Home Novel Keluarga DI ATAS LANTAI TAKDIR
DI ATAS LANTAI TAKDIR
Fida Rohani
1/3/2013 09:30:25
74,618
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 13

KETIKA itu fikirannya kembali kosong. Jasadnya ada di situ, tapi rohnya melayang entah ke mana. Tangannya mengetik papan kekunci. Matanya merenung skrin. Namun hatinya kosong. Rasa sepi dan rasa rindu semakin mengigit-gigit nubarinya.

“Wah! Encik Zul dah pandai main FB?” Seseorang menegur dari belakang.

Zulfikar menoleh. Matanya bertembung dengan mata Wan Mas, kerani pentadbiran yang terkenal becok.

“Saja...”

“Sejak bila ni?” Wan Mas bertanya, sinis dan perli.

“Kenapa? Aneh ke? Awak ingat saya teruk sangat sampai tak tahu nak ikut perkembangan semasa?” Zulfikar menjawab sinis juga.

Wan Mas tersentak. “Bukan apa... sebelum ni saya tak pernah tengok Encik Zul melekat depan komputer macam ni. Dan saya tak nampak pun nama Encik Zul dalam senarai rakan Puan Shamira.”

Zulfikar mengangkat muka. Kali ini hatinya bergetar. Benar kata Sahidi, semua kakitangan pejabat itu adalah rakan FB Shamira. Sungguh pandai Shamira bermain muslihat.

“Jadi awak pun rakan dia? Dia cari awak ke awak yang sibuk cari dia?” Zulfikar sengaja memerangkap perasaan wanita yang bernama Wan Mas itu.

“Dia cari kami semua. Kalau kami nak cari dia, mungkin kami malu. Sebab, siapalah kami nak digandingkan dengan dia,” jawab Wan Mas.

Zulfikar diam. Dia mengira-ngira. Ada benarnya kata-kata Wan Mas itu.

“Encik Zul bertuah ada isteri sebijak Puan Shamira.”

“Apa maksud awak?”

“Dia seorang yang bijak dan tegas. Buah fikirannya juga bernas. Perjuangannya untuk kamu wanita amat dibanggakan. Banyak usul-usulnya yang sudah dibawa ke parlimen dan dibahaskan,” jawab Wan Mas.

Zulfikar diam. Pandangannya beralih merenung skrin komputer.

“Putera Aduka? Siapa Putera Aduka?” Tiba-tiba mata Wan Mas juga terpandang skrin. Zulfikar tergamam dan menggelabah.

“Oh... err... kawan saya,” jawab Zulfikar tergagap.

Wan Mas mengangguk.

“Awak selalu ke berhubungan dengan isteri saya?” Zulfikar cuba mengalihkan pandangan dan perhatian Wan Mas.

“Setiap hari. Dia selalu menyapa saya dan komen di dinding saya. Kadang-kadang dia telefon dan ajak berbual.”

“Berbual? Topik apa?”

Wan Mas termangu-mangu.

Zulfikar meneliti wajah itu. Dia dapat mengesan, ada sesuatu yang terselindung di sebalik wajah itu. Tiba-tiba interkom di atas meja Zulfikar berbunyi. Tanpa berlengah Zulfikar menjawab.

“Encik Zul, bos nak jumpa.” Suara Ruby Wati, pembantu peribadi kepada bosnya lunak menyampaikan arahan.

Zulfikar bangun. Hajatnya untuk berbual panjang dengan Wan Mas tergendala.

“Saya nak pergi jumpa bos. Lain kali kita sembang lagi.”

“Yalah. Harap Encik Zul bersabar,” ujar Wan Mas perlahan.

Zulfikar menoleh seketika. Kata-kata itu mengundang keraguan dan kecurigaan. Namun dia sudah tidak ada masa untuk terus bertanya.

Ketika dia masuk, Tuan Haji Razali Mat Zin sudah siap menunggu. Wajah lelaki yang selalunya ceria dan kaya dengan senyuman itu kelihatan masam mencuka.

“Tuan haji nak jumpa saya?” Zulfikar mengatur kata dengan penuh hati-hati. Remang wajah bosnya itu begitu membimbangkan hatinya.

“Ya. Saya memang nak jumpa awak. Ada hal yang perlu saya minta penjelasan dari awak Zulfikar.”

“Apa dia, tuan haji?” tanya Zulfikar bertambah curiga.

“Mengenai isteri awak,”

“Kenapa dengan isteri saya?”

Diam. Tuan Haji Razali Mat Zin tiba-tiba mengeluh. Berat dan mendesah. Dia seperti melepaskan rasa marah yang teramat. Zulfikar pula menanti dengan debaran kencang.

“Zulfikar, saya tahu awak pegawai yang baik. Selama ni, saya nampak prestasi kerja awak sangat bagus. Sebab tu, saya tak mahu awak campur adukkan hal kerja dan hal rumah tangga,” kata Tuan Haji Razali Mat Zin.

Hati Zulfikar semakin berdebar. “Berterus teranglah, tuan haji. Saya kurang jelas apa sebenarnya yang tuan haji nak kata,” katanya pula.

“Isteri awak baru telefon. Dia minta saya luluskan cuti untuk awak esok. Setahu saya awak tak mohon cuti pun. Macam mana saya nak luluskan. Lalu saya simpulkan, ini mungkin ada yang tak kena pada awak dan isteri awak,” jelas Tuan Haji Razali Mat Zin. Matanya merenung Zulfikar.

Diam. Tunduk. Sabar.

“Awak sendiri tahu, saya memang tak suka hal-hal rumah tangga dibawa ke pejabat. Dan saya juga tak suka kalau ada orang yang cuba campur tangan dalam keputusan saya. Saya tahu isteri awak seorang yang berpengaruh, tapi itu tidak bermakna dia boleh suka-suka nak guna pengaruhnya untuk mempengaruhi saya.”

Masih diam. Masih tunduk dan masih juga bersabar walaupun dirasakan darah yang mengalir ke seluruh tubuhnya mula terasa panas.

“Apa penjelasan awak sekarang?” Tiba-tiba Tuan Haji Razali Mat Zin bertanya.

Zulfikar rasa terjerat. Dia melepaskan keluhan. “Entahlah, tuan haji.”

“Kalau memang benar awak ada temu janji esok, kenapa tak nak ambil cuti? Pergilah... jangan biarkan sakit awak melarat.”

“Isteri saya cakap saya sakit apa?” Zulfikar mengangkat muka. Kali ini dia merasakan perlu tahu.

“Dia tak cakap apa-apa. Dia cuma cakap awak tak nak berjumpa doktor. Dia kata dia dah aturkan temu janji itu. Boleh saya tahu kenapa awak tak nak pergi?”

“Sebab dia nak bawa saya jumpa pakar sakit jiwa. Tuan haji tengok saya, ada tak saya ni orang yang ada masalah jiwa? Tuan haji nampak saya ni macam mana?” tanya Zulfikar sambil bertentang mata dengan Tuan Haji Razali Mat Zin. Dia tidak mahu berselindung lagi. Hal yang dilakukan oleh Shamira hari itu membuatkan dia rasa tidak perlu menutup kisah.

Tuan Haji Razali Mat Zin ternganga. Dia seperti tidak percaya apa yang didengarinya.

“Tuan haji jawablah dengan jujur. Saya ni nampak macam orang sakit jiwa ke?” Zulfikar bertanya lagi. Kali ini suaranya mula bergetar kerana hatinya mula sebak. Tuduhan Shamira dan Atikah sudah sampai ke peringkat yang tidak boleh dibicarakan di mahkamah.

“Zulfikar, maafkan saya. Saya mula faham apa yang sedang berlaku. Tapi kenapa sampai begitu sekali tindakan isteri awak tu?”

“Sebab saya mula berani membangkang cakap dia. Sebab saya tak dengar arahannya lagi. Sebab... sebab...” Zulfikar semakin dituba rasa. Kerongkongnya seperti dikait duri, tidak mampu meneruskan bicara.

Tuan Haji Razali Mat Zin terkesima seketika. Dia bersimpati. Dalam masa yang sama, sebagai lelaki dia ikut rasa tercabar.

“Jadi benarlah apa yang saya dengar selama ini?”

“Apa yang tuan haji dengar?” Zulfikar merenung wajah bosnya.

“Macam-macam. Namun yang saya tak boleh tahan, bila orang kata awak ni takut bini. Awak ni hidup bergantung pada bini sebab gaji bini awak lebih besar dari gaji awak.” Tuan Haji Razali Mat Zin mengatur kata-kata dengan penuh berhati-hati.

“Ya. Ramai orang yang anggap begitu. Apa yang sebenarnya berlaku saya malas nak layan kerenah dia. Saya tak kuasa untuk bergaduh dan bermasam muka dengannya. Saya sayangkan anak-anak saya. Saya tak mahu ganggu emosi anak-anak saya sebab itu saya ikut saja apa kata dan arahan dia. Tapi itu tak bermakna saya takut pada bini saya tu!” tegas Zulfikar. Kali ini suara itu kasar dan meninggi. Suara itu membuatkan Tuan Haji Razali Mat Zin terpegun seketika. Untuk pertama kalinya dia melihat Zulfikar marah. Untuk pertama kali juga dia mendengar suara Zulfikar yang pecah seperti guruh!

“Kalau macam tu, awak kena bertindak tegas dengan dia. Saya tak mahu awak terus diumpat keji. Saya juga tak mahu dia terus ganggu staf di sini. Sejak akhir-akhir ini, dia dah mula telefon ke sini dan siasat awak.”

“Jadi, memang benar apa yang saya dengar?” Zulfikar cuba meyakinkan dirinya. Dia sudah mendengarnya daripada Che’Roma. Kini dia mendengar pula daripada Tuan Haji Razali Mat Zin. Sungguh malu!

Tuan Haji Razali Mat Zin menekan interkom dan memanggil Ruby Wati masuk.

Zulfikar semakin celaru dan gelisah.

Ruby Wati menolak pintu dan masuk.

“Nah, awak boleh tanya Ruby kalau saya bohong. Ruby tolong ceritakan apa yang selalu awak dengar mengenai Puan Shamira,” kata Tuan Haji Razali Mat Zin setelah Ruby Wati berdiri di hadapannya.

“Setiap pagi, Puan Shamira akan telefon ke sini dan bertanya macam-macam. Kami semua dah naik bosan. Kalau dia tak buat, anak Encik Zul yang buat. Soalannya tetap sama,” cerita Ruby Wati.

Zulfikar tidak mampu mengangkat kepala.

“Zul, saya faham masalah awak sekarang. Jadi awak selesaikanlah dengan baik. Jangan sampai ganggu kerja awak dan kerja kawan-kawan awak di sini.”

“Baru tadi dia telefon saya dan bertanya sama ada cuti Encik Zul diluluskan atau tidak?” tambah Ruby Wati pula.

Zulfikar makin tidak mampu mengangkat kepala.Seperti ada sebiji batu besar yang sedang menghempap kepalanya.

“Zul, saya rasa awak ambillah cuti. Saya akan luluskan,” kata Tuan Haji Razali Mat Zin pula.

“Tapi, saya tak mahu pergi ke tempat yang mereka nak bawa.” Zulfikar memotong cakap bosnya dengan cepat.

“Pergilah ke tempat lain. Pergilah bercuti. Saya tengok, awak asyik kerja saja. Tak pernah pergi makan angin ke mana-mana. Nah, inilah masanya,” balas Tuan Haji Razali Mat Zin dengan senyuman.

Mata Zulfikar terbuka luas. Buah fikiran bosnya dirasakan boleh dipakai. Dia mengangguk perlahan.

“Ruby, kalau Puan Shamira telefon, jangan cakap apa-apa.” Tuan Haji Razali Mat Zin berpaling pada Ruby Wati.

“Ya. Itu saya tahu. Cuma...”

“Cuma apa?” Zulfikar segera menatap wajah Ruby Wati yang kelihatan amat bimbang.

“Hal ini juga jangan sampai diketahui orang-orang di luar bilik ni.”

“Apa maksud awak Ruby?” tanya Tuan Haji Razali Mat Zin.

“Saya rasa mesti ada salah seorang darikakitangan pejabat ni pengintipnya.”

“Siapa?”

“Itu saya tak tahu. Saya cuma syak. Encik Zul kena berhati-hati,” jawab Ruby Wati dengan jujur.

“Berapa hari awak nak bercuti?” Tuan Haji Razali Mat Zin segera menoleh pada Zulfikar. Dia sengaja menukar topik untuk meredakan gelora di hati Zulfikar.

Zulfikar diam. Dia masih bingung dan keliru.

“Baiklah. Biar saya yang buat usul. Awak ambil cuti seminggu. Pergi jauh dari sini. Pergi ke satu tempat yang tidak diketahui orang. Tenangkan fikiran awak dan cuba cari kekuatan diri. Pertahankan maruah lelaki!”

“Terima kasih tuan haji. Saya minta maaf kerana isteri saya,” ucap Zulfikar dengan perasaan sebal.

“Tak apa, bukan salah awak. Orang perempuan ni...” Tuan Haji Razali Mat Zin terhenti. Matanya terpaku pada pembantunya, Ruby Wati. Dia tidak jadi untuk menghabiskan ayatnya.

Selepas semua urusan selesai, Zulfikar keluar dari bilik itu dengan ucapan terima kasih yang berjuta. Langkah dan semangatnya dirasakan lain dari biasa. Terasa darah keturunan pendekar Tok Janggut mengalir deras dan panas di dalam badannya.


Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.