Home Novel Komedi/Romantik Komedi Have A Goodnight
Have A Goodnight
Raimah Dain
29/7/2018 11:56:22
54,318
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 06

AARON Mikail cucu lelaki ketiga Dato Daniel. Anak kepada Muhammad Haikhal dan Nadia. Aaron berusia 20 tahun dilahirkan dan dibesarkan di Sabah. Ibu dan ayah Aaron maut dalam kemalangan jalan sepuluh tahun lepas. Semenjak itu, Aaron dibesarkan oleh datuk dan neneknya” jelas Fitri berdiri di hadapan skrin putih sambil memaparkan beberapa keping gambar berkait dengan Aaron dan latar belakangnya.

Hani hanya mendengar penjelasan Fitri dengan senyap. Pada awalnya dia tidak berminat untuk mendengar kisah Aaron. Tetapi sekarang baru dia faham kenapa Aaron berkelakuan seperti itu. Dia kehilangan orang tuanya dalam usia yang terlalu muda. Dalam usia dia amat memerlukan kasih saang ibu dan ayah. Kesian juga budak Aaron tu. Bisik hatinya..

 “Aaron cuma tamat tingkatan lima. Kemudian dia mengusahakan kebun milik datuknya dan berniaga di pasar. Karakter Aaron agak sedikit kasar, suka cakap lepas dan tak peduli tentang perasaan orang lain. Jadi Cik Hani mungkin akan ada masalah untuk memahami Aaron. Seterusnya adalah…” Fitri menekan tetikus yang tersambung dengan komputer riba.

Namun belum sempat dia berbuat sedemikian. Tiba-tiba Hani yang tadinya hanya mendengar. Fitri melarikan pandangan daripada skrin besar dihadapannya kepada Hani yang sedang duduk dekat meja mesyuarat yang besar. Tetapi cmua dia sahaja yang berada di situ.

“Tunggu, kenapa saya setuju ikut awak datang sini?” soal Hani dengan wajah berkerut. Hani menggaru-garu kepala yang gatal dengan pen sambil tersenyum. Dia sepatutnya sudah menjangkakan perkara ini dari awal tadi. Tetapi disebabkan rasa kasihan pada Fitri yang sanggup membongkokkan tubuh serendah sembilan puluh darjah dan merayu semata-mata mahu Hani mengikutnya ke pejabat Dato Daniel. Hani terpaksa mengalah.

Fitri tidak menjawab pertanyaan Hani. Sebaliknya dia hanya berdiri kaku memandang tepat ke wajah Hani.  

Tiba-tiba Hani menolak kerusi ke belakang. “Saya nak balik. Saya takkan setuju untuk jaga cucu dato yang gila ni. Apatah lagi budak Aaron yang dah cederakan saya. Pergilah cari orang gaji lain untuk mereka. Saya tak nak” punggung dia angkat dari kerusi lalu berpaling membelakangi Fitri.

“Dato bukan nak Cik Hani jadi orang gaji dia orang. Dato cuma nak Cik Hani bantu dia untuk satukan keluarga ni. Dato tak ada sesiapa lagi melainkan cucu-cucu dia. Dia tak mampu lakukan sendiri dan dia percaya Cik Hani adalah orang yang ditakdirkan untuk satukan mereka” kata Fitri. Sedaya upaya dia cuba meyakinkan Hani. Walaupun dia sendiri tidak mengerti maksud disebalik kata-kata Dato Daniel tentang pertemuannya dengan Hani telah ditakdirkan oleh Allah.

Hani tersenyum sinis saat mendengar kata-kata Fitri. Takdir? Karut. Apa kena mengena aku dengan keluarga Dato Daniel pula?  Sampaikan hidup aku ditakdirkan untuk berjumpa dengan cucu-cucu dia yang entah siapa-siapa. Budak Aaron seorang dah buat aku cedera macam ni. Tambah cucu dia dua orang tu. Mahu koma aku dekat hospital nanti. Bisik hatinya. Membayangkan sahaja sudah buat dia kecut perut. Apatah lagi kalau berhadapan dengan ketiga-tiga cucu Dato Daniel nanti.

