Home Novel Islamik The Missing Puzzles
The Missing Puzzles
Norsamila Samsudin
9/7/2019 18:53:52
3,557
Kategori: Novel
Genre: Islamik
Bab 2

"TERIMA kasih, Shikin. Tak tahulah apa akan jadi pada anak pak cik kalau lambat tadi."

Aku dengar suara itu. Suara yang aku benci. Tapi aku terus memejamkan mata, hanya memasang telinga. Menangkap butir bicara.

"Alhamdulillah, pak cik. Kebetulan kelas batal," aku dengar suara Ashikin membalas. Kakak yang tinggal sebilik dengan aku. Yang tidak pernah kupanggil 'kakak'. Hanya nama. Yang tidak pernah aku kisah kewujudannya dalam bilik. Dia dan aku ketara berbeza.

"Saya minta diri dulu ya, pak cik. Malam ni ada program, takut terlewat."

Suara lembut Ashikin tertangkap. Aku tahu program apa yang Ashikin maksudkan. Program usrah yang dibuat di Pusat Islam. Yang aku tahu, dia itu sebahagian daripada biro yang menjalankannya. Aku celik sedikit, ingin melihat wajah lembut yang sering aku abaikan teguran, dan kemesraannya.

Cepat aku tutup semula bila tiba-tiba wajah lembut itu memandang pada aku dan mukanya didekatkan rapat ke wajahku.

Ah! Apa yang dia nak buat ni?

Rasa satu sentuhan lembut mencecah dahi. Ashikin cium aku? Dan diikuti oleh usapan tangan lembut, halus di kepala. Aku matikan tubuh dan menahan nafas. Aku tak mahu dia tahu yang aku sudah sedar.

"Cepat sembuh, dik ..." suara lembut itu mencecah halwa telinga. Berbisik umpama sapaan semilir senja.

Aku hanya diam. Mata, kubiarkan pejam sehingga beberapa minit berlalu.

Tiada lagi suara lembut Ashikin kedengaran. Tiada juga suara ayah yang kubenci. Bila kurasa tiada lagi sesiapa di situ, aku buka kelopak mata satu persatu. Melihat dengan bukaan kecil dan kemudian semakin membesar.

Dari hitam ke putih terang. Mata aku memandang ke luar tingkap. Aku dapat melihat putihnya awan. Cantik! Sesekali terpandang juga burung-burung berterbangan. Berkawan-kawan. Jika aku berada di atas sana, pasti aku ketawa dengan kicauan comel yang tidak kufaham tetapi menghiburkan.

Keluhan kecil muncul di bibir. Aku teringin berada di sana. Tetapi mana mungkin. Kerana, buat kesekian kali aku ditahan lagi di hospital. Bulan ini sahaja sudah empat kali kejadian serupa terjadi.

Alat kawalan jauh yang terletak di tepi bantal aku capai. Aku tekan butang merah. Cerita Omar dan Hana yang terpancar. Cerita dua beradik yang kadang-kala bergaduh dan kadang-kala berbaik. Aku tak punya adik-beradik. Aku tak faham apa yang Omar dan Hana rasa. Cuma bila melihat mereka, sesekali tercuit juga jiwa. Saat itu, rasa ingin pula mempunyai adik, kakak dan atau mungkin juga seorang abang.

Hmm ... aku biarkan sahaja tv itu terpasang tanpa aku menghayati apa yang Omar dan Hana bicarakan.

Fikiran aku melayang pada kata-kata Doktor Amin. Doktor peribadi keluarga kami, yang juga merupakan kawan baik ayah. Doktor yang sudah acapkali merawat aku.

"Din, kau kena selalu tengok Qilah ni, Din. Tak boleh biar dia terus-terusan depress macam ni."

Aku, depress? Bibir kecilku mengukir senyum, sinis.

"Aku ... aku tak tahulah Min. Qilah dah banyak berubah sejak Maria pergi."

Aku, berubah? Sekali lagi aku mengukir senyum. Kau tak perasan rupanya. Kau ayah yang paling sibuk di dunia. Sibuk nak mencapai segala yang dipandang dunia. Tetapi kau lupa pandangan anak kau pada diri kau, Doktor Azamuddin!

