4,803
Kategori:
Genre:
Senarai Bab
BAB:#1

OMBAK menghempas pantai, meninggalkan buih-buih putih yang singgah sementara di pasir.  Desirannya berirama syahdu memecah hening suasana.  Di atas sana, lapisan awan biru menelan cahaya jingga keemasan sehingga pudar di langit senja.  Di langit yang semakin gelap itu juga, kawanan burung terbang seiringan untuk pulang ke sarang.

Semilir dingin membelai pipi mulus seorang gadis yang sedang duduk di hujung jeti.  Kakinya terjuntai mencecah permukaan air.  Tatap matanya lurus ke laut lepas yang tidak berpenghujung.    Air laut beralun dan perahu-perahu nelayan teroleng-oleng oleh hembusan angin kencang.

"Siti, mari kita pulang.  Tak lama lagi hujan akan turun."  Bahunya disentuh lembut.  Tangan berurat dan berkedut ditoleh sekilas.

"Siti nak tunggu Ngah."  Pandangannya dihala ke depan semula.  Selendang yang hampir terbang ditiup angin ditarik kembali untuk menutup sebahagian rambutnya yang terdedah.

"Kita pulang dulu, esok kita ke sini lagi."  Suara garau itu tidak jemu memujuk.  Sudah hampir seminggu Siti menunggu kepulangan suaminya yang dipercayai hilang di laut kerana  perahunya dipukul ribut kencang.

"Mek Sah tak faham.  Abang Ngah nak Siti tunggu dia."  Acap kali Mek Sah mendengar ayat sama meluncur keluar dari mulut Siti.  Direnung simpati wajah bujur sirih yang muram.  Raut yang tidak beriak itu sarat menanggung rindu dan walang.

"Mek Sah faham.  Mek Sah juga yakin, Ngah pun tak mahu Siti begini.  Kita balik ya, nak?"

Siti termenung sejenak.  Warna inai masih merah dijari.  Jemari runcingnya menyeka air mata yang mengalir di pipi.  Akhirnya, dia angkat punggung tanda menurut. 

Hujan merintik lebat.  Lalang menari-nari mengikut arah angin.  Langkah mereka sudah menjauhi jeti.  Namun cinta Ngah yang sudah terpasak di hati Siti tidak pernah menjauh.  Baru sebulan mereka melayari bahtera rumah tangga yang sejati.  Bunga rampai juga masih utuh harumnya.  Ngah pergi meninggalkan Siti dibelenggu sepi seorang diri.

Siti Zubaidah atau Siti, setia menanti sang suami di muka pintu saban waktu.  Adakalanya, dia turun ke jeti dengan wajah yang berseri-seri.  Hari ketiga pemergian Ngah, Siti dilihat seperti orang sasau, merayau-rayau di sekitar jeti sambil memanggil nama belahan jiwanya yang dikasihi.

Semenjak Ngah hilang, orang-orang kampung ada mencari Ngah.  Malangnya, Ngah langsung tidak ditemui.  Bahkan, perahunya juga tidak kelihatan.  Mungkin dia hanyut di tengah lautan dan tenggelam di dasarnya. Atau mungkin jasadnya terdampar di pesisir pantai yang lain.  Bagi Siti pula, selagi jasad Ngah belum ditemui, selagi itulah dia percaya Ngah masih hidup.

“Ada sesiapa jumpa Ngah?”  Soalan sama dilontarkan kepada semua nelayan yang baru balik ke jeti.  Soalan itu disambut dengan gelengan.  Simpati yang bukan sedikit dicurahkan kepada Siti.  

“Orang perempuan tidak manis ke jeti seorang diri,” tukas satu suara.

“Saya ke sini bersebab.  Saya tunggu suami saya,” terang Siti dengan sopan.

“Pernah tak kau terfikir, Ngah tentu sudah mati lemas?  Ribut sekuat itu, tidak mungkin dia terselamat,” kata suara itu lagi.

Sekeping hati yang sedia retak kini ditusuk belati tajam.  Kata-kata tidak berlapik itu membuatkan jiwanya hancur lebur.  Dia tidak senang dengan andaian membabi-buta lelaki berkenaan.

“Saya percaya, Ngah akan balik suatu hari nanti.  Saya akan tunggu dia,” kata Siti dengan yakin.

