Home Novel Cinta Bukan Menantu Pilihan (Takdir-Nya)
Bukan Menantu Pilihan (Takdir-Nya)
Aira Aliff
5/2/2015 15:23:41
113,768
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 12

Setelah tiga hari bercuti kerana menjaga uminya di hospital, Leya kembali bertugas. Meskipun berat hatinya untuk meninggalkan uminya namun dia terpaksa. Andai dia kehilangan kerja bagaimana dengan kehidupan mereka nanti? Mujurlah ada Mak Su dan Mak Long yang sanggup menolongnya menemani uminya di hospital semasa dia bekerja. Sejak uminya dimasukkan ke hospital, kedua ibu saudaranya serta sepupu-sepupunya banyak membantunya. Terharu benar dia dengan keprihatinan mereka.

“Umi Leya macam mana?” soal Naim sebaik berdiri di depan meja kerja Leya.

“Macam tulah abang Naim…” Perlahan sahaja Leya menjawab. Suara yang terlontar pun seakan tidak bermaya.

“Sabarlah, Leya. Abang doakan umi Leya cepat sembuh. Insya-Allah, lunch hour nanti abang dengan Kak Haiza nak pergi melawat umi Leya…”

Leya memberikan senyuman.

“Terima kasih sebab abang Naim dan Kak Haiza ambil berat pasal umi Leya. Terima kasih banyak-banyak…”

“Leya dah macam adik kami. Susah Leya, kami pun turut merasainya. Jangan muram-muram lagi. Adik abang ni tak cantik kalau muram…” senda Naim sekadar menghiburkan hati Leya. Kasihan benar dia pada gadis ini. Baru sahaja tenang dengan kisah lama, kini berdepan pula dengan masalah kesihatan uminya.

“Hah, yang kau tercegat kat sini apa hal? Mengurat anak dara orang? Aku report kat Haiza nanti...” sergah Hanani dengan tawa kecil. Gelihatinya apabila melihat wajah terkejut Naim seketika tadi.

“Hisy, kau ni Nani… nasib baik tak tercabut jantung aku. Kau ingat kalau tercabut ada ke jual kat kedai spare part?” sahut Naim sambil mengurut dada.

Ketawa Leya dengan pertelingkahan kecil itu.

“Dah dari tadi aku tengok kau syok sangat duk mengurat anak dara orang. Ingat sikit, kau tu dah ada Haiza…” ujar Hanani sekadar mengusik. Dia tahu bukan itu yang menjadi topik perbualan antara Naim dan Leya.

“Wah, mulut kau. Aku ni dalam kategori lelaki setia lagi penyayang. Aku saja bertegur dengan Leya. Bertanyakan pasal uminya tu. Pandai-pandai je kau buat spekulasi…”

“Aku tahu. Saja aje aku nak usik kau…” balas Hanani lalu ketawa.

“Ketawa-ketawa juga. Lunch hour nanti aku dengan Haiza nak pergi melawat umi Leya. Kalau kau nak ikut, boleh la. Kita pergi satu kereta. Leya pun nanti pergi dengan kami, ye…” usul Naim memberi cadangan. Tidak salah rasanya mereka berkongsi kereta. Lagipun satu destinasi. Berkongsi aje lah.

“Aku no hal. Leya macam mana..?” soal Hanani.

“Leya ikut aje kak. Sesekali kena sambut seruan kerajaan agar berkongsi kereta jadi tak adalah jalan sesak…”

“Kalau macam tu pukul satu kita jumpa kat lobi..” putus Naim sebelum dia dan Hanani berlalu untuk memulakan kerja.

Setelah Naim dan Hanani berlalu, Leya memulakan tugasnya yang telah seminggu ditinggalkan. Nampaknya banyak invoice-invoice dari supplier yang perlu diclearkan serta claim invoice dari pekerja Mega Corporation yang harus diselesaikan memandangkan kini sudah menghampiri ke akhir bulan. Satu per satu fail di depannya disemak hingga dia alpa dengan bebanan tugas. Langsung dia tidak sedar akan putaran waktu sehingga Haiza dan Hanani datang ke mejanya barulah dia teringat akan janji mereka untuk melawat uminya.

Seperti yang dijanjikan mereka berempat menaiki satu kereta ke hospital. Perjalanan sedikit sesak berikutan waktu rehat para pekerja. Mujurlah bangunan pejabatnya tidak jauh dari hospital. Hanya memakan masa dua puluh minit.

Seperti biasa uminya pasti akan tersenyum sebaik melihat dirinya. Dia sedar senyuman uminya itu sekadar mahu melindungi sakitnya jadi dia juga harus bersikap tabah bila berdepan uminya. Dia tidak mahu uminya terus risaukan dirinya.

Uminya tampak gembira dengan kehadiran teman-teman sekerjanya. Sesekali uminya juga turut ketawa bila abang Naim mengusiknya.

