Bab 10

"SYA," panggil Puan Sri Munirah.

Aisyah menoleh ke arah uminya yang melangkah mendekatinya di ruang tamu itu.

"Tak pergi sekolah lagi? Dah pukul berapa dah ni?" soal Puan Sri Munirah sambil matanya melirik ke arah jam di dinding. 7.00 pagi. Selalunya belum pukul 7.00 pagi lagi anak dan menantunya itu sudah bertolak ke sekolah.

"Tengah tunggu akhi la ni, umi," jawab Aisyah sambil membetulkan tudungnya di hadapan cermin kecil yang ada di ruang tamu. Diperiksa tanda nama yang dipakainya di baju agar tidak sengit.

Aisyah sangat mementingkan kekemasan dalam pemakaiannya. Tidak kira di rumah, di sekolah mahupun saat keluar berjalan. Tambahan pula, dengan jawatannya sebagai Pembantu Ketua Pengawas di sekolah telah menjadikannya seorang yang sangat menitik beratkan soal penampilan diri.

"Aik? Sejak bila pula suami kamu tu kalau bersiap mengalahkan perempuan? Selalunya on time je dia siap."

"Tidur lambat kut umi, semalam," jawab Aisyah selamba, tanpa berfikir panjang.

Saiful tidur lambat ke, cepat ke... sama je sebenarnya. Tidak menganggu apa-apa sebab suaminya itu seorang yang sangat menitikberatkan soal masa. Semuanya kena on time. Tapi entah kenapa pagi ni suaminya seakan lari masa dari kebiasan harian mereka.

"Jom," sampuk Saiful yang tiba-tiba berada di ruang tamu.

Puan Sri Munirah menggelengkan kepalanya tatkala dia melihat menantunya itu. "Kenapa lambat sangat siapnya? Sya ni sekolah, Saiful. Dah pukul berapa dah ni."

"Ye, umi. Saiful tahu." Saiful memandang Aisyah. "Jom."

Aisyah mengangguk. "Sya pergi dulu umi. Assalamualaikum," ujar Aisyah sambil menyalami tangan uminya itu.

"Saiful pun sama umi. Assalamualaikum." Saiful mencium tangan umi tiri merangkap umi mertuanya itu.

"Hati-hati. Waa'laikumussalam."

*****

AISYAH memandang wajah suaminya yang sedang memandu di sebelahnya itu. "Kenapa akhi siap lambat tadi?" soal Aisyah. "Tak jumpa baju ke apa?"

"Ha'ah. Tak jumpa baju."

"Sya dah letak semua baju akhi dalam almari. Tak jumpa jugak ke? Atau... akhi ni jenis orang yang memilih dalam soal nak pakai baju ni?" duga Aisyah.

Saiful tersenyum. Dia memandang sekilas wajah isterinya di sebelah. "Nak cari baju yang matching dengan Sya la. Nak jadi sweet couple."

Aisyah memandang baju suaminya kemudian ke arah uniform yang dipakainya sekarang. Sama warna!

Aisyah pantas menggelengkan kepalanya.

"Nak tahu tak apa beza Saidatina Aisyah ra dengan Aisyah sebelah akhi ni?"

Aisyah mengecilkan matanya memandang si suami. 'Ustaz ni dah mula dah! Dah mula dah! Pelik betullah dengan laki aku ni. Dia tak sihat ke?'

"Tahu tak?" Saiful bertanya lagi dengan soalan yang sama.

"Tahu!" jawab Aisyah dengan yakin.

'Ni mesti nak kenakan aku. Tak apa, kita tengok siapa yang akan terkena ye, wahai suamiku ustazku.'

"Apa?"

"Saidatina Aisyah ra tu, isteri Nabi Muhammad SAW. Anak perempuan Abu Bakar As-Siddiq dan Ummu Roman. Beliau ialah Ummulhatul Mukminin. Saidatina Aisyah ra..."

Saiful menutup mulut Aisyah dengan tapak tangannya. Tajam pandangannya memandang si isteri. "Main-main ye."

Aisyah menggeleng laju.

Tapak tangan dijauhkan dari mulut Aisyah.

"Mana ada main-main. Orang jawab soalan akhi dengan fakta, apa." Aisyah kembali memandang hadapan, tangannya memukul lengan kiri si suami. "Lampu dah hijau la."

"Okey-okey!"

Saiful kembali meneruskan pemanduannya yang terhenti kerana lampu isyarat merah sebentar tadi.

"Kalau jawapan Sya, salah... apa jawapan yang akhi nak bagi mengenai soalan akhi tadi?"

"Saidatina Aisyah ra tu, wanita yang paling Rasulullah SAW cinta. Jangan salah faham, Khadijah ra nombor satu dalam hati baginda SAW, tidak terganti tempatnya dengan isteri Rasulullah SAW yang lain dan baginda SAW tu cintakan isterinya yang lain jugak ye. Kenapa Aisyah ra yang dicintai Rasulullah SAW selepas Khadijah ra? Sebab Aisyah ada ketika itu, Khadijah ra pulak kan sudah wafat masa tu. Faham kan?"

Aisyah mengangguk. "Faham. Cinta Khadijah ra dan Rasulullah SAW tu, tak ada siapa boleh sangkal dan nafikan. Khadijah ra banyak berkorban untuk Islam dan untuk suaminya. Jadi tak hairan kalau suaminya; Nabi Muhammad SAW sangat mencintainya."

"Tapi Aisyah depan mata akhi ni, wanita yang paling akhi cintai selepas umi." Saiful menarik senyum. "Sampai tak pick-up line akhi?"

Aisyah melontar pandangan kosong ke wajah si suami. Dia menyengetkan bibirnya ke kiri sedikit. 'Ustaz ni, nak bagi pick-up line guna kisah Nabi SAW? Memang aku tak faham betullah dengan laki aku ni.'.

"Tak sampai ye?"

Aisyah membuat muka bosan. "Akhi, sweet bertempat boleh tak? Kalau lambat pergi sekolah macam mana? Nak baju matching la, nak bagi pick-up line la. Nanti-nanti kan boleh."

"Tak lambat la. Tengok, dah sampai pun." Saiful menarik brek tangan. Jam pada dashboard kereta dipandang, "...tengok pukul 7.20 pagi. Perhimpunan pun belum mula lagi tau."

Aisyah mengeluh. "Akhi ni. Ada je tau perangai dia yang pelik-pelik nak keluar sejak kita jadi suami-isteri ni."

"Ni kan salah satu cara, nak mengorat Sya. Sya lupa ke yang Sya dah bagi green light untuk akhi mengorat Sya?" ujar Saiful.

Aisyah tersenyum. 'Ada-ada saja lah ustaz ni. Aku ingat dia dah lupa niat dia nak mengorat aku, rupanya tak. Lantaklah, asalkan suami aku ni bahagia.'

*****

"ASSALAMUALAIKUM, Riz," ujar Aisyah kepada Mukhriz yang sedang berdiri di depan pagar sekolah.

Mukhriz pasti sudah bersedia untuk mencatat nama pelajar yang datang lewat ke sekolah hari ini. Lagipun memang sudah manjadi tugas Mukhriz dan dirinya di situ pada waktu pagi.

"Waa'laikumussalam. Lambat datang," ujar Mukhriz.

Setahunya Aisyah datang awal ke sekolah. Paling lambat, Aisyah akan tiba di sekolah pukul 7.10 pagi.

"Ada hal sikit tadi, lagipun belum start perhimpunan lagi, kan? Kiranya saya tak la lewat sangat," ujar Aisyah. Dia melihat jam tangan miliknya. "Pagar dah boleh tutup dah ni, Riz."

Mukhriz mengangguk.

Baru sahaja Aisyah dan Mukhriz ingin menutup pagar, ada seorang pelajar muncul.

"Bukak lah, pagar ni!" jerit pelajar perempuan di depan pagar sekolah itu.

Aisyah dan Mukhriz memandang sesama sendiri.

"Bukak je lah, Riz," ujar Aisyah.

Mukhriz membuka pagar tersebut. "Nama?"

"Apa hal kau nak tahu nama aku?" tengking pelajar perempuan itu.

"Lewat," jawab Mukhriz sepatah.

"Ni penolong ketua pengawas datang lambat, boleh pulak? Tak ada pulak kena catat nama!" budak perempuan tersebut menjeling ke arah Aisyah yang masih mengalas beg sekolah itu.

Setahunya, Aisyah kalau berdiri di depan pagar sekolah untuk menjalankan tugas sebagai seorang pengawas, pasti tidak mengalas beg sekolah kerana Aisyah seorang pelajar yang datang awal. Tapi kali ini, Aisyah mengalas beg sekolah, sebab itulah dia boleh agak yang Aisyah datang lewat dari kebiasaannya.