Aku, Aqilah Najwa binti Azamuddin benci kau! Andai nama seorang ayah itu mampu aku gugurkan dari kad pengenalanku, sijil kelahiranku ... pasti aku akan buat permohonan untuk menggugurkan nama kau.

Aku depress sebab kau! Bukan sebab 'dia' yang aku panggil mama. Kau yang gagal menghalang dia dari pergi. Kau yang membuatkan dia pergi. Pergi dari hidup aku. Pergi dari agama yang satu! Semuanya salah kau.

"Tak bincang dulu ke? Tak pernah fikir ke tentang Aqilah? Tiba-tiba sahaja, bercerai. Lepas tu tak sampai setahun nak nikah baru. Mahu budak tu tak terkejut. Maria tu kau jangan harapkan sangat. Kau tu, pemimpin keluarga Din. Sekurang-kurangnya beri ruang pada Aqilah untuk tahu apa yang terjadi di antara kau dan Maria. Dan, beri dia masa untuk sembuh dari rasa terkejut.

Budak ni dalam fasa yang memerlukan perhatian, Din. Fasa yang perlukan kasih-sayang, bukannya fasa untuk menerima segala macam kejutan. Jiwanya sedang rapuh."

Tak doktor! Tak! Ayah saya tak pernah fikir apa yang doktor fikir. Dia tak kisah pun tentang perasaan saya. Oh! Silap. Dia tak tahu pun yang saya ni ada perasaan. Dia ingat saya ni anak patung.

Dan aku terus tersenyum. Ikutkan hati pada masa itu, ingin sahaja aku buka mata dan balas kata-kata Doktor Amin pada ayah. Biar ayah tahu gejolak rasa hati aku. Tetapi aku ... tak mampu. Aku hanya tahu menangis, menangis dan kemudian ... pengsan.

"Adik dah sedar?"

Aku berpaling ke arah pintu yang terkuak, lebar. Seorang jururawat wanita, Melayu melangkah masuk dengan dulang di tangan. Ubat dan suntikan! Hmmm ... bosan.

***

"ASSALAMMUALAIKUM, Qilah ..."

Aku yang baru melangkah masuk ke dalam bilik dan meletakkan beg galas di lantai terus mendongak.

Nurul Ashikin.

Dia yang sedang duduk di meja tulisnya memandang ke arah aku sambil tersenyum. Wajahnya kupandang. Salamnya tidak kujawab.

Kenapa?

Sebab, sudah hampir ke penghujung semester aku dan dia tinggal dalam bilik yang sama, tetapi tidak pernah walau sekalipun kami berbicara. Bukan dia tidak mencuba untuk menegur dan bermesra, tetapi aku yang membina tembok beku.

Wujud satu perasaan ragu dalam diri aku pada orang seperti Ashikin. Manusia bertudung labuh yang pada aku hanya melihat orang lain buta agama. Bila bercakap nanti tentu akan keluar bab-bab aurat, solat yang memang aku tak pernah ambil kisah.

"Qilah apa khabar? Dah sihat?" Dia kembali menyapa walaupun salamnya tadi hanya berderai di udara tanpaku sambut.

Aku menghenyakkan punggung ke tilam, lalu menunduk. Tangan mencabut sarung kaki tanpa peduli buat kesekian kali dengan sapaan Ashikin.

"Qilah penat lagi, ya? Tak apalah."

Sarung tangan kucampak ke tepi katil. Aku mendongak memandang seraut wajah yang sabar. Kenapa kau baik sangat? Kenapa kau tak pernah putus asa nak menegur, nak beramah mesra dengan aku? Tak penat ke? Tak ada rasa malu ke? Orang tak balas sapaan kau, tapi kau terus-menerus menyapa.

Dia masih memandang aku dengan senyuman, yang pada mata aku nampak ... ikhlas.

Hati aku tiba-tiba bergelombang. Ibarat ombak yang tiba-tiba membesar, cuba memanjat udara lalu berakhir melebur di pantai. Hilang! Perasaan mengkal itu hilang. Yang tinggal hanya rasa bersalah yang menyelubungi hati.

Kau selalu kata tak ada orang ambil kisah dengan kau, Aqilah. Kononnya Tuhan tak adil pada kau. Tapi ... bila Allah datangkan orang yang ambil berat pada kau, ada kau bersyukur? Tak ada kan?

