Home Novel Keluarga DI ATAS LANTAI TAKDIR
DI ATAS LANTAI TAKDIR
Fida Rohani
1/3/2013 09:30:25
74,487
Kategori: Novel
Genre: Keluarga

-1-

PANTAI BISIKAN BAYUtentu masih putih pasirnya. Ombaknya juga tentu masih setia memecah pasir pantai. Angin pun, tentu masih setia mendesir lembut. Pantai, ombak, bayu laut dan mentari senja seperti bersatu dalam satu petang yang indah dan nyaman.

Alangkah indahnya panorama alam di pantai itu. Zulfikar amat merinduinya.

“Esok, saya nak balik tengok mak,” kata Zulfikar ketika sedang bersiap-siap untuk ke pejabat.

“Nak tengok mak awak ke nak ke pantai tu?” tempelak Shamira.

“Dua-dua sekali,” jawab Zulfikar selamba, tanpa menoleh.

"Kenapa awak suka sangat ke pantai itu? Seingat saya, sejak kahwin sampai sekarang awak tak pernah lupa untuk ke sana. Asal balik kampung, awak mesti nak ke situ. Ada apa-apa ke di situ?"

"Saya sukakan ketenangan di pantai itu,"

"Saya tak percaya! Awak seperti menunggu sesaorang. Atau awak sedang mengenang sesaorang. Awak cuba sembunyikan sesuatu dari saya!" Suara Shamira tiba-tiba tegang. Setiap kali dia mendengar hal pantai itu, dia akan melenting.

"Saya tak tunggu sesiapa. Saya cuma suka tengok ombak pecah di tepian pantai. Sungguh cantik kejadian ALLAH," balas Zulfikar perlahan.

"Baik, saya cuba untuk percaya. Tapi awas kalau awak bohong!" Itu ugutan Shamira. Bukan sekali dua dia mengugut begitu. Acap kali.

Zulfikar sudah lali dengan ugutan itu.

Sebuah keluhan tiba-tiba terlontar dari bibir Zulfikar. Dia tahu Shamira cemburu. Memang patut Shamira cemburu. Memang patut Shamira curiga. Sudah lebih dua puluh tahun, dia tetap tidak mampu melupakan pantai itu. Isteri mana yang tidak rasa curiga dan menaruh syak.

Kadang-kadang Zulfikar sendiri keliru dengan dirinya. Dia pernah bertekad untuk melupakan pantai itu. Dia pernah memujuk hati melupakan semua memori di pantai itu. Dia berjaya. Namun semuanya tidak lama. Dia akan resah gelisah. Tidurnya selalu diigau mimpi. Berdiri dia rasa salah. Duduk dia rasa kurang selesa. Bila berbaring, dia rasa hempasan ombak Pantai Bisikan Bayu sedang mengulit dirinya!

Masa sudah lama berlalu. Semakin lama dia semakin tidak mampu berjauhan dengan pantai itu. Malah sejak hari-hari terakhir ini, semua nostalgia di pantai itu menghimpit rindunya. Dia rasa semakin dekat dengan masa lalunya. Dia rasa semakin hampir dengan memori itu. Begitu dekat.

"Kalau ditakdirkan jodoh kita memang tak ada dan kita terpisah, mahukah Zul berjanji dengan Anum bahawa Zul akan selalu datang ke sini?" Suara Nik Anum kembali menerjah telinganya. Dia tidak lupa pada suara itu. Juga pada renungan mata Nik Anum yang redup.

"Zul janji, Anum."

"Betul?" tanya Nik Anum lagi.

"Betul."

"Sampai bila?"

"Sampai bila-bila. Selagi hayat dikandung badan. Selagi nyawa diberi Tuhan," katanya bersungguh-sungguh.

"Kalau Zul mungkir?"

"Zul tak akan mungkir. Kalau Zul mungkir bermakna Zul dah toreh hati dan mendera jiwa sendiri. Zul akan terseksa seumur hidup,"

Nik Anum ketawa. Suara ketawanya yang gemersik itu segar di celah deburan ombak.

"Bolehkah Anum percaya janji lelaki yang kacak macam Zul ini?" Nik Anum mengerdipkan matanya. Sungguh manja. Hati Zulfikar berdebar. Dia gementar. Berdepan dengan Nik Anum yang lincah dan manja itu, dia selalu kalah kepada perasaan sendiri.

"Kenapa Anum selalu sangsi pada cinta dan kasih sayang Zul selama ini? Anum nak Zul buat apa untuk buktikan hati Zul ini hanya pada Anum?"

"Anum nak Zul panjat pokok kelapa tu!"

"Baik. Kalau itu yang boleh buat Anum percaya, sekarang juga Zul akan panjat," katanya sambil bangun dan berlari ke arah sebatang pokok kelapa yang tinggi menunjang langit. Dia memang nekad untuk membuktikan cintanya. Biar Nik Anum percaya. Biar Nik Anum yakin dengan hati dan perasaannya yang tidak pernah berbelah bagi.

"Zul! Zul! Nanti dulu!" Nik Anum berlari mengejarnya. Namun dia tidak peduli. Dia terus berlari dan mendepa batang pokok kelapa itu tanpa rasa gentar. Malang sekali, nasib tidak menyebelahinya. Entah kenapa, pelukannya pada batang pokok kelapa itu terlepas dan dia terjelepuk jatuh.

"Zul! Zul!" Dia terdengar jeritan Nik Anum di celah desiran angin dan deburan ombak. Jeritan itu semakin sayup di hujung telinganya. Kemudian ia hilang. Senyap. Semuanya gelap. Dia pengsan.

Ketika dia sedar, dia sudah ada di ribaan Nik Anum.

