Home Novel Keluarga Hakikat Sebuah Derita
Hakikat Sebuah Derita
chema
25/4/2018 12:01:36
36,462
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 3

“Ammar! Kakak dah balik ni.” Jerit Nurin berlari-lari ingin cepat sampai ke rumah. Lalang yang tumbuh dikiri dan kanan laluan ke rumah setinggi bahu sesekali bergesel di lengan bajunya apabila ditiup angin. Nasib baik juga baju sekolahnya masih mampu menjadi pelindung, jika tidak sudah tentu bertambah lagi gurisan pada kedua-dua lengannya. Hati Nurin sedang gembira sekarang ini senyuman dibibir itu masih belum lekang. Dia terus menjerit-jerit memanggil nama adiknya. Ada hadiah untuk Ammar. Nurin yakin Ammar akan tersenyum menerima hadiah daripadanya nanti. Sejak dari dalam kelas lagi dia sudah tidak sabar balik ke rumah untuk berjumpa adiknya.

“Ammar!..Ammar!” Semakin hampir dengan rumah semakin kuat jeritan Nurin memanggil adiknya. Si tompok yang sedang leka mengendap burung serindit dipohon senduduk terlompat ganas apabila terperanjat mendengar suara nyaringnya. Nurin ketawa gelihati melihat keletah Tompok terperanjat dan ia terus menyembunyikan diri disebalik timbunan kayu. Melihat kelibat Ammar yang masih belum kelihatan dan menyahut panggilannya membuatkan Nurin semakin pantas berlari. Telapak kakinya terasa sakit apabila tercucuk batu batu kecil disepanjangan perjalannnya akibat tapak kasut yang semakin haus. Bekas-bekas jahitan semakin banyak kelihatan pada permukaan kasut. Nurin tidak mampu berbuat apa-apa sehingga sekarang ibunya masih belum mampu menunaikan permintaannya untuk memiliki kasut sekolah yang baru. 

“Kakak dah balik..yey!” jerit Ammar lalu keluar dari tempat persembunyiannya membuatkan Nurin terkejut dan kemudian mereka sama-sama ketawa. Rupa-rupanya Ammar sembunyi dibalik lalang-lalang yang tumbuh dan sebaik sahaja Nurin betul-betul berada berhampiran dengannya dia menjerit kuat. 

“Hey kenapa terkejutkan akak..Ammar jahat!.”

Nurin mengejar Ammar yang berlari terkedek-kedek ketika dia mahu menyekeh kepala adiknya. Lariannya terhenti dimuka pintu apabila dia tidak lagi berdaya mengejar Ammar yang masih bertenaga berbanding dirinya. 

“Ammar sini, kakak ada hadiah untuk Ammar.” Tangan kecil itu mengamit adiknya supaya mendekati. Masih tercungap-cungap Nurin kelelahan namun rasa teruja untuk memberikan kueh itu kepada Ammar mengatasinya.

“Hadiah..kakak belikan hadiah untuk Ammar.” Mata bundar itu bercahaya. Seolah-alah tersimpan seribu cahaya dimata itu. Ammar suka sangat mendengar perkataan hadiah. Hadiah itu bermakna ada ‘sesuatu’ dibawa balik oleh kakaknya hatta sebatang pencil kontot untuk dia belajar menulis sekalipun. Ammar duduk disebelah Nurin dengan wajah teruja dan tidak sabar. Sesekali dikesat peluh yang merenek diwajah diseka dengan leher baju t-shirtnya yang berlubang-lubang. Bahang kepanasan rumah beratapkan zink itu tidak sedikitpun membuatkan dua beradik itu berganjak dari tempatnya. Mata kecil itu terus memerhati tangan kakaknya yang sedikit terkial-kial menyeluk beg sekolah yang semakin banyak bertampung. Bibir mereka tersenyum manis saat mata berlaga seolah-olah langsung tidak terkesan dengan kekurangan mereka. Ammar menanti dengan perasaan teruja namun saat mata itu tertancap pada telapak tangan sang kakak yang memerah tangan kecil itu segera menariknya untuk dilihat.

