Home Novel Keluarga Cinta Senget-Benget
Cinta Senget-Benget
Nina Rose
23/9/2013 21:05:35
77,737
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Beli Sekarang
Bab 2
2

TIBA di dermaga, Ayumi dan Hadi memunggah bakul-bakul berisi ikan ke dalam van. Biarpun bertubuh kecil, Ayumi tetap bersemangat waja. Sedaya mungkin pekerjaan seberat itu dilakukan. Dia nekad mahu menjadi wanita serba boleh yang tidak hanya tahu mengimpikan kehidupan mewah dan mahu bersenang-lenang sahaja. Dia tidak mahu ditindas seenak rasa, kalau lelaki boleh buat kerja itu, dia juga mahu buat. Tidak kisahlah busuk atau hanyir.

Dulu kali pertama dibawa melakukan pekerjaan itu Ayumi termuntah. Bukan itu sahaja, otot-otot badannya juga menjadi kejang dan kesakitan akibat membuat pekerjaan berat. Seminggu dia demam dan hilang selera makan. Melihat keadaan persekitaran yang berlendir dan meloyakan seperti itu dia jatuh pengsan. Tetapi arwah neneknya mahu dia membiasakan diri dengan semua itu. Lagipun dalam pulau itu hanya kilang makanan laut peninggalan Alfiah Deraman yang ada. Kilang yang menjadi tempat beberapa orang penduduk kampung bergantung untuk menyara hidup. Kalau bukan pekerjaan itu dilakukan, takkan dia nak duduk rumah mengilatkan kuku? Baru betul Tina humban dirinya ke laut. Sudahlah menumpang, mahu tunjuk besar kepala pula. Ayumi tersenyum sendiri memikirkan nasib hidupnya yang akan datang. Entah apa pula yang bakal jadi agaknya. Kehilangan ayah, dia dapat masalah. Bertemu neneknya, selepas sebulan wanita itu meninggal pula. Sekarang dia terpaksa bergantung dengan Tina. Macam-macamlah masalah hidupnya.

Hadi tersandar di belakang van. Melepaskan rasa penat seketika. Dingin pagi yang meresap ke dalam tulangnya tadi kian hilang berganti hangat kerana jantung mula mengepam laju darah ke seluruh tubuh. Rintik-rintik kecil kian terbit di dahi. Tubuhnya terasa segar melakukan pekerjaan itu meskipun penat tidak mungkin dielak. Nikmat dari membanting tulang demi mencari rezeki yang halal.

Orang berbadan gempal macam Hadi memang cepat pancit. Ayumi menghampiri kawan baiknya itu. Lengan Hadi disiku.

“Penatlah,” beritahu Hadi. Tadi dia tidak sempat ber-sarapan. Ibunya terlelap. Akibatnya sekarang tenaganya terasa menyusut.

“Tinggal dua bakul aje lagi. Biar aku yang ambil. Kau hidupkan enjin,” beritahu Ayumi. Troli di tangan Hadi diambil dan diseret pergi.

“Boleh ke?” tanya Hadi.

Ayumi yang sudah beberapa langkah ke depan mengangkat tangan ke atas sebagai isyarat dia mampu melakukan pekerjaan itu.

Hadi tersenyum yakin. Dua bakul bukannya banyak. Dia segera masuk ke van.

Pak Hamid, tauke ikan nombor satu di dermaga itu menghampiri Ayumi. Melihat Ayumi berusaha menindih satu lagi bakul ikan ke atas bakul yang di bawah dia membantu.

“Terima kasih, Pak Hamid,” ucap Ayumi senang hati Pak Hamid meringankan tugasnya.

Pak Hamid mengangguk. “Kesian Pak Hamid tengok kamu ni. Budak-budak lain yang sebaya kamu semua dah ke bandar. Kamu pula bersusah payah memunggah ikan ke kilang mak cik kamu tu. Abang sepupu kamu, Zaki tu kenapa tak datang tolong?”

Hari-hari memerhatikan Ayumi bekerja sekeras itu, Pak Hamid jadi tidak sampai hati pula. Sepatutnya anak gadis secantik itu berada di tempat selayaknya. Mungkin menjadi isteri orang kaya dan dimanja selalu. Mulalah Pak Hamid memasang angan. Sambil itu matanya mencuri pandang kalau-kalau Hadi datang mencuri dengar perbualan mereka.

