Home Novel Keluarga TOLONG CARI SUAMIKU!
TOLONG CARI SUAMIKU!
Asmah Hashim
21/12/2013 22:40:47
84,746
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
BAB 2

 

Matanyatidak berkelip memandang ke satu arah. Maria yang sedang bermain di laman rumah langsung tidak dihiraukan. Sejak dia sampai di rumah emaknya, hanya air mata menjadi teman setia. Siang bagaikan malam baginya, malam begitu sepi menghimpit diri. Sudah seminggu dia berada di rumah itu. Bayang suaminya masih tidak kelihatan. Hendak menelefon ibu mertuanya, terasa malu, apatah lagi mendapat tahu suaminya sudah berkahwin lagi.

Kenapa? Apa salahnya? Apa yang kurang dengan dirinya? Dia sendiri tidak faham. Selama ini tidak pula dia melihat apa-apa perubahan pada diri suaminya. Biasa-biasa sahaja. Ah, orang lelaki pandai menyorokkan diri! Kalau hati sedang sakit seluruh tubuh merasa pedihnya.

“Mas... sudahlah. Bawa bertenang. Cuba telefon Ashraf. Dapatkan penjelasan,” nasihat Mak Yam. Dia mengeluh sendiri. Sedih melihat nasib anaknya yang tiba-tiba sahaja dimadukan. Dia sendiri tidak faham. Selama ini rumah tangga anak menantunya baik-baik sahaja. Tidak pula ada pertelingkahan atau salah faham. Kalau setakat sikit-sikit itu, biasalah. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri.

“Kenapa, mak? Kenapa?” soal Mastura. Air mata masih berembas keluar.

“Sabarlah, bawa mengucap. Ini ketentuan takdir, Mas. Jangan fikirkan sangat!” Mak Yam terus memujuk.

“Siapa yang tak fikir, mak? Dahlah rumah hangus terbakar, suami pula tiba-tiba menghilangkan diri. Tak tahu di mana? Dengar-dengar, dah kahwin lagi. Hati siapa yang tidak sedih?” Sayu hati Mastura.

“Semua ini ujian, nak.” Mak Yam mengusap belakang Mastura. Ditariknya anak itu ke dalam pelukan. Sedih juga mengenang nasib anaknya itu.

“Mas tak boleh terima, mak...” tangis Mastura, sayu.

“Mak tahu. Mana perempuan yang boleh terima? Mak faham sangat-sangat.” Mak Yam hiba. Kasihan melihat anaknya itu.

Teringat dia menerima berita itu. Ketika itu dia sibuk mengemas laman rumah. Itulah rutin hariannya setiap hari, deringan telefon membuatkan dia berkejar naik ke rumah. Gagang telefon dicapai pantas. Suara gemersik memberi salam di hujung talian disambut dengan mesra.

“Hei, Yam! Ini aku Halijah, besan kau, mertua anak kau!” kata suara itu garang dan sombong.

Besan? Dia ada besankah? Langsung tidak pernah bersua muka, tiba-tiba mengaku besan?

“Ada apa kau telefon aku ni?” Mak Yam juga tidak mahu mengalah. Bukan ingin menyombong tetapi orang seperti besannya memang wajar dilayan seburuk itu. Dia tahu benar sikap besannya terhadap anaknya, Mastura. Menantu yang bukan pilihan hati.

“Aku nak beritahu menantu kau tu Ashraf, anak aku… dah bernikah lagi. Tolong sampaikan kepada anak kau tu.”

Hampir jatuh gagang telefon yang dipegang kemas. Terkejut bukan kepalang. Kahwin lagi? Menantunya kahwin lagi? Kenapa? Persoalan yang tiada jawapannya. Dia terduduk di atas kerusi. Diam. Panggilan itu dimatikan. Tidak sanggup lagi mendengar butir bicara besannya yang sombong itu. Buat sakit hati dan jiwa sahaja.

Mak Yam menyeka air mata yang mengalir. Semakin kuat dia memeluk Mastura.

“Tak sangka Mas, mak. Tak pernah terfikir Abang Ashraf sanggup menduakan Mas. Tergamak dia, mak!” luah Mastura. Pelukan semakin erat.

“Mak! Mak!” panggil Maria. Dia melangkah mendekati emaknya yang sedang memeluk neneknya.

Mastura menoleh. Pelukan dileraikan. “Maria.” Semakin sayu hati Mastura apabila terpandangkan wajah anaknya itu. Dia menggamit Maria mendekatinya. Dia memeluk Maria sepenuh hati. Dicium anak itu berkali-kali.

“Ayah,” kata Maria.

Mastura mengerutkan dahi. Dia melangkah mendekati tingkap. Berdiri di laman rumah dengan muka serba salah. Mastura mengetap bibir, menahan geram dan marah. Lelaki itu! Mengapa baru sekarang muncul setelah berhari-hari dia mencarinya?

“Kau nak apa, hah?! Kenapa ke mari?!” tanya Mastura, kasar. Geram benar hatinya. Biar terhambur segala kemarahan yang berbuku di hati.

“Mas...” Perlahan suara Ashraf yang berdiri di halaman rumah.

Mastura menjeling tajam.

Ashraf melangkah naik.

“Jangan naik! Pergilah balik ke rumah bini muda kau!” jerit Mastura bagaikan orang hilang akal.

“Mastura!” Ashraf cuba menenangkan isterinya. Dia terus melangkah masuk ke dalam rumah.

“Duduk, Ashraf,” pelawa Mak Yam.

Mstura tetap berdiri di tepi tingkap sambil bercekak pinggang.

Maria menerpa memeluk Ashraf. Rindu dia pada ayahnya.

“Mak... Mas... maafkan abang.” Ashraf duduk sambil memandang wajah isteri dan emak mertuanya silih berganti.

Maria duduk di pangkuan Ashraf. Jelas terpancar kerinduan pada wajah anak itu.

“Apa yang terjadi, Ashraf? Kenapa? Macam mana boleh berlaku?” Bertalu-talu soalan keluar daripada mulut Mak Yam.

“Maafkan Ashraf, mak.” Ashraf mengeluh kasar. Semuanya salah dirinya sendiri. Dia meraup muka. Mengeluh lagi.

“Hah, mengeluh? Mengeluhlah sampai keluar anak tekak awak tu!” jerkah Mastura. Panas benar hatinya. Kalau letak air pasti menggelegak.

Ashraf memutarkan ingatannya pada malam berlakunya kebakaran itu. Ketika itu dia sedang bersiap-siap hendak ke rumah emaknya di Bangi.

Mastura dan Maria yang tidur di sisi ditenung lama. Hiba pula hatinya. Namun keputusan sudah dibuat. Dia sudah berjanji. Kata putus sudah diambil. Kedua-dua belah pihak sudah setuju. Hanya menunggu hari langsungnya sahaja. Semua sudah diatur. Dia cuma perlu menghadirkan diri. ‘Maafkan abang, Mas,’ detik hati kecilnya.

Pesanan emaknya agar pulang ke Bangi malam itu juga telah membuatkan dia pendek akal. Meninggalkan isteri dan anaknya tanpa memberitahu sepatah dua kata. Ugutan demi ugutan daripada emaknya membuatkan dia tidak mampu berfikir panjang.

Baginya restu emak mengatasi segala. Keinginan orang tua tunggak utama. Dia tidak memberitahu perkara sebenar kepada Mastura kerana dia tahu isterinya tidak akan mengizinkannya.

Dia mencapai beg pakaian. Beberapa helai pakaian dimasukkan ke dalamnya.

Setelah mengisi pakaian ke dalam beg, dia terus keluar dari rumah. Daun pintu dikuak perlahan, tidak mahu mengganggu lena anak dan isterinya. Kereta yang diletakkan di luar rumah dihidupkan enjinnya. Dia memandu perlahan. ‘Nanti abang akan terangkan kepada Mas, kenapa abang ambil tindakan ini,’ bisik hati kecilnya.

Ashraf mencari telefon bimbitnya. Tiada? Ya ALLAH, tertinggal di rumah. Dia berpatah semula. Meletakkan keretanya jauh sedikit dari rumah. Dia menapak kembali ke rumahnya semula. Daun pintu dibuka perlahan. Isterinya masih enak dibuai mimpi. Bau hangit menerpa hidungnya. Suara orang menjerit membuatkan dia berasa hairan.

Ashraf menyelak kain langsir. Ashraf membuka tingkap bilik ingin tahu apa yang berbau. Asap tebal menendang masuk. Api yang sedang marak menerangkan kawasan taman tersebut. Kenapa tadi dia tidak perasanpun.

‘Api!’

Ashraf cepat-cepat mengejutkan Mastura dan Maria. Nyalaan api semakin menghampiri rumahnya. Nasib baik dia berpatah semula. Kalau tidak dia hanya akan melihat mayat anak dan isterinya sahaja.

“Mas! Mas!” jerit Ashraf.

Mastura yang nyenyak tidur, terpisat-pisat terjaga. “Kenapa, bang?”

“Rumah terbakar!” kata Ashraf. Maria diangkat dalam dukungan. Api sudah mula menjamah sebahagian dinding rumah mereka. Pelik. Rumahnya berdindingkan batu, kenapa mudah terbakar? Pertanyaan yang tidak sempat dijawab. Perlu selamatkan diri dahulu.

“Macam mana ni, bang! Api tu!” jerit Mastura, cemas.

“Tak payah ambil apa-apa, jom keluar!” arah Ashraf.

Mastura akur. Nyawa lebih penting dari harta yang tinggal. Selamatkan diri dahulu.

Ashraf menarik tangan Mastura menuju ke jalan besar. Hanya di situ kawasan yang masih selamat. Api marak dengan cepat. Walaupun rumah di kawasan itu adalah rumah batu. Kenapa begitu mudah merebak? Ashraf cuak.

Suara penghuni taman itu riuh rendah, ada yang menjerit mencari ahli keluarga. Ada juga yang cuba menyelamatkan barang-barang milik mereka.

Ashraf hanya mampu memandang rumahnya hangus terbakar. Mastura dan Maria keluar sehelai sepinggang. Langsung tidak dapat mengambil apa-apa hatta dokumen penting. Jiran tetangga dan jiran di taman sebelah sudah mula berkumpul di bahu jalan. Mata masing-masing melekat ke arah kawasan tragedi. Bunyi letupan kecil juga kedengaran.

“Habis tempat tinggal kita musnah, Ashraf.” Sayu kedengaran suara itu. Lelaki itu muram, wajahnya kelat, matanya sayu merenung nyalaan api membakar setiap inci bangunan tersebut.

“Sudah ketentuan ILAHI, Pak Ayob,” kata Ashraf.

Pak Ayob mengangguk. Dia hanya mampu mengurut dada. Anak isteri Pak Ayob turut sedih dengan apa yang berlaku. Pak Ayob sempat juga menyelamatkan beberapa barang penting miliknya. Rumahnya terletak di hujung sekali.

Api yang marak mengambil masa sejam untuk memadamkannya. Ashraf diulit gelisah. Masa semakin berlalu pergi. Dia sudah terlambat. Bunyi deringan telefon membuatkan hatinya tersentak. Sudah pasti panggilan daripada ibunya.

Mastura memandang ke arah rumahnya dengan hati hampa dan kecewa. Semuanya sudah menjadi abu.

“Semua mangsa kebakaran taman ini diminta ke Dewan Seroja! Semua penduduk diminta ke Dewan Seroja!” jerit seseorang.

Ashraf mengeluh. Dewan Seroja terletak satu kilometer dari kawasan perumahan tersebut. Dia harus menghantar Mastura dan Maria ke sana dahulu. Kemudian dia akan bertolak ke Bangi.

“Jom masuk kereta!” ajak lelaki itu agak tergesa-gesa.

Mastura memandang wajah suaminya sebaik masuk ke dalam kereta. “Kenapa kereta ada di sini? Bukan ada di depan rumah kita petang tadi?” Dia kehairanan. Atau dia tersilap pandang? Mastura tidak bertanya lanjut. Badannya masih menggigil, ketakutan. Terkejut dengan apa yang sedang berlaku.

Ashraf tidak menjawab pertanyaan isterinya. Dia terus sahaja memandu.

Merekamelangkah masuk ke dalam dewan yang sudah pun dipenuhi oleh penduduk taman itu. Ada yang menangis. Ada juga saling bercerita apa yang terjadi. Anak-anak kecil ada yang mula bermain, tidak kurang juga yang sudah tidur, keletihan.

Ashraf mencari ruang untuk menempatkan Mastura dan anaknya. Dia harus segera bergerak. Kejamnya dia meninggalkan isterinya dalam keadaan seperti itu.

“Tunggu sini, rehat di sini. Nanti abang datang balik!”

Mastura hanya mengangguk.

Ashraf bingkas bangun. Dia menelefon seseorang. Jawapan yang diterima cukup mengecewakan hatinya. Dia tidak mahu jadi anak derhaka. Anak dan isterinya telah pun selamat.

Dari kejauhan dia melihat Mastura bercakap dengan seseorang. Dia terus melangkah keluar dari dewan tersebut. Dengan hati yang berat dan terpaksa, dia memandu keretanya menuju ke Bangi.

Next: BAB 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.