Home Novel Cinta Bukan Menantu Pilihan (Takdir-Nya)
Bukan Menantu Pilihan (Takdir-Nya)
Aira Aliff
5/2/2015 15:23:41
113,673
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 13

Dengan langkah longlai Leya melangkah keluar dari bilik doktor Badrul. Perkhabaran yang baru disampaikan doktor tersebut benar-benar membuatkan hatinya luluh. Di mana harus dia dapatkan duit pembedahan uminya? Dia benar-benar buntu. Uminya mengalami serangan jantung kali kedua dan perlu dibedah dengan segera. Andai dibiarkan, jantung uminya akan lebih parah dan mungkin akan meragut nyawa uminya. Bayaran untuk pembedahan pula hampir puluhan ribu. Dia terduduk di kerusi di luar bilik yang menempatkan uminya. Di mana dia harus mendapatkan duit pembedahan tersebut?

Memikirkan tentang kesihatan uminya yang semakin parah membuatkan dia benar-benar buntu apalagi saat melihat uminya yang terpaksa bertarung dengan kesakitan. Hampir menitis air matanya melihat betapa terseksa uminya menghadapi kesakitan itu dan setiap kali itulah hatinya bagai dihiris. Dia benar-benar tidak sanggup untuk membiarkan uminya terus menderita.

Air mata mula gugur membasahi pipi. Oh Tuhan, mengapa seberat ini kau menduga aku. Ya Rahman, berikan aku jalan untuk aku menyelamatkan umiku. Air matanya semakin laju mengalir. Tidak tahu pada siapa harus dia mengadu sedangkan mereka bukan dari golongan orang berada. Rumah yang umi dan arwah ayah beli empat tahun dahulu terpaksa dijual untuk membiayai kos pembedahan uminya setahun yang lalu. Yang tinggal hanya rumah yang mereka duduki kini. Rumah itu arwah ayah beli selepas setahun mengahwini uminya dan di rumah itu juga dia membesar dan segala memori mereka sekeluarga tersimpan di rumah itu. Andai dia menjual rumah tersebut di mana pula mereka mahu tinggal? Akan bersetujukah umi andai dia mengusulkan cadangan untuk menjual rumah tersebut?

Dia melepaskan keluhan. Pada kiraannya baki yang tinggal hasil jualan rumah dahulu tidak sampai pun lima belas ribu. Untuk meminta dari Mak Long dan Mak Su, agak mustahil baginya kerana dia sendiri tahu kedua-dua ibu saudaranya itu juga bukan dari golongan orang senang tambahan lagi mereka juga ada tanggungjawab terhadap keluarga mereka sendiri. Dia bersandar kelesuan. Otaknya beku untuk mencari jalan keluar. Di dalam hati tidak putus dia memanjatkan doa agar Allah memberikan petunjuk untuknya.


***********************************


Sebaik melangkah keluar dari bilik Datin Rafeah yang dimasukkan ke wad kerana serangan jantung, Datin Aida berjalan menyusuri bilik-bilik lain. Dan bila matanya menangkap seorang gadis yang nampak lemah sebaik keluar dari bilik yang diyakini milik seorang doktor, menarik perhatiannya. Lama dia memandang gadis tersebut. Dari raut wajah gadis tersebut dia tahu pasti ada sesuatu yang telah terjadi. Baru dia ingin menghampiri, kelihatan gadis itu bangun dan masuk ke bilik yang berada di depannya. Dengan perlahan dia mendekati bilik tersebut. Dari muka pintu yang sedikit terdedah dia melihat gadis itu sedang menangis di sisi seorang wanita yang sedang terbaring. Bibirnya mula melebarkan senyuman.

Langkahnya diatur ke bilik yang ditinggalkan gadis itu. Perlahan dia mengetuk pintu dan bila mendapat keizinan dia terus melangkah masuk.

"Ada apa-apa yang saya boleh bantu puan..?" soal doktor Badrul. Kurang mengerti bila biliknya tiba-tiba didatangi seorang wanita yang pada kiraannya bukan calang-calang. Lihat sahaja pakaian yang membalut tubuh wanita di depannya ini apa lagi aksesori yang dipakai juga telah melambangkan status wanita ini.

"Saya Aida, Datin Aida. Biarlah saya berterus terang. Kedatangan saya ini kerana ingin bertanyakan tentang gadis yang baru keluar dari bilik ni tadi.." ujar Datin Aida akan tujuan sebenarnya.

"Hmmm Leya maksud Datin? Boleh saya tahu apa hubungan Datin dengan gadis tersebut..?" Pelik bila wanita berkelas tinggi ini datang ke biliknya semata-mata untuk bertanyakan tentang anak gadis salah seorang pesakit yang sedang dirawatnya.

"Ohh, namanya Leya…” Datin Aida tersenyum seraya mengangguk perlahan.

“Kami saling tidak mengenali cuma tadi saya ternampak dia seperti bersedih manalah tahu saya boleh menolongnya..." ujar Datin Aida cuba mengorek akan penyebab gadis yang dilihatnya tadi bersedih. Dia amat pasti gadis itu sedang menghadapi masalah.

Seketika doktor Badrul diam. Berfikir apakah wajar untuk dia memberitahu wanita yang berstatus Datin ini akan masalah yang dihadapi gadis tersebut. Mengingatkan keadaan Leya setelah dia menyatakan tentang penyakit ibunya menimbulkan rasa simpati di hatinya tetapi dengan membongkar perihal pesakitnya kepada orang luar bermakna dia melanggar etika sebagai seorang doctor.

