Home Novel Cinta The Untold Story : Adam Zayan
The Untold Story : Adam Zayan
miramint
18/12/2018 15:21:35
19,406
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 1

BUNYI sang burung berkicauan menerjah masuk ke dalam gegendang telinga diikuti alunan alarm yang dikunci pada malam semalam. Dari luar tingkap, sinaran mentari terik memancar solar menandakan hari sudah pagi. Rose Adelia terus mencelik matanya. Digosok-gosok membuang sisa tahi mata yang melekat. Siapa kata perempuan bangun tidur secantik sleeping beauty? Jikalau lihat di cermin sekarang, dah serupa sleeping ugly. 

      Rose Adelia mula duduk dari pembaringannya. Fikirkan aktiviti apa yang dia akan lakukan untuk hari ini. Oh ya! Terus matanya membulat. Waktu jam yang tertera pada skrin telefon pintar terus dikerling. Sempat lagi kalau dia mencantikkan diri. Terus dia berlari masuk ke dalam bilik air. Tidak peduli lagi akan cadar katil yang masih belum dikemas. 

       Hari ini dia akan ke sebuah syarikat bagi melaksanakan sesi temuduga. Sejak minggu lepas lagi dia berasa nervous. Ini adalah kali pertamanya pergi ke temuduga. Sudah dia buat preparation awal-awal. Dari segi percakapan hatta latihan senyuman dan nada suara. Semua itu memainkan peranan. Itulah tips yang dia dapat sebelum habis tingkatan lima. 

       "Rose dah ready ke ni?" soal Puan Wardah sambil menghidangkan nasi goreng yang baru dimasaknya beberapa minit yang lalu. Makan sewaktu masih berasap memang mengecurkan liur! 

       "Hundred percent ready, mama!" jawabnya walaupun masih ada secebis perasaan gelisah dalam hati. Mana mungkin dia tidak takut. Paling takut jika jawapannya tidak memuaskan hati si penemuduga. Salah cakap pun akan memusnahkan segala-galanya. 

       "Ready macam mana pun, sebelum melangkah masuk dalam bilik temuduga, baca bismillah." pesan Puan Wardah. Sebagai umat Islam, kita mestilah meletakkan harapan dan sentiasa berdoa pada Allah yang satu kerana semuanya ditentukan-Nya. 

       Balqis mengambil tempat kosong di sebelah kakaknya. Seusai membaca doa makan, Balqis mula bersuara. Sejak kelmarin dia cuba mencari masa yang sesuai untuk bercakap dengan mamanya akan satu topik ini.

       "Ya, Bal? Cakaplah apa yang Bal nak cakap." bukan Puan Wardah tidak sedar akan riak wajah Balqis yang seperti ada sesuatu yang mahu dikatakan. Antara topik berat atau permintaan untuk membeli sesuatu sahaja Balqis akan bersifat begini. 

       "Kawan-kawan kelas Bal tanya Bal, mama tak nak buat kelas Biologi ke?" Puan Wardah terdiam. Kunyahan nasi goreng dalam mulut terus perlahan. Betullah sangkaannya, Balqis akan buka topik ini. Topik yang sudah lama terbuku dalam hatinya. 

       "Cikgu Ainnurkan ada?" Puan Wardah menyebut nama sahabat lamanya itu.

       "Susah Bal nak terangkan tapi kawan-kawan Bal kata mama aje yang boleh mengajar dia orang supaya lebih faham. Lagipun dah nak SPM ni..." walaupun kawan-kawan kelas Balqis tidak pernah ada pengalaman diajar oleh Puan Wardah, namun melalui kata-kata senior mereka Puan Wardah bukan calang-calang guru. Namanya tersenarai dalam guru paling cemerlang dalam sekolah. Pelajar-pelajar yang diajarnya juga ramai yang berjaya. 

       Akan tetapi kerana satu insiden, semuanya terhapus begitu sahaja. Dia terus meletakkan jawatannya. Lebih baik duduk di rumah daripada bekerja bersama suasana yang hiba. Berhentinya dia, ramai yang tidak rela lebih-lebih lagi pelajarnya. Semuanya berlaku sekelip mata. 

       "Nantilah mama fikirkan." Balqis turut diam. Balik-balik jawapan itu.

       "Ermmm... Mama dengan Bal jangan lupa doa untuk kakak tau!" segera Rose Adelia menukar topik saat suasana menjadi hening.

       "Dah tentulah. Mama sentiasa nak yang terbaik untuk anak-anak mama." Puan Wardah mengukir senyuman. Perasaan tadi dibuang jauh-jauh.


DUP... Dap... Dup... Dap... Kalau jantungnya boleh terkeluar, memang dah lama jatuh atas lantai bangunan syarikat ini. Bagi menghilangkan rasa gelisahnya, habis setengah air botol mineral 500 mililiter masuk ke dalam tekaknya. Kedua-dua belah kakinya digoyang-goyangkan. Walaupun berada dalam ruang berpendingin hawa, tubuh Rose Adelia masih terasa hangat.

