Home Novel Keluarga Cinta Senget-Benget
Cinta Senget-Benget
Nina Rose
23/9/2013 21:05:35
77,740
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Beli Sekarang
Bab 7
7

“SEMALAM kau pergi mana? Aku mesej tak jawab,” rungut Hadi. Dari semalam lagi dia bersabar. Sekarang hampir 2.00 petang, sabarnya kian menipis dan hampir koyak. Tidak tahan juga melihat Ayumi asyik termenung dan tidak mahu memberi sebarang alasan tentang kehilangan gadis itu semalam. Apa yang terjadi? Dia mahu tahu!

Ayumi hembus nafas berat. “Semalam aku keluar dengan Encik Ikan Masin,” beritahunya separuh hati. Topi pemberian Encik Ikan Masin di tangannya dipandang. Entah kenapa topi itu asyik buat dia senyum.

“Kau pergi jumpa lelaki hari tu?” Hadi buat muka tidak percaya.

“Ha’ah,” jawab Ayumi kurang selesa disoal begitu. Apa hak Hadi hendak marah-marah?

“Kenapa tak ajak aku?” Hadi rasa sakit hati. Suka hati Ayumi saja bertemu lelaki itu tanpa dia menemani. Kalau jadi apa-apa bagaimana?

Ayumi bangun dari duduk. Topi diletak atas kepala. Hadi dipandang dengan muka bosan. “Aku pergi sebab nak bayar duit dobi, tapi baju tu rosak. Dia pula tak nak berkira. Tapi sebagai balasan dia minta aku teman dia pusing-pusing pulau sana tu,” beritahu Ayumi tidak mahu menipu Hadi.

Hadi kerut dahi tidak percaya. Sampai hati Ayumi membiarkan dirinya menunggu di tempat kitar semula selama dua jam semalam semata-mata kerana menemani lelaki itu. Dia hembus nafas bengang. Kalau tak nak datang beritahulah awal-awal.

“Kau ni berani sangat. Tak tahu ke bahaya kau pergi sana sorang-sorang,” tegur Hadi masih juga memikirkan hal semalam walau Ayumi kelihatan selamat di hadapannya.

“Bahaya? Mana ada,” balas Ayumi rimas. Malas mahu melayan Hadi ditinggalkan di gerai berhampiran kilang keropok itu. Biarlah Hadi soal kerusi meja di situ pula.

Hadi merengus geram. Langkah Ayumi sekadar diper-hatikan. Kehadiran lelaki asing bergelar Encik Ikan Masin itu buat dia rasa tergugat. Ketara benar perubahan Ayumi setelah menemui lelaki itu. Bersikap macam pasangan kekasih yang mula belajar hendak curang.

‘Natasa, aku suka kau!’ jerit Hadi dalam hati.

Hadimembatukan diri. Sengaja hendak tunjuk protes. Nyanyian Ayumi petang itu tidak lagi merdu di pendengaran-nya. Dia rasa menyampah.‘Asyik-asyik lagu Jepun! Nak jadi Jepun sangat ke?’ Marah Hadi dalam hati. Pantas tangannya memulas alat pembesar suara radio van yang dipandu. Biar tengelam suara Ayumi daripada pendengarannya.

Sekilas Ayumi menoleh kepada Hadi. Dia berpaling ke tingkap semula dan buat tidak peduli. Ayumi terus menyanyi.

Hati Hadi rasa terbakar. Asap perasaan yang berbara keluar melalui hidung dirasakan macam wap stim. Panas. Tiba sahaja di halaman rumahnya Hadi membuat brek mengejut.

Ayumi yang masih leka menyanyi terkejut dan hampir terhumban ke depan. “Hoi! Kau ni kenapa? sakit kepala aku terhantuk,” marah Ayumi. Hadi dipandang. Pantas bahu Hadi didebik kuat.

Hadi merengus. “Aku risaukan kau, kau langsung tak kesah,” luahnya. Rasa sakit didebik Ayumi tidak sama dengan rasa hatinya yang tercalar.‘Yang kat dalam ni lagi sakit bila tahu kau keluar dengan lelaki tu.’ Hadi merenung Ayumi.

“Kau ni sengaja nak cari pasal! Risau kat benda yang aku tak faham,” balas Ayumi meninggi suara. Apa salah dirinya sampai Hadi berperangai pelik.

Hadi tarik nafas. Kepala ditundukkan seketika. Tak guna mencari salah kalau dirinya tak pernah ada dalam hati Ayumi. Ayumi dipandang.

“Aku minta maaf. Salah aku,” rajuk Hadi kecewa sebelum turun dari van.

