Home Novel Fantasi Chimera: Naga Terakhir
Chimera: Naga Terakhir
Hasif Rayyan
2/7/2018 15:48:14
16,408
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Bab 2

Dari tayangan memori…


“SERANG!” 


Letupan meledak bertubi-tubi. Setiap kali dentuman kedengaran, tubuhnya serasa ditolak sesuatu yang berat. Ada bola besi panas yang sedang menembusi tubuhnya. Dia cuba melawan, namun kudratnya terasa terlalu tidak berdaya. Sekadar mampu mengaum sakit. 


Perlahan, tubuh gergasinya tersungkur ke tanah sehingga menggegar bumi. Dunia kelihatan terbalik. Dalam ketika itu, kelihatan segerombolan makhluk haiwan humanoid yang kecil meluru ke arahnya. 


Matanya longlai bergerak ke kiri dan kanan. Dan dia dapati dua ekor naga sepertinya sedang terkulai tidak bernyawa. Ada beberapa lubang besar pada perut dengan cecair pekat merah mengalir tak berhenti. 


Melihat keadaan mereka, rasa sedih dan takut menguasai pemikirannya. Sedih kerana melihat rakannya bernasib sama seperti dia. Takut kerana mati bakal menjemputnya. Dengan cara yang tidak terjangka akalnya.


Padahal mereka spesies Chimera yang kebal dan kolosal. Takkan terancam oleh makhluk haiwan humanoid tersebut yang sekadar bersaiz mikro. Tetapi kali ini, puaknya dikalahkan oleh mereka. Ketamadunan akal mereka memusnahkan jurang perbezaan kekuatan yang ketara selama ini. 


Bukan puaknya yang bersalah. Mereka yang mulakan dahulu. Mereka yang musnahkan tempat tinggalnya. Kononnya demi pembangunan. Tetapi, mereka bunuh juga ahli keluarganya. Dendam harus dibalas! Namun dia dan dua rakannya tetap kalah. Kalau bukan kerana gara-gara…


Lamunannya mati. Telinganya samar-samar menangkap bunyi tapak kaki yang berjalan menghampirinya. Dia melihat sang lelaki singa bersurai pacak nipis, lengkap berpakaian perisai keemasan, memandang dia dengan mata yang setajam bilah lembing pada tangannya. 


“Tuanku!” Kedengaran suara gembira dari bala tenteranya berpadu, meraikan keberadaannya di situ. 


“Ini pengakhiran buat kewujudan kau, Chimera naga!” Suara raja singa itu bergema lantang. Lembing di tangan diacukan pada tekak sang naga. Ia memerhati lemah pada tangan milik raja singa itu.


Kemudian, ketua perang itu bersuara lagi, kali ini dengan nada dingin, “Dengan lenyapnya kau, maka keamanan akan jadi milik kami!” 


Pandangannya gelap usai bunyi lembing menghunus kedengaran. 


* * * * * 


“WRAHHHHH!!!!”


Ronar segera menutup telinga. 


Dalam keadaan Ronar sedang bingung, garisan rekahan mulai kelihatan pada permukaan kaca balang. Seiring ngauman sang klon naga, garisan itu merebak sehingga balang tersebut pecah.


Bagai sedang hilang akal, ia berlari mengelilingi sekitar dinding makmal. Seketika kemudian, ia melompat ke arah Ronar, cuba hendak mencakar Ronar. 


Ronar segera mengeluarkan pistol pada pinggangnya, dan melepaskan tembakan bertubi-tubi padanya. Namun setiap peluru yang mengena pada tubuh klon naga sekadar menyentuhnya sahaja tanpa meninggalkan kesan luka.


Anak naga itu menerpa lagi. Kini cuba mencakar wajah Ronar. Terdesak, Ronar pantas melindungi wajahnya dengan pistol. Namun, pistol itu terbelah dua, membuatkan Ronar terpaksa berundur ke belakang.


Nafas Ronar mengah. Senjatanya sudah tiada. Kini, dia hanya mampu memerhati sang klon naga yang sedang tajam merenung dia. Bunyi menggeram kedengaran. Anak naga itu kelihatan sedang berjaga-jaga dengan kehadiran Ronar. 


Pelik. Kenapa tiba-tiba saja dia boleh jadi hilang kawalan? 


Dia takut dengan akukah? Kenapa aku boleh tiba-tiba jadi musuhnya?


Ketika itu, Ronar melihat ia sedang mendongak ke atas, dan membuka mulut…


Takkanlah!!


Secara spontan, Ronar meluru ke arah sang klon naga, cuba menghalang geraknya. Namun, dia terlambat. Ia lebih awal bertindak memuntahkan pancaran cahaya, disasarkan pada siling.


BOOM!! Siling merekah. Ronar spontan mendongak, mendapati serpihan batu besar sedang jatuh ke arahnya. 


Asap menebal. Keadaan bertukar hening sejenak. 


Usai beberapa detik, kelibat Ronar muncul semula di sebalik asap yang kian menipis. Dia terbatuk-batuk, kemudian menarik nafas lega panjang. Mujur sempat elak dari runtuhan siling tadi. Sedang tubuhnya cuba bangkit berdiri, Ronar teringat sesuatu. 


“Naga itu!” Ronar melilau ke sekitar makmal, mencari sang klon naga. Namun tidak kelihatan. Sedang dia terpinga, dia dikejutkan dengan deru angin kuat yang menyejukkan tubuhnya dari atas. 


Ronar mendongak lagi. Cahaya matahari kelihatan tertembus masuk ke dalam ruang makmal itu. 


Darah Ronar segera mendidih. 


Ia sudah lari!


“CELAKA!!” 


Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hasif Rayyan