"ERMMM... Sedapnya." secara spontan, keluar satu pujian dari mulut Wafiq saat dia mengunyah daging lembu itu. Kena sangat dengan selera tekaknya.
"Rasa dia agak sama macam yang saya selalu makan dekat restoran favourite saya." sambungnya.
Baru sahaja Rose Adelia mahu menyatakan perkara sebenar, terasa kaki kanannya disepak perlahan. Bila dipandang ke hadapan, Adam Zayan membuat isyarat mulut 'diam'. Terus dikunci mulutnya. Pelik dia jadinya. Mengapa perlu rahsiakan perkara ini? Apa-apa pun Rose Adelia hanya membalas pujian Wafiq dengan senyuman sahaja.
Datin Yusra juga berpuas hati dengan masakan 'pembantu rumahnya'. Nampak gaya, anaknya Wafiq memang bijak memilih seseorang dalam menguruskan rumah sewaktu ketiadaan mereka. Dan dia juga lega kerana masih tiada komen daripada Rose Adelia mengenai Adam Zayan.
Selepas Wafiq dan Datin Yusra kembali ke pejabat, Adam Zayan kembali ke kawasan kolam renang. Duduk atas buaian sambil melihat ketenangan air kolam. Tak boleh ke fikirannya setenang itu? Nampak sahaja wajahnya seperti tiada masalah, menghabiskan masa dengan beribadat dengan main game namun fikirannya tidak tentu arah. Serabut, itu sahaja yang dia dapat definisikan.
Apa-apa pun dia kena bijak mengawal diri sendiri. Jika dia hilang arah, akan ada seribu masalah yang datang menimpa diri dan keluarganya. Dia tidak mahu. Cukuplah orang lain tidak suka dia janganlah terkena tempias pada abang dan mummynya.
"Adam." Adam Zayan mendongak saat Rose Adelia menegurnya.
"Duduklah." pelawa Adam Zayan namun gadis itu hanya menggeleng.
"Kenapa eh, awak tak nak bagi tahu hal sebenar aje? Kalau abang atau mummy awak tiba-tiba aje suruh saya masak depan dia orang, kan saya susah." sejujurnya dia tidak biasa menipu. Lebih baik berlaku jujur daripada dipuji dalam penipuan.
Kedengaran keluhan Adam Zayan. Wajah Rose Adelia ditenung sebelum dia menyambung bicara.
"Kau takut sangat kenapa? Rilekslah. Menu tu aku yang mintak. Abang dengan mummy aku jarang makan western dekat rumah, biasanya dia orang makan dekat restoran aje." terang Adam Zayan. Baru Rose Adelia tahu akan hal sebenar. Baru sahaja dia mahu melangkah masuk, Adam Zayan bercakap lagi. Haih... Tak boleh ke cakap terus aje? Banyak sangat berhentinya.
"Aku saja nak uji kau. Malangnya, kau tak tahu pulak."
"Kiranya ini ujian untuk sayalah?" Adam Zayan mengeluh lagi. Kenapalah tanya soalan yang sudah berjawapan?
"Ya, Rose Adelia. Senanglah aku nak mintak kau masakkan makanan kegemaran aku. Ha, pasal tadi tu, aku masak kau ingat tak?" ada jugak ya tuan rumah jenis begini. Sebenarnya awal-awal jejak kaki di sini lagi dia dapat rasakan tugasnya agak lain jika nak dibandingkan dengan tugas pembantu rumah yang dia tahu. Menu disediakan tuan rumah, bukan pilihan pembantu rumah sendiri. Ada jadualnya tersendiri. Tapi, senanglah kerja Rose Adelia. Dia tahu mahu buat apa selepas menyiapkan satu tugasan.
"Of course la saya ingat. Buat sos dulu, marinate dan gril. Betul tak?" Adam Zayan mengangguk.
"Pandai." Rose Adelia terus masuk semula. Pemergiannya dibawa dengan pandangan Adam Zayan.
LANGIT malam kelihatan lebih gelap berbanding semalam. Ini menandakan hujan bakal turun membasahi bumi.
"Baik Rose balik cepat. Takut hujan turun lebat." ujar Datin Yusra. Pandu kereta dalam keadaan hujan lebat juga bahaya kerana jalan raya yang licin dan mengaburkan pandangan.
