Home Novel Islamik The Missing Puzzles
The Missing Puzzles
Norsamila Samsudin
9/7/2019 18:53:52
2,258
Kategori: Novel
Genre: Islamik
Bab 17

"TAHNIAH abang Am."Aku menyapa Amsyar. Waktu itu semua tetamu sudah pulang. Aku dan dia sedang mengemas ruang depan. Amsyar sudah mendapat tawaran kerja. Jurutera angkasa! Ayah dan umi buat kenduri kesyukuran secara kecil-kecilan. Hanya menjemput orang surau, jiran tetangga dan rakan taulan ayah, umi dan abang Am. Aku tak jemput sesiapa.

"Alhamdulillah. Terima kasih, dik."

"Boleh belanja." Usikku pada Amsyar. Tiba-tiba rasa nak bermanja. Aku tidak pernah punya siapa sebelum ini. Bila umi dan Amsyar hadir, aku rasa terisi.

"Inshaallah. Gaji pertama nanti kita ajak umi dan ayah keluar makan, sekali. Abang bagi keutamaan pada Qilah. Qilah boleh pilih nak makan di mana."

"Qilah gurau jelah, abang Am. Tak payah serius sangat." Aku lemparkan senyuman.

"Boleh je. Tak salah pun. Inshaallah, ada izin-Nya abang betul-betul akan belanja." Dia juga tersenyum.

Dan baru aku nak membalas kata-katanya, tiba-tiba kedengaran suara memberi salam. Ayah awal-awal lagi sudah menuju ke muka pintu. Aku dan Amsyar saling berpandangan. Kami yang sedang mengemas ruang tamu terhenti.

"Waalaikumsalam," pintu terkuak.

"Maaf mengganggu. Ini rumah Ahmad Amsyar ke, pak cik?"

"Ya. Betullah tu. Kawan Amsyar ya? Jemput masuk."

Berkerut dahiku. Suara itu ... aku percepatkan mengemas ruang tamu dan terus berlalu ke dapur.

"Ril! Allahuakbar, lama betul tak jumpa kau. Jemput masuk."

Aku yang mula hendak menyingsing lengan, mencuci pinggan terus berlari ke tepi pintu dapur. Mengintai dari balik dinding yang memisahkan di antara ruang dapur dan ruang depan. Ril? Seorang lelaki sedang dipeluk Amsyar. Aku masih tidak nampak wajahnya.

"Qilah?"

Tersentak aku. Mukaku mula merah. Alamak, tertangkap pula oleh umi ketika mengintai kawan abang Am.

"Ada tetamu lagi." Aku beritahu umi yang baru masuk ikut pintu belakang. Umi baru pulang dari menghantar lauk ke rumah jiran sebelah, mak cik Fatimah.

"Siapa?" Wajah umi juga berkerut. Umi meninggalkan aku lalu menuju ke ruang tamu.

"Assalammualaikum, umi." Aku terdengar suara itu menyapa umi. Ah! Kenapa suara itu seperti pernah aku dengar sebelum ini? Sedangkan aku tidak pernah kenal dengan kawan abang Am.

"Zafril rupanya! Lama betul tak jumpa Zafril. Zafril sihat? Mak ayah sihat?"

Zafril? Si mamat mata sepet tu? Dia kawan abang Am? Ya Allah, kecilnya dunia ini. Patutlah dah lama aku tak terserempak dengan dia. Dia dah habis belajar rupanya. Dah kerja ke belum? Ingin sekali aku memunculkan diri. Tetapi perasaan malu menjalar.

Aku ingin melihat wajah Zafril yang terkini. Masih samakah dia dengan yang aku kenal? Atau masa sudah mengubah penampilan dirinya?

"Duduk dulu Zafril, umi siapkan makanan dan minuman."

"Eh, tak payah susah-susah umi. Saya datang pun dah lambat. Cuma nak jumpa Am je. Kalau bertangguh tak tahu bila boleh jumpa lagi. Umi pun duduklah. Lama tak berbual dengan umi."

"Tak apa. Sekejap sahaja."

Derap kaki umi buat aku segera beralih ke sinki. Pura-pura membasuh pinggan yang banyak.

"Kawan abang Am, Qilah." Umi memberitahuku sedangkan aku sudah pun mencuri dengar. Tangan umi cekap mencapai cawan dan piring diletakkan di atas dulang. Teko dicurah dengan air panas dan seuncang teh direndam. Beberapa sudu gula umi bubuh dan kacau. Mudah sekali.

Kalau aku ... tentu masih teragak untuk mengira jumlah sudu gula.

"Qilah tolong umi panaskan karipap dalam ketuhar. Tak payah lama. Dalam lima minit cukup. Suhu 100 ke 150." Umi bergegas keluar membawa dulang air. Aku ikut apa yang umi arahkan. Dan bila sudah berdenting dan api ketuhar sudahpun padam, aku buka pintu ketuhar.

"Aduh!" Dan sedulang karipap terlepas dari tangan. Berdenting bunyi dulang logam terhempas ke lantai. Aku lupa nak menyarung sarung tangan tahan panas. Hanya sehelai tuala Good Morning yang kugunakan untuk memegang dulang yang baru keluar dari ketuhar. Cuai!

"Qilah?" Umi, ayah dan abang Am menerpa ke dapur.

"Maaf. Qilah tak sengaja." Ya Allah, malunya aku. Karipap yang berterabur di lantai buat aku rasa lebih bersalah. Rezeki Allah.

"Eh, tangan Qilah melecur." Suara Amsyar mengejutkan yang lain.

"Jom, ayah bawa Qilah ke bilik. Kita rawat dulu lecur tu."

"Tapi ..." Mata aku memandang pada lantai dapur yang berselerak.

"Tak apa. Nanti umi kemaskan."

"Abang pun boleh tolong. Qilah naik dulu dengan ayah." Amsyar memujuk.

"Maaf ..." Rasa bersalah sangat. Dan, pastinya Amsyar malu dengan kawan dia. Ish, macam manalah aku ni buat kerja.

Sewaktu melepasi ruang tamu, aku sedaya upaya menyorok di tubuh ayah. Aku tidak mahu Zafril tahu yang aku ini Aqilah. Dan aku ini adik tiri Amsyar. Dari lirikan mata, aku tahu dia cuba mencuri pandang tetapi tubuh ayah menghalang. Ayah memeluk bahuku.

"Duduk dulu Zafril. Maaf, pak cik nak rawat anak pak cik ni. Tangannya melecur sikit. Sekejap lagi pak cik turun. Maaf ya." Ayah berhenti seketika bila dia lihat Zafril terkulat-kulat seorang diri di ruang tamu. Cuba untuk tahu apa yang berlaku.

Di dalam bilik, ayah dudukkan aku di atas katil. Lengan bajuku ayah selak sedikit. Peti kecemasan sudah dibuka. Perlahan-lahan ayah sapu kesan merah di tapak tangan aku dengan ubat kuning. Sudah mula timbul gelembung kecil. Ayah menggeleng.

"Maaf, Qilah cuai," Aku benar-benar rasa bersalah. Sudahlah ada tetamu.

"Biar kering dulu. Qilah rehatlah dalam bilik."

"Qilah nak tolong umi. Banyak kerja kat dapur tu."

"Tangan Qilah?"

"Sikit je."

"Tak apa. Biar ayah tolong umi. Qilah rehat. Lagipun, susah nak buat kerja sebelah tangan."

Ayah terus keluar dari bilik aku. Aku kunci pintu. Tudung kucabut lalu tangan yang dirawat ayah kubelek. Ayah benar-benar sudah berubah. Dia jaga aku. Dia sayang aku. Dan dia ... sayang umi. Sayangkah lagi ayah pada mama?

Air mata aku menitis. Aku rindu mama. Kenapa mama langsung tidak hubungi aku? Hampir masuk tahun ketiga mama pergi. Tapi aku tidak tahu keadaan mama. Allah ... aku ingin jumpa mama.

***

"ZAFRIL kirim salam."

Terdongak aku memandang Amsyar yang duduk berdepan denganku. Ayah dan umi hanya mengangguk. Zafril dah beritahu Amsyar ke yang dia kenal aku? Macam mana dia tahu yang ...

"Kirim salam pada Qilah ke?" Aku bertanya.

"Ya. Pada Qilah. Dia minta maaf. Sebab dia, Qilah cedera." Umi pula menyambung.

"Eh, tak adalah. Kenapa pula sebab dia. Qilah yang cuai."

"Dia kata, dia datang rumah orang lewat malam. Tuan rumah dah penat, tu yang sampai cedera tu. Sibuk nak melayan dia. Kelam-kabut jadinya." Ayah pula menambah.

"Qilah pun nak minta maaf pada umi, ayah dan abang Am. Sebab Qilah, semua orang susah."

"Dah lama Qilah kenal Zafril?" Amsyar tiba-tiba menyoal. Permintaan maafku tidak dihiraukan.

Aku pandang ayah dan umi. Masing-masing sibuk mengadap makanan. Seolah-olah memberi ruang pada Amsyar berbual dengan aku.

Aku mengangguk. Sejak tahun pertama lagi aku sudah kenal Zafril. Perkenalan yang tidak diatur. Tanpa sengaja. Bermula dengan kebosanan yang melanda, aku mencipta nakal. Zafril adalah mangsa!

Aku kemudian terus menunduk, mencicip teh pada cawan di tangan.

"Kenapa tak keluar, tegur dia semalam?"

"Am ..." Umi bersuara. "Kan, Qilah tu perempuan. Takkanlah nak menayang muka di depan. Lagipun, Zafril datang nak jumpa Am. Bukan Qilah."

"Maaf."

Dan aku lihat Amsyar masih memandang pada aku. Dia masih inginkan jawapan. Entah apa yang Zafril beritahu pada Amsyar tentang aku, sehinggakan mata Amsyar tidak lepas memandang. Seperti aku ini ada berbuat salah yang amat besar.

"Ayah nak gerak. Pukul berapa Am masuk kerja?" Ayah yang sudah mula bangun, bertanya. Pandangan Amsyar padaku terputus. Dia juga sudah bangun bersalam dengan ayah. Tali lehernya masih belum dikenakan. Hanya terlipat dan diselit dalam kocek baju.

Kemas, segak abang tiriku ini.

"Sekejap lagi ayah. Nak habiskan makanan ni, sikit lagi."

Aku menjengah ke dalam pinggan Amsyar. Memang ada lagi sedikit baki bihun goreng di dalamnya. Ayah bergerak pula ke sisi aku. Aku bangun. Tangan ayah kusalam dan kucium. Dan aku menolak diri ke dalam dakapan ayah. Rindu ayah. Dan ... rindu mama.

"Tangan anak ayah dah baik?" Telapak tanganku dibelek.

"Sikit je ayah."

"Hmm ... dah ada parut. Habislah ... turun harga ni." Ayah menyakat. Bahunya kucubit. Ayah mengelak. Umi tergelak. Amsyar hanya memerhati dengan pandangan misteri. Kenapa dengan abang tiriku ini? Aku ada buat salah ke? Aku dah malukan dia ke semalam? Aku tak sengaja. Dan aku sudah pun minta maaf.

"Dah, ayah nak pergi kerja. Tolong umi. Belajar urusan rumah tangga dengan umi. Ok?"

Aku mengangguk sebelum sekali lagi memeluk tubuh ayah. Tidak kisah pada pandangan Amsyar.

"Qilah ..." Amsyar bersuara. Dakapan di tubuh ayah kulepaskan. "Habiskan makan. Tak baik biarkan makanan terdedah." Lembut tetapi tegas.

"Ayah pergi dulu, sayang. Assalammualaikum," Ayah bergegas ke pintu. Umi sudah sedia menunggu. Aku duduk menghabiskan makanan. Hanya aku dan dia di meja makan. Aku lihat Amsyar sudah selesai makan. Dia bangun sambil membawa pinggan kotornya ke sinki.

"Abang Am ... tinggal je. Nanti Qilah basuh."

Dia menoleh. Melangkah ke depan. "Terima kasih." Lalu tangan umi dicapai dan disalam. Aku hanya memerhati. Wajah Amsyar walaupun menguntum senyum masih ada sesuatu yang seperti tidak selesai. Akukah puncanya?

Previous: Bab 16
Next: Bab 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Norsamila Samsudin