"Zul, kenapa buat macam ni..." tangis Nik Anum.

"Anum yang suruh.."

"Anum hanya main-main. Anum hanya bergurau.."

"Habis Anum nak bukti cinta dan kasih sayang Zul kan? Zul dah kata, Zul sangat menyintai Anum. Tapi Anum masih ragu-ragu. Anum nak bukti. Sekarang, Zul dah buktikan. Anum masih tak percaya?" Zulfikar merenung mata Nik Anum yang basah. Hatinya puas. Air mata Nik Anum dilihat seperti mutiara yang bergemerlapan. Ia bukti kasih sayang dan cinta Nik Anum terhadapnya.

"Anum belum jawap pertanyaan Zul. Anum yakin tak dengan cinta Zul? Atau Anum nak Zul terjun ke laut pula?"

"Jangan buat lagi Zul. Jangan buat jantung Anum tak berdegup. Ya, sekarang Anum yakin. Yakin sangat-sangat. Anum tak akan ragui lagi.." Nik Anum menarik tangannya, mengucup berkali-kali. Hati Zulfikar semakin lega. Dia rasa petang itu adalah petang yang terindah dalam hidupnya. Dalam kesakitan itu, dia tersenyum senang.

"Ni yang awak senyum-senyum ni apa hal pula?" Tiba-tiba dia disergah oleh Shamira. Zulfikar terkulat-kulat. Memori manisnya putus. Tiba-tiba hatinya rasa sebal dan kesal dengan kemunculan Shamira itu. Dia diam. Masih mencari-cari kesan kenangan yang hilang itu.

"Kenapa ni?" Shamira menyergah lagi. Dia semakin hairan dengan sikap Zulfikar.

"Kenapa apa?" tanya Zulfikar pula.

"Awak ni macam orang tengah angau bercinta. Macam orang sedang berkhayal. Macam orang gila bayang!"

"Awak tu yang perasan. Saya tak apa-apa. Saya okey saja,"

"Awak tu termenung dari tadi. Kemudian tersenyum-senyum sendirian. Itu yang awak kata okey?" Suara Shamira semakin lantang.

Zulfikar rasa terjerat. Bayangan wajah Nik Anum yang putih mulus dengan lesung pipit di pipinya kembali meniti birai mata. Sudah dua puluh lima tahun, masihkah Nik Anum semanis dulu?

"Jaga awak, kalau saya dapat tahu awak menyeleweng!" Shamira memberi amaran. Serta merta wajah Nik Anum hilang dari ingatannya. Sekali lagi Zulfikar rasa kesal.

"Dah makin tua, makin kuat dia berkhayal. Entah betina mana yang diingatnya," rungut Shamira. Zulfikar diam. Tidak guna dia berlawan kata dengan Shamira. Dia semakin malas untuk melayan kerenah dan rungutan isterinya itu.

"Jangan lupa poskan bungkusan yang dah saya siapkan tu. Atikah menunggu kiriman bajunya tu," tambah Shamira lagi. Zulfikar angguk perlahan. Bungkusan itu sudah diletakkan dalam kereta sejak malam tadi. Telinganya sudah sepuluh kali mendengar arahan itu. Shamira buat dia macam orang tua nyanyuk.

"Juga jangan lupa, tengah hari nanti ambil saya di ofis," kata Shamira sambil bersolek.

"Awak nak ke mana?" Zulfikar menoleh ke arah isterinya.

"Kan saya ada simposium wanita di Perdana Hotel. Awak lupa?" tanya Shamira sambil melorotkan matanya kepada Zulfikar. Sekali lagi Zulfikar terkebil-kebil. Dia cuba mengingati sesuatu.

"Ada ke awak beritahu saya? Bila?" tanya Zulfikar selepas gagal mencari ingatannya.

"Tengok! Kalau saya kata awak ni kuat mengelamun, angau, nyanyuk, awak tak terima. Malam tadi sebelum tidur kan saya dah cakap. Apa yang awak ingat ni? Makin teruk dah ingatan awak ni.." rungut Shamira dengan wajah masam.

"Saya dah tua.." jawab Zulfikar dengan nada lemah.

"Kalau dah tua, buatlah cara tua!"

"Cara tua tu macam mana?"

"Ingat buat amal, jangan asyik dok gilakan pasir pantai tu saja!" sindir Shamira dengan senyum sinis. Zulfikar mengetap bibir. Bukan marah dengan sindiran Shamira, tapi geram dengan sikapnya yang makin tua semakin nampak kurang ajarnya.

"Boleh tak awak cakap baik-baik dengan saya?" Zulfikar rasa darahnya mula panas.

"Habis dari tadi awak ingat saya ni cakap pelat?" Shamira memperli.

Entah kenapa pagi itu darah Zulfikar cepat panas. Dia cuba bertenang. Dia memujuk hatinya supaya sabar.

"Apa lagi yang awak nak saya buat ni? Awak tak bagi saya jumpa kawan-kawan, saya ikut. Awak tak bagi saya keluar main badminton atau bola sepak, saya ikut. Semua yang awak nak, saya turut. Apa lagi yang tak kena?"

"Saya tak suka awak ke pantai itu, ada awak ikut? Malah sekarang awak makin kerap ke sana. Tiap-tiap minggu awak balik dan melepak di sana. Itu awak tak fikir?" tanya Shamira dengan nada suara yang tinggi. Zulfikar terdiam. Dia rasa ingin berdebat dengan Shamira, tapi masa sudah suntuk untuk ke pejabat. Dengan cepat dia mencapai kunci kereta dan berlalu. Dia tidak mahu terus diasak dengan permintaan Shamira yang keliru itu.

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.