Mukhriz menggelengkan kepalanya. Dia merenung nametag yang dipakai pelajar perempuan itu. 'Liza', dicatat.

"Kelas?"

"Cari lah sendiri!" ujar Liza sambil menolak tubuh Mukhriz dan Aisyah.

Mukhriz menarik nafas, sedalam-dalamnya. Mulutnya beristigfar berkali-kali. "Hai... sabar je la. Ikut kan hati, aku kunci pagar ni tak bagi masuk baru tahu," bebel Mukhriz sendirian.

"Sabar lah Riz. Budak baru kut," ujar Aisyah.

"Budak baru? Awak ingat saya percaya yang itu budak baru?" ujar Mukhriz dengan serius.

"Sabar je la ye?"

Mukhriz hanya mendiamkan dirinya.

*****

"SERONOK kahwin? SPM tak habis, gatal nak kahwin."

Langkah Aisyah menjadi perlahan apabila dia terdengar suara-suara sumbang yang seakan-akan memerli dirinya. Siapa lagi pelajar yang sudah berkahwin selain dirinya di sekolah ini? Tiada! Jadi sudah pasti suara sumbang itu memerlinya.

"Entah! Dengan anak jutawan pulak tu. Dasar pisau cukur. Ustaz pun kau sapu."

"Jangan-jangan dah berisi kut sebelum nikah. Maklumlah duduk serumah kan? Mana kita tahu..." Perli pelajar itu sambil ketawa sinis.

"Eh! Ustaz kut, tak kan la buat macam tu."

"Ustaz pun manusia, beb. Ada nafsu. Ataupun... ustaz tu jadi pak sanggup je..."

"Ye tak ye jugak, mungkin dorang kahwin... sebab nak jaga nama family je kan? Kan ustaz kan anak Tan Sri. Walid ustaz tu antara tokoh yang terkenal dalam business. Almaklumlah antara orang terkaya dekat Malaysia ni."

"Eh! Sekejap. Aisyah tu kan anak tauke restoran, kan? Mak dia... janda. Masing-masing kahwin dengan orang kaya. Mak kahwin dengan ayah, anak kahwin dengan anak."

"Mak borek, anak rintik. Sama je perangai, pisau cukur. Nampak je alim, baik, pakai baju sopan, tutup litup bagai tapi kat belakang.... siapa tahu kan..."

"Betul tu! Yang aku pelik, dia selalu rapat dengan Mukhriz, tak pulak dia kahwin dengan anak angkat Tan Sri Taufiq tu, kan?"

"Dah nama pun anak angkat, mana sama dengan anak kandung kau ni pun. Eh! Kau tahu tak, sekolah ni kan... keluarga ustaz tu yang punya... kayanya beb..."

"Patut la... sanggup kahwin dengan ustaz sendiri... kalau aku kan malu kut kahwin dengan cikgu sendiri, yang mengajar kita pulak tu. Euw..." balas pelajar itu sambil ketawa.

Aisyah hanya mendiamkan dirinya sahaja. Dia membuat pekak sahaja apa yang dua orang pelajar perempuan itu katakan tentang dirinya.

Beep.

Aisyah mengeluarkan telefon bimbit dari poket baju yang dipakainya.

Di sekolah ini pelajar dibenarkan untuk membawa telefon bimbit, asal ianya tidak menganggu kelas. Sekiranya kelas terganggu, maka telefon bimbit itu akan dirampas dan tidak akan dipulangkan semula.

Senyuman terukir apabila dia melihat nama suaminya yang terpampar di skreen telefon bimbitnya.

+ Jangan sedih-sedih sayang. Study elok-elok ye. Biarkan apa orang nak kata. Akhi sentiasa sayang dan cintakan Sya. 😊 Senyum sayang.

Aisyah mengukir senyuman yang lebih manis.

Thanks, akhi.

Send.

Beep.

Welcome, sayang. Akhi nampak Sya senyum. Cantik sangat ketua bidadari akhi ni bila dia senyum. 😊

Aisyah menoleh ke arah bangunan yang ada di sebelah kirinya. Dia melihat suaminya melambaikan tangan ke arahnya sambil suaminya itu melangkah masuk ke dalam bilik guru.

'Kalau aku sebagai pelajar sudah kena sebegini, bagaimana pulak dengan akhi ye? Tak mustahil dia turut kena seperti aku tadi, kan?' soal Aisyah dalam hati. 'Ya Allah... selamatkanlah suamiku.'

*****

AISYAH membuka bekal yang dibawanya dari rumah. Sudah menjadi kebiasaan untuknya membawa bekal ke sekolah sejak dari darjah satu lagi.

"Kahwin dengan anak jutawan pun bawak bekal ke sekolah lagi ke?" perli Liza.

Sungguh dia sakit hati dengan Aisyah kerana namanya sering ditulis di dalam buku catatan Aisyah, memandangkan dia antara pelajar yang bermasalah di sekolah.

Aisyah hanya mendiamkan diri. Malas mahu bertegang urat dengan sesiapa.

"Mak kau pengusaha restoran kan? Kahwin dengan ayah mertua kau, kan? Kaya tu... tapi kenapa kau makan bekal jugak? Tak dapat nafkah dari ustaz ke?" perli Liza lagi.

Langkah Saiful berhenti betul-betul di belakang Liza. Merah padma mukanya menahan marah. Dia istighfar dalam hati berkali-kali apabila dia mendengar apa yang Liza katakan tentang dirinya.

Nafkah? Mestilah dia beri walau Aisyah tidak meminta kepadanya. Kata Aisyah, walid dan akinya ada memberi duit kepadanya untuk perbelanjaan sekolah. Tapi semua itu bukan alasan untuknya melepaskan tanggungjawabnya begitu saja. Dia punya maruah dan harga diri!

Langkah kaki diatur mendekati isterinya. Berkali-kali dia beristighfar dalam hati, agar tak meletup perasaan amarahnya kepada Liza. Dia mengambil tempat duduk di hadapan Aisyah.

Bulat mata Aisyah melihat suaminya yang tetiba duduk di depannya sekarang.

"Makan hasil tangan seorang umi ni, kekadang boleh bagi kita satu rasa semangat untuk belajar lebih baik lagi, tau. Bagus Sya sebab umi didik Sya bawak bekal macam ni," puji Saiful.

Aisyah hanya tersenyum. Memang betul apa yang dikatakan suaminya itu. Setiap kali dia makan makanan bekal yang dimasak uminya, dia dapat rasa satu perasaan untuk belajar lebih baik lagi. Sebab itu dia suka membawa bekal ke sekolah. Lagipun arwah abinya juga suka dengan masakan uminya dan sering membawa bekal makanan ke tempat kerja.

"Sya... duit yang akhi beri cukup tak?"

"Lebih dari cukup, akhi. Lagipun Sya bawak bekal, duit yang akhi beri, boleh simpan."

"Alhamdulillah. Kalau tak cukup, beritahu akhi ye?" pesan Saiful.

Aisyah mengangguk.

Liza yang mendengar terus berlalu dari situ. Tahulah dia bahawa gurunya sedang 'memerlinya' dalam diam.

"Akhi, kenapa akhi pelik? Tiba-tiba je."

Saiful hanya tersenyum. "Makan ye? Akhi nak beli air. Sya ada air tak?"

"Ada."

"Okey. Jumpa dekat rumah ye, pelajarku. Di sekolah, tak boleh nak sweet sangat. Takut terjadi perkara yang tak diingini dan boleh langgar etika kerja."

Aisyah mengangguk.

*****

"PEDULIKAN sahaja apa orang nak kata. Saya, akhi saya, ustaz, family kita lebih tahu kenapa awak kahwin dengan ustaz. Anggap je, mereka tu budak kecik ye?" ujar Nabila.

Dia ingin memberi semangat kepada Aisyah. Bukan dia tidak tahu, banyak mulut mengata perihal yang tidak baik mengenai Aisyah hari ini. Kesian dia melihat nasib Aisyah.

Aisyah tersenyum. "Thanks, Bella."

Nabila mengenggam erat tangan Aisyah. "Welcome. Dah, jangan sedih-sedih. Buruknya muka sahabat saya dan juga sepupu saya ni bila dia bersedih," gurau Nabila.

Aisyah ketawa kecil.

"Awak dengan ustaz, romantik jugak ye?" usik Nabila. Niatnya mengusik Aisyah sebegitu kerana ingin menceriakan Aisyah semula. Tidak lebih.

"Maksudnya? Tak faham."

"Ala... buat-buat tak faham pulak awak ni. Makan suap-suap tadi ye. Bukan main lagi. So... sweet," usik Nabila lagi.

"Mana ada lah. Fitnah!"

"Ye ke?"

"Ye!"

"Tapi saya dengar cerita orang. Kecoh satu sekolah tahu."

"Ustaz duduk depan saya sekejap je. Mana boleh nak tunjuk hubungan suami isteri tu, nanti langgar etika sekolah pulak."

"Oooo. Bestnya jadi awak. Ada kekasih halal."

"Kekasih halal?"

Nabila mengangguk. "Yup. Kekasih yang halal untuk awak bercinta. Awak kan tak pernah bercinta dengan sesiapa sebelum ni. Tup-tup awak nikah. So... awak bercinta lepas bernikah. Ustaz tu dikira kekasih halal awak la," terang Nabila.

Aisyah hanya tersenyum. Dipandang wajah Nabila. "Sejak akhir-akhir ni, saya perasan awak asyik sebut pasal kahwin je Bella. Awak nak kahwin ye?" soal Aisyah.

Nabila mengerutkan dahinya. "Dengan siapa pulak saya nak kahwin ni? Calon pun tak ada."

"Dengan Is la. Siapa lagi?"

"Is!" Bulat mata Nabila mendengar nama sepupunya itu dari mulut Aisyah.

"Sya... Is tu cuma cousin saya je la. Macam awak dengan saya."

"Bukan awak suka Is, ke?" teka Aisyah.

Tersentak Nabila mendengarnya. "Suka je. Macam awak... suka.... ala... awak tahu kan, siapa yang saya maksud kan sekarang ni?"

Aisyah mengangguk.

"Ustaz tahu tak?"

Aisyah menggelengkan kepalanya. "Saya tak nak ustaz tahu. Tak penting pun."

"Bagus la. Benda pun dah lama kan, awak dah sah jadi isteri ustaz pun."

Aisyah mengangguk.

"Awak sayang ustaz?"

Aisyah membulatkan matanya apabila mendengar Nabila bercakap sedemikian.

"Hehe... awak dah fall in love ye dengan ustaz, kan?" usik Nabila.

Aisyah tersenyum malu.

"Saya doakan awak bahagia sampai ke jannah, Sya. Saya yakin ustaz akan membahagiakan awak."

"Jazakillah, Bella. Terus berdoa untuk saya ye?"

"Selalu. Saya selalu doakan awak. Awak kan sahabat saya, sepupu saya. Saya akan happy apabila awak happy, Sya."

Aisyah tersenyum gembira.

*****

"MAAFKAN, Sya," ujar Aisyah. Entah sudah kali keberapa dia meminta maaf daripada suaminya sejak mereka balik dari sekolah hari ini.

Saiful hanya tersenyum. "Tak ada apa-apa la. Rileks sudah."

"Tapi sebab Sya, akhi yang kena."

"Rileks je, Sya. Akhi tak apa-apa."

Aisyah berdiam diri. Dia teringat kejadian sewaktu suaminya mula mengajar di kelasnya tengah hari tadi.

Kesian dia melihat suaminya diasak dengan soalan berbentuk peribadi. Tentang apa lagi kalau bukan tentang pernikahan mereka. Dia tahu, suaminya itu berasa malu.

"Jangan fikirkan sangat. Nanti stress, dah tak boleh nak belajar untuk trial," ujar Saiful.

Aisyah mengangguk. "Ni baru hari pertama sekolah selepas cuti, akhi. Esok lusa, entah apa lagi cabaran dan dugaan yang perlu kita hadapi."

Saiful mengengam tangan kanan Aisyah. "Bertenang sayang. Allah ada untuk kita. Apa yang akhi alami tak seteruk apa yang Sya alami tadi. Jadi, kalau nak cakap soal maaf ni, akhi yang kena minta maaf kat Sya sebab buat Sya terbabit dalam perkahwinan ni."

"Akhi tahu?"

"Mesti la. Sekolah kita kan ada DJ tak berbayar."

Aisyah ketawa kecil.

"Tapi akhi pelik la."

"Apa yang peliknya, akhi?" soal Aisyah.

"Sya kan cucu jutawan. Akhi dengar-dengar, mereka selalu perlekehkan kerja umi sebelum ni. Mereka tak tahu ke, aki Sya tu jutawan?"

"Ooo... mereka semua tak tahu."

"Kenapa? Walid dengan aki tu sama je jutawannya, Sya. Kalau Sya tak kahwin dengan akhi sekali pun, Sya boleh hidup kaya-raya tau. Plus, kalau umi pun tak kahwin dengan walid."

"Untuk apa bagi mereka tahu? Arwah abi pun tak suka kalau Sya hidup dalam kemewahan atau orang tahu pasal harta keluarga Sya. Kan Sya dah beritahu akhi hari tu."