“Ngah sudah mati, Siti! Dah mati!”

“Kalau mati di mana jasadnya?  Di mana kuburnya?” Jari telunjuk Siti diluruskan ke arah suara tersebut. 

“Sudahlah tu, Pak Deris.  Jangan ditambah kesedihan dia.”  Pak Sani bertindak meredakan ketegangan yang semakin memuncak. 

Bakul rotan kosong dihempas ke lantai yang basah oleh Pak Deris tanda bantahan. Lalu titisan-titisan air halus terpercik, menerbitkan bau hanyir ikan yang mengenai hujung baju Siti sehingga basah sebahagian kainnya.  Siti berganjak sedikit kerana lantai menjadi licin, risau jika dia tergelincir mencium bumi.

Lelaki separuh abad itu menghela nafas.  Pak Deris yang lebih tua dari Siti sepatutnya menjadi teladan kepada anak muda, ini sebaliknya pula.  Sikap panas baran orang tua tersebut gagal dilentur sejak dari usia mudanya lagi.  Tubuh Pak Sani dipusing menghadap Siti.  “Siti… baliklah.  Aku akan panggil kau kalau ada berita tentang Ngah.” 

Dengan hiba, Siti mengatur langkah untuk pergi dari situ.  Sebelum itu, sempat dia menghadiahkan secalit senyuman seraya mengangguk sekali sebagai tanda hormat.  Kepulangnya dari jeti hari itu sia-sia belaka.  Ikhtiarnya kini hanyalah doa yang tidak pernah putus, dan semoga Ngah terhindar daripada sebarang bala.

"Malam ni Mek Sah tak dapat temankan Siti.  Pak Sani baru balik dari laut.  Banyak ikan nak kena siang.  Jaga diri baik-baik ya, nak?"  Segala lamunan Siti terbang dek teguran suara garau Mek Sah.

Mek Sah merupakan jiran kepada Siti.  Orangnya peramah dan disenangi oleh penduduk Kampung Kemasik.  Jika suami masing-masing meredah lautan untuk sesuap nasi, mereka berganding-bahu dan membantu antara satu sama lain.

"Jangan risaukan saya.  Saya tak apa-apa."  Siti cuba senyum walau pun payah.  Api pelita minyak tanah meliuk-liuk ditiup angin yang menyusup melalui celahan dinding rumah.  Penutup kaca pelita itu dipasang.  Bentuk nyalaan apinya kini lurus semula.

"Mek Sah minta diri dulu.  Hujan pun dah reda.  Jangan lupa makan, tahu?  Mek Sah ada bawakan gulai ikan tenggiri."  Siti angguk.  Ucapan terima kasih diberi.

"Mek Sah tak perlu susah-susah masak untuk saya lagi.  Saya akan masak bila saya lapar," tutur Siti perlahan.

"Jangan sambil lewa bab kesihatan kamu tu.  Kata nak jumpa Ngah.  Tu... Mek Sah tengok badan kamu dah susut benar," luah Mek Sah. 

Susuk tubuh Siti ditilik.  Benar, tubuhnya menyusut dengan pantas.   Seleranya hilang, seperti mana hilangnya Ngah tanpa berita.

Siti tertunduk.  Air mata bergenang di pelupuk.  Masakan dia berselera menjamah waima sebutir nasi, sedangkan untung nasib suaminya di laut masih belum pasti.

“Mek Sah balik, ya?” ulang Mek Sah lagi.  Kain batik yang dijadikan alas kepala dikemaskan.

Siti angkat pelita minyak tanah.  Langkah Mek Sah diiring hingga ke muka pintu.  Setelah bayang Mek Sah hilang dalam kelam malam, barulah daun pintu ditutup dan diselak dari dalam.

Tubuh kecil molek itu bersandar di dinding.  Perasaannya berkecamuk hebat, rasa risau dan rindu sebati menjadi satu.  Jasad itu kemudiannya melorot ke lantai serentak dengan esakan halus.

“Baliklah, Ngah.  Siti rindu…,” rintih Siti sayu. 

    PADA sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan, umat islam berlumba-lumba memperbanyakkan amal ibadah     

    PADA sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan, umat islam berlumba-lumba memperbanyakkan amal ibadah. Ganjaran malam yang disebut sebagai malam seribu bulan itu, menjadi dambaan semua umat Islam di dunia.