Kau layan dia sebaliknya. Nikmat Tuhan yang mana lagi yang nak kau nafikan Aqilah? Kalau sekecil-kecil nikmat pun kau tak mampu nak bersyukur, nak hargai, kenapa nak harap nikmat yang lebih besar?

Suara hati aku berbicara, menghentam dada. Sakit, pedih! Aku menghela nafas. Mungkin aku patut beri peluang padanya. Ah! Bukan. Bukan pada dia, tetapi pada aku. Aku perlu beri peluang pada diri sendiri untuk mengenali Ashikin. Menerima dia dalam hidup aku. Orang yang sudah acapkali menyelamatkan aku.

Ya! Ini bukan kali pertama dia menemui aku dalam keadaan tidak sedar. Sudah berkali-kali. Dan kadang-kala pada jam tiga pagi. Waktu dia bangun untuk solat ... solat ... ah! Aku tak ingat apa nama solat di sepertiga malam tu. Ya. Waktu dia bangun untuk solat. Dia yang telefon ayah aku.

Pandai pula dia cari nombor orang tua tu dalam telefon aku. Dan, kadang-kala aku rasa nak marah juga. Kenapa kau sibuk? Biarkan sahaja aku begitu. Koma pun tak apa. Sama je hidup dan mati. Tak ada siapa peduli.

Tapi dia tak pernah ambil hati. Tak pernah berputus asa. Kenapa? Aku perlu kenal dia. Ya. Kau perlu kenal dia, Aqilah. Dia begitu tabah untuk jaga kau, ambil kisah tentang kau.

Mungkin apa yang aku fikir tentang orang seperti Ashikin ini, hanyalah satu ilusi, yang silap.

"Kak ..." aku mendongak memandang tepat ke wajah Ashikin. Nampak riak terkejut di wajahnya dengan suara aku yang sedikit lembut. Dan, pertama kali aku memanggilnya 'kakak.'

Dia tersenyum, 'Ya ... Qilah."

"Terima kasih," kataku, sepatah.

"Err ... sama-sama. Alhamdulillah ..." balasnya ceria. Gembira mungkin kerana aku sudah mula ingin berbicara dengan dia.

"Saya minta maaf."

Dia beriak terkejut. Langsung menghampiri aku lalu duduk di sisi. Tangannya diangkat dan tergantung begitu sahaja. Aku tahu dia ingin menyentuh bahu aku, tapi masih ragu-ragu. Aku menoleh ke sisi, lantas senyuman kuberi.

Dan terus tangannya yang tergantung itu jatuh di bahuku. Ditariknya aku dalam dakapan dan aku dengar dia berbisik dalam esakan, "Kak Shikin sayang Qilah. Beri akak peluang untuk bantu Qilah."

Kenapa mesti dia yang menangis? Aku tolak tubuhnya, lembut. Aku ingin melihat wajah yang basah dengan air mata ... kerana aku.

"Kenapa?" tanyaku, pelik.

Dia tersenyum. "Entahlah dik. Mungkin sebab akak tak ada adik dan kita sebilik. Setiap hari jumpa dan akak tahu cerita hidup Qilah. Dan ... kisah hidup kita hampir sama."

Berkerut dahiku. Kisah hidup kita hampir sama? Aku tak pernah tahu tentang Ashikin. Apa kisah dia?

"Tak apalah. Inshaallah, ada kesempatan akak akan cerita," dia tersenyum sambil jari mengusap pipiku. "Cantik adik akak ni ..." lantas dahiku dicium.

Aku? Terkaku. Tak faham.

"Boleh akak cakap sikit?"

Aku mengangguk sambil mata tidak lepas memandang muka Ashikin. Entah kenapa hari ini hati aku jadi lembut. Mungkin sebab aku sudah mula membuka hati aku untuk terima dia.

"Qilah ... bila kita diuji, jangan mengalah. Kita ada Allah. Pergi pada DIA. Cari DIA. Bawa jiwa kosong kita pada-Nya."

Kita?

Bukan aku sahaja yang dia patut fokus? Adakah jiwa dia juga pernah kosong? Hati aku semakin tertarik dengan cara Ashikin. Dia guna perkataan 'kita'. Maksudnya dia tidak memandang hanya aku seorang yang punya masalah dan perlu bantuan, tetapi dia juga!