“Kenapa dengan tangan kakak ni. Kakak kena pukul ke?” Mata Ammar tidak berkelip melihat telapak tangan Nurin yang memerah. Nampak dengan jelas telapak tangan itu bergaris beberapa jalur merah. Masih berbau kesan minyak ubat yang disapu. Nurin segera larikan tangannya dan terus menyeluk beg sekolah itu tanpa menghiraukan pandangan mata Ammar.

“Sikit je, akak lupa buat kerja sekolah jadi cikgu rotan lah.” Jawab Nurin sambil gelak-gelak. Terpaksa berbohong. Dia tidak mahu Ammar bertanya lebih-lebih. Sebolehnya dia tidak mahu sesiapa pun yang menyedari tangannya berbirat lebih-lebih lagi emaknya yang telah banyak berkorban untuk mereka. Pasti emaknya sedih apabila mengetahui dia dituduh mencuri nanti.  

“Tadaaa!!!…”

Ammar bersorak gembira seriang burung-burung yang terbang membelah cuaca petang. Terlalu gembira menerima hadiah yang diberikan kakaknya itu hingga lupa tangan yang dilihatnya tadi. Sejak sarapan pukul tujuh pagi tadi sehinggalah ke pukul dua petang perutnya masih belum terisi. Dia hanya mengalas perut dengan air kosong dan tatkala melihat kakaknya membawa pulang sebungkus kueh seri muka itu dia bersorak gembira.

“Makanlah, abang Aiman hadiahkan pada kakak.” Beritahu Nurin ikhlas dengan senyuman. Nama Aiman sudah sinonim ditelinga Ammar kerana Nurin sering menceritakan perihal Aiman kepadanya. 

“Baiknya abang Aiman.” Balas Ammar tulus sambil rakus mengunyah kueh seri muka yang dibawa pulang kakaknya. Nurin hanya memandang dengan perasaan gembira sambil menggosok kepala Ammar. Liurnya beberapa kali ditelan melihat berselera benar Ammar menyuap kueh itu ke dalam mulut membuatkan perutnya terasa lapar.

“Kakak dah makan” soal Ammar lalu terus menyuap sebiji kueh lapis itu ke dalam mulutnya. Penuh satu mulut membuatkan wajah Ammar kelihatan comel.

Nurin senyum. Dia tahu Ammar lapar. Tiga ketul kueh seri muka itu semuanya untuk Ammar perutnya masih mampu bertahan sebelum dia sendiri akan menyediakan makan tengahhari untuk mereka. Menu tengah hari kebiasaan yang akan disediakan, Nasi putih dan telur asing yang dibeli oleh emaknya semalam. 

“Jangan gelojoh Ammar nanti tercekik” nasihat Nurin apabila tangan Ammar mahu menyumbat sebiji lagi kueh itu ke dalam mulut.

“Kakak nak?”

Tanpa menunggu jawapan kakaknya, Ammar terus menyuapkan baki separuh kueh ditangannya itu ke mulut Nurin. Nurin tersenyum sambil mulutnya mengunyah tangannya laju mengosok kepala Ammar.  Adiknya itu tidak penah lupakannya.

“Kita kongsi” tutur Ammar sambil tersengih-sengih dihadapan Nurin. 

Nurin ketawa. Ammar sudah menelan hampir dua per tiga kueh baru tersedar untuk berkongsi.

“Yang ni untuk adik dan mak, kan kakak?” tangan kecil itu segera menutup bekas kueh itu lalu diberikan kepada Nurin. Nurin terharu. Sikap Ammar benar-benar menyentuh hatinya. Masih mahu berbahagi rasa walaupun perut Ammar sendiri masih lapar. Lihat sahaja adiknya itu berusaha menjilat jari seolah-olah jari itu juga mahu ditelannya.

“Apa Ammar buat dari tadi, Ammar belajar tak?” Soal Nurin berlalu ke dalam rumah sambil menyimpan beg sekolahnya. Tudung sekolah disangkutkan  pada paku didinding yang sudah uzur dan berlubang-lubang. 

