Home Novel Keluarga TOLONG CARI SUAMIKU!
TOLONG CARI SUAMIKU!
Asmah Hashim
21/12/2013 22:40:47
85,076
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 7 - Bermula sebuah kehidupan

 

Wan Kamarudin memandang wajah menantu merangkap anak saudaranya itu. Kakinya terketar-ketar waktu melangkah. Masih menggunakan tongkat untuk berjalan. Dia masih tidak kuat lagi. Masih memerlukan waktu untuk pulih sepenuhnya. Dia terkejut mendengar bencana yang menimpa Mastura. Tambah terkejut mendapatkan tahu anak tirinya telah bernikah lagi dan sudah pun meninggal dunia. Sudah tentu ini kerja dan rancangan isterinya yang tidak pernah insaf itu.

“Ayah suka kalau Mas tinggal dengan Ibu Halijah. Mudah untuk jalankan rancangan kita,” katanya. Dia telah banyak menyusahkan menantunya itu. Bukan niat hendak merosakkan kehidupan Mastura. Semua ini kerana hak mereka sekeluarga.

“Yam bimbanglah. Isteri bang long tu bahaya orangnya.” Mak Yam menyalakan rasa hati. Dia tidak mahu nyawa Mastura pula diragut oleh besannya. Cukuplah suaminya menjadi mangsa. Dia tidak sanggup kehilangan Mastura dan cucunya, Maria.

“Dah bertahun-tahun bang long tunggu saat ni. Bang long tahu Mas pandai jaga diri. Setakat ni, hubungan dia dan Ashraf baik-baik saja. Kalau tidak kerana Halijah, semua ni tak akan berlaku.” Wan Kamarudin meyakinkan adik iparnya.

“Yalah, mak. Apa yang Ibu Halijah boleh buat dengan Mas? Habis kuat pun dia nak bunuh aje,” kata Mastura sambil menyengih.

Mak Yam mengurut dada. Sebut perkataan bunuh membuatkan tubuhnya seram sejuk. Terbayang jasad suaminya yang terkena peluru sesat yang disasarkan kepada abang iparnya.

“Jangan sebut perkara tu, Mas. Takut mak!” Dia berdecit. Kurang senang dengan kata-kata Mastura.

“Kita berdoa ajelah, Yam. Tak ada perkara buruk yang berlaku. Mas jaga diri, ya? Jangan bertindak terburu-buru. Ikut aje rentak mereka. Jangan biar dibuli pula,” nasihat Wan Kamarudin.

“Tahulah Mas jaga diri.” Mastura melirikkan senyuman. Wajah emak dan bapa saudara merangkap ayah mertuanya itu dipandang silih berganti.

“Ibu Halijah licik orangnya, Mas. Dia pandai berpura-pura dan bermain kata-kata. Jangan mudah percaya. Tak pernah menepati janji. Ayah harap Mas tabah hadapi semuanya. Pemergiaan Ashraf bukan penamat cerita. Halijah tak akan duduk diam selagi tak dapat apa yang dia inginkan selama ni,” nasihat Wan Kamarudin.

“Ayah jangan bimbang. Kesihatan ayah tu yang penting dan harus dijaga. Ayah perlu kuat seperti dulu untuk kembali beraksi di hadapan Ibu Halijah. Masanya akan tiba, ayah.” Giliran Mastura pula menasihati ayah mertuanya yang masih lemah dan tidak berdaya itu.

“Yalah, bang long. Kenalah bersemangat semula. Takkan abang nak biar Mas buat semuanya seorang diri? Kalau bang long tak bantu sama, Yam takut rancangan kita gagal. Halijah terus lepas bebas. Bang long dan Mastura terus jadi mangsa.” Mak Yam memuncungkan bibir. Dia tidak mahu kedua-duanya menjadi mangsa kerakusan Halijah yang tamakkan harta. Dendam di hati tidak pernah padam. Kematian suaminya harus dibela. Namun keselamatan orang yang masih di sisi harus juga diambil kira.

“Bang long sedang berusahalah ni. Senaman dan makanan tambahan bang long ambil tak berhenti. Rawatan moden dan tradisional juga bang long cuba. Insya-ALLAH perlahan-lahanlah, bang long akan sembuh sepenuhnya.” Menyedapkan hati sendiri.

“Yalah, ayah. Jangan paksa diri pula. Nanti lain jadinya. Suruh tinggal di sini tak nak. Bolehlah mak jagakan ayah.” Mastura mengeluh kesal.

“Mana boleh, Mas? Walaupun ayah ni abang ipar emak Mas, kami tetap bukan mahram. Tak pasal-pasal kena tangkap basah.” Wan Kamarudin tahu batasnya dengan adik iparnya itu.

“Yalah, Mas. Nanti apa pula kata orang kampung?” sampuk Mak Yam, berasa malu pula dengan cadangan Mastura. Dalam Islam, adik ipar dan abang ipar boleh bernikah dan tidak mungkin mereka boleh duduk sebumbung, melainkan ada arwah suaminya.

Mastura menepuk dahi sendiri. Terlupalah pula. Dia tersenyum sendiri akan kejahilan diri. Dia berharap semuanya berjalan lancar dan ibu mertuanya ikhlas mengajaknya tinggal bersama. Begitu juga dengan madunya. Jangan ada udang di sebalik batu, sudahlah. Semoga langkah tidak patah dan membawa rebah.

Rumah ayah mertuanya tidak berapa jauh dari kawasan kampung. Tidak mahu pulang ke bandar takut bertembung dengan ibu mertuanya. Biarlah bersembunyi di situ sehingga pulih sepenuhnya.

Next: BAB 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.