“Maafkan saya. Tapi saya tak boleh” Hani muktamad dengan keputusannya. Langkah mula diatur mahu beredar keluar dari bilik itu.

“Seterusnya adalah Rifqy Adwa” sambung Fitri. Matanya masih merenung Hani yang sedang membelakanginya.  

Rifqry Adwa? Langkah kaki Hani terhenti saat mendengar nama yang agak biasa dia denganri. Perlahan-lahan dia menoleh ke belakang. Kelihatan gambar Adwa terpampang di skrin besar dihadapannya. Adwa? Macam mana pula dia boleh jadi cucu Dato Daniel? Apa semua ni?  Hani tercengang untuk seketika kerana tidak percaya dengan apa yang dilihatnya saat ini.

“Lelaki dalam gambar tu ialah Rifqy Adwa, berusia 23 tahun anak kepada Encik Khairel Syukri dan Puan Auliya. Rifqy dilahirkan di Indonesia dan membesar di sana selama  lima tahun. Setelah itu mereka sekeluarga berpindah ke Malaysia. Tidak lama kemudian ayah Rifqy meninggal dunia setelah bertarung menentang kanser selama bertahun-tahun dan ibunya pula kembali ke Indonesia. Dia tinggalkan Rifqy pada Puan Fauziah iaitu orang gaji mereka. Sama seperti Aaron, Adwa juga lepasan SPM dan sekarang mengusahakan perniagaan trak makanan” Fitri menekan tetikus komputer riba untuk meneruskan penerangannya.

Kemudian terpapar gambar Adwa sedang melayan pelanggan yang datang ke trak makannya. Dalam gambar itu jelas kelihatan Hani sedang membantu Adwa.

“Seperti yang Cik Hani dapat lihat dalam gambar. Itu adalah Rifqy Adwa dan trak makanannya dan… Saya rasa Cik Hani sendiri kenal perempuan yang ada dekat sebelah  dia tu kan?” jelas Fitri yang diakhiri dengan pertanyaan.

“Adwa cucu Dato Daniel?” gumam Hani. Bibir dia ketap lalu melarikan pandangan pada Fitri. Semua ini kebetulan atau sudah dirancang atau sememangnya ini adalah takdir? Tanpa dia sedari dia. Bukan sahaja Aaron cucu kepada Dato Daniel yang dia baru kenali kelmarin. Tetapi Adwa juga merpuakan cucu Dato Daniel yang sudah dia kenali sejak tiga tahun lepas. Kenapa aku tak pernah sedar siapa Adwa yang sebenarnya? Kau memang gila Hani! Keluh Hani dalam hatinya.

“Rifqy satu-satunya cucu dato yang sanggup berpindah ke vila. Tapi dia tidak tinggal di vila dan cuma akan datang melawat bila dia ada masa terluang atau untuk bersihkan vila. Karakter Rifqy… Rasanya saya tak perlu jelaskan sebab Cik Hani lebih mengenali dia dari saya. Cik Hani tak perlu buat apa-apa untuk Rifqy cuma yakinkan dia supaya bertemu dengan Dato Daniel dan dua orang lagi cucu dato. Di luar dia nampak seperti seorang yang mesra. Tapi dia banyak memendam rasa sakit selepas pemergian ayah dan ibu kandungnya meninggalkan dia sendiri” bukan main panjang lagi penjelasan Fitri tentang adwa. Boleh buat satu muka surat karangan bahasa Melayu.

Hani akui apa yang dikatakan oleh Fitri benar. Di luar Adwa kelihatan seperti seorang yang ceria, lembut hati, suka tersenyum terutamanya ketika berhadapan dengan pelanggannya. Tetapi adakalanya dia melihat Adwa mengalirkan air mata sambil menatap gambar seseorang. Sekarang barulah dia tahu rupa-rupanya gambar yang selama ini menjadi rahsia Adwa bukanlah gambar teman wanitanya. Tetapi gambar orang tuanya.

