Home Novel Cinta DiBius Cinta Encik Arahan
DiBius Cinta Encik Arahan
Nkal
22/5/2018 10:50:28
29,054
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 2

BAB 2

Masih melekat kata-kata itu di sebalik hati kecil Daniel. Pertemuan dengan Adilla di suatu malam beberapa tahun lalu kembali menyinggah di fikiran. Apa khabar Adilla sekarang? Mungkin gadis itu sudah dimiliki seseorang sekarang. Fikir Daniel sendirian.

Daniel cuba melelapkan matanya. Berharap otaknya berehat seketika dari mengingati gadis itu. Entah kenapa sejak beberapa hari ini, hatinya sering teringatkan Adilla. 

Lirikan mata dan senyuman manis gadis itu terus menjadi peneman setia tidurnya.

Apakah hatinya mula jatuh cinta pada Adilla?

Perginya Adilla seolah-olah membawa bersama hatinya. Sejak itu hati Daniel menjadi kosong. Walaupun dia yang beria meletakkan hubugan ini tidak lebih dari seorang sahabat namun Daniel tewas. Sebenarnya jauh di sudut hati Daniel, sekeping hati kecil itu ingin sekali dia miliki.

Tapi..dia tidak berdaya.

Saat memandang wajah Adilla, pasti wajah rakan baiknya muncul. Daniel tidak mahu hidup Adilla terus hancur kerana dia. Daniel tahu seandainya dia menjalinkan hubungan dengan Adilla ketika itu pasti bekas teman lelaki Adilla akan melakukan apa sahaja untuk terus menyakiti hati Adilla. Itu yang dia tidak mahu.  Membiarkan orang yang dia sayang menjadi mangsa dendam dan kekejaman manusia itu. Daniel tahu Adilla sudah cukup tersiksa sewaktu bersama bekas teman lelakinya dahulu.

Adilla..maafkan aku..seandainya dapat aku temui dirimu pasti aku akan membuka sepenuh hatiku untuk kau bertahta di hati ini selamanya..

Tapi.....apakah Adilla sudah dimiliki kini?


“ Hoi! Jauh termenung. Teringatkan buah hati ke?” Sergah Hadi kuat. Tersentak Daniel dari lamunan panjang.

“ Kau ni potong jalan la. Aku baru nak mengelamun sikit. Kacau betullah kau ni.” Daniel membetulkan postur duduknya agar kembali tegak dan selesa. Lama dia bersandar di kerusi sebentar tadi. Mengelamun terus mengingati Adilla.

 “ Emm, kacau-kacau jugak. Aku datang ni ada hajat yang nak disampaikan.” Ujar Hadi menghulurkan sekeping kertas putih bersaiz A4.

Daniel menerima dengan keluhan berat.

“ Untuk apa pula kali ni?” Daniel terus membaca memo di hadapannya. Baru sebulan yang lepas dia dihantar berkursus di Pulau Pinang. Sekarang..Ahhh..

“ Ala, kau kan pekerja yang berdedikasi. Sebab itu Puan Aini pilih kau. Manalah tahu kau dapat idea yang lebih bagus ke selepas balik dari kursus tu. Pergi ajelah, silap-silap kau boleh jumpa seseorang ke kat sana.  Kau tu bukan muda lagi pun. Tengok aku, anak dah dua orang. Bini je sorang.” Seloroh Hadi sambil ketawa kecil.

Daniel mencebik bibir. “ Emm kau tu nama je dah kawin. Tapi kat pejabat berlagak macam orang bujang. Dengan Dina pun kau nak ayat.” Sinis Daniel agak pedas.

“ Ala, biasalah Daniel. Dekat rumah kita jadi suami pada isteri kita dan ayah kepada anak-anak. Kalau kat luar kita bebas, macam orang bujang.”

Inilah asam garam kehidupan kini. Gelodak anak muda alaf baru. Walaupun sudah berumah tangga, hidup seperti orang bujang tetap sukar untuk ditinggalkan. 

