ROSE ADELIA hanya berdiri di sisi kabinet sambil melihat si tuan rumah menikmati hidangan sandwich yang baru disiapkannya tadi. Dia bermain dengan kukunya sambil menunduk. Takut untuk bertentang mata dengan tuan rumah yang baru dikenalinya beberapa minit yang lalu.
Sebentar tadi, dia tidak dimarahi, perbuatannya hanya dibalas dengan jelingan. Dia nak minta maaf untuk kali kedua, mulut terasa berat. Baru hari pertama!
"Jemulah makan sandwich hari-hari! Tak sandwich ayam... sandwich tuna. Tolong panaskan baki nasi goreng semalam dalam peti sejuk tu." arahnya seperti seorang raja. Rose Adelia memusingkan tubuh sambil mencebik. Jemu konon! Kalau ditakdirkan makanan dalam dunia ini tinggal sandwich sahaja, terpaksalah telan!
Rose Adelia memasukkan bekas berisi nasi goreng yang dikatakan lelaki tadi ke dalam ketuhar gelombang mikro. Lalu disetkan masa untuk memanaskan nasi goreng tersebut. Sambil itu dia memuncung-muncungkan bibirnya. Terjungkit bahunya saat terdengar suara orang berdehem.
"Nama kau apa?" terus dipusingkan tubuhnya menghadap lelaki tadi yang baru menghabiskan sekeping sandwichnya. Masih ada baki lagi sekeping di atas piring. Ceh, jemu-jemu habis jugak sekeping!
"Rose." jawabnya lembut walaupun nada pertanyaan lelaki itu kedengaran kasar. Mungkin lelaki ini kasar agaknya tapi mesti lembut dalam hati! Bisiknya dalam hati.
"Aje?"
"Hurmmm?" Rose Adelia menjongket kening. Tidak mengerti pertanyaan sepatah lelaki itu.
"Takkanlah nama kau Rose semata-mata." lelaki itu menaikkan anak matanya ke atas. Blur!
"Oh! Nama penuh saya Rose Adelia. Panggil Rose aje." malu pula dia.
"Nama aku Adam. Aku tahu abang aku dah kenalkan aku kat kau tapi saja."
"Aje?" Rose Adelia mengulang semula soalan sepatah Adam Zayan sebentar tadi. Adam Zayan senyum sinis. Pandai bergurau!
"Full name, Adam Zayan. Panggil Adam aje, no Zayan."
"Aik? Kenapa pulak? Nama Zayan tu kan cantik, secantik maksudnya iaitu cantik."
"Kau rasa aku cantik?" soal Adam Zayan sambil menuding jari telunjuknya ke arah wajahnya.
'Aik, dia terasa ke dengan ayat aku?' omel Rose Adelia dalam hatinya. Susahlah, puji pun nak sentap.
"Dah la! Aku nak main game dulu. Tu baki sandwich tu kau habiskan la." Adam Zayan mula bangkit dari kerusi. Terpinga-pinga Rose Adelia jadinya. Fikirnya nak sambung marah.
"Kenapa pandang? Makan ajelah, bukannya aku gigit pun!" ujarnya lalu terus meninggalkan Rose Adelia di dapur.
"Hurmmm... Pelik-pelik jugak orang dalam dunia ni." bisiknya perlahan sambil mengambil sandwich ayam tadi. Cheese dalam peti sejuk diambil. Macam tidak lengkap hidangan sandwichnya tanpa keju walaupun sekeping.
"By the way, Lia!" terjungkit kedua-dua belah bahu Rose Adelia bila diterjah Adam Zayan. Mujurlah keju dalam tangan masih kekal dalam pegangan.
"Mummy dengan abang aku mungkin balik rumah untuk lunch. So better prepare awal-awal." pesannya. Senang, tak adalah nanti Rose Adelia kelam-kabut. Datin Yusra tidak suka orang kelam-kabut. Terasa rimas.
"Okey." balasnya. Adam Zayan menjengilkan matanya. Terketar pula Rose Adelia melihatnya. Dah kenapa? Takkan nak kena jawab, 'okey, tuan' pulak?
"And I heard that. Pelik-pelik jugak orang dalam dunia ni." bisikan Rose Adelia tadi diajuk semula. Simbol 'i'm watching you' dibuat pada gadis berbaju kurung itu.
"Tajamnya telinga." bisiknya dalam hati.
FAIL hitam itu dibuka. Perkataan demi perkataan disebut. Makin bertambah kerutan pada dahinya, tidak ubah bagai seorang Perdana Menteri yang sedang memikirkan hal negara.
"Apahal la susah sangat nak sebut nama-nama ubat ni?"
"Olanzapine. Makan selepas breakfast." bacanya. Terus dia berjalan ke arah rak kaca kecil yang terletak di hujung kabinet. Sudah tertulis pada setiap botol akan nama dan jenis ubatnya. Botol yang tertera nama olanzapine dicapai dan sebiji pil berwarna putih itu diletakkan ke atas piring kecil.
Kemudian botol ubat bernama risperidone diambil lalu dikeluarkan sebiji. Kembang tekaknya saat melihat pil-pil berwarna putih dan hijau pucat itu. Dia mahu telan panadol pun ambil masa yang lama, inikan pula ubat yang dia langsung tak pernah dengar.
