Home Novel Keluarga DI ATAS LANTAI TAKDIR
DI ATAS LANTAI TAKDIR
Fida Rohani
1/3/2013 09:30:25
74,826
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 15

PETANG itu, seperti yang dijanjikan Maryati mengikut Mak Cik Patonah di pondok menunggu bas. Ketika dia sampai, Mak Cik Patonah tiada. Dia mencari tempat duduk dan cuba membuang lenguh.

Dia termenung melihat jalan raya yang agak sibuk. Waktu petang, waktu untuk orang pulang ke rumah selepas seharian bekerja.

“Hei, apa termenung ni? Bosan tunggu mak cik lambat sangat ke?”

Tiba-tiba bahunya dicuit. Mak Cik Patonah tersenyum ketika dia menoleh. Namun Maryati tidak berani untuk senyum. Matanya merenung wajah wanita itu dengan ragu-ragu. Tiba-tiba dia berasa tidak kurang senang dengan keputusannya. Apakah betul apa yang cuba dibuatnya ini?

“Mar, kenapa?”

“Betul ke apa yang Mar buat ni, mak cik?”

“Buat apa?” Mak Cik Patonah keliru.

“Pergi ke rumah mak cik semata-mata kerana nak korek rahsia mak cik. Macam tak ada adab pula Mar ni,” keluh Maryati perlahan.

Mak Cik Patonah tersenyum. Gelisah di hati Maryati segera disingkirkan.

“Mar, dah lama mak cik nak ajak Mar ke rumah mak cik. Ada perkara yang mak cik nak Mar tahu. Mak cik tak ada orang lain yang rapat selain Mar. Masa Mar bercerita tentang kisah hidup Mar, mak cik dah rasa ALLAH telah menghantar Mar kepada mak cik.”

“Apa maksud mak cik?” tanya Maryati. Namun Mak Cik Patonah tidak sempat menjawab bila bas yang ditunggu tiba.

“Bas dah datang. Kita sambung di rumah nanti,” kata Mak Cik Patonah menunjukkan ke arah sebuah bas yang berhenti di hadapan mereka. Dia bangun dan menarik tangan Maryati. Mereka beriringan menaiki bas untuk ke Flat Bukit Angkasa.

Setengah jam baru mereka sampai ke tempat yang dituju. Mak Cik Patonah turun, diikuti oleh Maryati. Kemudian mereka menapak anak-anak tangga Blok A untuk ke tingkat dua.

“Dah lama ke mak cik tinggal di sini?” tanya Maryati untuk menghilangkan rasa bosan membilang mata tangga.

“Dah lama juga. Sejak...” Mak Cik Patonah berhenti sejenak. Dia terus berjalan, seperti mahu mengelak daripada meneruskan cerit.

Maryati faham. Dia tidak mahu bertanya lagi.

Tidak lama mereka sampai dengan nafas yang termengah-mengah. Mak Cik Patonah membuka pintu. Maryati dijemput masuk dengan penuh hormat. Dia duduk di ruang tamu dengan selesa. Kerusi rotan yang agak usang direnungnya lama. Tiba-tiba dia teringat pada seseorang. Dulu dia pernah melihat kerusi seperti itu. Serta-merta dia membuang semua ingatan itu.

“Mar, buatlah macam rumah sendiri. Mak cik ke dapur, tengok apa yang boleh kita makan.”

“Buat susah mak cik saja ni.”

“Susah apanya, hanya minum. Tapi kalau Mar rasa nak makan di sini pun boleh. Kita masak dan makan bersama. Nak tak?” tanya Mak Cik Patonah.

Maryati diam.

“Kata orang tua-tua, diam maknanya setuju. Jomlah kita ke dapur,” ajak Mak Cik Patonah.

Maryati bangun dan mengekori wanita itu. Ketika itu tiba-tiba dia teringatkan bondanya di kampung. Dia berhenti melangkah.

“Mar, kenapa?” Mak Cik Patonah menoleh.

Maryati sebak.

“Mar rindukan kampung dan keluarga Mar?” Mak Cik Patonah menduga.

Maryati mengangguk.

Mak Cik Patonah segera mendekat dan memeluk tubuh Maryati. Esakan Maryati tiba-tiba terburai pecah, bersama air mata yang melebat.

“Sudahlah. Kalau rindu, kenapa Mar tak balik saja? Atau Mar tinggal saja di kampung? Kata Mar, bonda dan ayahanda Mar pun tinggal berdua saja,” kata Mak Cik Patonah sambil memimpin Maryati duduk di sebuah kerusi plastik di ruang dapur itu.

“Mar tak kuat nak berdepan dengan mereka, mak cik. Setelah apa yang berlaku, Mar tak nak mereka terus rasa bersalah. Lagipun, Mar nak tunggu anak-anak Mar. Mar yakin, satu hari mereka akan kembali juga ke pangkuan Mar,” kata Maryati pula.

Mak Cik Patonah faham perasaan murni Maryati. Tiba-tiba juga dia berasa sebak. Kalaulah anak-anaknya berpekerti sebaik Maryati.

“Apa kata, satu hari mak cik ikut Mar balik kampung. Mak cik teringin nak ke Kelantan,” ujarnya.

“Betul ke, mak cik?”

Mak Cik Patonah mengangguk.

“Betul ke mak cik tak pernah pergi ke Kelantan? Tapi kalau tak silap Mar, mak cik pernah cerita salah seorang menantu mak cik orang Kelantan,” kata Maryati.

“Memang benar, tapi mak cik tak pernah dibawa ke sana. Mak cik tak pernah kenal besan dan saudara-mara menantu mak cik. Dengan menantu pun mak cik jumpa sekali saja semasa mereka baru berkahwin,” kata Mak Cik Patonah pula.

Muncul rasa pelik di hati Maryati di sebalik cerita itu. “Habis semasa majlis perkahwinan tu, takkan keluarga sebelah menantu tak datang?”

Mak Cik Patonah menggeleng. Hati Nik Anum Maryati semakin keliru.

“Assalamualaikum! Mak cik oh mak cik!”

Suara orang memberi salam bergema dari luar pintu. Mak Cik Patonah bangun. Soalan Maryati tidak sempat dijawab.

“Mar duduk sekejap, mak cik nak tengok siapa yang datang.”

Selepas tinggal sendirian, Maryati memerhati ke sekeliling dapur itu. Dapur rumah itu sederhana peralatannya. Hanya ada dapur, sebuah almari pinggan mangkuk dan sebuah peti sejuk satu pintu.

Ketika itu, juga Maryati teringat kata-kata Raihanah yang Mak Cik Patonah bukan calang-calang orang. Anak-anaknya semua berpangkat. Betulkah?

“Nur Kartinie hantar surat mak cik,” kata Mak Cik Patonah sambil duduk semula di hadapan Maryati.

“Nur Kartinie? Siapa?”

“Jiran sebelah. Kadang-kadang bila posmen datang bawa surat berdaftar, dia yang tolong ambilkan sebab siang memang mak cik tak ada di rumah.”

Maryati ingin bertanya lebih lanjut tentang surat itu, namun dia bimbang akan dikatakan menyibuk pula.

“Surat dari anak mak cik dari Singapura,” kata Mak Cik Patonah, seperti faham dengan apa yang ada dalam fikiran Maryati.

“Anak mak cik ada di Singapura?”

“Ya, yang sulung. Dia berkahwin dengan orang sana. Dia satu-satunya yang tak bekerja, hanya suri rumah tangga sepenuh masa,” jawab Mak Cik Patonah.

“Anak mak cik berapa orang?” Maryati merasakan dia sudah diberi ruang untuk merisik kisah. Dia amat teruja untuk tahu kisah hidup Mak Cik Patonah.

“Semuanya enam, tapi mati seorang. Tinggal lima orang. Tiga lelaki, dua perempuan. Seorang di Singapura, tiga di luar negara dan seorang di sini.”

“Di KL ni?”

“Tak, di Kelantan...” jawab Mak Cik Patonah perlahan.

Namun Maryati sempat mendengar ada getar halus dalam suara itu. Dia mencongak sendiri. Anak Mak Cik Patonah mungkin mengikut suaminya ke Kelantan.

“Mar, minumlah dulu. Basahkan tekak dulu, sebelum telinga Mar dengar cerita yang Mar nak tahu tu.” Mak Cik Patonah menghulurkan segelas air sirap yang baru dikeluarkan dari peti sejuk.

Maryati meneguk sirap itu. Memang dia berasa haus.

“Mar, cerita yang mana yang Mar nak tahu dari mak cik?” tanya Mak Cik Patonah. Maryati meletakkan semula gelas di atas meja.

“Kalau boleh semuanya,” jawab Maryati dengan senyum.

“Kalau semuanya, Mar kena tidur di sini seminggu.”

“Kenapa, mak cik?”

“Sebab kisahnya panjang, berliku dan penuh ranjau. Macam hidup Mar juga, hidup mak cik tak secerah orang lain,” jawab Mak Cik Patonah.

“Kalau macam tu, mak cik cerita tentang anak-anak mak cik dulu. Yang lain, kita sambung kemudian,” putus Maryati.

Mak Cik Patonah ketawa perlahan.

Maryati menoleh dengan wajah hairan. “Kenapa mak cik ketawa?”

“Lucu pula Mar beria-ia nak tahu kisah hidup mak cik. Mar macam seorang wartawan, nak cari sampai benar faktanya.”

Maryati terkesima malu.

Mak Cik Patonah melepaskan pandangannya ke luar tingkap.

Maryati dihurung rasa bersalah. “Mak cik, minta maaf sekali lagi. Kalau mak cik rasa keberatan nak cerita, tak apa. Mar tak akan kecil hati. Kisah hidup mak cik adalah milik mak cik,” tuturnya.