Saiful mengangguk, faham. "Don't worry. Akhi ada di sisi Sya, okey? Jangan peduli apa orang nak kata la pasal kita. Mereka semua tu sebenarnya cemburu dengan kita."

Senyuman Aisyah semakin manis. "Jazakallah, akhi."

"Wa iyyakum, sayang."

"Akhi," panggil Aisyah.

"Hm."

"Kita nak pergi mana? Ni... bukan jalan balik ke rumah," ujar Aisyah sambil memandang jalan di sekeliling.

Saiful tersenyum. "Adalah."

"Akhi... cakaplah nak pergi mana ni?"

"Kita pergi date."

"Date?!" Terbeliak mata si isteri mendengarnya.

Saiful mengangguk. "Kenapa? Tak sudi nak date dengan suami sendiri ke?"

"Tak lah sampai macam tu. Tapi... akhi kan ada kerja nak kena buat?"

"Boleh buat malam ni," jawab Saiful.

Aisyah menggelengkan kepalanya. 'Ikut sukalah hati awaklah ustaz oi. Saya ikut je.'

Saiful ketawa. "Sya, Sya. Kita pergi date apanya sedangkan trial Sya nak dekat?"

"Habis tu?"

"Ni ha... ada budak nak SPM tahun ni kan, buku rujukan dia tu dah habis dibuat latihan. Jadi akhi nak beli buku untuk budak tu. Well, nak dia jadi budak pandai," terang Saiful. Dia tahu buku rujukan Aisyah sudah habis dibuat latihan, sebab itu dia mahu beli yang baru untuk isterinya,

Aisyah mengecilkan matanya sambil memandang suaminya. 'Aku la tu.'

"Pandai pun. Memang untuk Sya pun. So... kita shopping buku hari ni."

Aisyah mengukir senyuman.

"Buat tau latihannya nanti."

"Yes, boss!"

Saiful tergelak kecil apabila dia melihat isterinya memberi tabik hormat kepadanya.

Aisyah turut ketawa apabila melihat suaminya ketawa.

*****

AISYAH pejam celik, pejam celik melihat bakul buku yang dipegang suaminya. Penuh bakul tersebut dengan pelbagai buku latihan SPM yang diambil oleh suaminya di rak. Matanya dialih melihat tangan suaminya yang sedang membelek satu lagi buku latihan. Dan apabila tangan itu mahu memasukkan buku tersebut ke dalam bakul, Aisyah cepat-cepat menghalang.

"Kenapa?" Saiful pelik.

Aisyah menggelengkan kepalanya. "Kita bayar, jom." Aisyah menarik tangan suaminya menuju ke kaunter pembayaran.

"Sekejap." Saiful menarik tangannya dari pegangan Aisyah. "Ikut akhi, sekejap."

Aisyah hanya membontoti langkah suaminya.

"Pilih la mana-mana."

Aisyah mengerutkan dahinya.

"Pilih la."

"Akhi..." panggil Aisyah.

"Ye."

"Ni... ruangan novel tau. Bukan ruangan buku latihan untuk SPM," Aisyah mengingatkan sambil menunjukkan papan tanda,

Ruangan Novel.

Saiful mengangguk. "Tahu. So... pilih la mana-mana."

"Tak nak la."

"Pilih la."

"Novel kat rumah ada lagi."

"Tak apa, akhi belanja. Pilih."

Aisyah menggelengkan kepalanya.

"Pilih la. Karang akhi suruh pekerja kedai ni bungkus semua novel dalam kedai ni karang. Ha... menelopong la Sya kena habiskan pembacaan semua novel tu nanti," ugut Saiful.

Aisyah mengeluh. Diambil secara rawak mana-mana novel yang di susun di rak bersebelahan dengannya. Diambil tanpa melihat atau membelek pun novel tersebut seperti yang dia sering lakukan ketika membeli novel.

"Satu je?"

"Satu cukup. Jangan membazir. Beli banyak nanti, bilanya Sya nak baca? Nanti Sya kena marah pulak dengan abang tiri Sya sebab asyik baca novel je," sempat lagi Aisyah memerli suaminya.

Saiful mencubit sekilas pipi Aisyah. "Perli akhi ye? Siap Sya nanti."

Aisyah menjongketkan kedua-dua keningnya ke atas. Ingin menunjukkan isyarat 'tak takut pun'.

"Dah, jom bayar," Saiful sambil menarik tangan Aisyah agar mengikutinya.

Aisyah hanya mengikut sahaja langkah suaminya.

Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh