atas kerusi.

“Elfira!!!” jeritnya kuat. Namun tiada sahutan daripada Elfira. Hati Firuz Eidil semakin panas apabila panggilannya tidak bersambut. Laju kakinya melangkah menuju ke bilik.

Buntang matanya apabila melihat Elfira sedang lena tidur. Dilihat telapak tangan Elfira masih bersisa tepung yang sudah mengering. Semakin mendidih Firuz Eidil dibuatnya. Dia mendapatkan Elfira lalu digoncang tubuh Elfira kuat.

“L, bangun! Bangunlah!” jerkahnya kuat.

Elfira yang merasakan tidurnya terganggu terus mencelikkan matanya. Dia mengukir senyuman apabila melihat Firuz Eidil.

“Abang dah lama balik ke? Maaflah L tertidur,” ujarnya lembut.

Firuz Eidil tidak menjawab sebaliknya dia terus menarik tangan Elfira lalu dibawanya ke dapur. Elfira terpempan dengan tindakan Firuz Eidil yang tidak semena-mena itu. Cengkaman kuat dipergelangan tangannya membuatkannya berasa sakit.

“Abang, kenapa tarik L macam ni? Sakitlah! Lepaskanlah tangan L,” rayu Elfira.

Firuz Eidil tidak mempedulikan rayuan Elfira. Sedikit rasa simpati tidak terbit di hatinya. Sebaik tiba di dapur, Firuz Eidil melepaskan cengkamannya. Elfira menggosok pergelangan tangannya. Merah sudah pergelangan tangannya akibat cengkaman yang kuat. Bibirnya sudah memuncung. Bengang dengan tindakan Firuz Eidil.

“Apa semua ni L? Kenapa dapur berkecah sampai macam ni sekali?” jerkah Firuz Eidil.

Tersentak Elfira mendengar nada tinggi Firuz Eidil itu. Dia kemudiannya menyengih sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal.

“Maaflah, tadi L buat kuih. Tu... banyakkan L buat kuih,” ujarnya sambil menunjukkan ke arah balang-balang yang telah terisi kuih yang dibuatnya. Dia berharap hati Firuz Eidil akan terpujuk dengan kesungguhannya.

Malangnya, sedikitpun tidak diendahkan oleh Firuz Eidil. Sebaliknya dia dihadiahkan dengan renungan tajam seolah-olah ingin mahu menelannya ssat itu juga.

“Kenapa abang pandang L macam tu? Abang marahkan L ke?”

Firuz Eidil masih seperti tadi.

“Abang?”

“L, awak tahu tak yang awak sekarang ni merimaskan saya? Saya macam dah tak kenal awak lagi. Awak yang saya kenal dulu beza sangat dengan sekarang! Awak buat saya rasa menyampah, jelek, rimas dengan sikap dan perangai awak. Awak tu bukan budak-budak lagi. Awak nak jadi mak orang pun. Tapi perangai awak... tengoklah...” Firuz Eidil menunjuk sekeliling.

“Saya penat, saya tidurlah sekejap. Bukan saya tak nak kemas,” beritahu Elfira perlahan. Nada cerianya bertukar sayu.

“Penat? Habis tu awak ingat saya tak penat? Saya kerja, L! Bila saya balik rumah, saya nak rehat bukan nak tengok semua ni. Apa guna awak sebagai isteri kalau rumah macam kapal pecah? Kalau macam tu lebih baik saya tak payah kahwin. Saya dah penat nak layan kerenah awak tu! Apa yang awak nak semua saya tunaikan, sampaikan awak suruh saya tukar baju berbelas kali pun saya ikut. Awak buat kerja gila dengan keluarkan semua periuk belanga, pinggan mangkuk, konon-kononnya untuk cuci pun saya turutkan. Tapi kalau awak asyik buat kerja-kerja bodoh ni, terus-terang saya cakap awak memang dah melampau!Eeee... macam manalah saya boleh jatuh cinta dan berkahwin dengan perempuan macam awak! Merimaskan! Meluat!”

“Abang menyesal ke kahwin dengan L?”

“Iya memang menyesal!”

Kolam mata Elfira seakan mahu pecah. Hatinya bagai dihiris-hiris. Kata-kata terakhir dan jawapan daripada Firuz Eidil benar-benar menikam tangkai hatinya. Disabarkan hatinya.

“Saya minta maaf. Saya akan kemaskan semua ni. Abang naiklah rehat.”

“Saya nak keluar! Rimas saya duduk kat rumah ni. Saya berbuka kat luar. Pandai-pandailah awak nak berbuka sendiri.”

