Home Novel Islamik The Missing Puzzles
The Missing Puzzles
Norsamila Samsudin
9/7/2019 18:53:52
3,555
Kategori: Novel
Genre: Islamik
Bab 14

"QILAH duduk di belakang."

Aku memandang dia tidak percaya. Tetapi aku bawa juga langkah menuju ke pintu di tempat duduk belakang. Aku buka pintu bahagian belakang, lalu masuk duduk menanti Amsyar yang masih lagi memandang pada telefon pintarnya sementara menanti enjin panas. Dia kemudian membetulkan cermin sisi kereta dan juga cermin pandang belakang.

Aku hanya memerhati. Dan mata kami bertembung dalam cermin pandang belakang. Dia beriak biasa sebelum menekan hon melambai pada umi yang setia berdiri di muka pintu. Aku juga turut melambai pada umi. Segaris senyum kulemparkan.

Kereta Amsyar mula bergerak. Sekali lagi hon dibunyikan sebelum kereta meluncur keluar dari pagar. Ayah sejak malam tadi sudah berangkat ke selatan tanah air. Amsyar yang menghantar ayah ke lapangan terbang.

Aku tidak dibenarkan ikut. Kata Amsyar, tidak elok seorang wanita berada di luar rumah pada waktu malam. Selagi tiada keperluan mendesak dan boleh dielak, itu lebih baik. Terlalu banyak fitnah dan tohmah bila seorang wanita itu berada di luar baik siang hari apatah lagi pada waktu malam. Banyak juga bahaya yang menanti. Jadi, aku hanya tinggal di rumah dengan umi. Melambai ayah hanya setakat di muka pintu rumah.

"Qilah?"

Aku memandang pada Amsyar. Sekilas dia menoleh ke belakang. "Maaf sebab larang Qilah duduk di hadapan."

"Oh, tak apa. Ok je duduk di mana-mana pun." Aku membalas walaupun dalam hati terselit perasaan ingin tahu, mengapa dia mengarahkan aku duduk di belakang.

"Boleh je kalau Qilah nak duduk di hadapan. Cuma kurang sopan. Lagipun, macam-macam cerita boleh timbul bila kawan-kawan sekampus nampak abang hantar Qilah. Fitnah itu kalau boleh dielak, kita elak. Mereka tak berdosa, kita pun tidak terpalit nista."

"Tapi tak apa ke, kalau mereka anggap abang ni pemandu Grab? Kasihan abang," balasku. Aku ini sudah rasa seperti 'mem besar' duduk bersandar di belakang, dan Amsyar sudah seperti pemanduku.

Amsyar ketawa sebelum membalas, "Apa salahnya kalau mereka anggap begitu. Pemandu Grab pun kerja halal juga. Tiada hinanya. Lagipun ... tentu mereka teruja tengok pemandu Grab macam abang."

"Hah? Kenapa? Macam abang tu macam apa?" tanyaku pelik.

"Pemandu Grab muda dan hensem," balas Amsyar bersahaja.

Pecah tawaku. Hmm ... boleh tahan 'gila' juga Ahmad Amsyar ini. Dalam diam, tegas, sopan dan tinggi ilmu agamanya, dia ini boleh dikategorikan ... nakal juga! Aku nampak dia tersenyum dari dalam cermin. Ya. Tidak dinafikan dia punya 'muka'.

"Ehemm ... kawal sikit tawanya Qilah. Dah pakai sopan-sopan sikap kena berubah juga," tegurnya.

Kutekup mulutku serta-merta. Aku jadi malu. Muka mula merah. Dia tersenyum. Kereta sudah membelok ke bulatan masuk ke kampus. Debaran hati semakin ketara. Pagi ini ada kelas. Ada lagi dalam setengah jam untuk aku bersedia. Aku tidak akan balik ke bilik. Aku akan terus ke bilik kuliah. Menanti Airin di sana.

"Terima kasih abang Am." Aku berdiri di tepi tingkap sebelah pemandu.

Amsyar memandang aku tanpa keluar dari kereta. Tiada keperluan pun untuk dia keluar. "Jaga diri, dik. Jaga solat. Jaga aurat."

Hati aku tersentuh dan hanya mampu mengangguk sebelum melangkah pergi.

"Aqilah!"

Aku menoleh.

"Tambang Grab belum bayar lagi," katanya sambil ketawa, sebelum kereta digerakkan pergi. Aku juga ketawa. Terhibur dengan lawak Amsyar. Dalam hati rasa bersyukur. Punya seorang abang tiri yang menjaga adab, ikhtilat tetapi masih lagi boleh bergurau menghadiahkan keceriaan dalam hidupku yang sebelum ini penuh dengan kesedihan dan kesunyian.

Alangkah baiknya jika dia itu abang kandungku. Yang boleh kusentuh dan kupeluk lengannya. Yang boleh kusalam dan cium tangannya setiap kali dia menghantarku pulang ke kampus? Hmm ... bersyukur dengan apa yang ada Aqilah. Andai kau bersyukur, Allah akan tambah lagi. Ya, aku bersyukur.

