Home Novel Islamik The Missing Puzzles
The Missing Puzzles
Norsamila Samsudin
9/7/2019 18:53:52
2,505
Kategori: Novel
Genre: Islamik
Bab 5

PAGI itu aku bangun menunaikan solat Subuh. Ya. Aku sudah mula untuk mencari DIA. Tetapi jangan terkejut bila aku solat Subuh tanpa baca doa Qunut. Aku masih tidak mampu menghafalnya lagi. Aku tidak peduli. Aku solat juga. Kalau nak tunggu aku yang tak pandai mengaji ini hafal doa Qunut sepenuhnya baru boleh solat Subuh, memang aku tidak akan bersolat Subuhlah jawabnya.

Selepas solat, aku masih lagi duduk bersila di atas sejadah. Aku capai senaskhah Al-Quran. Tak. Aku tak baca. Aku hanya lekapkan di dada. Aku pejamkan mata dan nafas kutarik dalam dan perlahan. Tiba-tiba rasa sayu menerjah. Titis air jernih mencurah. Ya Allah, kenapa rasa sunyi sangat ni?

Aku menadah tangan, berdoa meminta ampun pada Allah. Rasa banyak sangat dosa pada Allah yang dah menciptakan aku dengan serba sempurna. Minta agar Allah lembutkan hati batu aku. Aku sayang mama, aku sayang ayah.

Tipu kalau aku kata aku tidak punya langsung perasaan itu. Cuma, perlakuan aku tidak seiring dengan perasaan sebenar. Sering bertingkah. Sering berbalah. Tapi tidak apalah. Kata Ashikin, cari Allah. Tiada pertolongan yang lebih baik, ikhlas berbanding pertolongan dan kasih sayang DIA.

Aku kemaskan telekung dan sejadah. Al-Quran kucium lalu kusimpan di atas meja tulis. Tidak pandai baca sangat, dapat pandang pun jadilah. Sekurang-kurangnya aku tahu, aku ada agama, ada kitab suci yang isi di dalamnya masih belum kuteroka.

Dengan hanya berseluar sukan paras lutut dan t-shirt lengan pendek, aku berlari turun. Aku dengar ada bunyi di dapur. Mungkin ibu tiriku sedang menyiapkan sarapan. Aku tidak mahu ambil tahu.

Pintu besar di ruang tamu kubuka. Matahari sudah mengintai keluar. Cuaca terang, tenang dan nyaman! Angin pagi yang begitu segar. Kusedut dalam-dalam seolah-olah ini kali pertama aku dapat bernafas dan menghirup udara pagi.

Aku duduk di muka pintu sambil menyarung kasut jogging berwarna hitam, berjenama Nike. Kemudian aku bangun lalu membuat sedikit regangan badan. Memusing-musingkan pinggang dan bersedia untuk berlari ke taman.

"Qilah nak jogging kat taman depan tu, ke?"

Aku berpaling. Dia - Ahmad Amsyar, abang tiriku! Berani dia tegur aku? Aku hanya diam tidak membalas.

"Tak ada seluar yang lebih panjang?" Masih bertanya walau soalan pertama tidak kubalas.

Aku teruskan membuat satu dua regangan tanpa menghiraukan soalan Amsyar, sebelum berlari anak ke pagar besar. Meninggalkan dia di muka pintu.

***

SUNYI. Entah ke mana semua orang pergi. Muka yang berpeluh-peluh kukesat dengan tuala kecil yang tersangkut di bahu. Aku melangkah masuk ke ruang tamu sambil mata liar memerhati sekeliling. Hmm ... sama macam sebelum ini.

Kaki melangkah ke dapur sebelum mata menangkap tudung saji besar di atas meja. Oh, aku lupa yang ayah sudah ada isteri. Pastinya sudah tersedia sarapan pagi. Dulu, kalau aku balik berhujung minggu, memang atas meja makan itu kosong.

Biasanya aku akan makan kepingan jagung dengan susu segar. Itu stok wajib yang ayah sediakan. Dan, dalam peti sejuk beku juga selalu ada pizza segera. Kalau lapar, aku hanya perlu masukkan dalam ketuhar dan makan sekadar mengalas perut.

Tengah hari aku hanya perlu buat pesanan sama ada ke Pizza Hut atau KFC Delivery. Istilah kebulur memang tidak ada walaupun tanpa mama atau seseorang yang dipanggil ibu. Nak masak sendiri? Memang terbakar dapur tu nanti!

Wah! Ada nasi lemak, telur rebus ... telur dadar pun ada. timun Jepun, sambal sotong kering. Baunya ... Ah! Buat perut aku menyanyi.

Aku campak tudung saji ke tepi. Kerusi kutarik dan pinggan kosong yang memang tersedia di atas meja kucapai. Aku senduk nasi lemak ke dalam pinggan dan kububuh sambal sotong kering kegemaran. Aku angkat pinggan dan letak di hadapan hidung. Wanginya bau sambal sotong ni. Emm ... kesukaan aku.