Apabila melangkah keluar dari rumah, secara automatik mereka akan bertukar menjadi orang bujang semula. Bebas untuk mengorat atau mengayat mana-mana perempuan yang dikehendaki. Tersilap langkah perempuan yang di ayat itu menaruh perasaan padanya. Apa nak buat? Siapa yang harus dipersalahkan.? Namun tidak semua lelaki seperti itu, kadang-kadang lagak mereka memang macam orang bujang. Namun tanggungjawab pada keluarga tidak pernah diabaikan.

Contoh terdekat Hadi. Dia memang seorang yang gatal. Suka mengayat perempuan-perempuan yang berkenan di hati. Namun semua itu tidak lebih dari sekadar usikan untuk menceriakan suasana.

“ Eh, Daniel. Dari tadi aku tengok kau asyik mengelamun je. Apa yang membebankan hati kau sebenarnya? Cuba kau ceritakan pada aku. Ni tak lain mesti masalah cinta ni?” Duga Hadi seperti dapat membaca irama yang bermain di fikiran Daniel.

Resah Daniel memikirkan apa yang menganggu dirinya. Jelmaan dia kerap menggangu mimpinya. Sudah dua malam dia didatangi bayangan wajah itu. 

“ Aku keliru.” Perlahan. Lidahnya kelu. 

“ Keliru?  Apa yang kau kelirukan?” Hadi semakin berminat. Posisinya bertukar. Lebih  serius untuk menjadi pendengar pada masalah Daniel.

“ Aku keliru. Aku bingung. Bingung Hadi.”

Pudar semangat Hadi. Rasa ingin dihantukkan kepala Daniel pada dinding. Hadi menggaru kepala yang tidak gatal.

“ Yalah, apa yang kau bingung kan? Apa yang kau kelirukan.?” Hadi bersuara tegas. Entah apa yang menghalang lidah Daniel untuk meluahkan isi hatinya. Agaknya sebab inilah sampai sekarang Daniel masih belum bertemu teman istimewa.   

“ Aku keliru pada perasaan aku. Entah kenapa bayangan dia….”

“ Aaa..aku tahu.Sah, memang sah!” Hadi bersuara serius. 

‘ Apa yang sahnya? Belum sempat aku ceritakan dia dah potong. Hai..’ Keluh Daniel di dalam hati.

“ Sah. Kau sudah dilamun cinta.”

Daniel terperanjat. Ball pen yang dipegang tersungkur ke lantai. 

“ Apa? Jatuh cinta? Kau jangan nak mengarutlah Hadi.” Daniel ketawa kecil. Lucu juga mendengar sangkaan Hadi itu. Tidak mungkin dia jatuh cinta pada gadis itu. Bukan ke dia sendiri yang meminta hubungan ini tidak lebih dari seorang kawan. Tak mungkin! 

“ Apa yang tidak mungkin? Cuba kau terangkan pada aku.” Soal Hadi tidak berpuas hati. Dia tahu Daniel sengaja merahsiakan isi hatinya. 

“ Mungkin dengan gadis itu kau boleh menipu, sembunyikan perasaan kau. Tapi dengan aku. Kau silap orang Daniel.” Hadi tidak mahu mengalah. Dia tahu sangkaan dia perihal Daniel adalah tepat.

“ Tak mungkin aku jatuh cinta pada dia.” Luah Daniel perlahan. 

“ Apa yang tak mungkinnya?” Sekali lagi persoalan itu diusulkan Hadi. Kali ni nadanya lebih tegas.

“ Aku yang meminta hubungan ini tidak lebih dari seorang kawan. Dia pernah meluahkan isi hatinya. Tapi aku tolak.” Beritahu Daniel mengingati kembali peristiwa dua tahun lepas. Sewaktu Adilla meluahkan isi hatinya.

“ Kenapa?” 

“ Aku tak bersedia lagi. Lagipun dia bekas teman wanita kawan baik aku. Tak mungkin aku menyimpan perasaan pada dia. Cerita Daniel tekun. Hadi semakin berminat. Mujurlah kerja-kerjanya sudah diselesaikan sebelum menemui Daniel sebentar tadi. Macam tahu-tahu dia akan dihidangkan dengan cerita menarik dari Daniel. 

“ Sudah dua tahun kami terputus hubungan. Sejak peristiwa itu, dia lebih banyak mengelakkan diri dari aku. Mungkin dia sudah bertemu pengganti.”

“ Ala, kalau betul pun dia ada pengganti. Selagi dia belum diikat secara sah, selagi itu kau masih punya peluang untuk raih kembali cinta dia. ” 

Kata-kata Hadi tu ada betulnya. Tetapi Daniel tidak mahu menjadi batu penghalang hubungan antara Adilla dan temannya. Biarlah Adilla dengan dunianya sekarang. Mungkin Adilla sudah punya kehidupan sendiri. Sebagai kawan, Daniel hanya mampu berdoa dari jauh.

“ Habis sekarang kau tak tahulah dia ada kat mana?” Perasaan ingin tahu Hadi semakin meninggi. 

“ Emm kalaulah aku tahu di mana gadis itu tinggal, sekarang juga aku bertemu dengannya.” Ujar Hadi bersungguh-sungguh.

“ Untuk apa?” Daniel hairan. Nampaknya Hadi yang lebih bersemangat dalam soal ini. Dia sendiri bersikap lebih tenang dan cool sahaja.

“ Untuk meluahkan rasa cinta aku pada dia.” Gurau Hadi girang. 

Daniel membulatkan mata merenung Hadi.

“ Ha, dengan perempuan lain kau boleh ek. Tapi dengan dia, langkah mayat aku dulu.”

Tegas Daniel.

“ Hai cemburu nampak.” Hadi terus mengenakan Daniel. Sudah lama dia tidak melihat keceriaan sebegini pada Daniel. 

Sepanjang Daniel bekerja di sini, temannya itu lebih banyak menumpukan perhatian pada kerja-kerjanya. Untuk mengayat wanita seperti dirinya jauh sekali. Mungkin itu sebabnya sampai sekarang Daniel masih belum bertemu teman istimewa. Hadi yakin, gadis itu pasti menjadi teman istimewa Daniel. Dan dia pasti Daniel akan lebih gembira kiranya bertemu dengan gadis itu semula


*******

Pintu kaca bilik Zahim diketuk perlahan. Setelah diizinkan masuk. Adilla mula mengorak langkah perlahan menuju ke mejanya. Seorang lelaki yang tidak Adilla kenali duduk di hadapan Zahim kini.

“ Jemput duduk Adilla.” Jemput Zahim penuh hormat.

Tanpa banyak soal Adilla duduk. Sekilas Adilla memandang lelaki di sebelahnya. Untuk apa dia berada di sini? Mungkin teman Encik Zahim. Duga Adilla.

“ Adilla. Saya tahu sejak awak pikul tanggungjawab sebagai Eksekutif Teknologi Maklumat, kerja awak semakin bertambah. Dan ia sedikit sebanyak membebankan awak bukan?” Kata-kata Encik Zahim itu Adilla sambut dengan anggukan. Jujur jawapan itu diberikan. Memang sekarang Adilla lebih banyak menghabiskan masa di pejabat, kekadang sampai tengah malam baru Adilla pulang ke rumah. Dan ada ketikanya sampai tertidur di pejabat.

“ So, saya dah carikan seorang pembantu bagi meringankan beban awak tu. “ Ujar Encik Zahim serius berbicara.

“Saya kenalkan Faizal, pelajar lulusan Ijazah Sains Komputer dari Universiti Sains Malaysia.” 

Faizal menghulurkan tangan tanda perkenalan. Adilla menyambutnya dengan sebuah senyuman. Mengharap Faizal faham yang mereka bukanlah muhrim. Faizal segera menarik tangannya. Menghormati prinsip Adilla. 