Ammar angguk sekali lalu bergegas masuk ke dalam mencari buku latihan yang telah disiapkan Nurin sebagai kerja rumahnya semalam. 

“Ammar dah siapkan kerja sekolah yang kakak berikan semalam.” Nurin ambil kertas yang sudah berconteng itu. Ulas bibirnya tersenyum lebar. Tulisan Ammar semakin baik walaupun masih banyak lagi yang perlu diperbaiki. Huruf-huruf yang senget dan berterabur itu tetap menyenangkan hati Nurin. Ammar tidak pernah culas mengerjakan apa yang disuruh. Jauh disudut hati Nurin merasa sedih melihat Ammar masih tidak bersekolah sedangkan ramai kanak-kanak yang seusia dengan Ammar sedang berada didalam kelas sekarang ini. 

Beras yang sudah siap dibasuh itu diangkat lalu diletakkan ke atas tungku. Dilarikan kayu yang sudah menjadi bara agar nasi yang ditanak nanti tidak hangus. Muka yang bersih tadi sedikit comot kesan daripada arang dari kayu yang dibakar. Dia tidak pernah malu dan tidak pernah merungut. Lelah? Tiada istilah lelah baginya. Usia tujuh tahun ibunya sudah mengajarkannya bagaimana menggunakan dapur kayu. Dia belajar dengan tekun walaupun kadang-kadang dia menjerit dan menangis kerana tidak dapat menghidupkan api. Usia sepuluh tahun dia sudah cekap menyediakan makan minum mereka dengan menggunakan dapur kayu tanpa meminta bantuan daripada ibunya lagi. Segala urusan dapur diserahkan sepenuhnya kepada dia jika ibunya terpaksa bekerja lebih masa. 

Asap berkepul-kepul naik ke udara, bau tengit ruang dapur langsung tidak mengganggu tugasan Nurin. Dia sudah terbiasa dengan bau dan keadaan begitu. Telur asing yang tersimpan didalam tin kosong berkarat itu dikeluarkan. Dua biji, cukuplah untuk mereka empat beranak mengeyangkan perut. 

“Kakak pensil Ammar dah kontot nanti kakak carikan yang lain ya” Ujar Ammar sambil menujukkan sebatang pensil yang hanya tinggal kurang seinci. Nurin angguk bersama senyuman sebelum Ammar kembali melakar sesuatu diatas permukaan kertas itu. Buku contengan Ammar juga hampir habis, hanya tinggal beberapa helai muka surat yang belum dicontengnya.

 “Nanti kakak bawa balik, sementara tu Ammar boleh guna pensil akak dulu.” Nurin mengatur langkah menuju ke ruang kecil tempat dia menyimpan beg dan barangan persekolahannya. Duduk bersimpuh disebelah Ammar menemani adiknya sementara menunggu nasi dan telur asing masak. Sesekali pandangannya dilemparkan keluar pintu memerhati lalang-lalang yang meliuk lentok disapa angin. Kelibat ibunya masih belum kelihatan. Nurin resah, bimbang kesihatan ibunya terganggu. Sejak seminggu lalu ibunya selalu balik kelewatan kerana banyak kerja yang perlu diselesaikan. Jauh disudut hati dia berdoa agar ibunya dapat membawa pulang lauk-pauk yang tidak habis dijual di restoran tempat ibunya berkerja. Sudah seminggu perut mereka hanya menjamah nasi putih dan kicap. 


Bunyi ranting dipijak menghilangkan lamunan Nurin. Telinga dipasang, matanya meliar memandang keluar pintu mencari-cari dari mana sumber bunyi itu datang. Mungkin ibunya telah pulang namun tidak pula kedengaran suara adik bongsunya merengek-merengek. Tiba-tiba jantungnya berdebar. Nurin segera bangkit dan menuju ke bahagian dapur. Dia sudah dapat mengagak siapa yang akan muncul nanti, sebelum dia dimarahi lebih baik dia bersedia. 

Nasi yang sudah masak itu diangkat. Telur asing yang siap direbus itu setiap satunya dibelah dua. Pingan nasi yang sumbing itu dicapai. Tidak banyak pingan yang elok dalam pondok usang mereka. Itu semua hasil kerja susah payah ayahnya yang suka mengamuk dan selalu memecahkan pingan didapur setiap kali bergaduh dengan emak. Puas sudah emak melarang perbuatan ayah namun semuanya tidak berhasil. Kata emak kalau selalu sangat ayah pecahkan pinggan magkuk lama-lama nanti kami makan dalam tempurung kelapa. Ayah tidak pernah bertanyakan ibu soal barang dapur. Kadang kala kepulangan ayah langsung tidak bermakna bagi mereka. Cakap orang tua-tua lebih baik tiada daripada ada.

Damm!

Bunyi hentakan pada didinding using pondok memeranjatkan mereka. Bagaikan melihat kepala naga terjulur didepan pintu rumah mereka tanpa kata Ammar terus berlari mendapatkan Nurin yang terkaku memandang susuk tubuh lelaki dihadapan pintu. Ammar tidak sedar tindakannya itu membuatkan buku dan pencilnya terbang hingga ke sudut dinding dek terlalu takutkan si ayah. Kepala Ammar menunduk, tubuh kecil itu berselindung disebalik tubuh Nurin seakan mencari perlindungan dari kebengisan si ayah yang entah dari mana pulangnya.

Kadir merenung sekilas dua beradik yang berada beberapa meter darinya. Ketakutan pada wajah anak-anaknya dipandang bersahaja. Langsung tidak berperasaan bagaikan melihat baju-baju lusuh yang terdampar dibalik dinding berlubang. Bahang kepanasan dari atap zink yang kelihatan berkarat dan uzur itu menambahkan lagi rasa panas dihati. Silau cahaya yang menerobos dari lubang-lubang zink tidak sedikitpun menyedarkan dia bahawa pondok tempat mereka berteduh itu semakin uzur ketahanannya, mungkin sebulan dua lagi sudah rata menyembah bumi. Fikiranya masih lagi menerawang mengingatkan bertapa gembiranya dia mendapat hasil tangkapan ikan semilang semalam. Walaupun tidaklah ‘se gah’ mana rezeki yang diperolehinya namun cukuplah untuk mengenyangkan perut mereka anak beranak dan lebih mengembirakannya tentu sahaja apabila melihat wajah ceria isterinya kerana dia berjaya membawa hasilnya setelah sekian lama dia melupakan tangungjawab sebagai ketua keluarga. 

Tidak lama perasaan gembira itu bermukim dihati diganti pula rasa kecewa yang mendadak dan mencucuk-cucuk hulu hati. Entah siapalah punya kerja mencuri rezekinya diawal pagi. Dia sudah memasang angan-angan membawa balik ikan yang ditangkapnya, sementara menungu matahari terbit namun tidak menyangka dia terlelap ditepi jeti. Ketika tersedar hari sudah meninggi. Sebaik sahaja dia pergi mendapatkan ikan yang disimpan didalam jaring yang ditambat pada tiang jeti tiba-tiba dia dapati jaringnya putus dikerat orang. Punah segala harapannya mahu membawa balik rezeki untuk anak-anaknya. Kalau dia tahu siapa yang mengambilnya pasti lunyai dikerjakan.           

“Ibu kamu belum balik lagi” Soal Kadir memecah kesunyian sambil memandang dua beradik itu. Baju kemeja lusuh yang dilemparkan sebentar tadi diambil.

 Dengan rasa takut-takut sambil menguis-nguis bara yang sudah mahu terpadam itu perlahan-lahan kepala itu digeleng. Kepulan asap mula menjamah wajah polos bermata bundar itu membuatkan kedua-dua biji matanya terasa pedih dan berair. Ammar masih dibelakang memeluk erat kakaknya. Tidak berani menatap wajah si bapa.

 Kadir merenung Nurin, anak pertama yang menjengah dunia ketika dia dihalau oleh arwah mak ngah dari rumah arwah orang tuanya. Disinilah Nurin dan dua lagi adiknya dibesarkan. Wajah comot Nurin menyentuh hati namun seketika hati itu tetap juga keras untuk menunjukan kasih sayangnya. 

Tubuh kering yang tidak berbaju disandarkan pada tiang yang semakin nampak uzur. Entah sampai bila tiang kayu itu mampu bertahan meneduhkan mereka anak-beranak. Kadir tidak mampu berfikir malah dia langsung tidak mahu fikirkan masalah yang membelenggu rumahtangganya. Biar waktu yang menentukan apa yang bakal berlaku seolah-olah Kadir sudah menyerah tanpa berjuang. Jika tiang itu boleh bercakap barangkali Kadir akan terkejut mendengar rintihannya yang terpaksa menahan beban untuk terus bertahan. Dinyalakan sebatang rokok yang sudah dibakar separuh. Sengaja tidak dihabiskan rokoknya itu bagi menjimatkan duitnya yang semakin susut. Entah apalah nasibya selalu sahaja ditimpa malang walaupun sudah berkali-kali dia berusaha mahu menyara keluarga dengan tulang empat keratnya semua itu tidak pernah berhasil. Setiap kali dia mendapatkan pekerjaan tidak sampai seminggu pasti dia akan dibuang kerja tanpa ada alasan yang kukuh. Kadir sendiri pening dengan nasib hidupnya. Untuk itu dia lebih senang berjudi menerima ajakan Samad, suami Senah, sepupunya itu. Lelaki sebayanya itu tidak lokek membantu apabila dia keputusan wang untuk berjudi. Bukan dia tidak pernah mendengar nasihat pak Aji bahkan boleh dihafal setiap satunya. Bebelan Gayah juga sudah sebati dibibirnya namun apa lagi yang mampu dia lakukan selain daripada itu. Berjudi, walaupun tidaklah mendapat hasil yang lumayan sekurang-kurangnya boleh juga menampung keperluannya. Biar dia seorang yang makan dari hasil judi jangan anak-anaknya sebab itulah dia tidak pernah memberikan Gayah duit belanja. Jauh disudut hati dia mahu mengubah nasib, dia mahu membesarkan anak-anaknya dengan menyediakan tempat tinggal yang lebih elok, makan pakai dan sekolah anak-anaknya seperti orang lain pun begitu setiap kali dia mahu berubah ada sahaja halangannya. Kadir melepas asap yang sudah penuh didalam mulut. Biar asap itu hilang bersama masalah-masalah hidupnya namun tidak juga malah tekaknya pula yang terasa perit.

 “Nurin bawakan aku air” Pinta Kadir terbatuk-batuk. Nafas ditarik panjang sebelum tangannya mengamit Ammar yang hanya melihatnya secara sembunyi-sembunyi dibelakang tubuh kakaknya. Sudah lama dia tidak bermesra dengan  anak-anak dia sendiri lupa bilakah dia bergurau senda dengan anak-anaknya. Bukan tidak teringin namun hambatan masalah yang datang bertubi-tubi membuatkan dia lelah malah melihat anak-anaknya hidup dalam keadaan daif begitu hatinya bagaikan dirobek-robek. Dan kerana itulah dia mahu menjauhkan diri daripada anak-anaknya. Bertambah pilu rasa hatinya apabila melihat cara Ammar berjalan ke arahnya bagaikan anak kecil itu sedang mengheret sebatang balak, terlalu berat untuk melangkah. Mungkin terlalu takut dengannya hingga membuatkan kaki kecil tidak mampu melangkah. Kadir senyum dalam kepahitan. Dia faham perasaan anak-anaknya. Ada air jernih yang cuba dihalang untuk turun. Biarlah perasaan itu hanya dia yang tahu.

Air putih yang telah disediakan didalam cawan Nurin hulurkan kepada ayahnya. Walaupun terbesit juga perasaan takut namun melihat kebengisan ayahnya mengendur dia beranikan diri. Mata kecil bulat dan hitam itu saling bertatapan dengan Ammar yang masih takut-takut untuk melangkah. Nurin pegang tangan Ammar, menyalurkan sedikit kekuatan dan ketenangan dengan erti kata ‘kakak ada..Ammar jangan takut’. 

Seperti angin semangat itu meresap ke dalam tubuh Ammar, kaki kecil itu melangkah jua walaupun kelihatan amat berat dan perlahan sekali pergerakannya tidak seperti mula-mula Ammar melihatnya tadi dengan tindakan yang cukup pantas sesuai usia kanak-kanak sepertinya. Kadir tarik nafas dalam. Berat. Dia cuba menghapus rasa sebu yang mengigit relung hati. Setiap langkah yang diatur itu bagaikan belati tajam yang sedang menjunam ke jantungnya. 

“Ayah nak makan, nasi dah masak tapi lauk..” kata Nurin terhenti. Matanya jatuh pada nasi dan telur asing dipinggan sebelum matanya kembali memandang Kadir. Liur ditelan saat mata itu bertatapan dengan Kadir. Takut menyatakan lauk yang bakal terhidang nanti menaikkan amarah si ayah.

“Bawakan apa yang ada.” Ujar Kadir merasai ketakutan Nurin, dia tidak mahu membebankan anaknya. Sepatutnya dialah yang menyediakan makan untuk anak-anaknya namun sebaliknya pula. Dia telah gagal seratus peratus menjadi seorang ayah yang bertangungjawab.

  Tanpa perlu meminta berulang kali tangan itu lincah menyediakan nasi putih bersama separuh telur asing yang telah dipotong siap-siap. Botol kicap yang tersisa sedikit itu diambil lalu diserahkan kepada ayahnya. Walaupun perasaan Nurin masih takut-takut dia masih boleh merasa lega apabila ayahnya tidak lagi marah-marah seperti sebelum ini. Fikir Nurin mungkin ayah sedang menang judi. 

Nurin berdiri dimuka pintu menanti emak yang masih belum kelihatan. Janggal terasa bila ada ayah bersama seperti berada didaerah asing dan mereka terkial-kial tidak tentu arah. Selalunya hanya mereka berempat memenuhi ruang sempit itu bergelak ketawa, menyiapkan kerja sekolah. Ayah hanya akan pulang waktu dinihari ketika dia dan adik-adiknya sudah lena dibuai mimpi kadang-kadang tidak pulang beberapa hari. Entah ke mana ayah pergi Nurin tidak pernah tahu bukan tidak pernah mahu mencari jawapannya namun keterbatasannya itu membuatkan dia tidak lagi mahu ambil peduli tentang ayah.  

Kadir capai buku lusuh dan berkeronyok itu. Dia melihat sendiri bagaimana buku yang tertulis latihan terpelanting hingga ke sudut gerobok kayu. Entah kemana pula perginya alat tulis Ammar matanya melilau sebelum berhenti pada sebatang pencil terselit dihujung dinding. Tubuh Ammar yang takut-takut menghadapnya ditatap seketika sebelum mata kosong itu merenung buku ditangan, satu persatu dibeleknya dengan senyuman kadang meleret kadang kala bibir itu herot sekadar menzahirkan apa yang ditulis Ammar. Jauh di sudut hati seorang ayah dia merasa malu kepada anak-anaknya. Anak lelakinya itu tidak mampu dihantar ke sekolah. Dia hanya mengharapkan Nurin dapat berkongsi ilmu dengan adiknya dan sebab itulah dia tidak pernah melarang dan menghalang Nurin belajar dan bersekolah walaupun dia tidak sedikitpun menyumbang apa-apa hatta membayar yuran dan membeli baju sekolah anak perempuannya itu. 