Cara dia menegurku buat aku terkesima. Aku silap! Ashikin bukan seperti yang aku sangka. Dia tidak pernah melihat aku buta agama. Dia tidak pernah melihat aku manusia berdosa. Tetapi dia melihat persamaan. Aku punya dosa ... dan dia juga!

Hati aku yang keras ini semakin melembut.

Ya. Betul kata Ashikin. Dah lama aku tak cari DIA. Dah terlalu lama aku tak bersolat lima waktu dengan sempurna. Solat aku berlubang-lubang. Selalunya hanya di waktu Maghrib. Subuh kadang-kadang. Zohor dan Asar selalunya hilang. Isya' kalau aku teringat nak buat. Kalau tidak ... hilang juga.

"Ya, err ... saya cuba," balasku teragak-agak.

"Inshallah dik," balas Ashikin pula. Tampak riak gembira di wajahnya dengan penerimaan aku.

"Qilah, kalau akak tanya ... Qilah jangan ambil hati ya?"

Aku hanya mengangguk. Dalam seketul hatiku yang keras, masih punya sisi yang lembut. Aku cuba untuk terima dia dan buka ruang untuk diri sendiri.

"Err ... semalam tu ... Qilah ..." ragu-ragu Ashikin bertanya.

"Tak! Bukan!" pantas aku menafikan. Tentu Ashikin fikir aku ingin bunuh diri dengan makan paracetamol dalam dos yang tinggi. Tak. Aku masih waras lagi.

"Oh ... alhamdulillah," Ashikin tersenyum. "Maaf, akak berprasangka pada Qilah."

Kenapa kau baik sangat pada aku? Kenapa kau perlu minta maaf pada keraguan yang bersebab? Ya Allah, dia terlalu baik. Aku ingin jadi seperti dia. Mampukah aku? Masih ada ruangkah untuk orang seperti aku?

"Saya tak boleh menangis banyak," tiba-tiba terluncur kata-kata itu dari bibirku. Aku juga terkejut. Kenapa aku ... seolah-olah mengadu pada dia?

"Bila banyak sangat menangis, saya sakit kepala," Aku menunduk. Tiba-tiba rasa malu. Ego aku jatuh di hujung kaki. Hati aku yang penuh dengan lava dendam, marah dan sentiasa panas sudah menurun suhunya. Tiba-tiba aku rasa aku punya seseorang.

Seseorang yang mampu untuk aku berkongsi rasa. Sungguh aku tidak sangka. Ya. Tetapi itu yang sedang berlaku.

"Qilah," bicara Ashikin, lembut. "Jangan pendam. Luahkan, dik. Kalau Qilah tak percaya akak, Qilah boleh cerita pada Allah setiap kali lepas solat. Tapi kalau Qilah nak akak dengar, inshaallah, akak sedia."

Aku pandang Ashikin. Lama. Sebelum aku dengar suara sendiri memenuhi ruang udara.

"Qilah sedih dengan hidup Qilah kak. Qilah banyak menangis bila tahu ayah dah nikah baru. Qilah sedih sangat. Macam Qilah ni tak penting. Macam Qilah ni tak ada perasaan. Macam Qilah ni bukan siapa-siapa dalam hidup ayah.

Apa sahaja yang ayah buat, tak pernah nak ambil kira perasaan Qilah. Tak pernah nak ajak Qilah berbincang. Tak pernah nak tanya sama ada Qilah ok ke tak dengan rancangan ayah. Sikit pun tak, kak. Qilah sedih ...

Qilah menangis. Qilah nak lepaskan semuanya. Qilah tak nak simpan dan fikir. Qilah sakit kalau terus fikir dan simpan dalam hati. Tapi, Qilah selalu lupa yang Qilah tak boleh menangis lama.

Kepala Qilah akan sakit. Sakit sangat-sangat. Dan semalam tu, sebab sakit terlampau, Qilah tak perasan berapa banyak ubat Qilah makan. Qilah hanya nak hilangkan sakit dan tidur. Bukan nak ..." kata-kataku terhenti.

"Oh! Syukur alhamdulillah. Akak minta maaf sebab akak dah salah sangka. Maaf ya, dik. Dan, adik akak sabar ya." Tubuhku ditarik ke dalam dakapannya.

Aku balas pelukannya. Selesa. Lebih selesa daripada memeluk mama suatu ketika dulu. Aku rindu. 

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Norsamila Samsudin