Home Novel Keluarga TOLONG CARI SUAMIKU!
TOLONG CARI SUAMIKU!
Asmah Hashim
21/12/2013 22:40:47
84,743
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
BAB 15

Mastura melabuhkan punggung di kerusi yang di anjung biliknya. Desiran angin malam menyapa lembut pipinya. Terasa nyaman dan segar setelah seharian dia menghabiskan masa di syarikat milik arwah suaminya. Banyak perkara terpaksa dia ambil tahu dan pelajari. Bukan dia tidak pernah datang ke syarikat tersebut tetapi kini keadaan sudah berubah. Dahulu dia datang hanya ketika menunggu suaminya untuk keluar makan tengahari bersama. Kali ini dia hadir sendirian. Tujuannya memantau dan mengambil alih pengurusan syarikat.

Dia menoleh sekali imbas ke katilnya. Maria sudah nyenyak tidurnya. Mungkin keletihan seharian bermain dengan penjaganya. Suti pandai melayan kerenah Maria. Tidaklah dia terasa penat sangat. Urusan rumah juga ada yang menguruskan. Kenapalah dia tercampak ke rumah itu? Kalaulah suaminya ada bersama, alangkah bahagianya hidup.

Kini dia ditinggalkan sepi sendiri. Suamiku, di manakah kau kini? Soal Mastura sendiri. Usah ditangisi yang telah tiada. Rindu menyapa lagi. Bagaikan terasa kehangatan tubuh suaminya memeluk dan membelai dirinya. Bagaikan terngiang-ngiang suara suaminya menegur dan bergurau senda dengannya. Kini suara itu tidak akan didengari lagi. Rindu pasti hadirkan diri, tanpa disuruh dan dipanggil. Seolah-olah mengerti apa yang terbit di hati.

Matanya memerhati persekitaran rumah. Desiran air dari taman buatan menyentap hatinya yang rawan. Kesunyian malam ada kalanya ditemani kerdipan bintang dan cahaya bulan. Suara unggas malam menampar telinga membuatkan hati terleka seketika. Keluhan dilepaskan bagai menghilangkan rasa yang sedang memberat di dada. Bukan mempersoalkan kehendak takdir tetapi ada kala sebagai manusia sering bertanya kepada diri sendiri, kenapakah begitu cepat suaminya diambil pergi. Belum puas bermanja dan saling menyayangi, kini dia dibiarkan sendiri.

Dahinya berkerut apabila matanya terpandang susuk tubuh manusia di balik celahan pokok renek yang terdapat di luar rumah. Susuk yang amat dikenali. Tidak mungkin? Mastura masih memerhati. Lampu neon yang tidak berapa terang menyukarkan pandangan untuk melihat lebih jelas wajah yang sering bermain di fikiran dan di hatinya. Wajah yang amat dirindui, siang dan malam. Tetapi tidak mungkin? Mungkin pelanduk dua serupa? Itu bukan dia? Mastura tertunduk-tunduk memerhati. Adakah… kata-kata itu mati begitu sahaja. Tidak mungkin orang yang sudah meninggal hidup kembali. Biar betapa canggihnya teknologi sekarang, tidak mungkin dapat menghidupkan orang yang sudah meninggal. Mastura beristighfar.

“Hei!” panggil Mastura. Tiada sahutan. Kelibat susuk tubuh itu berlari pergi. Siapakah dia? Kenapa dia terhendap-hendak di balik pepohon itu? Kenapa? Adakah pencuri yang menghendap dan menunggu waktu untuk bertindak? Ketakutan meresap ke dalam diri. Mastura meraup wajah sendiri. Dia berlalu ke ruang tamu. Rumah itu sunyi.

Pembantu rumah sudah pun pulang ke rumah masing-masing sejak petang tadi. Dia berlari ke luar rumah. Memeriksa pagar agar benar-benar berkunci, melangkah semula ke dalam rumah. Menutup pintu serapat-rapatnya agar tidak mudah dibuka. Mangga dipasang. Bukan takut kehilangan harta tetapi lebih kepada menjaga keselamatan diri. Pencuri dan perompak bukan kenal erti belas simpati. Ada yang dibunuh, dikelar dan dirogol sesuka hati, sudahlah merompak sanggup pula mencederakan mangsa. Itulah yang paling ditakuti.

Terasa ingin memeriksa tempat dia melihat kelibat seseorang tadi, tapi tidak berani. Kalau berdua mungkin ada sedikit keberanian. Tidak mungkinlah dia memanggil ibu mertua dan madunya. Entah-entah mereka sudah enak dibuai mimpi.