“Siapa yang tulis dan lukis ni” Soal Kadir terasa cukup canggung bermesra dengan anaknya. Ammar masih lagi ketakutan wajah itu tidak terangkat sejak dari tadi. Kedua tangannya bertaut kemas seolah-olah dia bakal menerima hukuman atas kesalahan dia menconteng buku kakaknya. Sebutir keringat sebesar biji jagung mengalir dari hujung telinga ke lehernya yang berwarna coklat . Raut wajah mendung itu semakin bertambah mendung jadinya apabila mata si ayah masih menatapnya walaupun tidak segarang selalu namun renungan itu sudah cukup untuk mengetarkan seluruh jiwa kecilnya.

Melihat anaknya tidak berani membuka mulut Kadir cuma membiarkan. Matanya masih menumpu pada contengan dikertas putih yang tidak lagi seputih asal. Kesan renyukan dan kotoran melekat pada permukaan kertas membuatkan mata Kadir berpinar apatah lagi untuk memahami coretan itu dengan fikiranya yang masih berserabut. Pelbagai hasilan terlukis hingga tiada lagi ruang kosong membuatkan dia sendiri tidak tahu dari mana perlu dimulai. Sesekali dahinya kelihatan berlipat-lipat cuba memahami isinya. Tulisan itu bercampur-campur, ada huruf-huruf dan nombor saling bertingkah dan bertindih-tindih. Ditepinya pula terlukis beberapa bentuk orang lidi nampaknya seperti sebuah keluarga. 

Tersentap!

Tiba-tiba kolam matanya terasa hangat. Lukisan itu benar-benar menyentuh hatinya. Satu orang lidi besar (mungkin ibunya) sedang memegang tangan orang lidi kecil yang beratur sederet mereka saling berpegangan tangan. Dia tidak bodoh menilai dan memahami lukisan itu. Sekeping hati anaknya bersih apa yang dia rasa itulah yang dilukisnya. Semakin dia melihat isi buku itu semakin dia terasa dirinya gagal menjadi seorang ketua kelurga. Dia melarikan pandangan seketika menyeka mata yang semakin bertakung dan pedih. Dia tidak mahu tewas dihadapan anak-anaknya.

Kadir bingkas bangun, dia tidak boleh berlama begini takut nanti hatinya tewas membendung airmata. Rawan dan sebu silih berganti. Apa lagi ujian yang perlu dia lalui untuk mengecap bahagia. Nasi yang terhidang tidak dijamahnya. Nurin yang melihat ayahnya berdiri itu turut berbuat hal yang sama. Liurnya ditelan takut andai nasi putih dan telur asing itu tidak dapat memenuhi selera dan bakal mengundang amarah ayahnya. Ammar yang berada berdekatan  bergerak sedikit kebelakang terkejut mungkin dengan tindakan spontan si Ayah. Dia yang sudah dihujani perasaan takut bertambah gerun jadinya lalu cepat-cepat dia memeluk Nurin.

“Ayah tak makan dulu” Nurin beranikan diri menyoal.

Kadir hanya memandang Nurin sekilas tanpa menjawab soalan anaknya sebelum tangan yang kelihatan gelap berurat itu menggosok kepala Ammar. Walaupun terasa janggal kerana dia tidak pernah sebaik itu sebelum ini namun hatinya tetap senang. Sekurang-kurangnya sekali seumur hidup dia pernah mengusap kepala anaknya sendiri. Kaki mengatur langkah tidak betah berlama dirumah yang hanya tunggu masa mahu roboh sambil menatap mata bening anak-anak yang seakan bertanya secara terus mengapa nasib mereka seburuk ini punyai ayah tapi tidak pernah merasa kasih sayangnya, punya tempat berlindung tapi tidak pernah merasa nyamannya. Kemeja lusuh yang hanya tinggal tiga biji butang itu segera disarungkan ke tubuh. Berbau tapi dia tiada pilihan. 

“Jaga adik-adik kamu Nurin.” Pesan Kadir sebelum berlalu meninggalkan kanak-kanak itu terpinga-pinga. Perubahan sikap ayah mereka mendadak terjadi membuatkan Nurin kebingungan. Barangkali ayah sudah termakan ubat ajaib sampaikan kata-kata yang keluar dari mulut itu membuatkan Nurin jadi ribut kehairanan.


Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.