Firuz Eidil terus melangkah keluar. Elfira memandang sayu. Gugur jua air matanya. Dia mengusap perutnya perlahan. Dia melihat dapurnya yang seperti baru lepas berperang itu. Dia tahu suaminya itu benar-benar marah. Dia tidak kisah jika dia dimarahi kerana kesilapannya. Tetapi dia terluka apabila Firuz Eidil menyesal jatuh cinta dan berkahwin dengannya. Itu yang membuatkan hatinya terhiris pedih. Lincah tangannya mengemas dapur.

Penat mengemas, dia melabuhkan punggungnya ke kerusi. Dapurnya yang bagaikan dilanda tsunami kini tampak bersih dan kemas. Elfira memandang sekeliling. Dapur itu banyak kenangan antaranya dan Firuz Eidil. Di situ, dia pernah dibuli. Di situ dia melihat bagaimana mi gorengnya dan kopi o nya dibuang. Di situ juga dia dan Firuz Eidil masak bersama-sama setelah mereka berkahwin. Segalanya cukup indah dan hari ini, di situ juga dia telah mendengar kata-kata penyesalan daripada Firuz Eidil. Elfira tersentak dari lamunannya apabila dia mendengar azan maghrib berkumandang.

“Astaghfirullahalazim.” Elfira beristighfar. Segera dia berbuka puasa. Dia sekadar meneguk air kosong dan memakan kurma. Kemudian dia mengambil kuih samperit yang telah dibuatnya, lalu dimasukkan ke dalam tong sampah. Kemudian dia terus menuju ke bilik. Segera dia menunaikan solat maghrib. Usai solat maghrib, Elfira mengemas pakaiannya ala kadar lalu dimasukkan ke dalam beg. Begitu juga dengan barangan peribadinya. Matanya tertancap pada baju raya dia dan Firuz Eidil yang tergantung. Perlahan air matanya mengalir.

Elfira meletakkan begnya di pintu bilik. Laptop Firuz Eidil dibuka. Dia menaip sesuatu pada laptop tersebut. Elfira memandang ke arah cincin yang tersarung dijari manisnya. Dia kembali ke almari lalu ditariknya laci dan dikeluarkan kotak cincin. Cincin yang dijarinya dikeluarkan lalu dimasukkan ke dalam kotaknya semula. Setelah itu, dia meletakkan kotak tersebut di sebelah laptop. Semua barang yang Firuz Eidil berikan kepadanya, ditinggalkan. Tiada satu pun yang dibawanya bersama melainkan anak dalam kandungannya. Elfira mencapai begnya lalu turun ke tingkat bawah. Gambar perkahwinan mereka dipandang sayu. Dia tersentak apabila mendengar bunyi hon yang bertalu-talu. Elfira melihat sebuah teksi sedang menantinya. Dengan berat hati, dia melangkah keluar dari rumah tersebut. Dia terus meninggalkan rumah dengan seribu satu rasa yang sukar diungkapkan.

Firuz Eidil merenung kosong ke arah nasi bungkus yang dibelinya tadi. Hilang seleranya untuk menikmati nasi bungkus tersebut. Dia hanya menjamah sesuap dan minum seteguk mineral water. Lalu dia terus menunaikan solat maghrib. Hatinya kembali tenang.

Selesai solat maghrib, Firuz Eidil kembali melabuhkan punggungnya di sofa. Ruang pejabatnya dipandang kosong. Ingatannya menerewang kepada apa yang berlaku petang tadi. Rasa bersalah menghimpit hatinya. Wajah sayu Elfira, tubir mata yang bergenang, membayanginya. Wajahnya diraup. Dia beristighfar.

“Ya Allah, apa yang telah lakukan pada isteriku? Firuz, apa dah jadi dengan kau ni? Kenapa kau buat dia macam tu? Mana perginya kesabaran kau, Firuz,” omelnya sendiri.

Wajah Elfira terus menghantuinya. Masih dia ingat betapa pucatnya wajah Elfira semasa dia mengejutkan isterinya itu bangun petang tadi. Tapi wajah itu tak mampu menyejukkan hatinya yang sedang panas. Bahkan hatinya bertambah panas apabila melihat Elfira tidur dengan tangan yang masih bersisa bancuhan tepung yang sudah kering.

“Maafkan abang, L,” rintihnya. Firuz Eidil terus mencapai kunci kereta. Dia harus memohon maaf dan pujuk Elfira. Sewaktu melewati surau di kawasan perumahannya, dia mengambil keputusan untuk menunaikan solat terawih terlebih dahulu.