Kenapa dia tak pernah cerita benda ni dengan aku? Selama ni dia selalu anggap aku macam kawan baik dan juga adik dia. Tapi macam mana aku boleh tak tahu siapa diri dia yang sebenar? Huh! Rifqy Adwa, kau memang nak kenakan? Siaplah kalau aku jumpa kau nanti. Penumbuk dia genggam kuat sambil bibir diketap memandang gambar Adwa di skrin besar.

 “Cik Hani” panggil fitri.

“Uh?” suara Fitri menyedarkan Hani dari lamunannya. Pandangan terus dihalakan pada Fitri yang masih lagi berdiri di hadapan komputer riba.

“Cik tak nak duduk?” soal Fitri. Sudah hampir tujuh minit dia cuma berdiri kaku memandang ke skrin yang seolah-olah telah memukaunya.

“Hmmm… Saya akan duduk. Teruskan” jawabnya. Kerusi dia tarik lalu duduk.

Fitri tersenyum untuk pertama kalinya di hadapan Hani kerana merasakan gadis kasar. Tetapi sebenarnya memiliki sifat kewanitaan itu sudah mula tertarik dengan pembentangannya. Tidak sia-sia dia menghabiskan masa bertahun-tahun untuk menjejaki cucu-cucu Dato Daniel dan akhirnya dia bertemu dengan seseorang yang tepat untuk memberikan pengajaran kepada mereka bertiga. Demi dato saya sanggup lakukan apa saja.

“Baiklah yang terakhir sekali adalah Muhammad Aryan Lim Hyun Shik. Berusia 25 tahun. Anak kepada Im Jae Hyun dan Melllisa Aryan merupakan cucu sulung dato yang dilahirkan dan membesar selama beberapa tahun di vila. Tapi disebabkan perkahwinan Puan Mellisa dan Im Jae Hyun tidak direstui dan Im Jae Hyun terpaksa kembali ke Korea atas urusan perniagaan. Jadi mereka tiga beranak tinggalkan vila” jelas Fitri. Tiba-tiba dia terdiam saat mata terpana pada gambar Hyun Shik sekeluarga sedang tersenyum.

Wait, d... dia ni cu… cu… cucu dato juga? Lim Hyun Shik?” tergagap-gagap Hani ketika bertanyakan soalan itu. Jari telunjuknya terhala pada gambar Hyun Shik.

“Cik Hani kenal dia?” tanya Fitri hairan.

Hani menggeleng-gelengkan kepala. “Tak kenal, saya tak kenal dia pun. Saya cuma terkejut sebab dia good looking” tersengih. Alahai kenapalah mamat handsome ni cucu dato pula? Dahlah kacak, suara pula bak buluh perindu. Hei, dia ni boleh buat aku jadi wanita melayu terakhir nanti. Wait… wait… maknanya dia fahamlah apa yang aku cakap malam tu? Oh my god! Aku dah bagi bad impression kat dia. Wajah Hani berkerut ketika mengingat kejadian pertemuannya bersama Hyun Shik.

“Cik Hani, Cik Hani okey?” tanya Fitri.

“Uh? Saya okey. Sila teruskan” jawab Hani dengan senyuman.  

“Aryan boleh bertutur dalam empat bahasa,.  Melayu, Korea, Mandarin dan Jepun. Selain itu…” belum sempat dia menyebut perkataan seterusnya. Sekali lagi Hani mencelah

“Boleh tahan anak-anak dato ni. Seorang menantu orang Sabah, seorang Indonesia, memantu lelaki pula dari Korea/ Lot’s of mix gitu. Tapi kenapa semua menantu dan anak dia, dia halau dari rumah? Sekarang tak pasal-pasal diri sendiri yang menyesal” setalah sekian lama dia hanya mendengar segala penjelasan Fitri yang sudah memakan masa hampir sejam. Akhirnya dia bertanya juga sebab mengapa Dato Daniel terpisah dari anak-anak dan cucunya.