Hampir setengah jam mereka di situ sebelum akhirnya mereka meminta diri untuk kembali ke pejabat. Lega sedikit hatinya melihat perubahan uminya yang semakin stabil. Mujur Mak Long turut ada di situ untuk menemani umi. Sekurang-kurangnya ada yang mengawasi uminya.


*********************


“Kenapa mengeluh..?” soal Ashriq sebaik mendengar keluhan yang dilepaskan Darius. Pelik benar sikap sahabatnya hari ini. Sejak dia masuk ke ruang pejabat Darius bagi membincangkan tentang projek di Putrajaya, dia perasan sahabatnya itu langsung tidak menumpukan perhatian dengan apa yang sedang mereka bincangkan.

“Ada kesilapan kat mana-mana ke tentang projek ni..?” soalnya lagi bila pertanyaan pertamanya tadi dibiarkan sepi.

“Tak. Bukan pasal projek ni tapi pasal aku. Lama-lama aku rasa, aku boleh gila dibuat oleh mami dan Emelda…” terang Darius tanpa berselindung. Hanya Ashriq tempatnya meluah kata.

“Apa masalahnya…?” soal Ashriq tidak mengerti. Dari gerak geri sahabatnya itu, dia pasti tentu masalahnya besar kalau tidak, tak mungkin sahabatnya ini segelisah ini.

“Aku sebenarnya tengah bengang dengan mami aku dan Emelda. Kau tahu kan tentang wasiat arwah atuk aku….?”

Ashriq menganguk. Darius sudah memberitahunya dulu.

“Mel tolak lamaran aku. Dia masih belum bersedia tambahan pula sekarang ni namanya tengah naik. Dia tak sanggup korbankan karier dia kerana aku. Aku kecewa Ash. Nampak sangat tak bernilainya aku dalam hidup dia. Yang buat aku bertambah kecewa dan bengang, dia boleh mencadangkan agar mami aku mencari seseorang yang sanggup menikahi aku dan melahirkan zuriat aku dan mami aku pula bersetuju dengan cadangan tu. Gila. Mereka benar-benar sudah gila. Mereka ingat aku ni patung ke…”

Ternganga Ashriq mendengarnya. Sukar untuk dia percaya bila Emelda yang kononnya mencintai Darius setulus hati boleh mencadangkan perihal itu. Inilah salah satu sebabnya mengapa dia tidak suka akan perhubungan Darius dan Emelda. Bukan Emelda gadis yang tidak baik cuma pada pandangannya Emelda tidak cukup bersungguh dalam perhubungan ini. Selama ini, dia hanya nampak kesungguhan dari pihak Darius tapi tidak pada pihak Emelda. Sikap bersahaja Emelda semakin ketara bila gadis itu menceburkan diri dalam bidang modelling.

“Kau setuju ke…?” Matanya tajam merenung Darius. Adakalanya dia yang sakit hati dengan sikap berlembut tidak kena tempat yang ada pada sahabatnya itu. Dan adakalanya dia kagum dengan sikap sabar Darius dalam melayan kerenah Datin Aida dan Emelda.

Darius melepaskan keluhan. Fikirannya menjadi buntu. Membantah akan menyebabkan kemarahan maminya dan andai diikuti pula bagaimana dengan kehendak hatinya sendiri.

Melihat kebisuan Darius membuatkan Ashriq menjadi simpati. Keruh wajah sahabatnya itu menjelaskan lagi yang sahabatnya itu kini benar-benar sedang bercelaru.

“ Apa sekalipun keputusan kau, aku tetap akan menyokong. Bila difikirkan balik apa salahnya kau terima. Mana tahu gadis itu adalah jodoh kau...” ujar Ashriq sekadar meredakan kecelaruan Darius.

Darius hanya mendiamkan diri. Mungkinkah? Tidak mungkin kerana hatinya hanya ada Emelda. Dia bersandar ke sofa di ruang bilik kerjanya. Matanya dipejam dan saat itu hadir seraut wajah yang tidak bernama walau dia cukup kenal wajah itu. Matanya kembali dicelik. Tubuhnya ditegapkan kembali. Dia tunduk merenung lantai. Mencari akan maksud bayangan yang hadir seketika tadi.

“Kenapa..?” Pelik melihat wajah Darius yang tiba-tiba berubah. Wajah sahabatnya itu kelihatan terpinga.

“Errr.. Tak ada apa-apa. Kita sambung nanti. Aku nak rest kejap. Nanti kau tolong bagi tahu Atiqah yang aku tidak mahu diganggu….” sahut Darius.

“Kalau macam tu aku keluar dulu…” ujar Ashriq lalu mengemas segala fail yang ada di atas meja lalu berlalu meninggalkan Darius yang ketika itu dilihatnya telah kembali memejamkan mata. Biarlah sahabatnya itu bertenang. Kasihan dia pada Darius. Tidak sudah-sudah dengan masalah. Kalau bukan Datin Aida yang buat onar, Emelda pula yang buat perangai. Sikap sahabatnya ini sama seperti Dato Firdaus. Terlalu penyabar.
Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Aira Aliff