"Walaupun ia melanggar etika kerja sebagai doctor tapi saya berharap tekad saya ini akan dapat membantu pesakit saya. Sebenarnya Ibunya menghadapi masalah jantung yang agak kronik dan memerlukan pembedahan segera dan perbelanjaannya agak besar.."

Mendengar kata-kata Doktor di depannya, membuatkan dia semakin tertarik.Setelah mengetahui masalah yang dihadapi gadis tersebut dia memohon izin untuk berlalu dan berjanji akan datang lagi ke situ. Sebaik keluar dari bilik doktor tersebut dia terus menghubungi seseorang.

"Hello Kamarul, aku ada job untuk kau. Aku nak kau siasat tentang seseorang. Aku tak tahu apa-apa tentang gadis tersebut tapi ibunya sekarang sedang dirawat di HKL. Aku nak jawapannya secepat mungkin.." Selesai memberi arahan dia terus melangkah keluar dari kawasan hospital dengan senyuman di bibir.


*****************************


Leya duduk di samping Mak Long dan Maksunya. Pak Long dan Paksu juga turut ada di situ. Mereka berkumpul bagi membincangkan tentang kos pembedahan uminya. Dia sedar Mak Long dan Maksu sekeluarga cuba membantunya.

“Kami cuma ada dua puluh ribu sahaja Leya. Itu pun abang Nas dan Kak Fida turut memberi kalau tidak tak terkumpul dua puluh ribu tu…” terang Puan Kamariah. Sendu juga hatinya bila tidak dapat membantu adiknya yang kini memerlukan rawatan jantungnya. Keluarganya bukanlah senang. Suaminya hanya seorang guru dan dia pula hanya seorang suri rumah sepenuh masa. Mujurlah anak sulungnya Nasran yang juga seorang guru mengeluarkan sedikit simpanannya untuk pembedahan itu.

“Kak Fida pun tak mampu nak bagi banyak Leya…” terang Rafidah. Dia turut bersimpati dengan nasib sepupunya itu. Berapa sangatlah simpanan yang dia ada dengan kerjanya sebagai receptionist di sebuah syarikat swasta. Yang sedikit itulah dia cuba untuk membantu.

“Betul Leya. Leya pun tahukan, keluarga kita bukanlah dari golongan yang kaya tapi sebagai satu keluarga dah menjadi tanggungjawab masing-masing untuk saling membantu…” sahut Puan Radiah. Tangan Leya dicapai dan diusap perlahan.

Terharu melihat susah payah kedua-dua keluarga ibu saudaranya itu. Dia sedar akan itu. Melihat sampul yang gemuk berisi duit membuatkan dia semakin pilu. Dia masih berkira sama ada mahu menerimanya atau tidak. Abang Nasran anak sulung Mak Longnya bekerja sebagai guru sekolah rendah. Berapa sangat gaji abang sepupunya itu sedangkan Abang Nasran yang sudah berkeluarga mempunyai tanggungjawab yang besar dalam menyara keluarganya. Mak Long dan Pak Long pula masih perlu menyara dua anak mereka yang masih belajar. Nasriah yang kini di tingkatan tiga manakala Nasrin baru tahun kedua di universiti.

Maksu pula yang juga seorang suri rumah dan Paksu yang bekerja sebagai pegawai tentera masih punya dua tanggungan iaitu Rafiq yang akan menambil STPM serta Rafiz yang sebaya dengan Nasriah. Manakala Rafidah anak sulung Maksu yang beza setahun dengannya pula akan melangsungkan perkahwinannya dua bulan lagi. Bagaimana harus dia mengambil duit itu sedangkan dia tahu keluarga ibu-ibu saudaranya itu juga memerlukannya.

“Leya tak dapat terima duit ni. Leya minta maaf bukan Leya tidak sudi tapi Leya tahu keluarga Mak Long dan Maksu juga perlukannya…”

“Umi Leya lebih memerlukannya. Ambillah Leya…” sahut Encik Nasir.

“Betul cakap pak Long tu Leya. Kita kan sekeluarga. Memang patut kami menolong…” sahut Encik Rahman pula.

“Tapi Paksu, keluarga Paksu dan Pak Long pun perlukannya juga. Lagi dua bulan kak Fida nak kahwin. Perbelanjaan sekolah yang lain. Semua tu perlukan duit. Tak mengapalah, Leya cadang nak buat pinjaman dekat tempat kerja Leya. Bayaran bulanannya akan terus dipotong dari gaji Leya. Insya-Allah kalau dicampur dengan simpanan lebihan penjualan rumah dulu tu rasanya sudah cukup untuk membiayai pembedahan tu…” bohong Leya. Dia terpaksa. Sudah cukup dia menyusahkan kedua-dua keluarga ibu saudaranya itu. Dia akan cuba mendapatkan duit pembedahan tersebut dengan cara lain meskipun dia sedar agak payah untuk mendapatkannya.

Semua yang ada di situ hanya mendiamkan diri. Masing-masing melepaskan keluhan. Kecewa kerana tidak dapat membantu. Akhirnya mereka akur dengan keputusan Leya walaupun mereka masih berharap agar Leya mahu menerima sumbangan mereka.

Melihat keluarga kedua-dua ibu saudaranya menerima penolakannya melegakan sedikit hatinya. Biarlah dia sendiri usahakan. Di sudut hati dia memohon agar Allah memberinya jalan untuk mendapatkan duit pembedahan uminya.
Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Aira Aliff