Fitri menghela nafas panjang. Dia tidak pasti sama ada dia patut menceritakan hal yang sebenar kepada Hani ataupun biarkan saja perkara itu terus menjadi tanda tanya. Tetapi tindakkan Hani yang sekali lagi menolak kerusi ke belakang dan hendak berdiri menyebabkan Fitri terpaksa membuat keputusan untuk menceritakan hal yang sebenar.

“Perkahwinan Mellisa dan Im Jae Hyun dihalang atas faktor perbezaan agama dan budaya. Biarpun Im Jae Hyun sudah memeluk agama Islam dan cuba yang terbaik supaya diterima oleh dato. Tapi dato seorang yang degil dan melayan Im Jae Hyun dengan dingin. Aryan turut terkena tempiasnya. Selepas lama bertahan akhirnya ayah Aryan buat keputusan untuk kembali ke Korea bersama isteri dan anaknya…”

“Kedua-dua orang tua dia masih hidup?” celah Hani. Sebelum sempat Fitri menamatkan bicaranya.

“Ya” jawab Fitri.

Hani mengangguk. Pandangan kembali ditumpukan pada skrin. Wajah Hyun Shik dia renung, lama. Sebelum Fitri bergerak ke slide yang seterusnya.

“Saya teruskan, Aryan adalah graduan dari Seoul National Art Universiy dalam bidang seni persembahan dan sekarang dia aktif dalam seni persembahan teater di sekitar Seoul. Selain itu pada masa lapang dia akan lakukan busking di sekitar Hongdae, Han river dan lain-lain. Hidup Hyun Shik dipenuhi dengan aktiviti seni. Dia seorang yang mesra seperti Rifqy. Tapi adakalanya dia juga bersikap dingin. Perwatakan Aryan lebih sukar untuk dibaca berbanding Rifqy dan Aaron” jelas Fitri.

“Tentang perkahwinan ayah dan ibu Aaron pula. Mereka juga tak direstui oleh dato kerana dia sudah ada pilihan lain untuk Haikhal. Tapi pada hari sepatutnya dia bertunang dengan gadis pilih dato. Haikhal telah memperkenalkan Nadia iaitu ibu Aaron sebagai isterinya kepada dato. Dato berasa malu, marah, kecewa bila anaknya berkahwin dengan gadis kampung dan menanggap ibu Aarron yang menggoda anaknya sehingga dia sanggup mengecewakan dato. Tidak sampai sebulan berada di vila ayah Aaron membuat keputusan untuk tinggalkan vila dan berpindah ke Sabah”

“Wow! Ini lagi dahsyat. Tapi macam mana awak boleh tahu semua cerita ni? Rasanya awak ni masih dalam lingkungan 20-an. Tapi macam mana awak boleh tahu cerita ni dengan begitu detail? Ke awak ni memang robot berwajah manusia?” tanya Hani dengan hairan. Pelik bin ajaib bila dia melihat Fitri begitu lancar dan yakin sekali saat bercerita tentang kisah-kisah anak dan cucu Dato Daniel.

“Saya berada di tempat kejadian” jawab Fitri ringkas.

“Apa?!” bulat mata Hani saat mendengar jawapan Fitri. Berada di tempat kejadian? Maknanya dia memang robot berwajah manusia. Wow! Masa zaman 90-an dulu pun dah ada manusia yang boleh reka robot yang canggih macam ni ke? Sebijih macam manusia? Ke dia ni adik beradik Nam Shin 3?.

“Saya bukan robot berwajah manusia tapi saya manusia sebenar.. Saya cucu angkat dato dan ketika perisitwa itu berlaku saya berusia sembilan tahun” jawabnya. Mata tidak lepas memandang Hani.

“Oh” Hani mengangguk-anggukkan kepala. Ingatkan betul-betul robot tadi.

“Baiklah saya sambung dengan kisah Khairel dan Aulia iaitu ibu bapa Rifqy Adwa. Perkahwinan mereka direstui oleh dato. Aulia disambut baik oleh keluarga dato dan begitu juga dengan kelahiran Rifqy. Tetapi semuanya berubah setelah dato mendapat tahu orang yang menyebabkan Khairel kemalangan adalah Aulia”

“Kenapa pula?” soal Hani. Dia semakin berminat untuk mendengar kisah ibu bapa kawan baiknya itu.

“Khairel mendapat panggilan daripada seseorang yang tidak dikenali mengatakan bahawa isterinya curang bersama lelaki lain di hotel. Bila ayah Rifqy tiba di hotel… ya, dia melihat dengan mata kepalanya sendiri. Tapi isterinya cuba menafikan tuduhan itu. Khairel berasa marah lalu memandu pulang ke rumah untuk membawa Rifqy kembali ke vila. Tapi dalam perjalan pulang dia terlibat dalam satu kemalangan dan maut di tempat kejadian”

“So betul ke ibu Adwa curang?” soal Hani lagi. 

“Itu saya kurang pasti. Lepas majlis pengkebumian Aulia buat keputusan untuk pulang ke Indonesia dan tinggalkan Rifqy dengan Fauziah yang ketika itu sudah berkahwin. Tapi tidak mempunyai anak lagi” jelas Fitri sampai di situ sahaja.

Hani mengangguk sekali sambil meletakkan pen yang dia pegang di atas meja. “Wah… tak sangka dia orang ada kisah yang berbeza-beza. Patutlah perangai pun lain-lain juga. Tapi dekat dunia ni manalah ada manusia yang perangai dia sama” gumam Hani dengan perasaan agak bercampur baur.

“Itu sahaja maklumat yang saya boleh ceritakan pada Cik Hani. Mereka mungkin mempunyai perwatakan yang berbeza. Tapi saya percaya dalam hati mereka ada ruang untuk memaafkan dato” kata Fitri. Itulah harapannya sekarang.

Hani mengangguk-anggukkan kepala sebagai tanda dia faham apa yang cuba disampaikan oleh Fitri dari awal awal pembentangan hinggalah ke akhirnya. Tapi dia merasakan dirinya tidak sesuai untuk berhadapan dengan ketiga-tiga lelaki yang mempunyai ragam dan perwatakan yang berbeza. Biarpun dia mengenali Adwa. Namun realiti Rifqy Adwa ialah cucu Dato Daniel menyebabkan dia merasakan dia tidak kenal lagi siapa Adwa yang sebenarnya.

“So macam mana Cik Hani?” soal Fitri.  

Hani mengeluh panajng. “Macam mana apa?” soalnya pula. Sudah terang lagi bersuluh.

“Cik akan bekerja dengan dato?”

Hani ketawa sambil menggelengkan kepala. “Kerja? Awak ingat kerja yang dato bagi saya ni macam kerja pejabat? Macam kerja ambil dan hantar order pelanggan? Kerja ni perlukan ketahan fizikal dan mental saya tahu tak? Kalau setakat gaji, alaun, tempat tinggal disediakan. Itu pun saya boleh dapat tempat lainlah. Suruh ajelah dato cari orang lain” Hani bangun.

“Dato bukan jenis yang mudah percayakan orang lain. Saya sendiri tak faham kenapa dato beria-ia nakkan Cik Hani untuk satukan dia dengan cucu-cucu dia. Mesti ada sebab disebalik semua ni. Takkanlah cik nak hampakan harapan dato? Bukan ke sebelum ni cik tak suka orang lain biadab atau menyakiti hati orang tua?” kata Fitri dengan serius.