Ayumi menggenggam jari-jarinya. Geram. Hadi buat hatinya rasa sedikit bersalah. Dia beralih ke tempat duduk pemandu. Selalunya sebelum pulang mereka akan turun dari van dan berbalas tumbukan kecil tapi hari itu tidak. Ayumi tersenyum hampa. Van dipandu pulang.

Hadi duduk di tangga dalam rumahnya. Sampai hati Ayumi.

“Ai, lemah aje. Hari ni kena usung gajah laut ke kilang ke?” tegur Mak Piah cuba menceriakan hati Hadi yang kelihatan muram.

“Penatlah mak. Hari ni banyak kerja,” dalih Hadi lemah. Gurauan Mak Piah gagal buat hatinya tersenyum.

Mak Piah menggeleng. Dia nampak apa yang berlaku di luar tadi. Ingat dia tidak faham bahasa tubuh ke? Dia juga dengar Hadi dan Ayumi bertekak. Mengenai apa dia tak pasti.

“Kenapa bergaduh?” tanya Mak Piah. Itu kali pertama dia melihat Hadi dan Ayumi berselisih faham.

Hadi buat muka tidak selesa. Emaknya ini macam pengintip. Tak ada kerja lain ke? “Entahlah mak. Semalam Natasa jumpa lelaki yang kita orang jumpa kat atas batas hari tu,” beritahunya tidak mahu Mak Piah terus meneka itu ini. Lagipun Mak Piah tahu cerita itu. Dia yang beritahu.

“Kamu cemburu?” duga Mak Piah. Perasaan yang tersembunyi dalam dada Hadi boleh dirasakan. Itukan anaknya, mestilah dia tahu.

“Ish, emak ni ke situ pulak. Kami kawan aje lah.” Betulkah dia hanya anggap Ayumi sebagai kawan? Hadi tak mampu menipu perasaan sendiri. Melodi cinta yang berirama di hatinya seakan sumbang tanpa kepastian daripada Ayumi.

“Mulut tu jangan kata kawan, tapi hati tu kata cinta. Berterus terangkan senang.” Mak Piah harap Hadi ni tak lembap. Kalau terlambat nanti putih mata. Dia pun berkenan mahu bermenantukan Ayumi tapi nak masuk meminang tanpa persetujuan gadis itu dia bimbang ditolak pula.

“Mak, janganlah fikir jauh sangat. Orang nak pergi mandi,” kata Hadi pantas melarikan diri ke biliknya di bahagian atas rumah.

“Kalau betul kamu suka Natasa tu, esok mak masuk meminang,” laung Mak Piah mengusik. Harap boleh dengar jawapan positif.

Hadi buat tidak dengar. Tubuhnya dicampak atas tilam. Bayangan Ayumi mula mengganggu fikiran. Beginilah agaknya yang orang kata mandi tapi tak basah. Mandi setakat di bibir macam mana nak basah.

APA yang berlaku antara mereka buat perasaan Ayumi sedikit tertekan. Tubuh kurusnya yang keletihan dicampakkan ke atas sofa. Rumah itu sepi. Zaki sudah kembali bersuka ria di bandar? Tina pula masih di kilang. Jam hampir 2.30 petang.

“Kenapa tak pasal-pasal Hadi meragam agaknya? Apa yang tak kena? Salah ke kalau aku jumpa Encik Ikan Masin tapi tak ajak Hadi? Sesekali aku teringin juga nak berkenalan dengan orang luar tanpa dia ada sama. Taklah hidup ni aku rasa beku aje dengan fenomena yang sama,” rungut Ayumi. Cemburu ke Hadi? Merekakan hanya teman, bukan ada apa-apa. Atau... Ayumi tak mahu mengiakannya hal yang satu itu.

“Tolonglah Hadi jangan musnahkan persahabatan kita sebab cinta,” rayunya pada angin. Bermain perasaan dengan orang yang disukai setakat ini buat dia serik. Tapi... semalam hatinya bagaikan tergoda memandang mata coklat Encik Ikan Masin. Ayumi mencebik. Kepala digeleng beberapa kali. Semalam dia hanya hendak menghiburkan hati sahaja. Encik Ikan Masin pun sudah kembali ke Kuala Lumpur. Entah bila mereka boleh bertemu lagi.

“Ah, lupakan aje tentang dua orang lelaki tu. Sebelum Tina balik, elok aku tengok episod anime minggu ni yang tak sempat aku tengok malam tadi.” Ayumi beralih ke komputer milik Tina. Paradise Kiss. Ada kala menonton kartun beraksi lebih menghiburkan berbanding menonton manusia berlakon. Anime sekarang lebih berisi berbanding anime zaman kanak-kanaknya.

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.