Home Novel Islamik The Missing Puzzles
The Missing Puzzles
Norsamila Samsudin
9/7/2019 18:53:52
3,582
Kategori: Novel
Genre: Islamik
Bab 18

"KAWAN abang Am semalam, balik pukul berapa umi?" Aku beranikan diri bertanya pada umi sewaktu kami sama-sama menyediakan makanan tengah hari. Sengaja aku gunakan perkataan 'kawan abang Am'. Tidak mahu menyebut nama Zafril. Seolah-olah nanti, aku ini kenal rapat dengan Zafril.

"Sekejap je Qilah. Setengah jam selepas Qilah naik tu, dia minum seteguk dua terus dia minta diri."

"Dia ada tanya pasal Qilah ke, umi?"

"Ada."

Aku menanti lagi. Kalau-kalau umi nak bercerita selanjutnya. Tetapi umi hanya meneruskan bacaan selawat sambil tangannya meramas bayam merah dalam tapis. Yang dibasuh dengan air lalu sebelum direbus.

"Dia beritahu ke yang dia kenal Qilah?"

Umi tersenyum.

Aku jadi lebih tidak kena.

"Ya. Abang dan ayah tanya juga macam mana dia kenal Qilah, dan dia pun bercerita. Dia minta maaf sebab dia nakal dan curi baca diari Qilah. Dia nak ke Mesir, sambung belajar di sana dan bekerja di sana."

Aku hanya memandang pada umi yang tenang bercerita.

"Qilah tinggal satu semester lagi kan?"

Aku mengangguk. "Kenapa umi?"

"Lepas ni, Qilah ada apa-apa perancangan ke?"

"Belum terfikir lagi. Qilah nak bincang dengan ayah dulu. Qilah ingat nak sambung lagi."

"Oh, macam tu. Baiklah. Malam ni Qilah bincang dengan ayah, ya?"

Aku rasa semakin pelik.

***

MALAM itu selepas solat Maghrib di bilik, aku membaca Al-Quran. Hari demi hari, semakin aku membaca, semakin aku sudah kenal hukum-hukumnya. Selain Ashikin dan Airin, umi juga banyak membantu aku. Menyemak bacaan aku.

Hati sudah semakin tenang. Kak Shikin kata, kalau baca hari-hari walaupun hanya satu muka atau paling tidak dari ain ke ain, pun sudah mencukupi. Tetapi kalau ada ruang masa, selepas tiap-tiap solat fardhu itu lebih bagus.

"Bukan apa Qilah ... Al-Quran ini kalau ditinggal, bila nak mula semula akan rasa berat. Tetapi kalau sudah diamalkan membaca pada waktu-waktu tertentu, akan jadi kebiasaan. Yang mana bila ditinggal, tidak sempat dibuat, perasaan akan rasa janggal. Akan rasa ada yang kurang. Hidup pun rasa tidak tenteram."

Kata-kata kak Shikin aku pegang. Aku inginkan 'rasa' itu. Aku tidak mahu tinggalkan Al-Quran. Aku takut bila sekali aku tinggalkan, aku susah untuk memulakannya kembali. Ya Allah, semoga aku istiqamah dengan amalan yang kecil ini.

Aku duduk membilang biji tasbih dari kaca jernih yang berkilau. Hadiah daripada kak Shikin. Katanya, dia dapat daripada seorang rakan yang pulang dari belajar di Mesir. Sewaktu menerima tasbih ini, ia diletakkan di dalam kotak putih jernih dengan di alas dengan baldu hijau zamrud.

"Kak ... betul ke nak bagi pada Qilah ni?" Aku bertanya kerana tasbih ini terlalu istimewa. Lagi pula, ia hadiah khas untuk kak Shikin. Jauh datangnya. Tentu yang beri pada kak Shikin juga seorang yang istimewa.

"Betul. Ambillah. Orang kata, kalau kita nak bagi hadiah pada seseorang, bagilah sesuatu yang paling kita sayang."

"Tapi, Qilah tak ada apa nak bagi pada akak lagi."

"Tak apa. Cuma satu ..." Ashikin tersenyum.

"Apa dia kak? Cakaplah. Kalau-kalau boleh Qilah tunaikan."

"Jangan lupa titipkan nama akak dalam setiap doa dan zikir Qilah. Cukuplah dengan doa; akak tak perlukan apa-apa lagi."

Azan Isya' yang berkumandang mengembalikan aku kepada zikir yang bercampur dengan khayalan. Astaghfirrullahal'azim. Dalam menyebut nama Allah pun masih boleh disesatkan syaitan.

