Home Novel Islamik The Missing Puzzles
The Missing Puzzles
Norsamila Samsudin
9/7/2019 18:53:52
3,552
Kategori: Novel
Genre: Islamik
Bab 12

"AYAH, silakan."

Aku lihat Amsyar yang sudah segak dengan baju Melayu, berkain pelikat menepuk bahu ayah dengan lembut. Menolak ayah ke depan untuk menjadi imam. Sikap sopan, lembut dan menghormati ayah buat aku malu pada Amsyar. Dia hanya seorang anak tiri pun masih hormat pada ayah. Sedangkan aku pada suatu ketika dulu, mencipta kebencian pada ayah sendiri. Jauh sekali ingin menghormati.

"Ayah masih belajar Am. Tidak layak lagi untuk ke depan. Inshaallah, lain kali." Ayah menolak dengan lembut. Hati aku tersentuh melihat perubahan sikap ayah yang merendah diri. Hati aku sebak. Maafkan Qilah ayah. Qilah sayang ayah. Qilah janji akan hormat ayah, akan jaga ayah. Qilah berdosa pada ayah.

Aku lihat Amsyar menepuk-nepuk bahu ayah, tanda faham. Lalu dia sendiri melangkah ke depan. Amsyar bertindak mengambil tugas ayah menjadi imam solat Maghrib kami. Ayah memilih untuk qamat. Air mata aku tidak semena-mena menitis. Buat pertama kalinya dalam hidup aku, aku mendengar suara ayah melagukan azan.

Aku berpaling memandang umi di sebelah bila terasa belakang tubuh digosok-gosok perlahan. Umi perasan yang aku sedang menangis. Dia mengangguk lalu tersenyum, seolah-olah sedang memberitahu yang ayah aku juga dalam proses hijrah. Sama seperti aku.

"Niat makmum ya Qilah," Umi mengingatkan. Aku tersenyum lalu mengangguk, tanda terima kasih. Ya. Aku perlu sentiasa diingatkan. Perkara begini jarang berlaku dalam hidup aku. Solat berjemaah di rumah. Diimamkan oleh seorang abang. Di kananku seorang ibu dengan ayah di hadapan. Allahuakbar. Perasaan halus yang sukar kugambarkan. Tenang, bersyukur dan ... tersentuh dengan kasih sayang Allah.

Sepanjang solat, air mata tidak putus mengalir. Cuba kukawal agar tubuh tidak bergegar. Takut jika solatku batal dengan lebih daripada tiga pergerakan. Bacaan surah Al-Fatihah yang dialunkan oleh Amsyar buatkan hatiku bergetar. Aku cuba mengingat maknanya. Dan semakin kuhayati ia, semakin rasa sebak menyentap jiwa.

Rapuh sungguh hati aku sejak mengenal kasih sayang Allah.

"Assalammualaikumwarahmatullah ..."

Alhamdulillah. Selesai sudah solat Maghrib berjemaah. Dua puluh tujuh pahala tertulis sudah. Umi hulurkan tisu padaku. Bertambah laju lagi cucuran air mata. Umi menyeka air mata di pipi kananku dengan jari-jari lembut seorang ibu.

Allahuakbar! Sudah lama aku rindukan sentuhan seorang ibu. Alangkah baiknya jika mama juga ada bersama dalam solat berjemaah ini. Aku menangis lagi. Aku rindukan mama pula!

"Ya Allah ya Tuhan kami, ampunilah segala dosa kami dan doa kedua ibubapa kami. Serta kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihani kami sewaktu kami masih kecil. Ya Allah ya Tuhan kami, ampunkanlah segala dosa kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat sama ada yang masih hidup atau yang sudah mati."

Bacaan doa Amsyar buat hati aku lebih tersentuh. Ya Allah, ampuni dosa mama. Kembalikan dia pada agama yang indah ini. Mama ... pulanglah. Qilah rindukan mama. Hati aku terus merintih. Suara Amsyar yang mengalunkan doa itu berbunyi sedih dan lirih. Sedangkan doa itu sudah sering kudengar setiap kali aku mengikuti pengajian di masjid kampus. Tetapi, malam ini baru aku dapat menikmatinya. Merasa hingga ke segenap ceruk hati.

"Ya Allah ya Tuhan kami, janganlah kiranya KAU pusingkan hati-hati kami sesudah ENGKAU kurniakan kepada kami petunjuk; anugerahkanlah kepada kami akan rahmat kerana sesungguhnya ENGKAU Tuhan yang Maha Pengurnia."

Manik jernih berterabur membasahi muka. Setiap lafaz doa dari mulut Amsyar buat aku sentap. Semuanya kena pada diriku yang baru menerima hidayah Allah. Ya, jangan pusingkan hati yang telah KAU letakkan di tempat yang indah ini ya Allah. Jangan kembalikan aku pada masa silamku. Masa jahilku.

"Ya Allah, bantulah kami supaya dapat selalu menyebut nama-Mu, mengingati nama-Mu, bersyukur kepada-Mu dan membaguskan ibadat kami terhadap-Mu."

Amin. Amin ya Allah. Aku mengaminkan doa Amsyar dalam hati. Ya, aku sangat perlukan itu. Sangat perlukan bantuan-Mu ya Allah agar aku sentiasa ingat pada-Mu. Tidak lupa menyebut nama-Mu dalam sedar dalam lekaku. Tolong aku ya Allah. Ingatkan aku selalu.