       Dikerling ke sofa sebelah. Gadis yang dia agak seusia dengannya dengan tenang bermain dengan telefon pintarnya seolah-olah tiada apa-apa walhal selepas ini akan tiba giliran gadis itu. Sedar diri sedang diperhatikan, terus gadis itu menoleh sambil menghadiahkan senyuman pada Rose Adelia.

       "Saya Yasmin. Awak?" tangan dihulurkan untuk berjabat. Rose Adelia menyambutnya dengan mesra. Aduh, itu pasal jangan usyar orang! 

       "Rose." 

       "Saya sebenarnya dah setahun lebih menganggur. Bila dapat call untuk interview, terus aje terima. Lega rasanya. Kalau saya dapat kerja ni, tak perlulah saya menyusahkan mak dan ayah saya." cerita Yasmin tanpa dipinta. Dah kenal, apa salahnya terus cari topik untuk berbual.

        Rose Adelia telan liur. Entah mengapa kata-kata Yasmin tadi buat dia terasa sendiri. Walhal tidak ditujukan padanya pun. "Saya pun." jawabnya. Beberapa saat kemudian nama Yasmin dipanggil.

        "Good luck!" ucap Rose Adelia sebelum bayangan Yasmin hilang dari pandangan. Lepas ini giliran dia pula.

DI kafe, Rose Adelia menikmati makan tengah harinya seorang diri. Kawan? Dua tiga kerat sahajalah, itupun selepas dia habis belajar semuanya hilang entah ke mana. Lebih baik tidak berkawan daripada terhegeh-hegeh dalam menghargai hubungan persahabatan yang bakal musnah.

      Tanpa sedar, seseorang menegurnya. Bila didongakkan kepala, Yasmin si gadis yang berbual dengannya sebentar tadi.

      "Awak sorang aje?" soalnya. Dalam hati berharap Rose Adelia mempelawanya untuk duduk sekali.

      "Ha'ah. Duduklah." Yasmin tersenyum sendiri.

      "Macam mana dengan interview tadi? Awak okey?" soal Yasmin selepas sahaja memesan menu yang dia mahu.

      "Bolehlah. Dalam expectation saya, dia orang akan bagi soalan yang buat kita terkedu, tapi saya salah. Nasib saya boleh jawab semuanya dengan mudah." balas Rose Adelia.

      "Alhamdulillah."

      "Tapi Yasmin... Saya risaulah kalau saya tak dapat job tu. Saya dah buntu dah nak cari kerja apa lepas ni." Yasmin tersenyum seraya mengeluarkan sekeping sticky note dari dalam beg tangannya. Dihulurkannya pada Rose Adelia.

      "Saya bukan nak merendahkan awak. In case awak risau tak dapat job tu, kawan saya ada kenalkan sorang lelaki yang sedang mencari PA. Kut awak berkenan."

      "Terima kasih, Yasmin. Baik betul awak." pujiannya ikhlas, bukan dibuat-buat. Tak menyangka ada orang lain selain ahli keluarganya yang bersikap prihatin.

      "Tak adalah... Orang susah saya tolong, saya susah orang pulak tolong. Hidup kenalah macam tu. Bukannya hanya mementingkan diri tanpa fikir orang lain." Rose Adelia melemparkan senyuman lebar. Masih wujud manusia berhati baik dalam dunia yang kejam ini.


PULANG-PULANG sahaja, dia disajikan dengan kehadiran Fayyadh dan Cikgu Ainnur yang datang menyinggah ke rumahnya. Ikutkan hati Rose Adelia, dia tidak mahu sesiapa tahu pun dia baru sahaja selepas ditemuduga. Malulah, dah habis belajar pun masih menganggur. Pulak tu berhadapan dengan Fayyadh, si pengurus pemasaran. Manalah dia nak letak air mukanya.

      "Ya  Allah,  lama  sangat  tak  jumpa  Rose."  tubuh  Rose  Adelia  dipeluk  erat  Cikgu  Ainnur.  Rindu  dia  paada  bekas  pelajarnya  itu. 

      "Makin  cantik  anak  kau,  Wardah."  tersengih  Rose  Adelia  mendengar  pujian  yang  dilemparkan  padanya  itu.  

      "Tak  usah  puji  lebih-lebih,  nanti  kembang  jadinya.  Jomlah  kita  makan  dulu."  mereka  semua  terus  berjalan  ke  ruang  makan  meninggalkan  Rose  Adelia  dan  Fayyadh  berdua  di  ruang  tamu.  Rose  Adelia  sedar  dirinya  diperhatikan,  cepat-cepat  dia  menyimpan  kunci  keretanya  ke  dalam  bekas  kunci.  Tak  selesa  pula.  Terus  dia  ke  ruang  makan.  Janggal  setelah  bertahun  tidak  bersua  muka  dengan  Fayyadh,  yang  pernah  menjadi  secret  admirenya.

Previous: Prolog
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh miramint