Home Novel Keluarga DI ATAS LANTAI TAKDIR
DI ATAS LANTAI TAKDIR
Fida Rohani
1/3/2013 09:30:25
74,844
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 9

- 9 -

ZULFIKAR pula memandu ke arah Pantai Bisikan Bayu dengan fikiran yang serabut. Hal Nik Anum memenuhi ruang akal. Hal Shamira pula, mencemari minda tenangnya.

“Anum, kalau kita ditakdirkan untuk berpisah, apakah benda yang boleh Zul jadikan kenangan?”

“Di sini, di batang pokok ru ini. Jom kita tulis.” Suara Nik Anum melekat di telinganya. Mereka mengopek kulit pokok ru. Dengan sebatang paku, mereka menggarik-garik batang ru itu dengan nama mereka. ZULFIKAR CINTA NIK ANUM.

Entah kenapa, serta merta kakinya menekan brek. Kereta diberhentikan. Dia turun dan mencari-cari sebatang pokok. Tidak ada. Dia melilau lagi. Memang di situ tempatnya. Dia tidak silap. Hujung kuala itu penandanya. Memang di situ. Tapi, di mana pokok ru itu?

“Anum, kenapa kita harus lalui semua ini..?” Akhirnya dia mengeluh, perlahan dan lemah. Hatinya mula hampa. Sebelum ini dia tidak teringat langsung pada pokok itu. Hari ini baru dia teringat. Sudah terlalu lama. Tentunya pokok itu sudah tumbang dan reput. Atau mungkin sudah dikerat-kerat lalu dibakar.

“Anum, apa lagi tanda kenangan yang ada,”

Zulfikar teringat pada cerita yang didengar dari Tuan Maihamah tadi. Bertambah-tambah lagi kesedihan dan kesayuannya.

Pantai Bisikan Bayu, anginnya menderu

Ombaknya setia dengan deburan kasih melepas rindu

Rindu Zulfikar pada Nik Anum semakin penuh di kalbu

Seperti rindu Adam pada Hawa yang terpisah di masa lalu.

Lama bermenung, lama berkhayal dan lama merintih melepaskan segala yang membungkam di dada ke laut yang luas, Zulfikar bergerak meninggalkan pantai itu. Hari sudah panas lantaran matahari sudah berada di puncak langit.

Dia tidak terus balik ke rumah. Dia masih ingin mencari kedamaian hati. Dia masih ingin mencari jalan meringankan resah di dada. Dia memilih untuk ke sebuah restoren.

Ketika keretanya sampai betul-betul di hadapan restoren, telefon bimbitnya berdering. Awalnya dia malas untuk menyambut panggilan, tapi tiba-tiba dia rasa dia perlu berdepan dengan kenyataan. Dia tidak boleh terus lari dari Shamira.

“Assalamualaikum! Babah kat mana ni?” suara Atikah kedengaran lunak mesra. Hati seorang ayah rasa senang dan bahagia.

“Babah kat Pasir Puteh ni. Tadi baru lepas hantar nenek ke klinik,” jawab Zulfikar.

“Mama kata babah ke pantai tu lagi..” kata Atikah. Zulfikar segera tergamam. Dia mula faham tujuan Atikah menelefonnya. Dia mula tahu bahawa Atikah adalah utusan tidak resmi Shamira untuk menyiasat pergerakannya. Tiba-tiba hatinya mual. Semakin hari dia melihat bayangan Shamira semakin jelas dalam diri Atikah.

“Ikah, apa salahnya babah ke pantai itu? Hanya di situ tempat babah dapat bertenang,”

“Tapi, tempat tu tak bagus untuk kesihatan babah,”

“Apa maksud Ikah?”

“Babah tu sakit. Tempat macam tu akan berikan kesan buruk pada kesihatan babah,”

“Babah sakit? Sakit apa?” Zulfikar separuh menjerit. Dia benar-benar terkejut dengan apa yang didengarnya.

“Mama kata babah mengalami kemurungan. Babah mengalami gangguan mental..”

“Hah?? Mama kau kata begitu? Masya-Allah..” Zulfikar memotong cakap Atikah. Darahnya menyirap panas. Hampir dia ragu-ragu pada telinganya yang mendengar kata-kata itu.

“Minggu depan Ikah balik. Ikah boleh temankan babah ke klinik. Babah perlukan rawatan segera sebelum penyakit babah melarat,” Atikah semakin berani.

Zulfikar terdiam. Seluruh denyut nadinya seperti mahu berhenti. Begitu juga aliran darahnya yang panas itu mendidih seperti lahar gunung berapi.

“Babah dengar tak apa yang Ikah cakap ni?”