Pintu dapur juga diperiksa. Biar kemas terkunci. Kembali semula ke dalam biliknya. Dikunci dari dalam. Disendal pula dengan kerusi. Penakutnya dia. Mastura senyum sendiri. Tidak lupa membaca ayat kursi sebagai pelindung diri dan keluar. Semoga dijauhi dari sebarang anasir jahat. Dalam hati terus berkata-kata, mencari-cari siapa gerangannya. Kalau diberitahu kepada kedua-dua insan yang tinggal di rumah itu, pasti mereka kata dia sudah gila. Baik diamkan sahaja. Mungkin esok lusa muncul kembali bolehlah dia terpa. Kalau baik datangnya disambut dengan hati mulia. Kalau buruk datangnya siaplah kau, akan diadukan kepada pihak berkuasa.

Berkali-kali mulutnya menguap menahan kantuk. Bimbang hendak terlelap, takut ada yang datang menerja, tetamu yang tidak diundang. Maria sudah berkali-kali beralih arah. Bagaikan terganggu lenanya. Sesekali dia menepuk tubuh Maria agar tidur kembali. Mastura membaca doa sebelum tidur serta ayat-ayat pendinding diri. Semoga tidurnya di bawah perlindungan ILAHI.

Di dalambilik di tingkat atas, ada yang tidak mampu tidur lena. Harta yang diharapkan terlepas begitu sahaja. Panggilan telefon daripada kedua-dua orang tuanya sudah tidak sanggup dilayan lagi. Sedang berkira-kira apa yang harus dilakukan untuk memiliki harta yang ada. Dia mengetap bibir, menahan rasa marah di jiwa. Sesen pun tidak menjadi miliknya. Kalaulah dia tidak membiarkan malam pertama berlalu pergi, mungkin sekarang dia sudah berbadan dua.

Kenapalah bodoh sangat dirinya? Ambil tindakan terburu-buru. Ingatkan segalanya sudah menjadi miliknya. Memang wasiat itu ditulis dan ditandatangani di hadapannya dan hadapan ibu mertua. Alih-alih sudah bertukar wajah, siapa yang menukarnya? Tapi bila? Soalan itu sering berlegar difikirannya.

Penat berfikir mencari jawapan. Kosong belaka. Hampa terus menikam hati. Buang masa sahaja. Kalaulah dia tahu akan jadi begini jangan harap dia akan berkahwin dengan arwah suaminya. Sehingga rela menjadi isteri kedua? Tak hingin dia. Kerana terpaksa, dia merelakan diri. Dalam kepedihan dan kepayahan, dia lakukan juga. Perempuan itu juga yang beruntung dan bertuah. Semua harta diletakkan di atas nama anaknya. Mastura sebagai pemegang amanah. Sama sahaja ertinya. Harta itu adalah milik Mastura. Sia-sia dia berkorban!

Dia bingkas bangun. Tekak terasa haus. Peti sejuk kecil yang memang diletakkan di dalam biliknya dibuka perlahan. Dituang air sejuk ke dalam gelas, diteguk perlahan. Hilang seketika dahaga di tekaknya. Dia menghempaskan tubuh di katil. Mengharap dapat melelapkan mata. Semakin difikir semakin sakit hatinya. Buang masa dia berada di sini, tetapi hendak ke mana? Rumah kedua orang tuanya sudah pun tergadai. Gara-gara berhutang keliling pinggang. Hanya harta arwah suaminya, satu-satu harapan yang dia ada untuk terus hidup mewah. Rupanya hanya mimpi di siang hari. Tidur sebentar tapi angannya panjang.

Halijah mengeluh sendiri. Geram dan marah beraja di hati. Rasa mahu dibunuh menantu sulungnya itu. Biar ditelan tanah dari hidup di hadapan mata membuak rasa benci yang tidak terhingga. Hartanya mudah sahaja perempuan itu miliki. Dia pula terpaksa menumpang hidup dengan orang yang dibenci. Permainan apa yang sedang arwah anaknya lakukan? Ingat filem atau drama Melayu? Bila duduk sebumbung hati boleh jatuh sayang? Jangan harap! Hati sudah berkarat dengan rasa benci yang menghuni diri, ingat senang hendak dihalau pergi.

Harta miliknya akan direbut kembali. Kalau secara baik tidak diberi, secara jahat akan dilakukan. Bagaimana dan bila biar dia fikirkan. Tidak akan dibiarkan harta itu jatuh ke tangan Mastura. Cucunya sendiri dia tidak suka, biarlah orang kata dia tiada perasaan. Ikut suka dialah. Siapa suruh berkahwin dengan orang seperti Mastura. Sampai mati dia ingat. Mana mungkin dia lupa. Benci bagaikan tersimpul mati dalam diri.

Previous: BAB 14
Next: BAB 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.