“Huh!” dengus Hani. Dia tunduk sambil tersenyum sendirian. Tidak dia sangka Fitri yang digelarnya sebagai robot manusia itu boleh mengeluarkan kata-kata seperti itu. Ya, memang dia tidak suka jika ada orang yang berkelakuan kurang sopan, meninggikan suara atau biadab terhadap orang yang lebih tua. Tetapi situasi yang dia hadapi sekarang berbeza.

Dia tidak sanggup berhadapan dengan tiga orang cucu Dato Daniel dan membahayakan nyawanya sendiri. Kalau ya pun dia terdesak sangat nak kerja, masih banyak lagi tempat yang memerlukan pekerja di luar sana. Ini mungkin akan jadi pilihan terakhir untuknya.

“Saya harap Cik Hani pertimbangkan tawaran ni. Cik Hani takkan rugi apa-apa dan Dato Daniel sanggup jamin keselamatan Cik Hani. Aaron takkan cederakan Cik Hani lagi” sedaya upaya Fitri cuba meyakinkan Hani.

Hani menghela nafas panjang. Betul juga kata mamat ni. Aku takkan rugi apa-apa kalau terima kawaran ni. Aaron confirm buat masalah, Adwa seorang yang lemah. Aryan pula… aku tak kenal dia lagi. Huh, susah juga ni.

“Tak apa saya bagi masa untuk Cik Hani fikir. Hubungi saya bila cik dah ada jawapan” sambung Fitri/ lebih baik dia memberikan ruang untuk gadis itu berfikir terlebih dahulu kerana memaksanya hanya akan menyebabkan Hani berasa terbeban.

Benar, ini bukanlah kerja mudah untuk seorang perempuan seperti Hani. Tetapi Fitri sendiri kurang pasti sebab mengapa Dato Daniel begitu beria-ia sekali mahukan Hani. Katanya pertemuan kali ini adalah takdir yang telah ditentukan oleh Allah. Takdir apa? Dia belum sempat pula dia bertanya kepada Dato Daniel.

“Baiklah, saya akan fikirkan” ringkas sahaja jawapan daripada Hani.  

 

DATO Daniel termenung jauh di hadapan meja makan. Hidangan makan tengah hari sudah terhidang di atas meja.  Mak Minah yang baru sahaja keluar dari membersihkan bilik Dato Daniel berasa hairan ketika melihat hidangan di atas meja sedikitpun tidak disentuh. Apalah yang sedang difikirkan oleh tuannya itu? Bukan main jauh lagi dia termenung.

Dengan langkah kanan dia mendekati Dato Daniel bertanya sekiranya ada apa-apa lagi yang Dato Daniel inginkan. Namun Dato Daniel tersenyum sambil menggeleng-gelengkan kepala. Semuanya sudah sempurna cuma dia berasa sepi, sunyi bila melihat kerusi-kerusi kosong di kiri dan kanannya. Kalaulah dia tidak melakukan kesilapan yang dulu sudah kerusi-kerusi itu akan diisi oleh anak dan cucu-cucunya. 

“Setiap yang berlaku pasti ada sebab dan hikmah. Inshaallah suatu hari mereka akan kembali pada dato dan maafkan dato. Kesilapan yang lepas kita jadikan pengajaran” kata Mak Minah.

Dato Daniel tersenyum sambil mengangguk. Mak Minah adalah orang yang paling lama bekerja dengannya. Dia jugalah yang menyaksi seorang demi seorang anak Dato Daniel keluar meninggalkan vila dan dia satu-satunya pekerja yang terus bertahan di sisi Dato Daniel. Bagi Dato Daniel, Mak Minah bukan sekadar orang yang bekerja untuknya. Tetapi Mak Minah sudah dia anggap seperti ahli keluarganya sendiri. Kalau bukan disebabkan Mak Minah dia tidak mungkin dapat membesarkan Fitri dengan baik.

“Terima kasih Minah. Duduklah teman saya makan” balas Dato Daniel. Sempat juga dia mempelawa Mak Minah untuk makan tengah hari bersamanya.

“Fitri tak keluar makan?” tanya Mak Minah menoleh ke arah ruang tamu.

“Fitri keluar pujuk Hani. Jemputlah duduk makan sekali. Tak adalah saya sunyi sangat”

“Hani? Budak perempuan tadi tu?” perlahan-lahan Mak Minah menarik kerusi keluar lalu melabuhkan duduk.

“Ya.. Hani mengingatkan saya pada seseorang dan saya rasa cuma dia yang mampu satukan keluarga ni. D… Dia…” tiba-tiba Dato Daniel terdiam. Mulutnya terasa berat untuk mengungkapkan perkataan yang seterusnya.

“Dato tak perlu cerita sekarang. Mak Minah tahu siapa Hani yang sebenarnya dan Mak Minah percaya dia mampu satukan keluarga ni semula. Muka Hani saling tak tumpah seperti ibu dia” kata Mak Minah dengan senyuman.

 “Perangai pun sama juga. Ganas macam mama dia.. Betullah kata pepatah ke mana tumpah kuah kalau tidak ke nasi” Dato Daniel tersenyum.

“Assalamualaikum” suara Fitri mengejutkan Dato Daniel dan Mak Minah. Mereka menoleh, kelihatan Fitri berjalan menuju ke dapur dengan wajah kosong. Mak Minah menggeleng-gelengkan kepala bila melihat Fitri yang dia sudah anggap seperti anaknya sendiri itu masih berkelakuan seperti seorang pengawal peribadi dato. Meskipun mereka sudah berada di rumah.

“Duduk” arah Dato Daniel.

Fitri menarik kerusi lalu duduk.

Mak Minah cepat-cepat menghidangkan nasi dan lauk ke pinggan Fitri.

“Terima kasih Mak” ucap Fitri. Barulah dia tersenyum ketika mata bertentangan dengan Mak Minah.

 “Makan banyak sikit” kata Mak Minah.

“Ya, Fitri memang nak makan banyak. Lapar ni” jawab fitri ringkas sambil meletakkan tangan di atas perut..

Dato Daniel menggeleng cemburu. “Dengan mak bukan main lagi manja. Dengan atuk? Tak pernah pula nak buat macam tu?” kata Dato Daniel. Jelas dia agak cemburu.

Fitri melarikan pandangan kepada Dato Daniel. ‘atuk?’ rasanya dia sudah janggal untuk memanggil Dato Daniel dengan panggilan itu ataupun Tok Den. Tugasnya sekarang bukan lagi sebagai cucu dato. Tetapi lebih kepada seseorang yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga Dato Daniel ketika berada di luar rumah dan di dalam rumah juga. 24 jam 7 hari seminggu adalah waktu kerja untuknya.

“Oh ya, macam mana dengan Hani?” soal Dato Daniel. Tidak sabar nampaknya dia mahu mengetahui keputusan Hani.

Fitri menghela nafas panjang sebelum kembali mamndang Dato Daniel. Hani bukanlah calang-calang gadis. Dia juga seorang yang agak degil dan tidak mudah termakan dengan ganjaran-ganjaran yang ditawarkan oleh Dato Daniel. Namun mereka masih punya harapan selagi gadis itu tidak memutuskan yang dia menolak tawaran tersebut.

“Cik Hani perlukan masa. Dia akan hubungi saya bila…”

“Tak apalah. Tunggu aje dia kol kamu. Makanlah” celah Dato Daniel sebelum Fitri sempat menamatkan ayatnya.

“Baik dato” balas Fitri dengan satu anggukkan.

“Mak Minah pun makanlah” Dato Daniel mengalihkan pandangan kepada Mak Minah pula. Dapat dia lihat wajah Mak Minah agak gembira bila dua beranak itu makan bersama. Sudah lama rasanya Fitri tidak makan semeja seperti ini dengan dato Daniel. Selalunya dia akan makan di ruangan dapur bersama Mak Minah. 


Previous: Bab 05
Next: Bab 07

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.