Diam. Zulfikar menelan air liur.

“Babah?”

Masih diam.

“Babah? Kenapa ni? Apa dah jadi dengan babah ni?”

Tetap diam.

“Betullah kata mama, babah dah berubah. Babah mesti dirawat. Kawan Ikah seorang pakar jiwa..”

Tut! Tut. tut!!

Zulfikar mematikan talian. Telinganya tidak mampu mendengar lagi. Hatinya tidak mampu menahan lagi. Atikah klon Shamira. Kata-katanya seperti duri yang menyocok nubari, pedih dan ngilu.

Tanpa berlengah dia mematikan hajat untuk membasahkan tekak. Dia menghidupkan semula enjin kereta dan memandu pulang ke rumah. Sepanjang jalan dia rasa jiwa raganya lara. Semangatnya rasa lebur.

“Cepat kau balik Zul?” Mak Senah bertanya hairan ketika tiba-tiba Zulfikar muncul. Biasanya kalau ke pantai, Zulfikar akan menghabiskan masa hingga ke petang. Dia sendiri tidak pernah tahu apa yang dibuat oleh anaknya di tempat itu. Dan dia tidak pernah berniat untuk tahu. Biarlah. Kalau di situ Zulfikar rasa dia tenang, biarlah.

“Saya nak balik ke Kota Bharu, mak,” jawab Zulfikar.

“Kenapa? Selalunya kau balik tengah malam sikit..”

“Saya pinjam kereta orang. Nak kena hantar kereta tu. Kalau dah sampai sana malam, bila nak hantar. Esok pagi tentu dia nak guna,” jawab Zulfikar, sengaja memberi alasan. Mak Senah angguk perlahan. Alasan yang diberikan Zulfikar itu dirasakan logik dan ada benarnya.

“Kalau macam tu, mari kita makan dulu. Mak dah siap masak ni,”

“Lauk apa mak?” Zulfikar menoleh.

“Lauk kegemaran kau..” jawab Mak Senah selamba. Dia tahu dia tidak perlu untuk menyebutnya. Zulfikar pasti tahu.

“Hah? Mana mak dapat ikan haruan?” tanya Zulfikar dengan mata bercahaya. Tiba-tiba pula seleranya terbuka.

“Mak beli dengan Mat Deli,”

“Kat mana juga Mat Deli ni dapat ikan haruan,” rungut Zulfikar.

“Mat Deli tu rajin memukat di kubang arwah atoknya tu. Banyak ikan keli dan haruan dalam kubang tu,” jawab Mak Senah sambil menyenduk nasi dan gulai ikan haruan dengan daun kesom. Aroma daun kesom mencecah hidung.

“Sedapnya bau mak. Lapar saya dibuatnya,” Zulfikar menarik pinggan.

“Heh! Basuhlah tangan dulu. Baca bismillah. Jangan gopoh sangat. Dah tak lari dah haruan tu,” kata Mak Senah dengan senyum ketika melihat selera Zulfikar yang datang mendadak. Seperti seorang anak kecil, Zulfikar patuh. Dia menarik mangkuk yang berisi air pembasuh tangan dan membisikkan bismillah sebelum sesuap nasi masuk ke mulutnya.

“Mira ada telefon kau, Zul?” tanya Mak Senah.

“Tak ada. Dia telefon mak?”

“Ya. Marah betul dia dengan mak,”

“Kenapa?” Zulfikar berhenti mengunyah. Matanya mencari jawapan dari wajah Mak Senah.

“Sebab mak tak halang kau pergi ke pantai tu,” jawab Mak Senah dengan berhati-hati. Dia bimbang selera makan Zulfikar yang membuak itu terputus.

“Biarlah mak. Jangan ambil hati. Kalau dia bising-bising, mak suruh tanya saya sendiri,”

“Mak cakap macam tulah, suruh telefon kau sendiri dan tanya kau di mana,”

“Dia tak telefon, tapi anak dia yang telefon,” jawab Zulfikar dengan mulut yang penuh.

“Anak dia? Siapa?” Mak Senah curiga. Cara Zulfikar menjawab seperti cara orang sakit hati dan marah.

“Atikah..”

“Huh! Anak kau juga..” jawab Mak Senah. Zulfikar tidak menjawab.

“Dia tu bayangan mamanya. Perangai dia sama..”

“Perangai macam mana..?”

“Entahlah mak. Saya makin tak selesa sejak akhir-akhir ini. Dulu saya hanya mengadap perangai Shamira. Kini saya mengadap perangai dua beranak tu! Kadang-kadang sakit hati ni mak..” rintih Zulfikar. Mak Senah belas. Dia akhirnya faham maksud yang tersirat.

“Sabarlah Zul. Kau kena kuat berdepan dengan dugaan ini,”

“Tak cukup sabarkah saya ni mak? Dah dua puluh lima tahun. Rasa macam dah habis sabar saya ni..” keluh Zulfikar lagi.

“Tambah lagi nasinya,” suruh Mak Senah ketika melihat Zulfikar sedang menyapu licin pinggannya.

“Cukuplah mak, kenyang sangat nanti susah nak bawa kereta,”

“Kau nak bawa balik gulai ni? Boleh mak masukkan dalam bekas,”

“Tak payahlah mak. Saya malas nak masak nasi. Sehari dua ni, saya makan kat luar je,”

“Habis Mira tak masak?” tanya Mak Senah, hairan.

“Dah lama dah dia tak kisahkan dapur. Sejak dia naik pangkat dan jadi orang penting, dia dah tak anggap dapur itu penting untuk sebuah rumah. Itu yang saya rasa nak beli dapur baru..” Zulfikar cuba bergurau. Kemudian dia tersenyum.

“Jangan nak cari masalah. Masalah yang ada tak mampu kau selesaikan, nak tambah masalah lain pula,” kata Mak Senah mencebik.

“Apa yang jadi masalahnya?”

“Kau ingat Mira tu jenis orang yang boleh bertolak ansur? Kalau kau nak tengok dapur kau dipecah-pecahkan, cubalah..” jawab Mak Senah dengan senyum. Zulfikar ikut tersenyum. Dia membayangkan wajah kelat dan wajah marah Shamira.

“Mak..” tiba-tiba Zulfikar teringat sesuatu. Dia rasa ingin berkongsi dengan ibunya. Mak Senah segera berpaling.

“Ada apa?” tanya Mak Senah. Mata mereka bertembung.

“Nik Anum,” Zulfikar seperti berbisik.

“Hah? Kau jumpa dia?” Mak Senah teruja. Lama sungguh dia tidak bertemu dan mendengar berita mengenai anak gadis Engku Bedah dan Nik Idrus itu. Kali terakhir ialah seminggu sebelum dia berkahwin.

“Mak, Anum minta maaf kerana terpaksa buat keputusan ini. Bukan Anum tak sayangkan Zul, tapi Anum terpaksa. Anum tak diberi pilihan selain menerima,”

“Ya. Kami sedar siapa kami ni, Anum. Memang tidak setaraf dengan keluarga Anum,”

“Mak, tolong jangan kata macam tu. Anum tak pernah pandang semua itu. Tapi, ini pilihan ayah dan bonda, Anum.”

“Tak apalah, Anum. Pergilah. Anum anak yang baik. Bertuah ayah dan bonda Anum ada anak macam Anum,”

“Mak, tolong jaga Zul. Kesian dia. Anum akan tetap sayangkan dia..”

“Jangan Anum, berdosa. Bila Anum dah jadi bini orang, seluruh hati dan perasaan Anum adalah untuk suami. Berdosa kalau Anum masih nak ingat orang lain,”

“Anum harap satu hari kami akan bertemu juga. Walaupun ketika itu rambut Anum dah beruban putih atau Anum dah bongkok tiga, Anum akan tetap kasihkan Zul. Mungkin sekarang bukan jodoh kami. Mungkin Allah akan tentukan jodoh kami di akhir hidup kami. Anum akan tunggu masa itu tiba, mak. Berdoalah untuk kami..” kata Nik Anum sambil menangis di ribaannya. Tiba-tiba dia rasa suara itu terngiang semula di telinganya. Kuat dan nyaring.

“Kau jumpa Anum?” Tanpa disedari soalan itu terkeluar lagi dari mulut Mak Senah. Kali ini lebih kuat dan mengharap. Mana tahu masa yang dikatakan oleh Nik Anum itu benar-benar telah sampai.

Geleng. Zulfikar berkeluh kesah.

“Dia dah lupakan kita. Dia tak pernah cari kita lagi..” Mak Senah juga ikut mengeluh.

“Dia hidup susah mak,” kata Zulfikar perlahan. Mak Senah segera menoleh. Kata-kata itu seperti bunga api, pecah dan merecik ke seluruh jiwanya.

“Jadi? Memang kau ada jumpa dia?” desak Mak Senah. Zulfikar menggelengkan kepala.

“Kalau kau tak jumpa, mana kau tahu dia hidup susah?” Mak Senah bertambah keliru.

“Ombak di pantai tadi yang sampaikan cerita,” jawab Zulfikar dengan ketawa. Mak Senah ikut ketawa. Namun, jauh di sudut hatinya dia mengesyaki Zulfikar ada menyimpan sesuatu darinya.

****

Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.