Ayumi sekadar tersenyum. Tidak suka membuka cerita ahli keluarga sendiri kepada orang lain. Malas-malas Zaki itu pun tetap abang sepupunya juga. Lagi pun Pak Hamid lebih lama tinggal di pulau itu, pasti sudah arif dengan sikap sebenar Zaki. Zaki itu jenis yang suka bebas dan tidak suka dikongkong, Tina pula memanjakan. Manalah Zaki ada masa mahu mengambil tahu hal kilang. Pada Tina asalkan anak lelaki tunggalnya itu tidak berbuat jahat dia tidak kisah melayan kerenah Zaki. Kehidupan Zaki mudah. Hanya pulang meminta duit dan keluar berseronok di bandar seperti anak orang kaya-raya.

“Kalau susah sangat kahwin ajelah, Natasa. Dah ada orang jaga nanti taklah kamu bersusah payah macam ni lagi,” cadangan Pak Hamid bagaikan ikhlas. Namun sebenarnya, dia cuba memancing hati Ayumi. Manalah tahu gadis itu bersedia mahu menjadi suri dalam hidup seorang lelaki. Dia sedia membantu.

Ayumi berdiri tegak sambil memegang bakul-bakul plastik berisi ikan yang tersusun atas troli. “Siapalah yang nak kan saya ni Pak Hamid? Hari-hari berminyak wangikan ikan aje.” Ayumi merendah diri. Teman lelaki pun tak ada nak suruh kahwin. Tak ke mengarut namanya tu.

“Eh, apa pula tak ada. Ada...” jawab Pak Hamid serius. Dia sudah lama menduda. Sudah lama juga sepi. Sejak hari-hari Ayumi bagaikan menggodanya di situ hatinya tidak keruan lagi. Kalau Ayumi sudi dia takkan berlengah menghantar pinangan.

“Siapa?” Ayumi besarkan mata. Pemuda mana yang berkenan dengan dirinya? Wah, tak sangka ada juga yang menaruh hati kepada dirinya.

Pak Hamid tersenyum simpul. Dia pandang kiri kanan sebelum menjawab, “Abang Hamidlah.”

“Hah?” Ayumi buat muka tidak percaya. “Pak Hamid?” tanyanya sekali lagi.

Pak Hamid mengangguk dan tersengih.

“Gila!” Ayumi menjeling ke atas. Troli terus ditolak ke van. Pak Hamid mula buang tabiat dan dia tidak suka melayan semua itu.

“Natasa...” panggil Pak Hamid. Tidak percaya Ayumi tidak mahu mempedulikannya lagi.

Ayumi buat tidak peduli. Siap mengangkut bakul, pintu van dihempas kuat. “Dah. Jalanlah cepat,” suruh Ayumi agak kasar.

Hadi tercegang memandang Ayumi. Dalam pada itu gear digerakkan. “Muka tu tadi ayu jelita aje. Sekarang dah macam katak kena pijak, kenapa?” Cermin sisi dipandang sebelum memusing stereng ke dada jalan.

Ayumi buat muka menyampah. “Pak Hamid tu...” adunya. “Nak kahwin dengan aku. Mana tak angin.”

Hadi naik kening. Macam tak percaya mendengar cerita itu. Tapi itu bukannya mustahil. “Ada hati juga lagi orang tua tu. Tak padan,” balasnya.

“Sebab ada hatilah dia menggatal. Kalau tak ada hati, dah lama dia mati!” balas Ayumi geram. Di Jepun kalau lelaki muda berkahwin dengan perempuan lebih berusia itu hal biasa tapi jika sebaliknya mungkin kurang terjadi. Rata-rata lelaki berusia di Jepun sudah pun menikmati indahnya kehidupan berkeluarga dan pastinya pada usia seperti Pak Hamid itu lelaki Jepun lebih gemar menghabiskan masa bersama keluarga dan cucu. Berkongsi sejarah kehidupan masa lalu dan teknik dalam sesuatu bidang yang diwarisi kepada generasi seterusnya. Ayahnya yang menduda sehingga meninggal pun tidak pernah ada niat mahu mengahwini gadis muda. Begitu juga dengan Encik Shikata yang kehilangan isteri kerana kemalangan jalan raya. Membina kerjaya dan membesarkan anak adalah keutamaan mereka. Tapi Pak Hamid yang layak dipanggil atuk itu mahu mengahwininya? Ayumi rasa tidak masuk akal.