Usai solat terawih, dia terus memecut laju. Setibanya di rumah, dia melihat rumahnya masih terang-benderang. Dia yakin Elfira pasti belum tidur. Dengan lafaz bismillah, dia masuk ke dalam rumah. Nama Elfira dilaungkan. Namun tiada sahutan.

Dia terus menuju ke dapur. Mulutnya tidak berhenti memanggil Elfira disertai dengan ungkapan maaf dan rayuan. Dia melihat ruang dapurnya kelihatan kemas. Dia menuju pula ke sinki. Tiada tanda-tanda yang Elfira masak untuk berbuka. Dia membuka tong sampah, tujuannya untuk melihat jika ada sisa-sisa yang dimakan oleh Elfira. Sayangnya, dia hanya melihat kuih samperit yang dibuat Elfira dibuang ke dalam tong sampah itu. Rasa bersalah semakin mencengkam dirinya.

“Maafkan abang, L,” rintihnya.

Firuz Eidil terus mengatur langkah menuju ke biliknya. Dia melihat biliknya gelap-gelita. Suis lampu ditekannya. Sebaik lampu menyala, dia melihat Elfira tiada di katil. Dia penasaran.

“L! L! L kat mana? Janganlah main sorok-sorok dengan abang. Abang tahu abang salah sebab melulu marahkan L. Sayang, janganlah bergurau macam ni. Kalau merajuk pun janganlah menyorok. L!”

Masih tiada sahutan daripada Elfira. Matanya tertancap pada meja kerjanya. Dia melihat barang-barang peribadi milik Elfira terletak elok di situ. Dia terus menuju ke meja kerjanya. Sticky note yang tertampal pada laptopnya dibaca.

Ada nota untuk abang di dalam laptop.

Firuz Eidil menghidupkan laptopnya yang berada dalam mode sleep.

Assalamualaikum abang,

Ketika abang membaca nota ini, L tiada lagi di sini. Abang, izinkan L untuk keluar dari rumah ini. Biarlah L cari hidup L sendiri. L tahu, L dah banyak susahkan abang. L sedar, perangai L selama ini membuatkan abang berasa rimas, menyampah, sakit hati dan menjengkelkan. L faham sangat perasaan abang bila abang kata semua itu pada L tadi. L pun pernah laluinya. Jadi L teramat faham perasaan abang. L sedar, L tak layak untuk abang. Tadi abang tanya, macam mana abang boleh jatuh cinta dengan perempuan macam L? Mungkin abang tak pernah jatuh cinta pada L pun. Kata cinta yang abang ungkapkan pada L hanyalah kebohongan hati abang. Mungkin waktu tu, abang cuma nak buktikan pada Julia, yang abang mampu hidup tanpa dia dan abang jadikan L sebagai pengganti Julia. Salah L jugakan, sebab percaya yang abang cintakan L. Tak sepatutnya L cari abang dulu. Kan bagus kalau waktu tu L terus ikut angah ke UK. Sekurang-kurangnya L tak dengar ungkapan penyesalan daripada abang. Bodoh L ni kan? Tak sedar yang selama ni abang menyesal jatuh cinta dan berkahwin dengan L. Abang, L tahu L tak layak jadi isteri abang. L ni kasar, L ni tak ada ciri-ciri langsung untuk jadi isteri yang baik. Dengan itu, L kembalikan semua pemberian abang pada L. Dengan rendah hati, L minta ampun dan maaf atas segala kesalahan L pada abang, halalkan makan, minum dan segala pemberian abang pada L. Terima kasih sebab menjadi seorang suami yang baik untuk L sepanjang perkahwinan kita ni. Abang, izinkan L untuk bawa zuriat kita bersama L. L doakan agar abang temui pengganti L. Satu permintaan terakhir daripada L, tolong lepaskan L. Jangan paksa diri abang untuk mencintai L. Jaga diri abang baik-baik. Salam ramadan dan selamat hari raya aidilfitri, maaf zahir dan batin buat abang. L akan belajar untuk lupakan abang.

Berjurai air mata Firuz Eidil membaca luahan hati Elfira.Rasa bersalah terus menular ke setiap urat nadinya.

“L, maafkan abang. Abang langsung tak bermaksud apa yang abang cakapkan pada L. Abang sayang dan cintakan L. Kembalilah pada abang L. Elfira!!!” laungnya dengan nada kesal beserta deraian air mata.

Previous: 7
Next: 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.