Bab 5

AISYAH meletakkan sikat rambut yang digunakannya di atas meja solek. Imbasan wajah pada cermin, dipandang. Entah mengapa, air mata mengalir kepipinya pada saat dia teringat semula akan kata-kata suaminya malam semalam.

“Alice…isteri akhi.”

“Jangan menangis, Sya,” Aisyah memujuk dirinya sendiri dan dihapuskan air mata yang mengalir itu menggunakan jarinya.

“Ingat Allah banyak-banyak Sya,” Aisyah menitip pesanan buat dirinya sendiri.

Langkah kaki diatur mendekati telekung miliknya dan bersedia untuk ke bilik suaminya disebelah bagi menunaikan solat Subuh berjemaah.

‘Perlu ke aku pergi bilik dia? Atau… aku solat sendiri je?’ bisik hati kecil Aisyah saat dia memulas tombol pintu biliknya. Berbelah bagi perasaannya ketika ini, sama ada perlu ke bilik suaminya ataupun tidak.

“Alhamdulillah, Sya dah bangun. Akhi baru nak kejut Sya. Ingat Sya tak bangun lagi,” ujar Saiful sambil tersenyum manis ke arah isterinya. Seolah-olah tiada apa-apa sedang terjadi dalam hubungan mereka berdua.

Aisyah terkejut melihat suaminya yang berdiri betul-betul di depan pintu biliknya. ‘Nampaknya… kenalah solat berjemaah, kan?’ bisik hati kecil Aisyah lagi.

“Jom,kita solat,” ajak Saiful.

*****

SAIFUL menoleh ke belakangnya. Ingin bersalam dengan Aisyah. Dahinya berkerut seketika tatkala melihat wajah Aisyah yang menunduk dari tadi.

“Sya…”Saiful meletakkan jari telunjuknya di bawah dagu Aisyah. Diangkat wajah yang tunduk memandang tikar sejadah itu, agar dapat dia lihat wajah Aisyah dengan lebih jelas.

Mata mereka bertatapan buat seketika.

“Kenapa ni?” soal Saiful dengan lembut.

Aisyah hanya berdiam diri. Air mata yang mengalir dari tubir matanya dilap oleh suaminya. “Kenapa menangis ni?”

“Tak ada apa-apa,” jawab Aisyah sambil menggelengkan kepalanya.

Saiful memandang anak mata Aisyah. “Sya, marah akhi sebab percakapan akhi malam semalam ye?” teka Saiful.

Aisyah menarik nafas ditarik dalam-dalam. “Hari ni, akhi nak pergi jumpa isteri akhi tu ke?”

Tersentak Saiful mendengarnya.

Melihat suaminya terdiam, Aisyah mengukir senyuman pahit. “Sya tak sangka, yang Sya niada madu. Padahal baru je kita nikah kelmarin. Baru berumur tujuh belas tahundah kahwin, dah ada madu,” luah Aisyah.

Saiful menarik nafasnya sedalam yang boleh. Didekatkan bibirnya pada dahi Aisyah.

Aisyah hanya membiarkan sahaja perilaku suaminya itu kepadanya.

Lama sekali Saiful mengucup dahi isterinya itu. Kelihatan air mata jantan miliknya mengalir perlahan. ‘Maafkan akhi, akhi salah.’

“Jangan menangis. Hati akhi terluka melihat Sya menangis,” ujar Saiful sambil mengelap air mata isterinya itu.

“Lepas  sarapan, Sya ikut akhi keluar ye?”

Aisyah mengambil tangan suaminya itu, dicium hormat. “Pergi mana?” soal Aisyah.

“Adalah.”

“Sya…nak pergi siapkan sarapan dulu,” ujar Aisyah sambil mengangkat sejadahnya.

Saiful mengangguk. “Jangan menangis ye? Apa kata umi nanti kalau nampak Sya menangis.”

"Okey."

*****

AISYAH membuntuti suaminya sebaik sahaja mereka berdua turun dari kereta. Kata Saiful, tempat yang ingin dibawanya sudah sampai. Dipandang kawasan tanah lapang itu. ‘Cantik dan tenang.’

“Duduk la.”

Aisyah mengangguk dan duduk di sebelah kanan suaminya di atas rumput.

“Cantik tak tempat ni?” soal Saiful.

“Cantik.”

Saiful mengukir senyuman tatkala dia melihat senyuman yang terukir di bibir isterinyaitu. “Tapi… ada tempat yang lagi cantik daripada tempat ni.”

Aisyah memandang wajah suaminya. “Kat mana tu?” soal Aisyah.

Saiful menunding jarinya ke arah dadanya. “Dalam ni.”

Aisyah mengigit hujung bibirnya. ‘Mesti isteri pertama dia, kan? Ye la, aku ni budak sekolah tak habis SPM je, mana padan dengan isteri dia yang mesti dah kerja tu,’ ujar Aisyah dalam hati. Pandangan matanya beralih semula ke depan.

“Tak baik Sya cakap dan fikir macam tu,” ujar Saiful.