“ Selamat datang ke dunia baru. Dunia yang pastinya lebih mencabar.” Ujar Adilla membuka salam perkenalan. 

“ Terima kasih. Saya harap Cik Adilla boleh memberi tunjuk ajar. Yelah, saya pun baru nak belajar dalam dunia baru ni.” Ujar Faizal cuba bergurau. Namun nadanya nampak masih gugup. 

“ InsyaAllah. Saya akan turunkan ilmu-ilmu yang berguna buat awak nanti.” Janji Adilla pada pembantunya itu. Adilla harap pemilihan Encik Zahim ini tepat. 

“ Ok, jom! Kita dah lewat nak masuk mesyuarat ni. Ahli jawatankuasa pun dah lama tunggu.” Ajak Zahim mencapai dokumen-dokumen penting untuk dibawa bersama. Adilla mengajak Faizal sama-sama menyertai pekerja di bilik mesyuarat. Sekurang-kurangnya dia boleh belajar satu suasana baru di bilik mesyuarat. Dan apa yang lebih penting Faizal dapat  memahami apa yang akan dibentangkan nanti. Ini semua demi masa hadapannya juga.

Serius Adilla membentangkan projek yang akan dilaksanakan dua minggu dari sekarang. Encik Zahim nampaknya bersetuju dengan cadangan serta sebut harga yang telah dibincang dan ditetapkan oleh syarikat pembekal.

“ Jangkaan pemasangan kamera litar tertutup ni berapa hari Cik Adilla?” Encik Amirul, selaku Ketua Bahagian Pemasaran mengajukan soalan.

“ Terima kasih Encik Amirul. Saya kira ini  satu soalan yang baik. Pemasangan ini akan mengambil masa dua atau tiga hari bergantung pada kecekapan pekerja mereka, stok barang yang di pesan juga talian yang akan menghubungkan CCTV tersebut dengan komputer yang akan diletakkan di bilik Encik Zahim dan saya”

“ Tentang kecekapan pekerja tu, bukankah mereka memiliki pekerja-pekerja yang terlatih dalam bidang ni. Kalau kita minta diaorang percepatkan pemasangan tu macam mana? Mungkin dalam dua hari.” Encik Zahim bersuara mengeluarkan cadangan.

Adilla diam, berfikir sejenak.

“ Saya rasa itu tidak menjadi masalah. Tetapi dari segi stok barang dan talian saya tidak dapat memberi apa-apa harapan.” Ujar Adilla tegas dalam senyum.

Mereka diam dan berpandangan antara satu satu sama lain. Hanya bisikan kecil yang kedengaran. Faizal sedari tadi hanya memerhati setiap tingkah dan laku Adilla. Tidak bersuara, tidak juga memberi apa-apa cadangan atau bangkangan. Mungkin tempat dan suasana sebegini masih terlalu baru dan asing buat diri Faizal.

“ Baiklah, saya rasa kita ikut pada perbincangan awal antara Adilla dan pihak pembekal. Cukup sampai di sini meeting kita hari ini. Kamu semua boleh bersurai dan menyambung tugas masing-masing.” Arah Encik Zahim menamatkan sesi mesyuarat pagi ini. Keputusan sudah dicapai.

Masing-masing berkemas dan bersurai meninggalkan bilik mesyuarat. Faizal diarahkan mengikut Siti, setiausaha Encik Zahim untuk ditunjukkan tempat duduknya sekaligus diperkenalkan pada semua pekerja di bahagian tersebut.

“ Emm, Adilla. Saya nak jumpa awak sekarang.” Arah Zahim sambil membimbit I Pad miliknya bersama.

“ Baik Encik Zahim.” Sambut Adilla membawa bersama pendrive yang berisi kertas kerja yang dibentangkan sebentar tadi. 

Adilla menurut langkah Zahim tanpa membantah. Mereka sama-sama menuju ke bilik Zahim.