Surau kecil Kampung Kemasik dibanjiri penduduk kampung untuk bersolat terawih.  Ngah dan teman sepermainannya sejak kecil iaitu Musa, melalui jalan pintas untuk cepat sampai ke rumah.  Pepohon nyiur melambai-lambai ditiup sang bayu.  Dingin malam mencengkam hingga ke tulang hitam lantaran tiupan angin semakin kencang.  Lantas, derap langkah dipercepat dengan jamung di tangan yang menyuluh laluan.

“Kau dengar tak?” Langkah Ngah terhenti separuh jalan.  Begitu juga Musa.

“Dengar apa?”  Musa memasang telinga.

“Suara orang mengaji.  Merdu sungguh.”  Ngah terpesona.  Alunan kalimah-kalimah Allah begitu menusuk ke tangkai hatinya.

Ngah tidak tentu arah. Suara gemersik itu, benar-benar membuat hatinya terpana.  Jiwanya diamuk resah.  Siapakah gerangan pemilik suara yang begitu merdu?

“Kau buat apa ni, Ngah?”  Baju Ngah ditarik oleh Musa. 

Gelagat Ngah membuatkan Musa risau.  Ngah tertinjau-tinjau di sekeliling rumah kayu beratapkan daun nipah tersebut, persis seorang pencuri lagaknya.

“Ngah, mari kita balik!” Keras suara Musa mengajak.  Api jamung pula semakin mengecil.

“Sekejaplah….”

Bola mata Musa melingas ke sana-sini.  Pasti masalah besar akan menimpa mereka sekiranya ditangkap kerana menghendap anak dara orang.

Ngah menghampiri sebuah bilik yang diterangi samar cahaya lampu pelita.  Telinganya ditekap ke dinding papan yang telah lusuh untuk mencuri dengar suara itu dengan lebih dekat.  

Musa tidak senang duduk.  Entah syaitan apa yang merasuk jasad temannya sehingga bertindak melulu.

“Ngah… aku balik dulu.  Aku tak rela ditangkap dalam keadaan aib begini.” 

Jamung di tangan Ngah dirampas.  Akibat tindakan drastik itu, Ngah terkejut.  Dia terjerit kecil sehingga bacaan al-Qur’an oleh gadis tersebut terhenti.

“Siapa?” soal gadis itu dari dalam.

Ngah meletakkan jari telunjuknya di bibir Musa tanda senyap.

Tanpa diduga, daun tingkap ditolak dari dalam.  Terjengul kepala seorang gadis memakai telekung solat dengan kerutan di dahi.  Tika itu juga, kilat memancar.  Walau sekilas, bisa membuatkan jantung Ngah laju berdegup tatkala mata mereka saling bertentangan.   Masa seakan terhenti, bibir pula terkunci. 

“Siapa tu, nak?”

Teguran Mek Normah, ibu saudara kepada Siti menyedarkan mereka dari lamunan.  Musa pantas menarik lengan kiri Ngah untuk beredar. 

“Gila kau ni, Ngah.  Aku dah pesan jangan cari pasal.  Nyaris-nyaris saja tadi,” bebel Musa di sepanjang jalan. 

Ngah membatukan diri.  Sukar untuk mengikis raut wajah gadis bermata bundar dari kotak fikirannya.   Bebelan Musa bagai angin lalu yang menghembus.   Sungguh aneh rasa yang menjalar di segenap ruang hatinya.

   Sungguh aneh rasa yang menjalar di segenap ruang hatinya     

KAMU tak pergi ke laut hari ni, Ngah?” soal Mak Uteh. 

“Tak pergi, mak.  Laut bergelora sebab semalam kan hujan lebat.”  Ngah tersenyum menatap wajah ibu tercinta yang dihiasi dengan garis-garis halus di wajah.  Masih terserlah kejelitaan ibunya walaupun sudah dimamah usia.

Punggung Mak Uteh dilabuh di sisi Ngah.  Udara pagi yang bertiup terasa nyaman.  Mungkin sudah masuk musim tengkujuh.  Cuaca mula berubah dan hujan turun pada lewat petang, hampir setiap hari.

“Kalau begitu, nanti Ngah tolong carikan mak daun palas.  Raya dah nak dekat,  mak nak buat ketupat.  Ambil banyak sikit, ya?  Tahun lepas ketupat tak cukup untuk tetamu yang datang,” pesan Mak Uteh bersungguh-sungguh.

“Baiklah, Ngah akan pergi dengan Musa.”  Ngah menyambung kerjanya.

Hati tua Mak Uteh menebak sesuatu tatkala melihat Ngah yang sedang leka menyirat jala.   Ngah tidak banyak berceloteh seperti selalu.  Perbualan mereka hambar tanpa canda ria Ngah yang suka mengusik Mak Uteh.  Anak terunanya lebih banyak mengelamun daripada meneruskan pekerjaannya.

“Ngah, ada masalah ke?  Mak tengok Ngah dari tadi menyirat jala.  Siapnya tak jugak.” 

Ngah seperti cacing kepanasan.  Apa yang dibuat, semuanya serba tidak kena.  Ya, hatinya memang gundah gulana.  Fikirannya melayang-layang pada tampang wajah si gadis idaman.  
“Ngah tu sedang mabuk kepayang, mak cik!”  Serentak mereka berdua berpaling ke arah suara tersebut.  Kain buruk yang sedia ada di tepi Ngah diambil, lalu dicampak mengenai tepat ke muka Musa yang sedang terkekeh-kekeh ketawa.

“Amboi, main kasar nampak?” marah Musa sambil bercekak pinggang.  Marahnya tidak lama bila melihat muka Ngah merah padam.

“Ngah dilanda mabuk kepayang?” tanya Mak Uteh ingin tahu.  Irama jantung Ngah kini bertukar rentak.

“Ah… Musa tu serkap jarang aje.  Dia sengaja nak usik Ngah,” jawab Ngah cuba berselindung.

“Ngah kalau ada berkenan pada sesiapa, beritahu mak.  Biar mak pergi merisik.”   Mak Uteh menguntum senyum.  Patutlah Ngah resah gelisah sejak tadi.  Persoalannya tadi kini terungkai.

Anak lelakinya sudah cukup syarat untuk mendirikan rumah tangga.  Dia dan suaminya juga sudah bersedia untuk menerima menantu.  Pada usia lanjut begini, mereka sepatutnya sudah menimang cucu seperti rakan-rakan sebaya mereka yang lain.

“Mak Uteh, anak saudara Mek Normah di hujung kampung sana tu masih belum dipetik orang, bukan?”  Sengaja Musa bertanyakan hal itu.  Dia tahu, Ngah sudah jatuh hati kepada Siti.

“Anak saudara Mek Normah?  Maksud kamu…  Siti Zubaidah?”

‘Oh… nama dia Siti Zubaidah.  Indah sungguh namanya.  Suaranya juga  merdu,’ bisik hati Ngah gembira.

Sengihan Mak Uteh semakin melebar.  Ngah bangkit dari pangkin.  Dia mencari sesuatu di balik tangga rumah.  Sebilah parang yang tajam berkilat dikeluarkan dari celahan tangga.

“Sementara cuaca masih elok, lebih baik Ngah mencari daun palas dulu.  Ngah pergi dulu ya, mak? Mari Musa,” ajak Ngah seraya bergerak menuju ke hutan.

“Mulut kau ni memang tak boleh simpan rahsia langsung!  Patutlah orang-orang kampung panggil kau Musa becok.”

“Hal yang baik, tak elok ditangguhkan.  Kalau Siti tu dikebas orang, kau juga yang melopong dan gigit jari.”  Musa ketawa lagi.  Seronok benar dia mengusik si Ngah.

“Siti dikebas orang?”  tanya Ngah terkejut.  Langkah kakinya terbejat.  Hatinya dirundung pilu dengan tiba-tiba.  Belum pun sempat cinta disemai, kasih terputus di tengah jalan.

“Aku cakap ‘kalau.’  Setahu aku, Siti tu belum ada yang cuba menyuntingnya.”

Ngah menarik nafas lega.  Hatinya kembali berbunga.  Musa menggeleng melihat ulah Ngah yang menyungging senyum.

••••••


Next: Bab:#2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh