Home Novel Cinta Bukan Menantu Pilihan (Takdir-Nya)
Bukan Menantu Pilihan (Takdir-Nya)
Aira Aliff
5/2/2015 15:23:41
113,644
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 10

Leya bergegas keluar dari pejabatnya menuju ke hospital setelah mendapat panggilan dari Hamidah tentang uminya. Langkahnya dipercepatkan menuju ke unit kecemasan. Dalam hati, dia berdoa tidak putus agar uminya baik-baik sahaja. Sebaik terpandangkan kelibat Hamidah di luar unit kecemasan, dia terus berlari mendapatkan jirannya itu.

“Bagaimana dengan umi, Kak Midah?” soalnya sebaik mendapatkan Hamidah. Gusar benar hatinya memikirkan kesihatan uminya sejak akhir-akhir ini. Dia takut andai jantung uminya kembali bermasalah.

“Entahlah, Leya. Sampai sekarang masih belum dapat apa-apa makluman dari doktor…”

“Macam mana umi boleh pengsan, kak? Pagi tadi Leya tengok umi sihat saja…”

“Akak pun tak tahu. Kak Midah jumpa umi kamu pengsan kat halaman rumah kamu masa Kak Midah keluar nak ke tempat kerja…” Hamidah melepaskan keluhan. Masih dia ingat bagaimana terkejutnya dia sebaik terpandangkan Puan Dalilah yang pengsan di halaman rumah.

“Semua salah Leya. Umi sakit sebab Leya….” Sejak pernikahannya terbatal dan sikapnya yang berterusan dihanyutkan dek kekecewaan, secara tidak langsung memberi kesan pada kesihatan uminya. Sejak akhir-akhir ini, dia perasan kesihatan uminya semakin merosot. Bila diajak ke klinik, uminya sentiasa berkeras mengatakan dia tidak apa-apa.

“Jangan sekali-kali menyalahkan diri, Leya. Apa yang berlaku bukan kehendak kita. Banyakkan berdoa agar umi Leya tidak apa-apa,” pujuk Hamidah sekaligus cuba meredakan kebimbangan gadis di depannya itu.

Hampir sejam mereka menunggu di luar unit kecemasan sehinggalah kehadiran seorang doktor yang melangkah menghampiri mereka.

“Assalamualaikum. Ini keluarga Puan Dalilah?”

Salam dijawab dan Leya terus berdiri sebaik nama uminya disebut.

“Saya anaknya, doktor. Macam mana dengan umi saya?” Terus sahaja Leya menyoal sebaik berdepan dengan doktor tersebut.

“Dari pemeriksaan kami tadi, kami terpaksa menahan Puan Dalilah untuk pemeriksaan lanjut tambahan pula Puan Dalilah pernah menjalani pembedahan jantung setahun yang lalu. Untuk sementara ni, kami masih belum dapat memberikan keputusan sebenar tentang tahap kesihatan Puan Dalilah. Saya harap cik bersabar…” Usai berkata doktor tersebut terus berlalu.

Leya terduduk setelah doktor yang merawat uminya berlalu. Dia terus memeluk Hamidah dan menangis dalam pelukan wanita itu yang telah dianggap seperti saudaranya sendiri.

Sebaik mendapat kebenaran untuk menjenguk uminya, Leya melangkah menghampiri katil yang menempatkan uminya. Tangan uminya disentuh dan dicium berkali-kali. Melihat uminya yang kelihatan lemah ketika itu benar-benar meruntun hatinya.

“Leya datang…” Dengan suara yang lemah Puan Dalilah bersuara menegur puteri tunggalnya. Dia cuba bangun namun ditahan oleh anaknya itu.

“Umi tak boleh bergerak sangat. Tubuh umi masih lemah,” larang Leya menghalang uminya yang ingin bangun.

“Umi tak apa-apa, Leya. Mungkin sebab cuaca panas sangat tu yang umi sampai pengsan….” Puan Dalilah cuba meredakan kegusaran yang bersarang di jiwa puterinya. Dia tidak mahu Leya risaukan dirinya sementelah puterinya itu baru sahaja pulih dari kekecewaan lalunya.

“Leya minta maaf, umi. Leya tahu umi susah hati sebab Leya. Leya janji selepas ni Leya tak akan susahkan hati umi lagi. Leya tak mahu umi sakit…” Dia menangis entah untuk kali keberapa. Dia benar-benar risaukan uminya.

“Jangan cakap begitu, Leya. Sakit umi bukan Leya penyebabnya. Semuanya dari Allah sayang…” pujuk Puan Dalilah dengan suara yang jelas kedengaran lemah. Dia amat berharap pujukannya ini mampu meredakan kegusaran Leya. Dia tidak mahu Leya berterusan menyalahkan diri sendiri. Wajah sendu Leya direnung dengan rasa sebak.

Ya Allah, andainya hayatku sudah di penghujungnya, kau temukanlah puteriku ini dengan seorang Adam yang mampu menjaga dan melindunginya bila aku tiada lagi di bumi-Mu ini.
Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Aira Aliff