"Baik, datin. Saya balik dululah." tangan Datin Yusra disalam. Lemah-lembut sahaja cara layanan Datin Yusra padanya.
"Hati-hati, Rose." pesan Wafiq. Lagi sekali dia mempersoalkan latar belakang Rose Adelia. Kereta yang dipakai gadis itu adalah daripada jenama bukan murah-murah. Persoalannya ditepis jauh-jauh. Biarlah orang nak pakai apa pun! Marahnya pada diri sendiri.
"Adelia, nanti!" Rose Adelia menoleh kepalanya saat namanya dilaung Adam Zayan.
Dalam pegangannya ada sebuah beg kertas berisi sebuah bekas. Rose Adelia menepuk dahi. Nasiblah dia belum balik lagi. Kalau tak memang membebellah mamanya. Itukan bekas kesayangannya.
"Ha, lupalah tu."
"Terima kasih."
"Eh, esok bawak lagi nasi goreng belacan tu. Sedap." tanpa segan silu, Adam Zayan memesan bagai di restoran. Datin Yusra dan Wafiq memandang sesama sendiri.
"Aik, dalam menu yang abang buat tu tak ada pun nasi goreng belacan?" Rose Adelia telan liur. Sudah!
"Adam jemulah makan sandwich aje." Adam Zayan sengih bagaikan kerang busuk.
"Adam..."
"Lagipun bukan Adelia yang bagi, Adam yang mintak." jujurnya.
"Adam makan bekal Rose ke?" soal Datin Yusra. Datin Yusra mencubit lengan sasa lelaki itu.
"Eh, tak apa datin. Saya okey aje." cepat-cepat Rose Adelia menyampuk. Karang banyak sangat soal jawab, baliklah dia dalam keadaan hujan lebat.
Adam Zayan melambai Rose Adelia sambil tersengih. Gadis itu hanya tersenyum janggal. Macam-macam perangai betullah Adam Zayan ni!
"APA ni, mama?" soal Rose Adelia saat Puan Wardah menghulurkan sebuah beg kertas berwarna emas itu padanya.
"Tengoklah." beg kertas dibuka. Ternganga mulutnya melihat isi di dalam.
"Ma, mahal ni!" sehelai kain songket Terengganu dikeluarkan. Corak-corak bunga bewarna emas itu sangat cantik.
"Mama belikan untuk Rose ke?" lain yang ditanya, lain yang dijawab Puan Wardah.
"Tengoklah dalam lagi." beg kertas diteroka lagi. Sekeping kad kecil dibawa keluar. Dibuka lalu dibaca.
"Fayyadh pergi Terengganu hari tu. Siang tadi dia datang singgah bagi ni. Katanya, baru free nak jumpa. Mama dengan Balqis pun dapat jugak." Balqis menunjukkan kain songketnya sambil tersenyum girang.
Rose Adelia mengeluh. Kenapalah susah-susah sahaja Fayyadh pada keluarganya? Banyak sudah mereka terhutang budi dengan keluarga Fayyadh. Ini bukan murah-murah.
Sebelum tidur, dia membuat keputusan untuk menghubungi Fayyadh terlebih dahulu. Beberapa saat kemudian panggilannya diangkat.
"Assalamualaikum." ucap Fayyadh. Berbunga-bunga hatinya apabila melihat nama Rose Adelia tertera pada skrin handphonenya.
"Wa'alaikumussalam. Fayyadh, kau ni susah-susah ajelah. Kain songket tu bukan murah-murah."
"Aku ikhlas, Rose. Dah alang-alang tu aku belikan ajelah. Aku ingat nak bagi dekat kau tadi, tapi kau macam tergesa-gesa." Rose Adelia teringat pagi tadi dia terserempak dengan Fayyadh di hadapan sekolah lama mereka.
"Kau nak tidur dah?" soal Fayyadh.
"Nak tidurlah ni. Aku call kau sebab nak ucap terima kasih banyak-banyak."
"Alah, hal kecil aje. Kitakan satu family rapat."
"Hurmmm... Kirim salam umi kau, ya?" salam menjadi penamat perbualan mereka malam itu. Kain songket tadi ditenung. Tidak dapat dia sangkal, coraknya sangat kena dengan stailnya. Seketika memori ketika zaman sekolah bermain dalam kepalanya bagaikan sebuah filem.