Aisyah mengerutkan dainya. “Sya tak cakap apa-apa pun.”

Sure?”

Aisyah mengangguk.

“Bukan Sya cakap dalam hati pasal isteri pertama akhi?” teka Saiful. “Lepas tu cakap pasal diri Sya yang SPM tak habis lagi, kan?” Saiful menjongketkan keningnya keatas.

Aisyah mengecilkan matanya. ‘Aik, dia ni ahli sihir ke apa? Boleh tahu apa yang ada dalam hati aku?’ Aisyah bermonoloq.

“Akhi bukan ahli sihir la Sya. Akhi tahu sebab... telepathy.”

Aisyah memandang suaminya tidak berkelip. ‘Apa ke benda tu?’

“Akhi guna telepathy sebab tu dapat tahu apa-apa yang ada dalam hati dan fikiran Sya.”

Aisyah hanya diam.

“Sya tahu tak, ada kalanya Allah bagi pasangan kita itu rasa apa yang dirasakan atau difikirkan oleh pasangannya tanpa memerlukan apa-apa alat bantuan. Hebat kan kuasa Allah?”

Aisyah mengangguk saja.

Saiful membetulkan posisi duduknya. Dia duduk betul-betul berhadapan dengan Aisyah.“Tempat ini tempat istimewa bagi akhi sebab tu akhi bawak Sya ke sini. Sebab Sya istimewa dalam hidup akhi.”

Aisyah memandang sekeliling. “Tempat ni cantik. No wonder la boleh jadi tempat istimewa untuk akhi.”

“Tempat ni… menyimpan memori akhi dengan dua insan yang di mana mereka berdua ni istimewa jugak dalam hidup akhi selain dari Sya.”

“Dua?Bukan tiga?” ujar Aisyah.

‘Yela, Ben, Alex dan Alice… kan? Tapi kenapa akhi cakap dua je?’ bisik hati kecil Aisyah. Pelik dirasakan olehnya.

Saiful mengukir senyuman manis. “Dua saja Sya. Insya-Allah di sini juga akhi ingin melakar memori indah dengan Sya pula macam dua orang yang istimewa dalam hidup akhi.”

Aisyah mengerutkan dahinya.

“Di dalam dunia ini, insya-Allah hanya sekali lafaz akad nikah yang akhi lafazkan buat seumur hidup akhi. Bukan dua kali lafaz atau lebih dari itu.”

“Maksudnya?”soal Aisyah.

“Maksudnya…hanya Siti Nur Aisyah binti Muhammad Abu Bakar ini sahaja gadis yang menjadi isteri akhi; Syed Muhammad Saiful Islam bin Syed Ahmad Abbas di dunia dan juga di akhirat. Insya-Allah.”

“Alice?”

Saiful mengambil tangan kanan Aisyah. “Pasal semalam tu, akhi mintak maaf. Alice sebenarnya bukan isteri akhi.”

Terganga Aisyah mendengarnya. “Habis, Alice tu… siapa pada akhi?”

“Alice nobody kepada akhi. Dia ialah isteri kepada arwah Syed Fendi.”

“Syed Fendi? Siapa tu?” soal Aisyah. Tidak pernah dia mendengar nama itu.

“Syed Fendi ialah sepupu akhi. Dia dah lama meninggal.”

Aisyah hanya mendiamkan diri.

“Tempat ni… melakar memori akhi membesar bersama arwah. Dia seperti abang kepada akhi. Kami sangat rapat, Sya.”

“Jadi maksud akhi yang dua orang istimewa dalam hidup akhi tu… arwah Syed Fendi salah seorang darinya?”

Saiful mengangguk.  “Syed Fendi berkahwin dengan Alice di Australia. Alice seorang mualaf, memeluk Islam ketika remaja. Alhamdulillah, penghijrahannya diterima oleh ahli keluarganya. Hasil perkongsian hidup mereka lahirlah Ben; Syed Ahmad Benjamin. Ben ni anak sulung mereka. Ben, ada problem kesihatan dengan jantung dia,” Saiful memulakan penceritaannya.

Aisyah mengangguk perlahan. Dia hanya berdiam diri. Ingin memberi peluang suaminya itu bercerita kepadanya.

“Dan anak mereka yang bongsu pulak namanya Alex iaitu Syed Alex Zulkarnain. Ala...budak kecik yang panggil akhi ‘baba’ hari tu dekat hospital,” sambung Saiful.

Aisyah mengangguk. “Ooo… budak tu.”

“Tragedi menimpa mereka sekeluarga ketika mereka dalam perjalanan untuk balik ke Malaysia. Time tu malam Raya Aidilfitri. Syed Fendi, ditembak sehingga menyebabkan dirinya koma hampir setahun sebelum dia meninggal dunia.”

“Orang yang menembak Syed Fendi tu, dah kena tangkap ke akhi?” soal Aisyah.

Saifu lmengangguk. “Dah. Disebabkan kejadian itu, Ben dan Alex trauma teruk, Sya.”

“Dan…sebab tu ke... Alex panggil akhi ‘baba’?” teka Aisyah.