Mak Cik Patonah bangun dan berjalan ke ruang tamu.

Maryati gelisah. Dia memujuk hati supaya bersabar dan menunggu. Tidak boleh terlalu tergesa-gesa kerana dia tidak mahu membuatkan wanita itu rasa terluka.

“Mar, boleh Mar tolong bacakan surat anak mak cik yang sampai tadi tu?” Dia menghulurkan sampul surat yang dihantar oleh Nur Kartinie itu.

Maryati teragak-agak.

“Tak ada rahsia. Kalau Mar nak tahu sedikit sebanyak kisah mak cik, Mar bacalah surat Aziana ni. Bacalah...”

Maryati tiada pilihan walaupun hatinya cukup berat. Dia tidak suka membaca surat orang lain. Namun kali ini, dia terpaksa. Dia membacanya di dalam hati. Beberapa baris ayat sudah dibaca dengan hati yang mula bergetar.

“Jangan baca dalam hati sebab mak cik pun nak dengar,” kata Mak Cik Patonah, menepuk bahunya.

Maryati mengangkat muka.

Mak Cik Patonah mengangguk.

Maryati membetulkan duduknya. Dia mencari kekuatan lalu membaca surat itu.

“Assalamualaikum, ibu. Azi harap ibu berada dalam keadaan sihat sejahtera. Dalam setiap sujud Azi kepada Allah, Azi tidak pernah terlupa mendoakan ibu. Hanya ini yang Azi mampu buat untuk ibu.

Ibu, surat ibu telah selamat Azi baca. Seperti biasa, air mata tidak mampu Azi tahan. Ia telah menemani Azi dalam menghayati setiap patah kata yang ibu tulis. Sungguh Azi sedih. Sungguh Azi kesal. Sepatutnya dalam usia ibu yang begini, ibu tinggal diam di rumah dan mengerjakan amal ibadat. Sepatutnya juga selepas ibu bertungkus lumus membesarkan kami, ibu mendapat ganjaran balasan yang baik. Namun... apa yang berlaku adalah sebaliknya. Ibu masih bekerja.

Ya Allah! Maafkan Azi, ibu. Azi terasa Azi menjadi anak derhaka. Azi menjadi anak yang tidak mengenang budi. Azi biarkan ibu menanggung semua kesusahan dan penderitaan sendirian. Azi mungkir janji pada arwah abah untuk menjaga ibu.

Azi ingin, ibu... terlalu ingin menjaga dan membelai ibu sepertimana ibu pernah membelai kami adik-beradik. Namun apakan daya, anak ibu ini sudah terikat dengan sebuah rumah tangga. Azi tersepit antara dua persimpangan kasih. Azi tidak mampu membuat keputusan memilih ibu kerana sayangkan cucu-cucu ibu ini. Azi tidak mahu mereka membesar tanpa ayah.

Ampuni Azi, ibu. Jangan sumpah Azi dengan sumpah keramat seorang ibu. Tolong Azi, ibu. Azi sayangkan ibu.

Sungguh malang nasib Azi kerana sampai saat ini Azi belum mampu membalas semua pengorbanan ibu melahirkan Azi. Kesakitan ibu ketika melahirkan Azi belum pernah Azi ubati. Setitik darah ibu yang tumpah dalam kesakitan itu juga belum sempat Azi balas. Setitik air susu ibu yang Azi minum juga belum terbalas. Begitu juga kehangatan pelukan ibu dari lahir hingga dewasa, langsung belum berbalas.

Ibu, apakan daya Azi. Tuhan tidak berikan Azi rezeki yang banyak untuk membantu dan menyara hidup ibu. Kalau tidak, Azi akan tebus semua kesedihan ibu itu. Kalaulah adik-adik Azi tidak lupa diri... tentu keadaan ibu tidak begini. Mereka telah menjadi orang berjaya dan berpangkat. Tapi kenapa mereka begitu zalim melupakan jasa ibu?

Bersama ini Azi kirimkan sedikit duit untuk ibu. Memang ia amat sedikit kalau nak dibandingkan dengan jasa dan kasih sayang ibu. Tapi, hanya ini yang Azi ada, ibu. Jangan bimbang, duit ini adalah duit hasil titik peluh Azi sendiri. Azi tidak mencuri duit belanja dapur. Azi juga tidak meminta dari sesiapa, tapi Azi buat kuih untuk jualan. Azi simpan semua duit jualan kuih untuk ibu.

Ibu, Azi amat berharap agar ibu masih sudi mendoakan adik-adik Azi walaupun mereka telah berlaku kurang ajar pada ibu. Mereka perlukan doa seorang ibu. Jangan sumpah mereka seperti ibu Si Tenggang menyumpah anaknya. Tolong kasihani mereka, ibu. Tolonglah!

Sampai di sini dulu. Sembah salam dari Azi dan anak-anak untuk ibu.

Anakmu... Aziana.”


Previous: Bab 14
Next: Bab 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.