Aku cabut telekung di tubuh. Aku ingin berhadas agar lebih yakin dan khusyu' dalam solat. Berbunyi remeh. Tetapi jika hadas tertahan, kekhusyu'kan dalam solat juga terhalang. Wudhu' juga main peranan. Jika bermula dengan wudhu' sudah diambil secara lewa dan bersahaja, bagaimana dengan solat? Pasti terjejas.

Kata umi, Islam itu mudah tetapi jangan dipermudahkan.

***

TURUN dari bilik, aku lihat umi sudah siap menghidang. Cepatnya.

"Maaf umi. Qilah tunggu Isya' sekali tadi."

"Tak apa. Umi 'cuti' Qilah mengaji sekali, ya?"

Aku menjawab dengan senyuman. Tangan mencapai kain lap di atas meja. Pinggan-pinggan yang umi dah keluarkan dari kabinet dan sudah dibasuh, aku lap.

"Ayah dah balik ke umi?" Aku menjengah ke pintu. Seperti ada kereta di dalam garaj. Tidak pasti pula sama ada kereta Amsyar atau kereta ayah.

"Belum. Sekejap lagi agaknya. Abang Am je yang dah balik."

Aku mengerling ke jam di dinding ruang makan. Lagi lima minit pukul sembilan suku. Entah jam berapa Amsyar pulang dari kerja. Dalam aku bertanya-tanya, Amsyar muncul. Dengan memakai t-shirt tanpa kolar dan hanya berkain pelikat, dia menuruni tangga. Matanya melihat anak-anak tangga. Songkok di kepala masih elok terletak.

Baru lepas solat Isya' juga agaknya. Aku berbicara sendiri.

"Ayah belum balik?" Amsyar bertanya. Aku terpinga-pinga. Dia bertanya pada aku atau umi? Aku pandang pada umi.

"Am tanya apa?" Umi meletakkan kuah lemak di atas meja. Amsyar memandang pada aku, sebelum memandang pula pada umi.

"Ayah ... Am tanya, ayah belum balik lagi ke ..." suaranya mengendur.

"Oh, belum. Umi tak jelas sangat tadi. Leka menyenduk kuah ni."

"Tak apa umi."

Aku dibalut rasa bersalah. Kenapa tidak aku jawab sahaja tadi? Tidak kisahlah kalau soalan itu ditujukan pada umi pun. Umi sibuk, kan? Dan aku yang paling hampir. Hmm ...

"Qilah, dah siap lap pinggan?" Suara umi buat aku tersedar. Dan mata aku menangkap mata Amsyar yang sedari tadi memandang.

"Err ... dah."

"Kalau dah ... boleh tolong umi ..." kata-kata umi terhenti bila telefon bimbitnya tiba-tiba berbunyi. "Sekejap ya, Qilah." Umi bergegas menyambut panggilan.

"Abang Am balik pukul berapa tadi?" Aku menyapa Amsyar. Takkanlah nak biarkan kesunyian menguasai kami bila sudah berdepan begini.

"Maghrib." Jawabnya sepatah.

"Oh." Dan aku sudah tidak tahu nak tanya apa lagi. Sepatah balasannya mematikan seribu soalan dalam minda aku. Amsyar tiba-tiba bersikap dingin. Tiada lagi teguran. Tiada lagi gurauan. Dan, tiada lagi kedengaran dia memanggil aku, 'dik'.

Ke mana semua itu hilang? Dan, kenapa?

"Ayah ada kecemasan. Ayah balik lewat. Kita makan dululah."

"Umi nak minta Qilah tolong apa tadi?" Aku bertanya bila lihat umi seperti lupa pada kata-katanya yang tergantung tadi.

"Oh, ya! Nak minta Qilah tolong sendukkan nasi dari periuk."

"Yalah. Qilah pun tak perasan nasi belum disenduk." Aku ketawa kecil. Umi juga. Tetapi Amsyar hanya beriak biasa. Aku melangkah ke dapur. Melepaskan helaan yang menghimpit dada. Terasa dengan sikap Amsyar.

Kalau dulu sebelum aku berubah, dia bersikap begini ... aku tidak kisah. Aku faham. Tetapi sekarang aku sudah berubah. Aku tutup aurat depan dia walaupun rasa sangat tidak selesa. Berkuap rasa kepala bila malam-malam pun kena bertutup dari atas sampai bawah.

Tetapi aku usaha juga. Aku nak berubah. Dia tidak nampakkah? Kenapa perlu melayan aku endah tak endah sahaja? Dosa apakah lagi yang aku lakukan?