Kaki kubawa melangkah ke bilik kuliah. Sudah ada yang sampai. Aku masih tidak nampak Airin. Seperti biasa, aku duduk di tempat aku. Membuka buku dan mula menyemak beberapa tugasan yang sudah kusiapkan semasa dalam cuti sakit.

"Err ... maaf Cik. Ini tempat kawan saya Aqi ..." Aku mengangkat muka bila aku mendengar suara Airin. Dan ...

"Aqilah!"

Jeritan separa histeria Airin buat aku terkejut. Begitu juga rakan yang lain. Masing-masing mula memandang ke arah kami. Dan bila mereka sedar yang di hadapan Airin itu adalah aku yang sudah bertudung, suara-suara lain mula kedengaran. Bising!

Aku hanya tersenyum.

***

"AIRIN!" Jeritku bila Airin tidak sudah-sudah memandang muka aku sejak dari dalam bilik kuliah lagi. Sehinggakan kuliah sudah tamat, dia masih terus memandang, buat aku rasa segan.

"Cuba kau cubit aku."

"Jangan menyesal," kataku, lalu pipi Airin kucubit.

"Weh, cubit sikit-sikit je. Main-main je. Kenapa kau cubit betul-betul. Sakit tau!" Airin tepis tangan aku yang masih lagi mencubit kedua-dua pipinya sambil aku menggoyang-goyangkan daging kenyal yang seperti pau itu.

"Hahaha ... padan muka." Kedua-dua pipi Airin sudah mula merah. Diusap-usapnya dengan muka yang masam.

"Sakit ..."

"Kau yang suruh, kan?"

"Kenapa kau ..."

Kata-kata Airin terhenti bila sesusuk tubuh berdiri di sebelahnya. Aku juga turut mendongak sebelum tubuh itu menarik kerusi lalu duduk bersama kami. Dia duduk di sebelah Airin dan berdepan denganku.

"Aqilah ..." lembut dia memanggilku seperti selalu. "Apa yang dah jadi?" tanyanya dengan muka serba tidak kena.

"Tak ada apa. Hanya satu perubahan biasa untuk seorang wanita," balasku lembut.

"Semakin cantik."

Aku hanya tersenyum.

"Jadi ..."

Aku menanti kata-kata Ashfar.

"Perubahan ini akan ... kekal?"

"Inshaallah."

"Hubungan kita?"

Aku menghela nafas.

***

"KAU dah habis fikir?" Airin merenung muka aku.

Aku mengangguk. Aku perlukan masa. Aku perlu belajar tentang hubungan di antara lelaki dan perempuan yang dibenarkan dalam Islam.

"Kau tak sayang dia?" Airin terus bertanya. Tidak pasti sama ada dia benar-benar prihatin dengan hubungan aku dan Ashfar atau ... dia sekadar menduga pendirian aku yang melangkah ke alam baru.

"Entah. Aku tak fikir tentang perasaan pun selama aku berkawan dengan dia. Aku senang dan sangat selesa dengan dia di sisi. Dia seorang lelaki yang selalu ada di saat aku kehilangan kasih seorang ayah. Dia tidak pernah menolak untuk menjadi peneman bila aku ajak keluar. Seolah-olah masanya hanya untuk aku.

Dia juga tidak berfikir dua kali untuk membelikan apa-apa keperluan aku dan tidak pernah mengungkit untuk aku membayarnya kembali. Aku tidak pasti tentang rasa sayang. Tetapi, aku ..." Aku menahan kata. Menahan nafas seketika. Malu untuk berterus -terang pada Airin.

Airin memandang wajah aku. Menanti.

" ... aku tidak mahu kehilangan dia. Dia baik. Cuma aku perlukan masa. Dan aku tidak mahu terikat."

"Qilah ... sebenarnya dah lama aku ingin cakapkan perkara ini dengan kau. Tetapi aku tidak punya kekuatan. Mungkin sekarang adalah masa yang sesuai, sementelah kau sudah berhijrah."

Aku menoleh. Perkara apakah yang ingin disampaikan oleh Airin? Yang selama ini tertangguh sehingga memerlukan kekuatan untuk mengatakannya? Dan mengapa kekuatan itu hanya wujud bila aku sudah berhijrah?

"Aku ..."

"Cakaplah Airin. Inshaallah aku akan terima dengan hati yang terbuka."

"Kau perasan tak yang aku selalu tergedik-gedik nak ikut kau setiap kali kau keluar dengan Ashfar?"

Aku mengangguk. Memang aku perasan. Dan Airin jadi lebih gedik bila Ashfar kata nak bawa kawan untuk temankan Airin.

"Kau tahu kenapa aku jadi macam tu?"

Aku menggeleng. Aku tidak tahu. Dan aku juga ingin tahu. Memang hati sudah lama tertanya mengapa kawan aku yang seorang ini gedik semacam, sedangkan dia pakai tudung dan tidak punya teman lelaki walaupun wajah boleh tahan.

"Sebab ... aku sayangkan kau Aqilah."

Sebaris ayat Airin buat dahi aku berkerut. Lesbian ke Airin ini? Dia ikut sebab cemburukan hubungan aku dengan Ashfar ke? Ah! Sudah. Eh, sekejap. Tapi, kenapa jadi gedik bila Ashfar kata nak bawa seorang kawan menemankan Airin? Reaksi itu seperti reaksi perempuan normal?

"Qilah. Aku risaukan kau. Setiap kali kau nak keluar dengan Ashfar, aku jadi takut. Takut jika kau dan dia buat sesuatu yang dilarang agama. Depan aku pun kau biarkan sahaja dia menyentuh muka kau, tangan kau ... bila berdua?"

Muka Airin aku tenung. Tanpa sebarang respon.

"Ma ... maafkan aku. Aku tahu kau tidak seteruk itu untuk menyerahkan diri kau pada seorang lelaki. Dan ... Ashfar juga tidak seteruk itu. Tetapi bila anak Adam, lelaki dan perempuan berduaan, akan ada makhluk Tuhan yang bernama syaitan. Lebih-lebih lagi bila kau keluar dengan dia dalam keadaan diri kau yang rapuh, kehilangan kasih sayang seorang lelaki bernama ayah.

Aku takut kau akan dapatkannya dengan cara yang salah. Yang akan menghancurkan hidup kau. Aku terlalu takut ..."

"Kenapa kau tak tegur khilaf aku, Rin?"

"Aku ... aku tak cukup kuat, Qilah. Dan aku takut jika teguran aku itu hanya akan menjarakkan hubungan aku dengan kau; dan kau akan pergi pada dia. Pada Ashfar. Waktu itu mungkin bencana yang lebih besar akan berlaku. Aku tak mahu itu terjadi. Aku takut bila memikirkan semuanya. Aku risaukan kau, Qilah."

"Tempoh hari, sewaktu aku tinggalkan kau dengan kawan Ashfar ..."

"Aku takut bagai nak gila. Dada aku berdebar kuat. Aku cuba ikut kau, tapi aku takut kau perasan dan mula membenci aku. Aku hanya mampu berdoa supaya kau tidak pergi tempat lain selain daripada kedai baju. Dan, aku tak mampu nak berbual pun dengan kawan Ashfar sebab asyik memikirkan kau."

Aku menghela nafas. Sekarang semuanya lebih jelas.

"Kau bodoh!"

Muka Airin berubah. Dan hampir-hampir air matanya tumpah.

"Kau bodoh Rin! Bodoh macam aku!" Tubuh Airin aku rangkul, erat. Air mata aku mencurah lebat. "Lain kali kalau tak mampu cakap depan muka aku, kau tulislah surat, bodoh!" Aku menangis lagi. Terharu dengan ketulusan hati seorang sahabat bernama Airin.

"Qilah ... jangan keluar dengan lelaki lagi. Aku tak mampu untuk ikut kau selamanya. Lebih-lebih lagi lelaki macam Ashfar. Aku takut." Suara lirih Airin menyapa halwa telingaku.

Aku tolak tubuhnya ke belakang sedikit. Aku pandang muka Airin yang juga basah dengan air mata. "Kenapa pulak kau tak mampu nak ikut aku? Kau nak pergi mana? Nak tinggalkan aku?"

Airin tidak menjawab. Dia kembali ke dalam dakapan aku. Kami sambung menangis, dan aku dengar Airin berbisik, "Aku sayangkan kau Qilah."

"Aku pun. Maafkan aku sebab tak pernah kenal hati budi kau."

Lama kami berkeadaan demikian. Sehingga air mata kering, baru dakapan kami terlerai. Pecah tawa bila melihat mata masing-masing sembab.

"Dah macam panda," kata Airin sambil ketawa.

"Kau pun sama. Muka bengkak macam kena sengat lebah," balasku juga sambil ketawa.

"Kau cakap aku bodoh. Tak baiklah ..." Airin menarik muncung.

"Aku tak cakap pada kau seorang. Aku cakap pada diri aku juga."

Kami saling memandang sambil tangan mengelap air mata.

"Cantik kau pakai macam ni ..." puji Airin sambil tangannya menyentuh hujung tudung aku.

"Umi aku yang belikan. Dan baju ini ... abang tiri aku yang pilihkan."

Melopong Airin memandang aku. Aku mengangguk. "Sungguh, memang dia yang pilih. Tak sangka, kan?"

"Kau dah boleh terima diaorang? Keluarga tiri kau?"

Aku mengangguk. Tersenyum.

Dan sepanjang petang itu kami berbual seolah-olah sudah bertahun tidak berjumpa. Entah kenapa, aku rasa jiwa aku ini penuh dengan cinta dan kasih sayang ... yang selama ini aku hilang. Rasa begitu tenang dan nyaman. Tenteram dalam perhatian ramai insan.

Bila kau temui cinta dan kasih Allah, ketahuilah bahawa kau akan menikmati semua cinta dan kasih sayang makhluk di dunia. Semuanya jadi serba indah. Tiada kecacatan yang akan kau rasa dalam menyelami cinta DIA. Aku bahagia.

Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Norsamila Samsudin