**********

“ Perlu ke saya pergi?” Adilla mengeluh kecil. Arahan terkini dari Encik Zahim tadi ditelan pahit oleh Adilla. Adilla baru bercadang untuk pulang ke kampung selepas pemasangan kamera litar tertutup siap di pasang nanti. Dan kini..ahh!!

“ Tapi Encik Zahim. Kursus ni tak ada kena mengena dengan saya. Perlu ke saya ikut sekali.?” Adilla cuba mengelak dari mengikuti kursus itu. Kerinduan pada ibu dan papa tidak dapat dibendung lagi. Tambahan pula Adilla baru sahaja menerima anak saudara. Suaranya bagai memanggil-manggil Adilla pulang. Sudah hampir enam bulan Adilla tidak pulang ke kampung. Bebanan kerja yang semakin bertambah membuatkannya semakin tersepit dalam mengejar masa yang terlalu pantas berlalu.

“ Ini satu arahan Cik Adilla!” 

Hembusan nafas bagai terperangkap dalam dada ini. Rela atau tidak Adilla terpaksa mengikut kata Zahim. Arahan tetap arahan. Dia bos. Segala arahan yang keluar dari mulutnya hendaklah dituruti tanpa sebarang alasan atau bantahan. Kalau dahulu mungkin dia boleh mengelak kerana dia hanya menjadi pembantu pada Puan Hanim tapi sekarang arahan yang keluar dari Encik Zahim terus kepada dia. Mahu atau tidak Adilla perlu menelan setiap arahan yang keluar dari mulut Zahim.

“ Baiklah Encik Zahim. Saya menurut perintah.” Akur jua Adilla pada semua ini. Biarlah dia berkorban untuk ketika dan saat ini. Lagipun Adilla sayangkan kerjaya ini. Tidak mungkin dia membiarkan kerjaya yang di bina ini musnah hanya kerana kemahuan diri sendiri. Tambahan pada zaman sekarang peluang kerja semakin payah untuk didapati.

“ Tapi, dengan satu syarat.”

Bulat mata Zahim merenung ke anak mata Adilla. Mungkin dia terperanjat atas keberanian Adilla meletakkan syarat padanya. Boleh tahan gadis ini. Detik hati kecil Zahim.

“ Ok, apa syaratnya?” Tidak sabar-sabar Zahim ingin mengetahuinya.

Entah apalah syarat yang ingin diminta gadis itu agaknya.

“ Habis sahaja kursus tu nanti saya nak ambik cuti tiga hari. Saya nak balik kampung.” Luah Adilla berani. Terpulanglah apa tanggapan Encik Zahim padanya. Yang penting dia meluahkan apa yang terpendam.

Zahim diam. Menyandar pada kerusi empuknya. Pen ditangan diletakkan dihujung dahi. Berkali-kali Zahim mengetuk pen tersebut pada dahinya, memikir dan mempertimbangkan syarat yang disuarakan orang bawahannya tadi.

Adilla diam. Sabar menanti. Di dalam hati berkali-kali dia berdoa agar Encik Zahim meluluskan permohonan cuti tersebut.

“ Memandangkan awak bersetuju untuk mengikut saya, jadi saya luluskan permohonan cuti awak…dan…” 

“ Dan…?” Adilla terkedu, meminta Zahim menghabiskan sisa-sisa ayatnya.

“ Saya tambah cuti awak. Jadi awak boleh bercuti selama seminggu di kampung nanti.”

Ceria Adilla menerima perkhabaran ini. Syukur dipanjatkan kepadaNya kerana memakbulkan doanya tadi. 

“ Terima kasih Encik Zahim.” Ucap Adilla girang.

Fuhh.. lega. Akhirnya dapat juga Adilla pulang ke kampung. Menemui papa dan ibu. Dan yang paling di rindui anak saudaraku yang kini berusia dua tahun. Keletah anak kecil itu cukup menghiburkan hati.

‘ Irwan tunggu kepulangan cik su ya’. Hati Adilla berbisik riang. 



Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.