SEPERTI hari-hari biasa, Rose Adelia akan menggunakan khidmat LRT untuk ke mana-mana sahaja. Tetapi hari ini dia gunakan khidmat LRT bagi mengelak kesesakan lalu lintas walaupun dia masih tidak biasa menggunakan pengangkutan awam ini ke kawasan perumahan Wafiq. Tak mengapalah, kalau hari-hari guna, maka akan jadi biasalah. Bak pepatah Melayu, alah bisa tegal biasa.
"Elok-elok jalan tu." pesan Puan Wardah. Dahi anaknya dicium. Malam semalam puas dia memujuk hati sendiri untuk melepaskan si anak. Sudah sampai masanya pun, dia tidak boleh terlalu mengongkong si anak.
"Dah sampai sana, mesej mama. Nak balik pun mesej mama." Rose Adelia ketawa kecil. Masuk ini, sudah dua kali mamanya berpesan benda yang sama.
"Iya, ma." giliran Balqis pula menyalam kakaknya.
"Handsome ke bos akak tu?"
"Amboi, ditanya soalan tu pulak! Biasa aje. Belajar tu yang penting."
"Haruslah!"
SEKALI lagi Rose Adelia mengerling jam tangannya. Entah mana-mana kawasan perumahan dia masuk ini dia sendiri tidak tahu. Ditanya pada guard, loghat Bangladeshnya kuat sampaikan Rose Adelia tidak faham walau sepatah haram.
Terus dikeluarkan handphonenya. Itulah, nak acah berdikari sangat sekali sesat daaa... Pukul tujuh lima minit sudah. Habis berpeluh dahinya. Menggunakan aplikasi Waze, sekejap sahaja dia sampai tepat di hadapan rumah banglo tiga tingkat milik Wafiq. Ternganga mulutnya. Jauh panggang dari apa kalau nak dibandingkan dengan rumah teres dua tingkatnya.
"Rose Adelia?" mata Rose Adelia terus dilarikan pada empunya yang memanggil namanya. Airliur ditelan.
"Cepat masuk." pelawa Wafiq dalam keadaan tergesa-gesa. Hisy kau ni, Rose! Dah lambat, lagi nak tenung rumah orang sampai nak tembus.
Mereka sama-sama melangkah ke ruang tamu. Wafiq mencapai beberapa helai kertas yang sudah siap dikokot. Dia mula menerangkan satu persatu.
"Ini menu untuk hari ni. Bahan semua dah disediakan. Yang ini pulak jadual kerja awak. Ada sekali masa rehat. Lepas maghrib baru awak balik." Rose Adelia membaca satu persatu senarai yang ditulis pada permukaan kertas A4 itu.
"Breakfast? Kejap, saya buat."
"Tak payah!" Rose Adelia menjongket kening. Kenapa pulak?
"Tapi dalam ni..."
"Bukan untuk saya. Saya dah sarapan." Rose Adelia cuba menghadamkan ayat Wafiq. Maksudnya ada orang lain dalam rumah ni?
Tanpa mengendahkan soalan Rose Adelia, Wafiq menyerahkan sebuah fail padanya. Makin aneh gadis itu jadinya.
"Jom, ikut saya naik atas." sekali lagi dia telan liur. Dah kenapa nak naik tingkat atas pulak? Pesanan-pesanan Puan Wardah terus berlegar-legar dalam mindanya.
"Saya nak kenalkan awak dengan mummy dan adik saya." lega Rose Adelia mendengarnya. Akan tetapi dia mesti mengambil langkah berjaga-jaga juga. Takut itu hanyalah helah semata-mata.
Rose Adelia setia membuntuti Wafiq ke tingkat atas. Bila dia jejak kaki sahaja, kelihatan seorang wanita yang lebih kurang umurnya dengan Puan Wardah sedang bersandar pada pintu bilik sambil termenung.
"Mummy..." panggil Wafiq lembut. Segera wanita itu menoleh. Terus muncul segaris senyuman pada bibirnya. Rose Adelia membalas kembali dengan senyuman manisnya.
"Perkenalkan mummy saya, Datin Yusra." mereka berdua berjabat tangan.
"Wafiq, mummy dah lambat ni. Nanti terangkan semuanya pada dia ya. Oh, ya! Nama siapa ya?"
"Rose."
"Okeylah mummy pergi dulu." Datin Yusra terus turun ke tingkat bawah meninggalkan Wafiq dan Rose Adelia yang mula termagu-magu.
"Tu Adam, adik saya." Rose Adelia terus memfokuskan matanya pada sekujur tubuh yang sedang terlena di atas katil bersaiz king itu.
"Dalam fail tu, jadual pemakanan dan ubat dia. Kalau boleh ikut semuanya. Apa-apa, just call saya. Saya dah lambat nak pergi pejabat ni." Rose Adelia kembali mengikut Wafiq turun ke tingkat bawah.
"Kejap lagi Adam bangun, awak tak payah kejut." Rose Adelia hanya sekadar mengangguk.
ROSE ADELIA mula menyiapkan sandwich seperti yang tertulis dalam senarai menu untuk hari ini. Dia breakfast bihun sahaja pagi tadi namun terliur pula melihat sandwich ayam yang disiapkannya ini. Agak-agak boleh tak kalau dia buat sekeping lagi untuk dirinya? Jangan mengada, Rose!
Sambil dia menyanyi riang, dia mula meletakkan daging ayam yang sudah dihiris nipis-nipis ke atas permukaan roti yang berlapikkan sehelai daun salad. Lalu ditaung sos cili dan mayonis ke atasnya. Bahan seterusnya...
"Aku tak makan cheese."
"Opocot!" sekeping keju yang dipegangnya tadi terus tercampak tepat terkena pada wajah si empunya yang menegur tanpa beri salam. Rose Adelia mula menggelabah.
"Sorry! Sorry!" berkali-kali perkataan itu disebut namun mata milik suara yang menegurnya itu terus memandangnya tajam seperti seekor singa yang bersedia untuk menelan mangsanya.
Rose telan liur. Matilah aku!