Piring tadi dibawa bersama segelas air kosong. Lalu dia naik ke tingkat atas. Harapnya lelaki itu tidak muncul secara mengejut lagi. Kalau tidak memang selamatlah gelas dan piring ini jejak lantai dan pasti sahaja dirinya akan dimarahi.
Kamar Adam Zayan ditujunya. Namun kosong. Bilik mana pulak? Takkan aku nak terjah satu persatu? Soalnya dalam hati. Dia mana berani masuk bilik orang sesuka hati. Kamar tidur adalah ruang privasi orang walaupun dia pembantu rumah.
Namun begitu, hanya ada satu bilik sahaja yang bertutup. Mungkin Adam Zayan ada dalam bilik itu? Tekanya. Bukankah lelaki tadi memberitahunya nak main game? Mungkin benar tekaannya.
"Encik Adam!" panggilnya dari luar bilik. Sesaat... Dua saat... Tiada jawapan hatta pintu dibuka. Dia mengeluh. Piring dan gelas diletakkan di atas lantai sebentar. Kura tangan terus mengetuk pintu kayu itu.
"Apa?" terkelip-kelip matanya. Amboi, tak boleh tanya elok-elok ke?
"Ni... Makan ubat." piring tadi dihulurkan pada Adam Zayan. Kedengaran sebuah dengusan dari mulut lelaki itu.
Dengan sekali teguk sahaja lelaki itu menelah kedua-dua pil dengan bantuan air kosong. Terlopong mulut Rose Adelia. Kalau dia, mungkin ditenung dahulu pil itu.
"Mulut tu tutup, nanti masuk langau." gelas tadi dihulur kembali pada Rose Adelia. Pintu ditutup kembali tanpa ucapan terima kasih.
Sombong! Kutuknya dalam hati.
SEPERTI yang dikatakan Adam Zayan, Datin Yusra dan Wafiq pulang ke rumah untuk singgah makan tengah hari sebelum mereka ke pejabat semula. Kata mereka, makan di rumah lebih jimat. Lagipun jarak rumah ke pejabat tidaklah jauh mana.
"Adam mana?" soal Datin Yusra sewaktu Rose Adelia menghidangkan juadah tengah hari.
"Ada dekat atas. Kejap saya panggilkan dia."
"Tak apa! Rose hidangkan dulu makanan, biar auntie aje panggil dia." Rose Adelia hanya membiarkan.
"Awak okey?" soal Wafiq tiba-tiba.
"Awak okey kerja dekat sini? Adam okey dengan awak?" soal Wafiq lebih ke arah terus-terang. Sedari di pejabat lagi dia asyik memikirkan keadaan pembantu rumah baharunya itu. Selesakah dia? Bolehkah dia melaksanakan segala tugas dan arahan yang diberi? Ternyata jawapannya adalah ya. Keadaan rumah tetap bersih dan kemas. Dapur juga bersih tanpa sebarang sisa kotoran.
"Saya okey aje. Rumah ni nyaman, tak ada bising-bising." jawab Rose Adelia jujur. Manakan tidak, lokasinya terletak di kawasan elit. Jauh dari bunyi bising jalan raya atau pembinaan. Yang kedengaran hanyalah bunyi burung-burung berkicauan. Pulak tu dekorasi rumah ini seperti sebuah vila di kawasan desa, lagi menambah kenyamanan dalam mindanya.
Lega Wafiq mendengarnya. Dia bukan apa, dia hanya risau jika Rose Adelia dilayan buruk oleh Adam Zayan, adiknya. Moga-moga dijauhkan.
"Anak mummy ni... Cubalah rambut tu dikemaskan." perhatian Rose Adelia terus teralih kepada Datin Yusra dan Adam Zayan yang baru turun dari tingkat atas. Geli hati dia melihat Adam Zayan berjalan sambil merangkul manja pinggang si ibu. Jarang betul nampak lelaki bermanja dengan ibu mereka.
"Lepas makan ni... Jangan lupa pulak makan ubat." pesan Wafiq. Adiknya ini kadang-kadang sengaja buat-buat lupa kalau bab-bab ubat ini.
"Eh, Rose... Nak ke mana tu?" soal Datin Yusra apabila melihat Rose Adelia meninggalkan ruang makan.
"Saya nak solat kejap." Datin Yusra tersenyum.
"Makan dululah. Saya pun belum solat lagi. Kejap lagi kita berjemaah sama-samalah, ya?" pelawa Datin Yusra manis sekali.
"Terima kasih." balasnya dengan segaris senyuman.
Apa yang mama fikirkan tu ternyata salah, majikan Rose baik. Hari pertama lagi dia orang layan Rose macam dah kenal lama. Bisiknya dalam hati terus menyangkal tuduhan mamanya tempoh hari.
Kecuali Adam... Keluhnya. Lalu mata memandang raut wajah Adam Zayan yang sedang mengunyah itu.
Dan secara tiba-tiba pandangan mereka bertaut. Terus Rose Adelia melarikan pandangannya. Berdebar-debar jadinya dia.