Bismillah dan aku mengunyah perlahan sambil mata terpejam. Sedapnya ...

Aku suap lagi dan kunyah. Memang nikmat bila pulang ke rumah dan ada makanan kesukaan terhidang. Sedar tak sedar, habis nasi lemak sambal sotong tiga pinggan. Aku tersandar kekenyangan. Aku tersenyum. Sia-sia sahaja nampaknya larian aku di taman tadi. Tiga pinggan nasi lemak menambah kembali lemak yang terbuang.

Pinggan kotor aku bawa ke dapur, kucuci. Aku tak malas. Memang dah biasa buat semua ini sendiri. Tetapi semalam sengaja aku buat perangai.

Mana manusia-manusia dalam rumah ni? Mata dan telingaku terbuka. Cuba mengesan kelibat-kelibat manusia yang sepatutnya ada. Tetapi tiada tanda, langsung!

Aku berlari-lari anak memanjat tangga. Dan, cepat mata aku menangkap pintu bilik Amsyar yang sedikit terbuka. Hati dicuit-cuit ingin menjengah apa yang ada di dalam bilik anak bujang ayah. Sebelum ini bilik itu memang kosong. Hanya disediakan sebagai bilik tetamu. Tetapi sekarang sudah jadi bilik Amsyar. Tentu susun atur di dalamnya juga sudah bertukar.

Pintu bilik Amsyar yang renggang itu kutolak perlahan. Tuan punya bilik langsung tidak kelihatan. Wah, boleh tahan kemas bilik orang bujang. Peminat warna biru putih, ya! Aku duduk di atas katil Amsyar yang alas cadarnya berwarna biru muda.

Tiada corak gila atau gambar yang memeningkan kepala. Hanya garisan-garisan halus yang dibentuk dari benang berwarna putih. Lembut dan menenangkan mata yang memandang. Dinding bilik berona biru tua kontra dengan warna perabut yang serba putih buat bilik ini nampak tenang.

Telingaku menangkap bunyi air mencurah. Oh, sedang mandi rupanya abang tiriku ini. Aku tersenyum. Tidak rasa hendak keluar dari sini.

Bilik Amsyar berbau wangi. Tidak seperti bilik orang bujang yang sering kugambarkan. Yang berterabur, dan berbau hapak. Bau badan lelaki yang tidak boleh nak kuhadap. Menggelikan!

Aku bayangkan bila aku melangkah masuk ke bilik Amsyar, aku akan disajikan dengan kain baju yang berlonggok dan bersepah di serata tempat. Tetapi ternyata semua bayangan aku itu salah. Bilik Amsyar sangat bersih, kemas dan wangi. Mataku masih lagi liar memerhati di sekeliling bilik. Hati rasa digeletek untuk melihat pula apa yang ada di dalam almari putih milik Amsyar.

Aku bangun, lalu mendekati almari berpintu gelangsar. Kutolak. Kemas, tersusun baju-baju di lipatan dan juga di gantungan. Aku membongkok. Laci pertama kutarik. Sapu tangan yang terlipat cantik. Dia susun sendiri atau umi dia? Aku tersenyum. Kututup laci pertama.

Tangan terasa gatal untuk menarik laci kedua. Hmm ... stokin yang siap dipasang-pasangkan dengan susunan yang menarik. Dah macam bentuk bunga ros cara Amsyar menggulung dan meletakkan stokin. Kututup kembali laci berisi stokin Amsyar.

Laci ketiga, iaitu laci terakhir. Dah alang-alang tengok, biar tengok semua. Sampai habis. Dan, sebaik laci terakhir itu terbuka, mata aku terbeliak. Alamak, seluar dalam! Cepat aku tutup. Ish, maaf abang tiri. Privasi kau sudah aku cerobohi. Aku tersenyum seorang. Eh, macam seronok pula duduk lama-lama dalam bilik Amsyar.

Dan, otak mula menyalurkan sesuatu yang nakal. Senyumanku makin lebar. Amsyar belum keluar dari bilik air. Aku pandang sekeliling. Aku nampak tong sampah tepi meja tulis Amsyar. Aku jengah ke dalam. Kosong. Aku cabut plastik sampah dari bakulnya dan semua seluar dalam Amsyar kukaut dan kusumbat ke dalam plastik sampah berwarna biru itu. Aku gulung dan kucampak ke bawah katil.

Tiba-tiba aku sudah tidak mendengar bunyi air lagi. Pili air sudah dimatikan. Cepat aku bergegas duduk di meja tulis Amsyar. Pura-pura membaca. Ingin sekali aku melihat riak dia bila nampak aku di sini. Aku menanti. Mata tepat memandang ke pintu bilik air yang bila-bila masa sahaja akan terbuka.

Dan ...

"Hai bro!" sapaku sebaik aku melihat Amsyar keluar dari bilik air dengan hanya bertuala.

Dia terkaku sebelum tersedar dengan kehadiran aku dan dengan keadaan tubuhnya itu, cepat dia berlari masuk semula ke dalam bilik air dan hanya menjengahkan kepala di balik pintu.

"Kau buat apa dalam bilik aku?!" jeritnya. Buat aku ketawa.

Hmm ... pandai marah juga. Ingatkan tenang sepanjang masa. Aku menggeleng dan tersenyum. Lucu dengan keadaan Amsyar.

"Jangan marah. Kau patut bersyukur aku datang melawat bilik kau. Aku keluar dulu, abang," bicaraku sambil tersenyum memandang kepala dia yang terjengul di balik pintu bilik air. Kenapa dia perlu malu dengan aku? Dia lelaki, kan. Aku ketawa kecil, terhibur dengan sikap Amsyar yang malu pada aku. Eh, macam mana dengan seluar kecik dia yang aku sorok? Dia nak pakai apa?

Aku ketawa sambil melangkah keluar dari bilik Amsyar tanpa ada sedikit pun rasa bersalah.

***

ESOKNYA, hanya jelingan yang Amsyar lemparkan padaku di meja makan. Hmm ... masih marah lagi. Aku buat selamba seolah-olah tidak nampak jelingan amaran dan pasti terselit rasa bengang. Hati mendesak agar aku buat gila bertanya, 'Abang turun makan ni pakai seluar dalam tak?' Tetapi bila melihat kelibat ayah dan ibu tiri yang ada bersama, aku pendamkan sahaja. Dalam hati, aku ketawa. Puas.

"Am, nak ikut ke ayah hantar Qilah? Boleh tengok-tengok jalan ke kolej. Mana tahu satu hari nanti ayah nak minta tolong Am jemput dan hantar Qilah ..."

Kata-kata ayah buat aku hampir tercekik roti bakar. Dan aku lihat Amsyar tersenyum, sinis sebelum menjawab soalan ayah, "Inshaallah, boleh ayah. Am boleh tolong hantar Qilah. Tapi ... nak tengok jalan tu, lain kali ya, ayah. Am ada urusan pagi ni."

Huh, baiknya. Aku mengerling pada ayah.

"Terima kasih, Am," wajah ayah nampak bahagia. Ditepuk-tepuk mesra bahu Amsyar.

Aku yang memandang, rasa terbakar. Roti bakar ditangan rasa hangit, tengit! Aku letak roti bakar yang tinggal lagi segigit di pinggan, kasar! Aku layangkan pandangan berapi ke mata Amsyar. Tak payah kau nak senyum-senyumlah bila kau dah dapat tarik perhatian ayah. Darah dalam tubuh aku mengalir darah dia. Kau ada?

"Dah ke, Qilah?"

Teguran ayah mematikan api pandangan aku pada Amsyar.

"Eh, awal lagi ni, bang. Biarlah Qilah makan puas-puas dulu. Bukan selalu dia balik."

Aku memusing bola mata hitamku ke atas. Mulut manis macam ladoo. Cukup-cukuplah tunjuk rasa prihatin pada aku. Tak penat ke nak berlakon?

"Dah!" kasar bicaraku pada ayah. Beg sandang aku capai, lantas terus bangun sambil buat muka menyampah. Ayah menghela nafas melihat aku yang buat perangai. Baguslah kalau dia faham. Aku terus melangkah ke pintu besar.

"Salam umi dulu, Qilah."

Langkah aku terhenti. Aku terdiam, membekukan badan. Aku lihat mata Amsyar menghantar ancaman. Aku tidak kisahlah kau nak lemparkan pandangan tahap pedang tujuh keturunan pun, ingat aku hairan? Tetapi riak wajah ibu tiri yang tenang dan sabar itu buat aku melangkah malas menghampiri dia. Tanganku hulur tanpa rasa.

Aku bersalam dan menunduk, sekadar menyentuh hidung di tangan ibu tiriku. Terasa kepala diusap mesra. Cepat aku tarik tangan aku.

"Balik selalu Qilah. Nanti umi masak lauk yang Qilah suka."

Huh, kau tahu ke apa lauk yang aku suka?

Aku terus keluar dari rumah. Dan aku dapat melihat dengan ekor mataku, yang Amsyar masih memandang aku dengan tajam. Roti bakar di tangannya disuap ke mulut, dikunyah dengan mata tetap tidak berkalih.

Kenapa? Kau masih tidak puas hati lagi ke sebab aku sorok seluar dalam kau?

Dan, tiba-tiba aku terfikir sesuatu yang nakal. Aku menoleh kembali ke arah Amsyar. Dia masih memandang aku. Aku mengoyak senyum yang panjang pada Amsyar lalu satu kenyitan dari mata kanan kulayangkan. Dan aku lihat mukanya berkerut. Terkejut. Cepat dia menunduk mengelak dari memandang pada aku.

Padan muka! Aku kembali ketawa, bahagia.

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Norsamila Samsudin