“Lain kali kau janganlah rapat sangat dengan Pak Hamid tu,” nasihat Hadi tidak sedap hati pula bila Pak Hamid berani mengusik Ayumi begitu.

“Dah hari-hari kita kena angkut ikan dari tempat dia, nak elak macam mana?” keluh Ayumi. Lainlah kalau mulai esok kerjanya hanya membantu membungkus hasil kilang yang siap diproses.

Hadi turut mengeluh. Betul juga. “Aku rasa kau tak payah buat kerja ni lagilah.”

“Apa maksud kau?” Ayumi memandang Hadi. Hadi bukannya ada kuasa untuk mengubah kedudukan jawatannya dalam syarikat Tina.

“Tinggalkan pulau ni,” cadang Hadi. Makin difikirkan niat Pak Hamid itu, makin dia rasa Ayumi tidak lagi selamat berada di pulau itu.

“Sa, orang lelaki kat pulau ni memang biasa beristeri lebih dari satu. Kata mereka, Ikut sunah Nabi.” Hadi tahu banyak perkara berkaitan pulau itu yang belum Ayumi sedari. Dia yang membesar dalam pulau itu pula kian lali mendengar berita lelaki-lelaki di situ beristeri dua atau lebih. Pak Hamid sendiri tidak kurang, dulu sebelum isteri tuanya meninggal lelaki itu juga sempat beristeri muda. Sayangnya isteri kedua Pak Hamid juga meninggal kerana demam denggi. Lebih dua tahun jugalah Pak Hamid kembali menduda. Ada anak pun hanya seorang. Bila Cikgu Mokhsin diarahkan mengajar ke Kedah. Pak Hamid sendiri lagi. Mungkin sepi buat Pak Hamid mahukan teman. Tapi kenapa Ayumi? Tina janda glamor tu kan lebih sesuai. Hadi tidak suka Pak Hamid pasang niat terhadap Ayumi.

Ayumi betulkan sandar. Faham ke Hadi dengan masalah hidupnya? “Kat pulau ni aje keluarga yang aku ada. Mana lagi aku nak pergi?” Kalaulah dia punya keluarga lain, pasti dia tidak berlama-lama di situ.

“Sa kau tak patut ada kat tempat ni. Tempat kau kat bandar,” tekan Hadi. Entah kenapa anak bandar seperti Ayumi memilih untuk hidup di pulau itu. Bukan ada apa yang menarik pun. Hanya laut dan kehidupan biasa.

“Kau tak suka aku kat sini ke?”

“Tak...”

“Habis tu?”

“Apa yang ada kat sini? Tak ada apa-apa. Kalau sebab keluarga kau mahu terus di sini. Alasan tu semacam. Seolah-olah kau ni sebenarnya merajuk dari sesuatu. Mana ada orang senang yang nak hidup susah,” jelas Hadi. Dari dulu dia boleh rasakan Ayumi datang dengan sesuatu yang tidak mahu diceritakan.

Ayumi mencebik. Hadi betul... kenapa dia ikutkan hati untuk tinggal lebih lama di situ? Kasih sayang yang diharapkan tiada di situ. Tina terlalu berprasangka dengannya. Lama-lama nanti pasti mereka semakin bermusuhan.

“Sa, hidup kau kat bandar tu terkongkong ke? Mak ayah kau tak bagi kau kebebasan. Sebab tu kau tak nak balik,” teka Hadi. “Tapi sekarang dia orang dah tak ada. Kenapa kau tak nak balik? Kau ada masalah lain?” tanya Hadi bersedia membantu Ayumi apa sahaja.

Ayumi merengus. “Mak ayah aku tak macam tu lah!” Dia terasa hati hal ibu bapanya diperkatakan. Bukan salah mereka dia berada di situ. Dia yang tersalah memberi kepercayaan.

Hadi ukir senyum kelat. Dia bukan sengaja nak buat Ayumi marah. “Maaf,” pintanya.

Ayumi buat tidak dengar. Biarlah perasaannya reda sendiri dengan melihat di luar tingkap.

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.