"Qilah? Dah senduk nasi?" Ah! Aku mengelamun lagi. Cepat aku menyenduk nasi ke dalam bekas kaca yang sudah tersedia. Aku bawa ke depan. Aku sendukkan ke pinggan umi.

"Cukup Qilah. Terima kasih." Umi yang duduk di sebelahku tersenyum.

Amsyar. Aku lihat dia duduk memandang lauk pauk yang terhidang.

"Abang Am, hulur pinggan. Biar Qilah sendukkan." Aku bersuara juga. Biarlah. Aku tetap hormat dia sebagai abang. Sebagai anak umi. Sebagai anak ayah.

"Tak apa. Abang senduk sendiri." Dia mengunjurkan tangannya. Meminta senduk nasi. Aku hulurkan dan aku menanti. Nasiku sendiri belum bersenduk. Dan bila dia selesai, aku hulur tangan meminta senduk. Tetapi dia sudah pun meletakkannya di dalam bekas nasi.

Oh, mungkin ingin mengelak dari bersentuh tangan. Fikirku memujuk hati dengan sikap dingin Amsyar. Aku senduk nasi. Sedikit sahaja. Hanya hujung senduk. Seleraku sudah lama mati sejak Amsyar melayan aku seperti wujud tak wujud sahaja layaknya.

"Sikit sangat Qilah." Tegur umi.

"Tak ada selera umi," balasku sambil melempar senyum.

Amsyar mula menadah tangan. Umi juga. Aku mengikut. Amsyar melafaz doa dan kami mengaminkan. Lauk yang umi masak semuanya sedap. Masak lemak udang kacang panjang, siakap goreng, sotong celup tepung dan telur rebus curah sos.

"Maaf." Spontan kata-kata itu keluar dari mulutku bila tanpa sengaja tangan aku dan Amsyar hampir berlaga. Kami sama-sama ingin mencapai senduk untuk masak lemak udang. Umi menggeleng.

"Abang Am ambillah dulu." Aku melepaskan senduk. Dia tanpa sebarang bicara terus mencapai dan menceduk kuah gulai.

"Umi ..." Aku mempelawa umi bila Amsyar sudah melepaskan senduk masak lemak udang.

"Tak apa Qilah. Qilah ambil dulu."

Aku patuh pada kehendak umi. Kuceduk kuah lemak udang sedikit ke dalam pinggan nasi dan senduknya kuserah pada umi. Umi tersenyum.

Kami makan dalam sunyi. Hati aku rasa tidak sedap. Ada perkara yang aku rasa disembunyikan daripada pengetahuanku. Kenapalah ayah pulang lewat? Kenapalah waktu-waktu aku perlukan ayah, ada pula kecemasan? Esok-esok tidak bolehkah perkara yang cemas itu berlaku? Fikirku. Nafas kuhela perlahan.

Jam 11 malam. Ayah masih belum pulang. Sudah dua kali aku turun ke bawah, menunggu ayah. Tetapi bayang keretanya pun masih tiada. Aku duduk di atas sofa sambil membaca buku tentang aurat dalam solat. Dan tanpa sedar, aku terlena.

"Qilah. Qilah."

Terkebil-kebil aku buka mata. "Ayah dah balik?" Tudung yang senget aku betulkan. Figura manusia yang berdiri di depan aku, aku pandang lama. Dia menggeleng.

Ahmad Amsyar!

"Kenapa tidur kat sini?" tanyanya.

"Qilah tunggu ayah. Ayah dah balik?" Tanyaku.

"Ayah tidur di hospital. Penat sangat katanya untuk drive balik. Pergi naik ke bilik Qilah. Bahayalah Qilah tidur kat ruang tamu ni."

"Sekarang dah pukul berapa?"

"Pukul dua pagi."

"Abang buat apa kat bawah ni?"

"Haus. Nak ambil air. Dah, pergi masuk bilik."

Aku mengangguk. Masih mamai lagi. Terhuyung-hayang aku berjalan, memanjat tangga. Adakalanya aku rasa mata aku terpejam.

"Aqilah."

Suara Amsyar buat aku tersedar.

"Jalan elok-elok. Nanti jatuh tangga. Bukan abang boleh dukung Qilah pun."

Ayat akhir Amsyar menyapa telinga seperti angin lalu. Tidak berapa jelas di pendengaran aku.

Sampai ke bilik aku cabut tudung dan terus baring di katil. Tidak sedar apa.

Previous: Bab 17
Next: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Norsamila Samsudin