Home Novel Islamik The Missing Puzzles
The Missing Puzzles
Norsamila Samsudin
9/7/2019 18:53:52
3,125
Kategori: Novel
Genre: Islamik
Bab 16

ALUNAN suara yang gemersik berlagu menakluki antara mimpi dan realiti, buat aku tersedar. Mata masih lagi terpejam menghayati alunan indah yang membuai kalbu. Aku berkalih arah sambil mata sudah kubuka.

Sesusuk tubuh berselubung telekung sedang duduk bersila. Menunduk di atas sejadah sambil di tangannya memegang senaskhah Al-Quran tafsir besar sedikit dari telapak tangan. Aku masih di posisi mengiring di atas katil. Memandang tubuh Ashikin dari belakang. Menghayati suara dengan bacaan yang lancar tanpa sekatan.

Ayat dari langit. Ayat indah hadiah daripada Tuhan. Tercipta dan diturunkan pada kejadian-kejadian tertentu. Untuk pengajaran dan panduan umat Muhammad. Yang sentiasa perlu diingatkan.

Ayat yang menakluk sekeping hati yang keras sehingga api kemarahan terpadam dengan bisikan ayat-ayat magis Tuhan.

"Sadaqallahul'azim ..."

Aku tersentak. Terus aku bangun lalu duduk bersila di birai katil. Rambut kubiarkan terjurai di bahu. Kantuk masih lagi menguasai mata. Kuyu dan layu. Tetapi aku dengan baju tanpa lengan dan seluar tiga suku itu tidak mahu baring lagi melayan mata. Aku terkesima dengan bacaan merdu. Kaki kujatuhkan, lalu aku mula mengengsot mendekati Ashikin.

Entah kenapa, hati dipaut pilu tiba-tiba. Ayat-ayat Al-Quran yang masuk ke telinga, masuk juga menyentuh jiwa. Ingatan pada ayah menerjah. Kenangan sewaktu kecil terlayar. Ayah ajar aku mengenal huruf-huruf Hijaiyah. Mama pun belajar sama. Pelat mama lebih teruk daripada aku. Aku selalu ketawakan mama.

Tetapi selepas aku bersekolah, ayah semakin sibuk dan mama hanyut tanpa bimbingan. Tiada lagi bacaan. Dan ... pastinya ia menjadi permulaan hilang cahaya dalam rumah ayah dan mama. Aku rindu waktu sebelum cahaya itu hilang. Rindu sangat. Air mata berderai.

Tubuh Ashikin kupaut. Dia terkejut lalu, menoleh serta-merta sambil menarik tubuhku ke dalam dakapannya.

"Qilah ... eh, kenapa ni?"

Esakan aku di bahunya secara tiba-tiba buat dia kalut. Aku terus menangis. Dan setiap kali dia melihat aku menangis, aku tahu ketakutan memanjat dada Ashikin. Takut jika aku pengsan buat kesekian kali. Sejak aku berubah, hati aku jadi begitu lemah. Mudah tersentuh.

"Qilah ... kenapa ni dik? Qilah mimpi apa?" Rambut aku yang separas bahu itu diusap mesra.

"Qilah rindu ayah."

"Siang nanti telefonlah ayah," bisik Ashikin.

"Bukan ... Qilah rindu ayah masa Qilah kecil dulu. Ayah pernah ajar Qilah baca Muqaddam. Ajar mama ..."

Ashikin tersenyum. Kerisauannya beransur pergi. Aku pandang wajah Ashikin yang kembali tenang. Aku rasa senang.

"Tapi bila Qilah besar ... tak ada lagi. Qilah tak pernah sampai baca Al-Quran. Muqaddam pun tak habis. Kak Shikin baca surah apa tadi?"

Dia tergamam dengan soalan aku yang muncul tiba-tiba. Pantas jarinya menghulur tafsir Al-Quran yang masih terbuka.

"Surah An-Nur?"

"Qilah pernah dengar?"

Aku menggeleng.

"Qilah nak belajar?"

Ah! Bagaimana harus aku bicara? Sudah terlalu lama aku meninggalkan bacaan suci ini. Hanya beberapa surah sahaja yang aku ingat dan kugunakan dalam solat. Untuk baca yang sebanyak tiga puluh juzuk, aku tidak pernah cuba. Ayat-ayat yang bersambung dan punya tanda baca itu tidak kutahu hukum dan dengung.

Aku menunduk. Malu pada Ashikin. "Qilah hanya tahu baca ayat-ayat dalam solat je. Itupun entah betul atau tidak bacaannya. Kak ..." Tafsir Quran sudah melekap di dada. Aku sudah baring di atas riba Ashikin dengan sebahagian tubuh kuselimutkan dengan kain telekung Ashikin yang sudah ditanggal dan diletak di tepi.

Ashikin yang berkain batik dengan telekung masih tersarung di kepala. Dia tidak menghalang aku yang baring di riba. Cuba bermanja. Tangannya mengusap rambut aku yang menjurai. Memandang pada aku dan menanti butir kata seterusnya.

"Allah marah ke kalau kita baca Quran tak betul?"

"Qilah ... Allah maha penyayang. DIA tahu Qilah sedang belajar. Orang yang begini lebih Allah sayang. Sebab dia sedang berusaha mendekatkan diri pada Tuhan walau dalam keadaan serba kekurangan."

"Qilah baca sangkut-sangkut." Dalam malu aku mengaku kekurangan diri.

"Tak apa dik," dahi aku, Ashikin cium.

Aku terus duduk tetapi masih memandang pada Ashikin. "Kak ... kalau Qilah mati sekarang ni, kubur Qilah tentu gelap kan, kak?"

"Kenapa Qilah cakap macam tu?" berkerut wajah Ashikin.

"Qilah tak sempat nak khatam Al-Quran. Bacaan Qilah pun tak betul. Nak habiskan sebaris ayat pun susah nak lepas. Macam mana kubur nak terang kak?"

"Inshaallah dik. Akak doakan umur Qilah panjang dan Qilah akan baca Quran dengan baik. Quran akan jadi teman Qilah sampai bila-bila."

"Kak ... kalau Qilah mati, tak sempat nak habis baca Quran dengan betul, akak tolong baca untuk Qilah, boleh?" Entah kenapa itu yang aku minta pada dia. Dia yang pada suatu ketika hanya aku jeling dan kuhamburkan kata-kata nista.

Ashikin mengangguk. Wajahnya kulihat sudah basah. "Inshaallah dik ..."

"Qilah nak mandi. Ambil wudhu'. Sementara tunggu Subuh, akak ajar Qilah mengaji, boleh?"

Ashikin tersenyum memandangku. Mengangguk sebelum dia memeluk tubuhku. Aku leraikan. Aku bangun lalu mencapai tuala. Di sepertiga malam itu aku mensucikan diri. Kesejukan air yang menjalari setiap inci kulit ini kurasakan membawa setiap daki dosa yang pernah aku lakukan. Walau tubuh menggeletar, menahan dingin pagi, tetapi aku cuba untuk bertahan.

Di dalam minda bayangan kematian terlayar. Ya Allah, tentu sejuk bila jenazahku dicurah air begini. Bau kapur barus dan setanggi dengan roh yang sudah pergi. Tubuh sudah berhenti berdarah. Hanya beku dan kaku. Ya Allah, sudah banyak masa tercurah begitu sahaja. Terima kasih masih pinjamkan aku nyawa. Aku ingin berubah. Aku ingin berhijrah.

Dan sewaktu kaki menghampiri pintu bilik, aku terdengar Ashikin berdoa. Terhenti aku di muka pintu. "Ya Allah. Indahnya melihat hidayah yang KAU berikan pada dia. Tolong jaga dia Ya Allah. Panjangkan usianya untuk dia menyelami kitab-Mu. Rahsia ilmu dari langit. Jika ada yang mampu kukorbankan demi melihat Aqilah mengecap nikmat kasih-Mu, aku rela."

Aku terpana. Dia bukan sesiapa pada aku. Tiada ikatan darah. Hanya saudara se-Islam yang kebetulan menghuni ruang bilik yang sama. Hanya kenal dua semester dan dia ... berdoa untuk aku panjang usia. Untuk aku disayangi dan diberi ruang belajar ilmu Tuhan. Dan dia ... sanggup berkorban demi aku yang cetek iman?

Allahuakbar! Siapa dia ini? Bidadari yang dihantar oleh-Mu kah Ya Allah?

***

AKU terpana. Cemburu mula melingkari hati. Mata melayangkan api iri. Dalam diam, Airin rupanya pandai baca Al-Quran. Lagunya lembut. Suaranya elok. Sebutannya jelas dan tiada salah. Beralun dan berhenti pada tempat yang sepatutnya. Sedangkan aku? Baru pagi tadi berjuang mengenalpasti tanda baca dan berhenti.

"Aqilah ..."

Aku tersentak. Khayalku membuatkan aku tidak sedar yang Airin sudah pun bangun berkalih tempat. Aku bangun lalu merapati Ustazah Laila yang baru selesai menyemak bacaan Airin.

"Surah apa sayang?" Lembut dan bersifat keibuan.

"Bo .. boleh pilih ke Ustazah?" tanyaku dalam teragak.

"Inshaallah, boleh. Yang mana mudah untuk Aqilah."

"Boleh saya baca surah Al-Fatihah?"

Terdengar letusan tawa halus diikuti dengan bisikan di bahagian belakang. Serta-merta aku menunduk sebelum telinga menangkap suara Ustazah Laila.

"Aqilah boleh mula sayang."

Aku menoleh sekilas ke belakang, sebelum tangan Ustazah Laila terasa mencuit pada lututku.

"Tak apa. Biarkan. Belum tentu bacaan Al-Fatihah mereka lebih baik. Kita nak belajar ni, jangan malu. Jangan peduli kata orang. Hanya peduli kata Tuhan. Nak Allah sayang tak?"

Wajah Ustazah Laila kurenung. Matanya redup. Dia mengangguk. Minta aku menjawab soalannya.

"Ya," balasku sepatah. Tentulah aku ingin disayangi. Oleh Allah, oleh Rasul dan semua makhluk.

"Mula membaca Aqilah."

Aku tundukkan kepala. Hati padat dengan perasaan. Dan aku mulakan bacaan Bismillah.

"Kuat sikit ..."

Sedikit terkejut. Memang sengaja aku perlahankan suara. Dengan harapan mereka yang di bahagian belakang sana tidak mendengar bacaanku. Hanya aku dan Ustazah Laila sahaja. Tetapi aku silap. Suara yang kulontarkan terlalu perlahan. Sehinggakan ustazah sendiri tidak mendengar.

Aku ulang semula membaca. Ustazah Laila tidak menegur pun. Dia hanya mendengar sehingga aku selesai. Dan sesudah itu baru ditunjukkan yang mana yang perlu aku perbaiki. Ustazah ulang baca ayat-ayat yang sebutan aku tidak kena. Aku mendengar dan menyebutnya semula. Sehinggakan aku tenggelam dalam Al-Fatihah dan maknanya. Tiada kuhirau dengan suara sumbang yang bergema.

"Terima kasih, ustazah."

"Nak belajar jangan malu, ya Qilah."

Aku mengangguk, "Inshaallah, ustazah."

***

"BAIK bacaan kau. Kau tak payah datang belajar dengan Ustazah Laila pun tak apalah Airin." Aku memuji Airin sewaktu dalam perjalanan pulang dari rumah Ustazah Laila.

"Kau sahaja yang dengar baik. Sedangkan banyak lagi silapnya. Dengung dan harkat, tempat berhenti yang dibolehkan, waktu bersujud ... banyak lagilah. Biarlah aku nak belajar juga. Kau kenapa tak bagi aku belajar sama?"

"Aku segan bila ada ramai orang seperti kau, yang dah boleh membaca Al-Quran dengar bacaan aku yang merangkak-rangkak. Aku segan juga dengan kau."

"Ish, tak payahlah nak segan. Aku pun ada kekurangan. Kau sahaja yang tak nampak."

"Kalau kau kurang, aku lebih lagi. Jauh sangat. Malah, ada yang tak mampu nak tahan gelak. Kau pun dengarkan tadi? Mereka ketawa bila aku pilih surah Al-Fatihah untuk aku baca dan disemak ustazah?"

"Hmm ... diaorang tu pun tak patut. Pandai baca Al-Quran, tapi tak tunjuk akhlak Al-Quran."

"Apa maksud kau?"

"Qilah, bila kita baca Quran, ia ibarat syifa', penyembuh kepada hati. Hati akan subur hidup dan sentiasa suci dari anasir yang boleh menghitamkan hati. Dan, bila kita tahu makna dan setiap apa yang Al-Quran ceritakan, takwa kita akan jadi lebih tinggi. Dan orang-orang ini tak akan sanggup mentertawakan orang lain. Malah mereka akan rasa rendah hati. Tidak pernah rasa yang mereka itu lebih baik daripada sesiapa di muka bumi. Tidak sama sekali."

Aku terdiam.

"Aku sendiri pun tak tunjuk akhlak Al-Quran. Masa kau belum pakai tudung, belum sedar tentang aurat, masih berpegangan dan bersentuhan dengan Ashfar ... aku sepatutnya tegur. Tapi aku bukan kawan yang baik. Aku tak kuat. Aku takut kau tak nak kawan dengan aku. Aku takut kau hentam aku balik sebab aku pun solat selalu di hujung waktu."

Aku memandang pada Airin. "Kita dah bercakap tentang ini, kan? Bukan salah kau seorang. Sikap aku yang susah nak terima pendapat orang pada waktu itu yang membuatkan kau tidak berani menegur. Maafkan aku. Inshaallah, kita sama-sama berubah. Tegur aku. Aku perlukan teguran kau." Tubuh Airin kutarik dan kudakap.

Previous: Bab 15
Next: Bab 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Norsamila Samsudin