Home Novel Cinta Bukan Menantu Pilihan (Takdir-Nya)
Bukan Menantu Pilihan (Takdir-Nya)
Aira Aliff
5/2/2015 15:23:41
113,780
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 3

Sebaik masuk ke ruang pejabatnya pagi itu, tergamam Darius apabila melihat Emelda yang sedang duduk di sofa biliknya. Rasa marah yang masih berbekas membuatkan dia hanya memandang kosong wajah Emelda yang sedang tersenyum. Tanpa menyapa, dia terus melangkah ke meja kerjanya.

Senyuman yang terukir mati tiba-tiba melihat raut wajah tegang Darius. Dia bangun dan melangkah menghampiri Darius.

“Sayang, I tahu you marah. I minta maaf sangat-sangat. Bukan I sengaja, cuma semalam tiba-tiba ada job yang I kena bereskan…” Tutur Emelda cuba memujuk. Dia tahu dia bersalah kerana tidak hadirkan diri di pertemuan semalam.

“Hingga tak sempat nak call I? Hanya satu panggilan Mel. You cuma tekan nombor I dan cancelkan date kita semalam tapi sebab you terlalu sibuk sampai you terlupa dengan janji kita dan disebabkan tidak sengaja you tu, you buat I tak ubah macam tunggul. Hampir dua jam I tunggu you….” Wajah Emelda direnung tajam. Sudah terlalu banyak dia bersabar dengan kerenah gadis ini. Benar dia mencintai Emelda tapi bukan itu bermakna Emelda sewenang-wenangnya memperlakukan dia bagai barang yang langsung tidak berharga.

“Mel, ini bukan pertama kali you tak hadir. I dah muak dengan alasan-alasan you. Tak habis-habis dengan kerjaya yang you banggakan sangat tu. Siapa sebenarnya I dalam hidup you? Tunggul….?” Kemarahannya dilepaskan lagi. Dia sudah tidak peduli andai gadis itu terasa atau merajuk. Hatinya benar-banar sakit dan sikap Emelda benar-benar mencabar kesabarannya. Apa sekalipun yang akan terjadi, dia sudah tidak peduli. Sudah puas dia berusaha menjaga hati Emelda walaupun hatinya sendiri terguris.

Kaku Emelda memandang wajah tegang Darius. Untuk pertama kalinya dia melihat wajah Darius setegang ini. Timbul rasa kecut di hatinya.

“Sayang please, I tahu I bersalah…” Lengan Darius dipaut dan diusap. Dalam hati dia berharap tindakannya ini mampu meredakan sedikit amarah kekasihnya.

Darius tetap membekukan diri. Entah kenapa kali ini hatinya bagaikan tidak berbekas dengan pujukan Emelda.

“Sudahlah Mel. I rasa baik you balik dulu. I pun ada banyak lagi urusan yang perlu diselesaikan…” Lengannya ditarik perlahan. Fail yang berada di depannya dibuka. Emelda yang masih berdiri di sebelahnya tidak lagi dipedulikan. Dia sudah malas mahu berdebat dengan Emelda. Bukan dia tidak tahu dengan sikap keras kepala dan mahu menang Emelda. Setiap kali berdebat, akhirnya hatinya sendiri yang sakit.

Melihat tingkah Darius yang langsung tidak mempedulikan dirinya membuatkan hatinya panas tiba-tiba. Tanpa sepatah kata, dia terus berlalu meninggalkan Darius. Tidak kuasa dia hendak melayan rajuk lelaki itu sedangkan sejam dari sekarang dia ada perjumpaan dengan Raqif, designer muda yang baru beberapa bulan kembali ke Malaysia untuk meneruskan legasi rekaannya. Biarlah Darius mahu merajuk seberapa lama pun kerana dia tahu akhirnya lelaki itu pasti akan mencarinya juga.

Darius hanya memandang pemergian Emelda dengan ekor mata. Sebaik kelibat Emelda hilang di pandangan, tubuhnya disandarkan di kerusi. Kepala yang tiba-tiba berdenyut dipicit seketika. Entah apa kesudahan hubungannya dengan Emelda. Dia merasakan hubungan mereka semakin hambar dan tawar.


************************************

Ashriq merenung Darius yang sedang tunduk menyemak fail di depannya. Wajah sahabatnya itu kelihatan sugul. Tanpa bertanya pun dia dapat mengagak akan sebabnya. Sudah berbuih mulutnya menasihati sahabatnya itu agar jangan terlalu memberi muka pada Emelda namun Darius berterusan mempertahankan kekasihnya itu. Melihat sikap Emelda sejak akhir-akhir ini membuatkan dia sendiri yang menjadi muak. Entah macam mana Darius boleh bertahan dengan sikap ego dan keras kepala Emelda pun dia tidak tahu. Kalau dia di tempat Darius, sudah lama ditinggalkan Emelda. Bunga bukan sekuntum hingga sanggup menahan diri dari dijadikan tunggul oleh kekasih sendiri.

“Semua okey, kau boleh proceed dengan account department…” Wajahnya didongakkan namun sebaik melihat Ashriq yang seolah sedang mengelamun membuatkan dia menjadi pelik.

“ Ada yang tak kena ke?” Soalnya. Matanya tajam merenung Ashriq di depannya.

Ashriq hanya tersenyum tawar. Bahunya dijungkit.

“ Ada apa-apa yang kau nak cakap dengan aku ke?” Soal Darius lagi. Bukan sehari dua dia bersahabat dengan Ashriq. Riak yang terlukis di wajah Ashriq sudah cukup untuk dia mengerti.

“ Tadi aku nampak Emelda,” Jawabnya perlahan.

Darius melepaskan keluhan. Mengingati Emelda membuatkan hatinya sakit tiba-tiba.

“Hampir dua jam aku tunggu dia semalam tapi dia tak juga muncul-muncul. Entahlah, Ash. Aku dah pening dengan hubungan kitaorang ni. Dia seperti langsung tak hargai aku. Aku sanggup kosongkan jadual aku semata-mata kerana dia, tapi lastnya aku yang sakit hati” Tanpa Ashriq bertanya dia terlebih dahulu meluahkan rasa hatinya. Selama ini pun, Ashriq lah tempat untuknya meluah rasa.

“Aku sebenarnya dah malas nak komen. Dari awal lagi aku sering ingatkan kau jangan terlalu memberi muka pada Emelda tapi kau langsung tak nak dengar, kononnya sebab cinta. Orang lain pun bercinta jugak tapi tak adalah separah kau. Semua yang Emelda buat kau iakan aje. Darius tolonglah, sebagai lelaki kau kena tegas. Masa bercinta ni bolehlah kau ikut segala kemahuan dia tapi bila dah kahwin nanti macam mana? Sampai bila kau nak pejamkan saja tindak tanduk Emelda. Wake-up Darius. Jangan jadi bodoh kerana cinta. Emelda sebenarnya tak layak pun untuk dicintai….” Untuk sekian kalinya Ashriq cuba menyedarkan Darius. Bukan dia tidak suka sahabatnya itu menjalinkan cinta dengan Emelda, cuma dia merasakan gadis itu terlalu ego dan sukar untuk dibentuk. Segala hal harus mengikut kata dan kehendaknya.

Darius hanya mendiamkan diri. Dia sedar semua itu. Bukan sekali dua Ashriq mengingatkannya malah berkali-kali namun sikapnya terhadap Emelda masih juga begitu. Dia mencintai Emelda, sungguh dia mencintai gadis itu. Mungkin betul kata Ashriq yang dia sebenarnya terlalu lemah dengan hal yang melibatkan Emelda. Dia terlalu mahu menjaga hati kekasihnya itu hingga sanggup menelan semua sikap Emelda selama ini.

“Dahlah, aku keluar dulu. Kau fikirlah dalam-dalam Darius. Bukan aku menentang hubungan kau dan Emelda tapi satu aku nak ingatkan kau. Dalam satu kapal andai ada dua nakhoda, tenggelam kapal tu nanti….” Ashriq berlalu meninggalkan Darius sendirian. Dia hanya mampu menasihati dan selebihnya terpulang pada Darius untuk menentukannya. Benarlah kata sesetengah pendapat, cinta itu kadangkala memuakkan. Biar tidak berteman dari punya kekasih seperti Emelda. Dia lebih sanggup hidup solo dari terpaksa menahan hati dek sikap kekasih hati.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Aira Aliff