Aku menyambung doa-doa yang dilafaz Amsyar. Tubuhku jadi semakin lemah dengan tangisan yang tidak berkesudahan. Tidak putus air mataku dari mengalir. Suara Amsyar semakin hilang dari pendengaran. Pandangku juga semakin dikaburi dengan air jernih yang sudah tidak tertampung oleh kolam air mata. Dan dalam keasyikan doa, aku tiba-tiba ... hilang.

***

AKU terjaga dari lena yang entah berapa lama. Dan, aku lihat wanita bernama umi itu tidur di atas kerusi dengan kepalanya di atas katil aku. Sudah berapa lamakah dia berkeadaan begini? Tidak sakitkah pinggangnya tidur hanya membongkok begitu?

Kenapa? Kenapa Ya Allah? Kenapa dia jaga aku sehingga begitu sekali? Sedangkan aku ini hanyalah seorang anak tiri. Anak tiri yang pernah cuba membuang dia. Yang kurang ajar pada kali pertama bersua muka. Kenapa dengan wanita ini? Siapa dia sehingga dia sanggup menyusahkan diri kerana aku?

Aku tidak percaya dia ini ibu tiri. Dia terlalu baik untuk bergelar ibu tiri. Tanganku terapung cuba menyentuh kepalanya. Kepala yang tidak bertudung. Rambutnya sudah nampak uban sehelai dua. Kasihannya umi ...

"Umi ..." panggilku teragak-agak. Sukar untuk aku melafaz kata 'umi'. Mengiktiraf dia sebagai seorang ibu.

Aku sentuh bahunya. Kugoyang-goyangkan. "Umi ..." panggilku lagi.

"Qilah? Qilah dah sedar?" Terpisat-pisat dia.

"Kenapa umi tidur di sini?"

"Umi takut kalau Qilah tersedar dan perlukan apa-apa tapi tiada siapa di sisi Qilah. Lagipun Qilah tak sempat solat Isya' lagi."

"Oh, ya!" Aku terus turun dari katil. "Umi pergilah tidur di bilik umi. Qilah nak solat Isya'. Inshaallah, Qilah tak apa-apa." Aku sentuh bahunya. Teringat pula bagaimana Amsyar sentuh bahu ayah. Lembut dan penuh rasa hormat. Aku belajar meniru cara Amsyar menyantuni orang tuaku.

"Ya. Qilah solat dulu, nanti umi datang semula. Umi nak solat Tahajjud di bilik Qilah." Dia berlalu keluar. Aku melongo seketika sebelum tersedar yang Isya' sudah jauh berlalu. Aku capai getah ikat rambutku lalu kuikat satu. Kakiku bawa ke bilik air.

Sebaik selesai solat Isya', umi sudah sedia untuk bersolat di bilikku.

"Qilah solat sekali?" Ajaknya.

"Tak biasa," balasku teragak-agak.

"Solat Tahajud tak susah. Umi ajarkan ya? Yang berbeza hanya lafaz niat. Yang lain seperti solat biasa."

Aku mengangguk. Solat fardhu pun aku kelam-kabut, tiba-tiba diajar pula solat sunat yang memang jauh dari kelaziman. Tetapi aku ikutkan. Dia ikhlas dalam mengajarkan aku sesuatu yang aku perlu.

"Umi ..." panggilku padanya. Dia yang sedang melipat telekung berpaling.

"Ya?"

"Kenapa baik sangat pada Qilah?"

Dia tersenyum. Mungkin sudah menjangkakan soalan ini.

"Qilah dah jadi anak umi sebaik umi bernikah dengan ayah Qilah. Anak itu satu hadiah dan juga amanah daripada Allah. Umi tak pernah fikir kenapa perlu umi membenci Qilah."

Berkerut dahiku. Aku tidak rasa itu jawapan yang aku inginkan. Aku ingin dengar lebih lagi. Aku rasa dia seolah-olah ibuku yang sebenar. Mungkin pada kehidupan masa silamku. Ah! Apa yang aku mengarut ini?

"Qilah bukan darah daging umi. Dan awal-awal lagi Qilah dah cuba 'buang' umi dan abang Am dari hidup Qilah. Qilah tak suka ada orang rampas ayah daripada Qilah. Tapi umi dan abang Am terus layan Qilah dengan baik. Kenapa?" Soalku lagi. Aku inginkan suatu jawapan yang pasti.

"Umi minta maaf kalau itu yang Qilah rasa. Umi tak berniat nak rampas ayah Qilah. Umi berkahwin atas rasa tanggungjawab. Ayah Qilah ceritakan masalahnya pada umi. Dia kata, Qilah tertekan sebab tiada ibu yang jaga Qilah selepas mama Qilah pergi. Dan ayah Qilah tidak mahu kehilangan Qilah. Dia sibuk, dan dia harap ada seseorang yang boleh tolong dia jaga Qilah. Sayang Qilah. Kebetulan pula, umi ini ibu tunggal. Kenalan lama dia. Dan dia pilih umi sebab ..."

Aku memanggung kepala. Memandang pada umi yang tiba-tiba terhenti bicaranya.

"... sebab umi pernah jaga Qilah suatu masa dahulu."

Langsung aku genggam tangannya. Besar mataku memandang dia. Takkanlah aku pernah punya masa lalu? Takkanlah aku ini seperti watak yang pernah mati dan dihidupkan kembali merentasi waktu? Itu sesuatu yang mustahil. Tiada perkara seumpama itu dalam Islam. Tiada kehidupan masa silam berbeza zaman.

Aku perlukan penjelasan.

Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Norsamila Samsudin