Home Novel Keluarga TOLONG CARI SUAMIKU!
TOLONG CARI SUAMIKU!
Asmah Hashim
21/12/2013 22:40:47
84,843
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
BAB 10
 

 

Entah berapa kali dia berlegar-legar di biliknya. Kalau berjalan kaki, agaknya sudah sampai ke KLCC. Penat berdiri dan berjalan, dia duduk di birai katil. Mencari jalan bagaimana hendak mengenakan madunya itu. Sudahlah rancangan pertama gagal. Rancangan kedua masih belum ada jalan. Katrina melangkah laju menuju ke bilik ibu mertuanya yang asyik berkurung di dalam bilik. Mentang-mentang di dalam biliknya ada semua. Sudah berhari-hari tidak ke pejabat. Semuanya gara-gara madunya. Konon hendak menyakitkan hati perempuan itu tapi hati sendiri yang sakit.

Bukan main lagi siap beli perabot baharu, penghawa dingin, televisyen. Eh, pasang Astro lagi! Mahu terbakar hatinya apabila memikirkan kejadian itu. Banyak agaknya duit yang telah ditinggalkan oleh arwah suaminya sehingga begitu mudah madunya berbelanja. Dia satu sen pun belum dapat. Orang tuanya sudah membebel setiap kali menelefon meminta duit. Mereka ingat dia cop duit di sini agaknya? Bukan mudah hendak meyakinkan ibu mertuanya untuk mengeluarkan duit sebanyak ratusan ribu ringgit. Mana dia hendak cari duit sebanyak itu? Duit hantaran pun hanya puluhan ribu sahaja. Mana cukup.

Daun pintu diketuk perlahan. Menunggu sehingga kelibat ibu mertuanya keluar. Entah apa yang dibuat agaknya duduk seorang diri di dalam rumah. Sudahlah setiap hari terpaksa mencari makan di luar. Ada pembantu rumah diberhentikan. Kononnya hendak jadikan madunya sebagai pembantu rumah.

“Mari masuk,” pelawa Halijah. Dia menarik tangan Katrina yang berwajah muram. “Macam mana? Takkan nak suruh perempuan tu bawa keluar barang-barang dia? Nanti apa kata dia pula? Tak pasal-pasal dia syak kita nak kenakan dia.” Dia menarik nafas. “Semalam lagi hebat. Kita suruh dia masak untuk kenduri di rumah ni. Dia terus tempah katering,” sambungnya lagi. Terdiam dia seketika. Hanya mampu melihat, apatah lagi tetamu yang dijemput hampir hadir semuanya. Licik juga menantu sulungnya itu.

“Ibu jangan bimbanglah. Baru dua malam dia kat sini. Banyak lagi masa. Mulai esok dia uruskan semua urusan rumah. Ibu pula bila nak ke pejabat? Wasiat pun belum dibaca lagi? Bila agaknya?” Katrina perlu bertindak segera. Dia perlu tahu apa yang dia dapat dengan berkahwin dengan suaminya. Sudahlah sanggup jadi isteri kedua dan kini sudah jadi balu pula.

“Esok kita jumpa peguam arwah Ashraf. Nanti kita tahulah Ashraf tinggalkan hartanya kepada siapa.” Halijah tersenyum manis. Mereka berdua sudah tahu siapa yang menjadi pemilik harta-harta tersebut. Cuma Mastura masih tidak mengetahuinya.

“Jadi kita nak buat apa hari ini dengan menantu hantu ibu tu?” Katrina ia menjengah ke tingkap. Rumput sudah mula meninggi di laman rumah. Pancutan air terjun buatan sendiri masih tidak bercuci. Siapa hendak buat itu semua? Takkan dia pula? “Kita suruh dia kemas rumahlah, ibu. Laman tu bersepah. Pokok banyak kering. Kolam tak bercuci. Hari-hari makan kedai, mahu putus leher Rina ni,” Dia mengomel pula.

“Bagus juga tu. Biar ibu turun beritahu dia. Pergilah beli makanan di Restoran Sharifah. Ibu nak makan masak lemak ikan parang,” ujar Halijah sebelum berlalu meninggalkan menantu kesayangannya itu.

Dia terus ke dapur. Bau masakan menerjah hidung. Apa pula menantunya masak hari ini? Bau macam asam pedas? Takkanlah?

“Kau masak apa tu?” sapanya.

Mastura menoleh. Wajah ibu mertua yang berdiri tegak macam tiang lampu dipandang sekali imbas. Api dikecilkan nanti hangit pula tumisannya itu.

“Asam pedas ikan pari, ibu. Buka peti sejuk ada ikan pari. Itu yang Mas masak. Ibu suka ke?” Dia cuba bermesra walaupun dia tahu tiada sayang di hati ibu mertuanya terhadap dirinya. Biarlah. Dia hanya berharap suatu hari nanti ibu mertuanya akan sayang padanya.

Asam pedas? Manalah dia suka makan asam pedas? Halijah mencebik.

“Mastura, memandangkan rumah kita tak ada pembantu rumah dan tukang kebun, semua kerja dalam dan luar rumah Maslah yang buat. Nama pun duduk menumpang. Ibu tahu rumah dan laman bersih setiap hari, faham!” perintahnya.

Mastura yang baru sahaja selesai menanak nasi menoleh. Terkejut juga dengan perintah ibu mertuanya itu. Kalau rumah itu kecil, mungkin dia mampu buat seorang. Ini banglo dua tingkat. Laman rumah bukan main luas. Banyak pula pokok bunga. Mahu separuh hari jika menyiram. Siap dengan taman mini. Jenuhlah dia hendak membersihkannya. Jangan takut, jangan bimbang, pasti ada jalan. Senyuman terukir di bibir. Sudah ada jalannya.

“Kenapa senyum? Faham tak cakap ibu?” Halijah kurang selesa melihat senyuman terukir di bibir Mastura.

“Tak ada apa, ibu. Makan tengah hari saya hidangkan di atas meja. Kalau ibu nak makan, nanti ambillah ya?” Mastura mengemas dapur dan alatan yang sudah digunakan.

Halijah memerhatikan sahaja kepantasan Mastura bekerja di dapur. Cekap. Namun perempuan itu tetap bukan menantu pilihan. Memandang wajah itu buatkan hatinya sakit.

Mastura ke laman rumah. Dia mendail nombor seseorang. Usai bercakap apa yang perlu, dia memeriksa apa yang patut. Taman mini itu sudah berlumut. Airnya juga tidak jernih lagi. Buat apalah susah-susah membina taman mini? Dia tahulah ibu mertuanya banyak duit, tapi takkan tak mampu nak gajinya pekerja membersihkan kawasan laman ini? Dia mana pandai menjaga pokok-pokok bunga in? Setakat menyiram, bolehlah. Rumahnya ada juga ditanam pokok bunga tetapi tidaklah seluas dan sebanyak di laman banglo itu.

Hari sudah meninggi. Tak mungkin dia akan menyiram pokok pada waktu begini. Mahu layu dan mati pokok-pokok tersebut. Dia menjengah ke luar pagar. Tebing yang memisahkan kawasan tersebut dari tanah sebelah kukuh binaannya. Matanya liar memerhati ke luar sehinggalah dia berhenti memandang satu wajah. Wajah yang sangat dikenalinya. Wajah yang sentiasa bermain di matanya apabila malam menjelang. Dia tidak percaya wajah itu berada di depan matanya.

Mastura berlari keluar. Pintu pagar tidak berkunci. Dia tercari kelibat wajah itu namun sudah tidak kelihatan. Dia pasti dia tidak bermimpi. Bukankah hari masih siang? Tertunduk-tunduk dan terjengah-jengah.

“Kau cari apa?” tegur satu suara.

Sepantas kilat kepala Mastura menoleh. “Mas nampak Abang Ashraf!” beritahunya.

“Kau gila agaknya? Siang-siang hari ni, mana ada hantu? Abang Ashraf dah meninggallah!” Katrina pula tercari-cari. Seram sejuk pula dirasakan apabila Mastura ternampak arwah suaminya. Tidak mungkin? Sahlah madunya itu sudah hilang akal. Orang sudah meninggal boleh dilihat lagi? Mustahil!

“Memang Abang Ashraf pandang ke rumah ni!” tegas Mastura. Dia tidak buta dan dia pasti dia nampak arwah suaminya.

“Pergilah masuk. Orang dah mati, mana boleh hidup lagi? Kau tak nampak ke mayatnya?” herdik Katrina. Jenazah arwah suaminya dibawa balik ke rumah. Dikafankan, dan dimandikan. Disembahyangkan dan terus dibawa ke kubur.

“Mayat arwah kan rentung? Kereta arwah terbakar hangus. Mungkin yang meninggal bukan arwah suami kita? Mas yakin sangat, orang yang Mas nampak itu suami kita!” Mastura masih bertegas. Matanya belum rabun lagi. Kalau itu bukan suaminya, tetapi siapa? Tidak mungkin pelanduk dua serupa?

“Mulalah nak merepek. Pergilah masuk! Buang masa layan omongan gila kau tu.” Katrina meninggalkan Mastura yang masih tercari-cari orang yang dilihat tadi. Lantaklah. Orang mati, mana boleh hidup lagi? Kalau dia hendak gila, biar Mastura gila seorang. Dia menghidupkan enjin kereta, masuk gear terus menekan pedal minyak. Meluncur laju keretanya meninggalkan pekarangan banglo yang terletak di dalam kawasan padang golf di Bangi.


Previous: BAB 9
Next: BAB 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.