Saiful mengangguk. “Mereka panggil akhi ‘baba’ sebab wajah akhi, sama dengan wajah arwah baba mereka. Mereka tak boleh terima berita kematian arwah, Sya. Biasalah budak kecil. Tambahan pula mereka rapat dengan arwah.”

“Sya rasa, Sya boleh rasa kesedihan dalam hati mereka. Ye la, Sya dah kehilangan abi sejak di dalam rahim umi lagi. Kalau Sya jumpa seseorang yang seiras dengan abi, mesti Sya akan panggil orang tu ‘abi’, sama macam Alex panggil akhi 'baba'.”

Saiful tersenyum. “Sya tahu tak… baba mereka ditembak di depan mata mereka tau.”

Bulat mata Aisyah mendengarnya. “Serius?”

Saiful mengangguk. “Alex lagi lah, darah arwah baba dia tu terkena padanya sebab dia ada di atas pangkuan arwah pada waktu tu.”

“Kesiannya.”

“Alice terpaksa menanggung semua ujian dan dugaan ni seorang diri, Sya. Suami meninggal, anak sakit dan perlu dibedah dengan anak-anak yang masih kecil lagi. Semuanya dia perlu hadapi secara bersendirian. Disebabkan hal itu, akhi pernah membuat keputusan untuk menikahinya. Tapi pada saat akhir, Alice membatalkannya sebab tak bersedia untuk mendirikan rumah tangga dengan akhi.” Saiful beterus terang.

Aisyah mengangguk, faham.

Time kita melawat umi dan akhi nak pergi café tu, nak jumpa Alice la. Bincang pasal kesihatan Ben dan kehidupan mereka sekarang ni di Malaysia.”

“Ooo,” respon Aisyah.

“Akhi bukan tak nak kenalkan Alex waktu tu, tapi Alex ni beranggapan yang akhi ni ayah kandungnya. Suami mama dia. Jadi, kalau akhi beritahu dia yang Sya isteri akhi waktu itu, akhi takut akan mengganggu emosinya nanti.”

Aisyah tersenyum manis.

“Kenapa Sya senyum pulak ni?”

“Sebab Sya tak sangka Sya berkahwin dengan seorang ustaz yang berhati mulia.”

Saiful tersenyum mendengarnya. “Maafkan akhi ye. Semalam bukan tak nak beritahu Syaperkara sebenar, tapi akhi tak tahu macam mana mahu bercerita. Lagipun akhi ada banyak kerja dan hari pun dah lewat kan?”

“Takpe. Sya yang salah, dah nampak akhi nak buat kerja masih jugak degil nak bertanya.”

Saiful membetulkan tudung Aisyah. “Sya.”

“Hm.”

“Sya perempuan yang paling cantik yang pernah akhi jumpa.”

Aisyah menahan malu. “Ye la tu.”

“Betul. Sya tahu, akhi terpikat dengan Sya sejak dari kali pertama kita berjumpa lagi.”

Aisyah merenung wajah suaminya itu.

“Sya ingat tak peristiwa tu?”

Aisyah mengangguk. “Macam mana Sya tak ingat, dah la terkena percikkan air lopak sampai habis kotor baju sekolah Sya waktu tu. Lepas tu, boleh pulak akhi masuk kelas Sya dan kenalkan diri sebagai ustaz. Balik pulak, umi dengan walid kenalkan akhi sebagai anak kandung walid. Semuanya berlaku pada hari yang sama.”

“Kenapalah Sya garang sangat dengan akhi apabila akhi nak hulurkan bantuan kerana menyebabkan baju Sya kotor time tu?”

“Mestilah. Dah la tak kenal siapa, lepas tu nak hulurkan bantuan dengan tumpang kereta untuk balik ke rumah. Dah la di rumah tak ada sesiapa. Takut Sya time tu.Dengan kes jenayah yang semakin meningkat, sesiapa pun akan risau dan takut.”

“Ooo…sebab tu suruh akhi turunkan Sya dekat simpang je?”

Aisyah mengangguk.

“Tak sangka kan, akhirnya lelaki asing tu sekarang dah selamat menjadi suami Sya sekarang ni,” ujar Saiful sambil ketawa kecil.

Aisyah hanya tersenyum. “Betul ke akhi terpikat dengan Sya time tu?” duga Aisyah. Tidak percaya pula dia bila suaminya memberitahunya sebentar tadi.

Saiful mengangguk. “Sya tak terpikat dengan akhi ke?” Saiful menyoal soalan cepumas.

Aisyah tergamam sekejap. “A… akhi cakap tadi tempat ni melakar memori akhi dengan dua orang istimewa, kan? Syed Fendi dengan siapa?” soal Aisyah ingin melarikan diri dari disoal suaminya tentang perasaannya.

Saiful termenung jauh.

“Kalau akhi tak nak beritahu, tak apa,” ujar Aisyah dengan serba salah tatkala melihat wajah suaminya sudah muram.

“Nanti Sya akan tahu. Jangan risau, lelaki. Bukan perempuan.”

Aisyah hanya mengangguk.

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh